DEFINISI AL-QURAN
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di sudut bahasa, al-Quran berasal daripada kalimat Arab qara-a yang bermaksud ‘bacaan’. Allah SWT berfirman:
وَكَذَٰلِكَ أَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَمَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا وَاقٍ
“Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Quran itu sebagai peraturan (yang benar) dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksa) Allah.” (ar-Ra’d 13:37)
§ IMAM AL-GHAZALI mendefinisikan al-Quran sebagai:
“Kitab yang diturunkan ke atas Rasulullah SAW, yang tertulis di dalam mashaf, dinukilkan kepada kita daripada Baginda SAW secara mutawatir tanpa ada sebarang keraguan.” (rujuk al-Mustasfa min Ilm al-Usul, 1/65)
§ DR. SUBHI SALIH pula mengatakan al-Quran merupakan:
“Kalam Allah berbentuk mukjizat, yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dan ia ditulis di atas mashaf melalui riwayat yang mutawatir (iaitu riwayat yang amat banyak tanpa keraguan), dan membacanya merupakan ibadah”. (rujuk al-Quran Dan Terjemahnya, terbitan Mujamma al-Malik Fahd Li Thiba’at al-Mushhaf, Madinah)
Di sudut istilah, mukjizat bermaksud ‘sesuatu yang luar biasa yang terjadi pada diri Nabi atau Rasul yang tidak dapat ditiru oleh sesiapa, untuk membuktikan bahawa dirinya adalah Nabi atau Rasul Utusan Allah’.
Mutawatir pula bermaksud, ‘sesuatu riwayat yang diriwayatkan oleh ramai periwayat yang dipercayai, yang menurut kebiasaannya dengan jumlah itu tidak mungkin mereka bersekongkol atau bersepakat untuk melakukan dusta. Jumlah periwayat yang ramai ini wujud di semua peringkat / tingkatan sanad (dari awal hingga ke akhir sanad)’. Justeru, sesuatu riwayat yang sampai kepada kita dalam bentuk yang mutawatir tidak diragui lagi tentang kebenarannya.
Oleh:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
10/1/2023
* Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
