DEFINISI PUASA:
-
- Puasa dalam bahasa Arab ialah الصَّوْمُ (as-saum). Ia memiliki beberapa pengertian, antaranya ialah menahan diri daripada sesuatu, mencegah atau meninggalkan sesuatu. Imam Qartubi berkata: “As-saum (puasa) di sudut syarak ialah, menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa berserta dengan niatnya, bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Kesempurnaannya ialah dengan menjauhi perkara yang dilarang dan tidak melakukan perkara yang haram (ketika berpuasa)”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/650)
-
- Berkata Imam Ibn Kathir: “(Puasa ialah) menahan diri daripada makan, minum serta persetubuhan, dengan niat ikhlas karena Allah SWT. Sesungguhnya puasa mengandungi hikmat dalam konteks membersihkan dan menyucikan jiwa, serta membebaskannya daripada kebiasaan-kebiasaan yang buruk dan akhlak yang hina”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/576)
KATEGORI-KATEGORI PUASA:
-
- Secara dasarnya terdapat dua jenis puasa iaitu, puasa fardu dan puasa sunat. Puasa fardu pula mempunyai tiga jenis, iaitu, puasa Ramadan, puasa kafarah dan puasa nazar.
SEJARAH:
-
- Kewajipan berpuasa di musim Ramadan bermula pada tahun ke-2 selepas hijrah Nabi. Ia berdasarkan surah al-Baqarah 2:183: “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa”.
-
- Sebelum Ramadan, umat Islam berpuasa Asyura. Aisyah RA (isteri Nabi SAW) berkata, “Dahulu puasa Asyura diwajibkan dan setelah turunnya perintah berpuasa di bulan Ramadan maka sesiapa yang ingin melaksanakan puasa Asyura hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang ingin berbuka maka berbukalah”. (Riwayat Bukhari-Muslim)
-
- Aisyah RA juga telah berkata: “Sesungguhnya orang-orang Quraisy dulu pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah SAW pun memerintahkan untuk berpuasa pada hari itu sehingga turunnya perintah wajib puasa Ramadhan, dan Rasulullah (ketika itu) telah berkata: ‘Barang siapa menghendaki maka dia boleh berpuasa Asyura sedangkan yang tidak mahu berpuasa maka tidak mengapa’.” (Riwayat Bukhari-Muslim)
-
- Sebahagian ulama mengatakan bahawa puasa yang diwajibkan sebelum Ramadan ialah puasa tiga hari pada setiap bulan di samping puasa Asyura. Puasa ini kemudian dibatalkan kewajipannya setelah turunnya kewajipan puasa Ramadhan. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/652)
MENGGAPAI TAKWA:
-
- Tujuan berpuasa adalah untuk mengejar takwa, berdasarkan ayat 183 dalam surah Al-Baqarah, “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah 2:183)
-
- Sahabat Abdullah ibn Masud mengatakan bahawa takwa yang sebenarnya ialah, ‘kamu taat dan tidak maksiat, kamu ingat dan tidak lupa serta kamu bersyukur dan tidak kufur’.
-
- Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsir al-Quran al-Azim, “Ketakwaan dapat dicapai kerana puasa menyucikan diri dengan menyempitkan jalan syaitan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Nabi bersabda, ‘Wahai pemuda barang siapa antara kamu sudah mampu untuk bernikah maka hendaklah dia bernikah. Sesiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pengawal nafsu’.”
SYARAT:
-
- Syarat sahnya ialah: 1- Islam. 2- Berakal atau mumaiyiz (mampu membezakan perkara yang bermanfaat atau sebaliknya), dan tidak sah puasa orang yang gila serta kanak-kanak yang belum mumaiyiz. 3- Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti kedatangan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.
-
- Mereka yang tidak berpuasa di musim Ramadan tanpa keuzuran, mereka berdosa besar. Nabi bersabda, “Barang siapa berbuka tanpa uzur di bulan Ramadan, maka dia tidak mampu menggantikan kerugian hasil dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun dia berpuasa selama-lamanya selepas itu”. Hadis diriwayatkan Abu Daud dan Ibn Majah.
RUKUN:
-
- Niat untuk berpuasa. Niat hendaklah dilakukan pada setiap malam untuk setiap hari puasa yang dilakukan. Ini berdasarkan pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan riwayat paling sahih daripada Imam Ahmad.Mengikut pendapat Imam Malik, cukup sekali niat sahaja untuk satu bulan Ramadan dan hendaklah niat itu dilakukan pada malam pertama Ramadan. Dalam Zain al-Thalib disebutkan: “Harus kita bertaklid mazhab Maliki dalam perkara ini.”
-
- Menahan diri daripada perkara yang membatalkannya bermula terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Antara perkara yang wajib dijauhi ialah yang berkaitan dengan pengambilan makanan dan minuman, serta memuaskan nafsu seks.
-
- Tambahan daripada itu perbuatan-perbuatan keji seperti maki hamun, mengumpat, memfitnah dan yang seumpamanya hendaklah dijauhi. Nabi bersabda, “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji tatkala berpuasa, maka Allah tidak berhajat dia meninggalkan makanan dan minumannya”. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.
-
- Berhubung dengan ini Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin berkata, “Puasa mempunyai tiga tingkat. Tingkat yang terendah, iaitu puasa umum, ialah puasa yang hanya menekankan tentang kepentingan menjauhi perbuatan-perbuatan zahir yang boleh membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Tingkat yang kedua dikenali sebagai puasa khusus. Mereka yang berada pada makam ini, tidak hanya meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, mereka juga menjauhkan diri daripada perkataan, pendengaran, penglihatan serta tindak-tanduk yang boleh mencacat pahala puasa. Tingkat yang tertinggi ialah puasa golongan khusus daripada yang khusus. Puasa ini juga dikenali sebagai puasa hati kerana mereka yang berada di makam ini, banyak berzikir kepada Allah serta sentiasa mengawal hati mereka daripada dicerobohi cita-cita dan kehendak duniawi yang memperdayakan”.
SUNAT:
-
- Beberapa amalan sunat tidak wajar dipinggirkan:
-
- Memperbanyakkan doa. Nabi bersabda, “Tiga yang tidak ditolak doa mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi”. Hadis ini diriwayatkan Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah. Dalam hadis yang lain Nabi bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa waktu berbukanya adalah waktu doa yang tidak ditolak”. Hadis diriwayatkan Ibn Majah bertaraf sahih.
-
- Memperbanyakkan tilawah al-Quran. Abdullah ibn Abbas meriwayatkan, “Jibrail menemui Nabi setiap malam di musim Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Ketika ditemui Jibrail Baginda lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus”.
-
- Memperbanyakkan sedekah. Anas bin malik meriwayatkan, Nabi ditanya, “Sedekah manakah yang lebih utama?” Baginda menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan”. Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi.
-
- Menunaikan solat sunat tarawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita Nabi bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.
-
- Aishah berkata: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah menunaikan solat sama ada di bulan Ramadan atau bulan lainnya melebihi dari 11 rakaat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Berapakah jumlah rakaat tarawih? Menurut Imam Malik, amalan di Madinah ialah bersolat tarawih 36 rakaat bersama 3 rakaat witir. Amalan di Mekah ialah 20 rakaat dan witir 3 rakaat (Fath al-Bari, 4/235). Menurut mazhab asy-Syafi’i 20 rakaat dengan 10 kali salam (al-Majmu’ 4:32).
BEBERAPA HUKUM:
-
- Disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:
-
- BEKAM: Hadis pembatalan puasa dengan berbekam adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan Imam Abu Daud dan Ibn Majah. Namun Imam Nawawi mengatakan hukum yang terdapat dalam hadis ini telah batal (nasakh) berdasarkan hadis Bukhari daripada Ibn Abbas yang mengatakan Nabi berbekam ketika berpuasa. Hal ini disebabkan hadis Ibn Abbas disabdakan Nabi pada waktu Haji Widak sekali gus terkemudian daripada hadis yang mengatakan batal puasa kerana berbekam.
-
- MASUKKAN ALAT KE DALAM RONGGA UNTUK PEMERIKSAAN KESIHATAN: Syeikh `Atiyyah Saqr, mantan pengerusi Jawatankuasa Fatwa al-Azhar mengatakan puasa pesakit tidak batal kerana ia bukan sesuatu yang mengenyangkan (www.islamonline.net). Pendapat yang sama diutarakan oleh Dr Md Uqlah dalam Ahkam as-Siyam. Namun andai kata seseorang wanita atau lelaki memasukkan sesuatu ke dalam dubur atau kemaluannya dengan tujuan merangsang nafsu syahwat perbuatan itu membatalkan puasanya.
-
- MENGGUNAKAN PIL ELAK HAID: Mengikut mantan pengerusi Majlis Syariah UK, Syeikh Syed Mutawalli ad-Darsh, kebanyakan ulama berpendapat ia adalah diharuskan jika bertujuan untuk berpuasa dan melaksanakan ibadah di bulan Ramadan. Dalam Fatawa Muasirat Dr Yusuf Qardawi mengatakan, “Secara peribadi saya lebih suka jika persoalan ini dikembalikan menurut fitrah (tanpa penggunaan ubat)… Namun jika terdapat ubat yang boleh digunakan oleh wanita untuk menangguhkan kedatangan haidnya, itu boleh dilakukan, namun dengan satu syarat. Hendaklah mereka yakin yang tablet itu tidak merbahaya”.
-
- HUKUM PENGAMBILAN DARAH: Dalam Fiqhus Sunnah oleh Syed Sabiq pengambilan darah di musim Ramadan adalah diharuskan dikiaskan dengan keharusan berbekam. Mengikut Syeikh Abdul Aziz Ibn Baz, pengambilan darah untuk pemeriksaan kesihatan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa (Fatawa Ramadan, jil. 2, hal. 465, Fatwa No.400).
-
- MENERIMA SUNTIKAN SERTA MEMASUKAN UBAT KE DALAM RONGGA: Dalam Fiqhus Sunnah oleh Syed Sabiq, menerima suntikan adalah diharuskan pada bulan Ramadan tidak kira sama ada melalui otot (intra-muscular), pembuluh darah (intra-venous), kulit (subcutaneous) dan yang seumpamanya disebabkan jalan kemasukan ubat itu tidak melalui jalan biasa, iaitu melalui mulut. Dalam Fatawa Muasirat Dr Yusuf Qardawi mengatakan, “Sudah jelas bagi kita bahawa suntikan dengan pelbagai cara serta penggunaan ubat sisip (suppository), semuanya bukannya makan dan minum.. Maksud ketetapan syariat mengenai puasa amat jelas iaitu, tidak makan, tidak minum di samping meninggalkan nafsu syahwat. Justeru tidak perlu menyusahkan pengertian puasa dengan menokok tambah perkara-perkara yang Allah sendiri tidak nyatakan”. Namun Syeikh Ibn Jibreen memberi amaran, jika suntikan itu mengandungi bahan-bahan makanan yang menyegarkan pesakit (nutritional), maka puasanya dihukum batal (Fatawa Ramadan, jil. 2, hal. 485, Fatwa No. 433).
-
- PENGGUNAAN ALAT SEDUT GAS UNTUK ASMA: Terdapat perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama berkaitan persoalan ini. Dr. Muzammil Siddiqi, mantan presiden ISNA serta ahli jawatankuasa Majlis Fikah Amerika Utara, berpendapat ia tidak membatalkan puasa kerana ia bukan minuman atau makanan yang ditelan sebaliknya hanya merupakan wap. Pendapat ini selari dengan pendapat Syeikh Abdul Aziz Ibn Baz yang mengatakan penggunaan ubat sedut adalah diharuskan di saat keperluan. Fatwa-fatwa ini dilaporkan di www.islamonline.net.
-
- IMAANAN WAHTISAABAN :
من صام رمضان إيمانا واحتسابا ، غفر له ما تقدم من ذنبه
“Orang yang puasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari-Muslim) Justeru, mari berpuasa sebaik mungkin demi ganjaran Ilahi yang tidak terhingga.
Susunan / Nukilan:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
21/3/2023, 28 Syaaban 1444
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.