Kelebihan Bulan Rejab.
Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Ia merupakan bulan ke tujuh daripada tahun Hijri dan merupakan bulan haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan dalamnya. Nabi SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” (Bukhari hadis 4054)
Syeikh Mustafa al-Bugho berkata, perkataan Mudhor ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain. (Rujuk: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2354-irsyad-al-hadith-siri-ke-261-ganjaran-bulan-rejab)
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya telah menukil pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan-bulan Haram, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Demikian juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahalanya) berbanding dilakukan pada bulan-bulan yang lain. (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)
Justeru, bulan Rejab adalah satu bulan yang mulia disebabkan ia adalah salah satu daripada bulan-bulan haram.
Hadis-hadis Palsu Tentang Rejab
- “Dalam bulan Rejab terdapat satu hari dan malam yang mana sesiapa berpuasa pada hari tersebut dan mendirikan malamnya (qiamullail) adalah seperti seseorang yang berpuasa selama 100 tahun dan berqiamullail selama 100 tahun. Hari tersebut adalah 3 hari terakhir daripada bulan Rejab dan padanya juga dibangkitkan Muhammad SAW.” (Hadis ini adalah mungkar sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa hadis ini teramat munkar, rujuk: Tabyin al-‘Ajab, 31)
- “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku.” (Hadis ini bertaraf palsu, disebutkannya oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhu’at, al-Suyuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Mawdu’ah, al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah dan Ibn Hajar dalam Tabyin al-‘Ajab.)
- “Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan yang agung, barang siapa berpuasa satu hari di dalamnya, Allah mencatat baginya berpuasa 1,000 tahun. Sesiapa berpuasa dua hari, Allah mencatat baginya berpuasa 2,000 tahun. Sesiapa berpuasa tiga hari, Allah mencatat baginya berpuasa 3,000 tahun. Sesiapa berpuasa tujuh hari, ditutup pintu neraka jahanam baginya. Sesiapa berpuasa 8 hari, dibukakan 8 pintu syurga baginya, dan dia bebas memasuki dari pintu mana sahaja. Sesiapa berpuasa 15 hari, keburukan-keburukannya diganti dengan kebaikan-kebaikan, dan Allah mengampuni dosa yang telah berlalu. Maka mulailah mengerjakannya. Sesiapa yang menambahnya, Allah juga akan menambahkannya”. (Imam Ibn Hajar al-Asqalânî dalam Tabyîn al-‘Ajâb dengan tegas berkata ‘huwa hadîth maudhû’ la syakka fîhi’ (iaitu, hadis itu palsu tidak diragukan lagi)
- “Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barang siapa berpuasa sehari sahaja dalam bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut”. (Hadis ini batil menurut Imam az-Zahabi, rujuk Mizan al-Mu’tadil, 189/4)
- Salah satu amalan yang popular di bulan Rejab ialah melaksanakan solat sunat raghaib. Solat ini dilakukan berdasarkan kepada sebuah hadis palsu, iaitu: “Rejab itu bulan Allah, Syaaban bulan aku, dan Ramadan bulan umatku… Dan tidak seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat di antara waktu Maghrib dan ‘Atamah (iaitu waktu sepertiga awal malam), dan dilakukannya pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, dia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian dia membaca: ‘Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi’, kemudian dia sujud dan membaca: ‘Subbhuhun Quddusun Rabbul Malaikatu war Ruh’ sebanyak 70 kali, kemudian dia angkat kepalanya dan kemudian membaca: ‘Rabbighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’zam sebanyak 70 kali…’ Bersabda Rasulullah s.a.w lagi: ‘Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekalian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan dia akan dapat memberi syafaat pada hari Kiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya’.” (Imam Ibn Jauzi berkata: “Hadis ini adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW. Dalamnya terdapat seorang perawi yang bernama Ibn Jahdam yang terkenal dengan dusta. Al-Imam al-Syaukani menyebutkan dalam al-Fawaid al-Majmu‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: “Hadis ini adalah mauduk.. dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulama bahawa ia adalah mauduk”)
Berhubung solat raghaib ini, Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah bidaah yang ditegah, antara bidaah-bidaah yang sesat.. Allah memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bidaah ini, serta dalil tentang kejelikan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung”. (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211)
Imam al-Nawawi juga telah berkata dalam kitabnya yang masyhur al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: “Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat, kedua-dua solat ini adalah bidaah lagi mungkar yang jelik. Jangan kamu terpengaruh disebabkan kedua-duanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya Ulumuddin. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan.”
Demikian juga disebutkan oleh Imam Sayuti: “Ketahuilah, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) merupakan perkara baharu yang wujud dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya dengan hadis yang palsu dengan kesepakatan ulama.. Mereka menamakannya solat Raghaib.” (Imam Sayuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ 52, Beirut, Dar al-Fikr)
Rumusan Hadis-hadis Tentang Kelebihan Rejab
- Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Tidak ada disebut di dalam hadis yang sahih (yang boleh dibuat hujah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya (secara khusus) dan solat yang khusus”. (Tabyin al-‘Ajab, 9)
- Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Setiap hadis yang menyebut berkaitan puasa (khusus) di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka”. (al-Manar al-Munif fi Sahih wa Daif, 96)
- Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang daif. Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat daif”. (al-Sail al-Jarrar, 297)
Kesimpulan
- Begitu ramai ulama muktabar yang menegaskan tentang tidak wujud sebarang dalil yang boleh dijadikan sandaran berhubung amalan-amalan khusus, seperti puasa dan solat, yang dikhaskan untuk bulan Rejab. Sewajarnya kita tidak memandang enteng tentang perkara ini.
- Namun seperkara yang istimewa tentang bulan Rejab ialah ia adalah bulan haram. Keistimewaan beribadah secara umum dalam bulan haram memang wujud seperti mana yang disebutkan oleh sahabat Abdullah ibn Abbas RA, bahawa gandaan pahala menanti mereka yang tekun beribadah dalamnya.
- Mari kita manfaatkan rumusan yang di buat oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli al-Bakri dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-47. Beliau berkata: “Setelah kami melihat dan menekuni pendapat para ulama dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadis-hadis yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedekah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beriktikad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu. Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain. (Rujuk: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1168-irsyad-al-hadith-siri-ke-47-kelebihan-dan-amalan-dalam-bulan-rejab)
Amaran
Menyebarkan hadis palsu merupakan satu perbuatan yang keji dalam Islam kerana hadis palsu bukan sabda Nabi SAW. Ia pendustaan menggunakan nama Nabi SAW. Nabi SAW bersabda:
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ
“Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana dia yang berdusta di atas namaku tempatnya adalah neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Susunan / Nukilan:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
14/2/2023
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
