Menjadi insan kelainan upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang perlu disedihkan. Sebenarnya mereka (termasuk golongan yang diuji dengan cacat penglihatan) seringkali memiliki keistimewaan lain yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. yang tidak disedari oleh orang lain.
Sebagai contoh, di majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H / 2020M, johan bagi kategori lelaki telah disandang oleh Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang mewakili Kelantan. Hal ini diumumkan menerusi siaran langsung di saluran Rancangan Televisyen Malaysia (RTM). Beliau adalah seorang OKU yang cacat penglihatan. Sebelum ke peringkat kebangsaan, Qayyim telah menjadi johan sebanyak 3 kali di peringkat negeri iaitu pada tahun 2017, 2019 dan juga 2020.
Dalam proses untuk mengusai al-Quran, beliau (dan mereka yang seumpama beliau) memanfaatkan al-Quran Braille.
APA ITU AL-QURAN BRAILLE?
Huruf Braille adalah sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh golongan tunanetra (golongan yang cacat penglihatan). Sistem ini diciptakan oleh orang Perancis bernama Louis Braille yang mengalami buta saat berusia tiga tahun.
Braille merupakan sistem tulisan berasaskan sentuhan yang paling meluas digunakan oleh masyarakat dunia pada hari ini. Ia merupakan tulisan berasaskan penggunaan titik timbul bagi menggantikan huruf dan nombor yang dikenali sebagai kod Braille. (Rujuk Pengajaran Al-Quran Braille: Isu Dan Cabaran Semasa oleh Hj. Norakyairee Hj. Mohd Raus et. al dalam International Journal on Quranic Research (IJQR), hlm. 82-83)
Al-Quran Braille ialah mashaf al-Quran Braille yang menggunakan asas kod Braille Bahasa Arab. Kod ini mewakili huruf-huruf hijaiyyah di samping tanda baris seperti fathah, dammah, dan kasrah serta simbol-simbol seperti shaddah, sukun dan mad. (Rujuk Metode Pengajian Braille Al-Quran oleh Ahmad Kamel et al. 2009)
Di Malaysia, al-Quran Braille disemak dan diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merangkumi 30 juzuk al-Quran dalam Mashaf Uthmani. Lujnah al-Quran Jawatankuasa Penyemakan di JAKIM akan melakukan semakan bagi memastikan tidak terdapat kesilapan di dalam penyusunan ayat-ayat al-Quran, huruf-huruf, tanda-tanda bacaan dan seumpamanya.
HUKUM MASHAF BRAILLE
Mashaf al-Quran Braille, walaupun ditulis dengan menggunakan tulisan berasaskan penggunaan titik timbul (kod Braille), ia tetap dihukumkan sebagai mashaf.
Imam Ramli pernah ditanya tentang al-Quran yang ditulis bukan dalam bahasa Arab:
فَائِدَةٌ: سُئِلَ الشِّهَابُ الرَّمْلِي: هَلْ تَحْرُمُ كِتَابَةُ القُرْآنِ العَزِيزِ بِالْقَلِمِ الهِنْدِيِّ أَوْ غَيْرِهِ؟ فَأَجَابَ: بِأَنَّهُ لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهَا دَالَّةُ عَلَى لَفْظِهِ العَزِيْزِ وَلَيْسَ فِيْهَا تَغْيِيْرٌ لَهُ بِخِلَافِ تَرْجَمَتِهِ بِغَيْرِ العَرَبِيَّةِ؛ لِأنَّ فِيْهَا تَغْيِيْرًا
Imam Ramli ditanya: “Apakah menulis al-Quran menggunakan huruf Hindi atau huruf lainnya hukumnya haram? Jawapan beliau: “Tidak haram sebab tulisan tersebut menunjukkan kepada lafaz al-Quran yang mulia tanpa sebarang perubahan.” (Rujuk Fatawa al-Ramli, 1/23)
Demikianlah juga pendapat Imam Zakariya al-Anshari:
فرعٌ: يجوزُ كتَابَةُ الْقُرآنِ بِغيرِ الْعَرَبِيَّةِ، وَلَهَا حُكْمُ الْمُصْحَفِ فِي الْمَسِّ وَالْحَمْلِ، دُونَ قِرَاءَتِه
“Boleh menulis al-Quran selain bahasa Arab, serta berlaku baginya hukum mashaf dalam hal menyentuh, membawa. Namun tidak dengan membacanya.” (Rujuk al-Gharar al-Bahiyah syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 1/148)
Dalam kitab Tuhfah al-Habib dijelaskan, “Boleh menulis al-Quran dalam bahasa selain bahasa Arab. Akan tetapi pembacaannya hendaklah sama dengan bahasa Arab. Maksudnya tidak boleh membaca melainkan mengikut bahasa Arab”. (Rujuk Tuhfah al-Habib Juz 1 hal. 304)
Inilah pendapat yang dipilih oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989, dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H, iaitu haram menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab kecuali untuk tujuan menarik orang membaca al-Quran dan tujuan pembelajaran (تعليم) dalam jangka masa sementara. Namun, tulisan itu mestilah berpandukan penulisan akademik (petikan / frasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul, serta mengikut kaedah yang standard. Selain itu, teks / nas al-Quran juga hendaklah disertakan.
KESIMPULAN
Mashaf al-Quran yang ditulis dengan tulisan Braille (bukan Arab) dihukum sebagai mashaf al-Quran, dan diberikan penghormatan yang sama seperti mashaf al-Quran yang ditulis dalam bahasa Arab.
Walaupun huruf al-Quran Braille adalah berdasarkan titik-titik (bukan menggunakan huruf bahasa Arab), namun penghasilannya adalah diharuskan kerana keperluan. Tambahan daripada itu, apabila ia dibaca oleh golongan yang cacat penglihatan, bacaannya adalah sama seperti orang yang dapat melihat dan membaca mashaf secara biasa. Justeru, al-Quran Braille wajib dijaga dan dimuliakan sebagai mana mashaf al-Quran yang lain.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
