Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

Profil

Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang (Malaysia). Berkelulusan dalam bidang Perubatan Moden (M.B.Ch.B.) dari Universiti Iskandariah, Mesir. Berguru tentang agama Islam dengan beberapa orang ulama di Mesir. Merupakan seorang pengamal perubatan di Klinik Syifa (Swasta) di Gelugor, Pulau Pinang, dan Pengarah Urusan kepada syarikat Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd.  Juga merupakan seorang penulis 14 buku agama, sains dan motivasi, serta seorang pakar motivasi dan penceramah bebas di Malaysia. Sering dijemput sebagai penceramah serta pembentang kertas kerja di pelbagai korporat, institusi, universiti dan sebagainya di Malaysia, Singapura, Brunei, Australia dan Amerika. Menjadi Panelis Utama rancangan Halaqah TV3 sejak tahun 2016. Juga mengendalikan siri Al-Quran, Sains dan Kiamat (ASK) di Astro Oasis. Penggubal KURIKULUM KEFAHAMAN AL-QURAN bagi Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Panel penasihat PUSAT ULUL ALBAB, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Di samping itu merupakan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Dikurniakan anugerah Tokoh Pendakwah Unggul oleh PERKIM Kebangsaan pada tahun 2019. Mengendalikan kelas Tafsir serta Tadabbur Al-Quran Kontemporari secara langsung setiap Ahad jam 3.00 petang.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Jelutong, Pulau Pinang. Selepas mendapat gred satu dalam peperiksaan MCE beliau memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Penang Free sebelum ke Universiti Iskandariah, Mesir, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan moden. Di Mesir beliau menjadi Presiden Kelab Pelajar-Pelajar Malaysia di Iskandariah pada tahun 1975. 

Beliau pernah pakar motivasi undangan di Mutiara FM, Pulau Pinang, mengendalikan slot Rangsang Minda, Motivasi Mutiara dan Islam Moden pada tahun 1990-an. Juga pernah menyampaikan motivasi secara berkala di Perlis FM dan Perak FM sebelum ini.

Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan bergiat cergas dalam pertubuhan dakwah dan kebajikan. Menjadi penasihat bagi Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) bermula tahun 2005. Menjadi Yang Di Pertua Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang, dari tahun 1992-2001. Dari tahun 1996-2000 pula beliau menyandang tugas sebagai Pengerusi Kariah di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Dalam bidang penulisan, beliau merupakan kolumnis tetap ruangan Islam dan Sains bagi Majalah-i (Karangkraf), dan Kosmik (Dewan Bahasa dan Pustaka) antara tahun 2001-2010. Buku-buku yang telah beliau hasilkan setakat ini berjumlah empat belas buah, antaranya, Konsep Perubatan Islam, Islam The Misunderstood Religion, Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, Kit Kombat Islam, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W., Empayar Minda Muslim, 7 Formula Individu Cemerlang, Tip-tip Cemerlang Daripada Quran dan Quran Saintifik, Ulul Albab dan The Power of Al-Quran. Sebahagian daripada buku-buku ini telah mencapai status terlaris atau bestseller di Malaysia. Buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden pula menjadi Finalis dalam Anugerah Media Islam (AMIN) bagi tahun 2006. Setakat ini empat buah buku beliau telah dilesenkan untuk pasaran di Indonesia, iaitu, Empayar Minda Muslim, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, 7 Formula Individu Cemerlang dan Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran.

Beliau dikurniakan dengan lapan orang cahaya mata. Anak pertama beliau memperoleh ijazah dalam bidang Bio-Teknologi, anak kedua dalam bidang Kimia Analisis, anak ketiga dalam bidang Teknologi Persekitaran, anak keempat dalam bidang Perubatan, anak kelima dalam bidang Psikologi, anak keenam dalam bidang IT, anak ketujuh dalam bidang Kejuruteraan Polimer dan yang kelapan dalam bidang Komputer