Dinamakan Syaaban شَعْبَان, – diambil dari lafaz شَعْبٌ yang ertinya kelompok atau golongan – kerana orang-orang Arab dahulu pada bulan tersebut berpencar-pencar (يَتَشَاعَب) untuk mencari sumber air. Juga kerana mereka berpisah-pisah / terpencar تَشَاعُب di gua-gua.
Imam Ibn Hajar Asqalani berkata, “Dinamakan Syaaban kerana sibuknya mereka mencari air atau sumur setelah berlalunya bulan Rejab yang mulia. Dan ada juga yang memberikan pendapat yang lain.” (Rujuk Lisanul Arab dan Fathul Bari IV/251)
1- NABI SAW RAJIN BERPUASA SYAABAN
Aisyah RA, beliau berkata:
كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ حتَّى نقولَ لا يُفطِرُ ويُفطِرُ حتَّى نقولَ لا يصومُ وما رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ استَكملَ صيامَ شَهرٍ قطُّ إلَّا رمضانَ وما رأيتُه في شَهرٍ أكثرَ صيامًا منهُ في شعبانَ
“Baginda SAW ada kalanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan ada kalanya baginda SAW berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami mengatakan baginda akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW paling banyak berpuasa (sunat) dalam masa sebulan melainkan pada bulan Syaaban”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
-
- Justeru, amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada bulan Syaaban adalah merupakan satu amalan yang soleh.
-
- Puasa baginda selama sebulan penuh hanya baginda lakukan pada bulan Ramadan. Namun baginda paling banyak melakukan puasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain.
2- BULAN AMALAN DIANGKAT
Usamah bin Zaid RA pernah berkata kepada Nabi SAW bahawa beliau tidak pernah melihat baginda melakukan puasa secara yang lebih bersemangat berbanding ketika berpuasa di bulan Syaaban. Maka Rasul SAW bersabda:
قَالَ : “ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فِيْهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ العَالَمِيْنَ ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عمَلِيْ وأَنَا صَائِمٌ”.
“Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat aku dalam keadaan berpuasa”. (Riwayat an-Nasaie, Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini hasan).
-
- Berkata Imam Ibn al-Qayyim: “Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT. Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW, dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis”. (Rujuk Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313)
3- KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN (15 HARIBULAN SYAABAN)
Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuhan (benci membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135)
-
- Berkata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751 H): “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW.. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Rujuk al-Manar al-Munif, Imam Ibn Qayyim, hlm 95-98).
-
- Berkata Imam al-Nawawi (meninggal 676 H): “Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama bulan Rejab, juga solat malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat, kedua-dua solat ini bidaah lagi mungkar yang jelik. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulumuddin. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam kedua kitab berkenaan kerana kesemuanya adalah palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis berhubung kedua solat berkenaan.” (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 4/56, Dar al-Fikr, Beirut)
-
- Imam al-Syaukani (meninggal 1250 H) berkata: “Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban daripada pelbagai riwayat, kesemuanya adalah batil lagi palsu.” (Rujuk al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah, ms 72, Maktabah Mustafa Baz, Mekah)
-
- Dr Yusuf al-Qaradawi pula berkata: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam”. (Fatawa Mu`asarah,Dr Yusuf al-Qaradawi, 1/382-383, Dar Uli al-Nuha, Beirut)
-
- Kelebihan malam Nisfu Syaaban adalah sabit (dengan dalil) namun amalan khusus tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada dalil sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi. (Rujuk: muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1121-irsyad-al-hadith-siri-ke-70-kelebihan-malam-nisfu-sya-ban)
4- AWAS HADIS PALSU
Nabi SAW bersabda:
مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barang siapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak pernah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat Bukhari)
-
- Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis gemar mencipta hadis-hadis palsu berkaitan dengan fadilat-fadilat, seperti fadilat bulan-bulan tertentu, surah-surah tertentu dan seumpamanya. Mereka mengaitkannya dengan amalan-amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Berhubung dengan ini Imam Ibn al-Salah (meninggal 643 H) berkata: “Ada beberapa golongan yang mencipta hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini mencipta hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas kepercayaan dan kecenderungan terhadap mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah”. (Rujuk Ulum al-Hadis, Ibn al-Salah, hlm 99, Dar al-Fikr al-Mu`asir, Beirut).
5- HUKUM BERPUASA SELEPAS 15 SYAABAN
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,
إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ، فَلَا تَصُومُوا
“Jika sudah masuk pertengahan Syaaban, janganlah berpuasa.” (Riwayat Abu Daud, Tirmiz dan Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani)
-
- Imam al-Munawi berkata berhubung hadis ini:
أي يحرم عليكم ابتداء الصوم بلا سبب حتى يكون رمضان
“Maksud hadis, terlarang bagi kalian untuk memulai puasa tanpa sebab, sampai masuk bulan Ramadan” (Rujuk Faidhul Qadir, Imam al-Munawi, 1:304)
-
- Yang dimaksudkan “puasa tanpa sebab” adalah puasa sunah mutlak. Kerana itu, larangan dalam hadis ini tidak mencakupi puasa qadak bagi orang yang memiliki hutang puasa Ramadan. Bahkan kaum muslimin yang memiliki hutang puasa, dia wajib qadaknya sebelum datang Ramadan berikutnya. Inilah yang dilakukan oleh isteri Nabi SAW, iaitu Aisyah RA:
Berkata Aisyah RA:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ،
فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ الشغل من رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Dulu aku memiliki hutang puasa Ramadan, dan aku tidak mampu qadaknya sehingga sampai bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
-
- Disimpulkan seperti yang terdapat dalam fatwa Jabatan Mufti Brunei bahawa dalam mazhab Syafie hukum berpuasa selepas nisfu Syaaban adalah haram dan tidak sah. Pengharaman berpuasa itu tidaklah mutlak kerana ia mempunyai pengecualian iaitu (tidak dilarang melakukan) puasa qadak, puasa kafarah, puasa nazar, puasa yang sudah menjadi adat atau kebiasaan pelakunya, dan puasa sunat yang disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari sebelum pertengahan Syaaban. Bagi ulama yang menganggap hadis ini lemah, mereka tidak mengamalkan kandungannya. Bagi mereka, tidak ada larangan untuk berpuasa pada pertengahan Syaaban sama ada dia telah memulainya sejak awal bulan ataupun tidak. Inilah pendapat sebahagian ulama termasuk Imam Ahmad, pengasas mazhab Hanbali. (Rujuk mufti.terengganu.gov.my/index.php/perkhidmatan/unit-fatwa/kemusykilan-agama-islam/ibadat/370-puasa-pertengahan-sya-ban)
TAFSIR-TADABBUR SURAH AL-FATIHAH
Surah al-Fatihah mengandungi tujuh ayat. Berkata Hamka, “Fatihah ertinya pembukaan. Surah ini juga dinamai dengan Fatihah al-Kitab, yang bererti pembukaan kitab, karena kitab al-Quran dimulai atau dibuka dengan surah ini. Ia yang
TAFSIR-TADABBUR SURAH AL-BAQARAH
PENDAHULUAN OLEH DATO’ DR DANIAL ZAINAL ABIDIN (SEJARAH KELAS TAFSIR DATO DR DANIAL) Syukur kepada Allah kerana mengizinkan penghasilan usaha yang kerdil ini. Usaha ini memanfaatkan ilmu dan penjelasan yang
JUMLAH KESELURUHAN AYAT AL-QURAN
JUMLAH JUZUK, SURAH DAN AYAT-AYAT AL-QURAN Al-Quran merupakan Kalam Allah dan Kitab Allah yang terakhir, diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW. Penurunannya memakan masa lebih kurang 23 tahun, iaitu 13

DEFINISI AL-QURAN
DEFINISI AL-QURAN Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di sudut bahasa, al-Quran berasal daripada kalimat Arab qara-a yang bermaksud ‘bacaan’. Allah SWT berfirman: وَكَذَٰلِكَ أَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ