(Halaman ini membicarakan tentang al-Quran, ilmu Ulum al-Quran serta tafsir ayat-ayat al-Quran, merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar).
Al-Quran merupakan kitab terakhir yang diturunkan Allah di dunia ini. Sebelum al-Quran telah wujud lembaran-lembaran suhuf yang Allah turunkan kepada pelbagai Rasul, seperti Suhuf Nabi Ibrahim, di samping diturunkan kitab-kitab yang lebih tebal lagi terperinci. Antara kitab itu ialah Injil (ke atas Nabi Isa SAW), Taurat (ke atas Nabi Musa SAW), Zabur (ke atas Nabi Daud SAW) dan al-Quran (ke atas Nabi Muhammad SAW). Berbeza dengan al-Quran, kitab-kitab sebelum al-Quran diturunkan secara sekali gus kepada Rasul-rasul (rujuk Tafsir Ibn Kathir, tafsir surah an-Nisak ayat 136).
Namun Al-Quran yang merupakan wahyu yang diturunkan Allah lebih empat belas abad yang lalu, diturunkan berperingkat-peringkat. Penurunannya, melalui malaikat Jibril, memakan masa lebih kurang 23 tahun (13 tahun sebelum hijrah, dan 10 tahun selepas hijrah ke Madinah). Ia merupakan mukjizat teragung yang diturunkan ke atas Nabi SAW. Kekaguman tentangnya tidak pernah terhenti.
Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar bedah dari Perancis pernah berkata: “Sebenarnya terdapat kenyataan-kenyataan berkaitan manusia dalam al-Quran yang mengagumkan. Kewujudannya (dalam al-Quran) tidak mampu diterangkan jika kita mengambil kira tahap ilmu (masyarakat) ketika itu. Di barat, kenyataan seumpama itu tidak pernah menjadi subjek perbincangan secara saintifik sehingga tanggal 9 November, 1976. Ketika itu saya membentangkan kepada French National Academy of Medicine data berkaitan (ilmu) fisiologi dan embriologi yang terdapat dalam al-Quran, yang diturunkan 14 abad dahulu, yang mendahului penemuan semasa.” (Dalam : What is the Origin of Man? oleh Dr Maurice Bucaille, terjemahan dari bahasa Perancis oleh Alastair D. Pannel, New Delhi, 1983)
Seorang lagi tokoh yang mengagumi al-Quran ialah Dr. Gary Miller, seorang pakar matematik dari Toronto, Kanada. Beliau mendalami ilmu ketuhanan agama Kristian. Namun pada tahun 1978 beliau berkesempatan mengkaji al-Quran dan kajian itu merangsangnya untuk memeluk Islam. Beliau telah menghasilkan sebuah buku bertajuk The Amazing Quran (Quran yang Menakjubkan). Beliau berkata, “Seperkara yang mengejutkan golongan bukan Islam selepas mereka mengkaji Al-Quran ialah, ia tidak seperti yang mereka jangkakan. Bagi mereka al-Quran adalah sebuah kitab tua yang datang dari bumi padang pasir Arab dan berumur lebih kurang 14 abad. Mereka menjangkakan isi-isinya pasti juga tua lagi kuno seperti umurnya. Sebahagian daripada mereka pula menjangkakan, kerana al-Quran datang dari bumi padang pasir, maka pasti banyak ceritanya mengenai suasana padang pasir. Tiba-tiba mereka menyedari ia tidak seperti itu. Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya. Malah Al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains.” (The Amazing Quran, by Dr Gary Miller, edited by www.islamhouse.com)
Oleh:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
10/1/2023
* Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
TAFSIR-TADABBUR SURAH AL-FATIHAH
Surah al-Fatihah mengandungi tujuh ayat. Berkata Hamka, “Fatihah ertinya pembukaan. Surah ini juga dinamai dengan Fatihah al-Kitab, yang bererti pembukaan kitab, karena kitab al-Quran dimulai atau dibuka dengan surah ini. Ia yang
TAFSIR-TADABBUR SURAH AL-BAQARAH
PENDAHULUAN OLEH DATO’ DR DANIAL ZAINAL ABIDIN (SEJARAH KELAS TAFSIR DATO DR DANIAL) Syukur kepada Allah kerana mengizinkan penghasilan usaha yang kerdil ini. Usaha ini memanfaatkan ilmu dan penjelasan yang
JUMLAH KESELURUHAN AYAT AL-QURAN
JUMLAH JUZUK, SURAH DAN AYAT-AYAT AL-QURAN Al-Quran merupakan Kalam Allah dan Kitab Allah yang terakhir, diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW. Penurunannya memakan masa lebih kurang 23 tahun, iaitu 13

DEFINISI AL-QURAN
DEFINISI AL-QURAN Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di sudut bahasa, al-Quran berasal daripada kalimat Arab qara-a yang bermaksud ‘bacaan’. Allah SWT berfirman: وَكَذَٰلِكَ أَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ