Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

HUKUM MEMBACA AL-QURAN KETIKA HAID

Mereka yang berhadas (termasuk wanita yang mengalami haid dan nifas) dilarang daripada melakukan ibadat-ibadat tertentu. Imam Ibn Hajar al-Haitami, salah seorang ulama mazhab Syafie berkata:

ويحرم بالحدث الصلاة إجماعا ونحوها كسجدة تلاوة وشكر وخطبة جمعة وصلاة جنازة. والطواف, ولو نفلا لأنه صلاة كما في الحديث ،وحمل المصحف ومس ورقه وحواشيه وجلده المتصل به

“Haram ketika sedang berhadas melakukan solat secara ijmak, dan hal yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat, solat jenazah, tawaf sekalipun sunnah.. dan (haram) membawa mashaf, menyentuh kertasnya, hasyiyahnya serta sampulnya yang berhubungan dengan mashaf”. (Rujuk al-Minhaj al-Qawim, Imam Ibn Hajar al-Haitami)

Dalam konteks wanita yang haid, walaupun sebahagian ibadat tidak boleh mereka lakukan, namun tidak ada larangan untuk melakukan ibadat yang lain. Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah zikir, doa selawat, istighfar, mendengar bacaan melalui aplikasi al-Quran, mengikuti ceramah agama, mengikuti program tadabbur al-Quran, bersedekah, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, dan banyak lagi.

Namun timbul satu persoalan, iaitu, bolehkan seorang wanita yang haid membaca al-Quran?

HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN

Dalam masalah ini, terdapat dua pandangan dari kalangan para ilmuwan dan ulama Islam

Pendapat Pertama : Hukumnya Haram.

Inilah pendapat jumhur ulama fikah (fuqaha’). Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam keadaan haid dan ketika sedang berjunub.

Imam Nawawi berkata: “Dalam mazhab kami (Syafiiyyah), mereka yang dalam keadaan junub dan wanita yang haid diharamkan daripada membaca al-Quran, baik sedikit atau pun banyak, atau hanya sebahagian daripada ayat sahaja.” (al-Majmuk Syarh al-Muhazzab).

Antara sandaran yang digunakan ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA:

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

“Tidak  dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau pun sedikit daripada al-Quran.” (Riwayat Tirmizi)

Sebahagian ulama memandang baik hadis ini untuk dijadikan sumber hukum. Namun sebahagian yang lain mendaifkan hadis ini kerana terdapat Ismail bin Ayyash yang meriwayatkannya daripada golongan Hijaz, Berkata al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Talkhisul Habir (1/138): “Ismail bin Ayyasy, riwayatnya daripada penduduk Hijaz adalah daif.. Telah berkata Abdullah bin Ahmad daripada bapaknya (iaitu Imam Ahmad RA), ‘(Hadis) ini batil’.”

Terdapat hadis-hadis yang lain dalam bab ini yang menjadi perbincangan dan pembahasan para ulama seumpama hadis yang di atas.

Pendapat Kedua : Hukumnya Harus

Terdapat dalil yang menunjukkan wanita yang haid boleh membaca al-Quran, antaranya, sabda Rasulullah ﷺ kepada Aisyah RA yang sedang melakukan Haji, dan kemudian kedatangan haid. Bersabda Nabi ﷺ:

ثم حجي واصنعي ما يصنع الحاج غير أن لا تطوفي بالبيت ولا تصلي

“Kemudian laksanakanlah ibadah Haji, dan lakukan apa yang dilakukan oleh orang yang berhaji kecuali tawaf dan solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini dijadikan dalil oleh sebahagian ulama, antaranya, Imam Bukhari (rujuk kitab Sahih Bukhari bahagian Kitab al-Haid bab 7), Imam Ibn Batthal, Imam Ibnul Munzir, Imam Ibn Jarir at-Tabari, Imam as-Syaukani, Imam San’ani, Imam as-Sya’bi dan pendapat Imam Syafie dalam qaul qadim.

Malah dilaporkan bahawa Aishah RA membaca a-Quran dalam keadaan haid. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 1/357, al-Tabarani dalam Awsat 2/98 dan Ibn Hazm dalam al-Muhalla 1/78-79. Inilah juga merupakan pendapat Ibn Abbas RA dan Ibn Musayyib.

Antara ulama masa kini yang bersetuju dengan pendapat ini adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen dan Syeikh al-Azhar Ali Tantawi, (rujuk Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam, 1/461).

Berhubung dengan hadis Aisyah RA yang di atas, berkata Syeikh al-Albani:

فيه دليل على جواز قراءة الحائض للقرآن لأنها بلا ريب من أفضل أعمال الحج وقد أباح لها أعمال الحاج كلها سوى الطواف والصلاة ولو كان يحرم عليها التلاوة أيضا لبين لها كما بين لها حكم الصلاة بل التلاوة أولى بالبيان لأنه لا نص على تحريمها عليها ولا إجماع بخلاف الصلاة فإذا نهاها عنها وسكت عن التلاوة دل ذلك على جوازها لها لأنه تأخير البيان عن وقت الحاجة لا يجوز كما هو مقرر في علم الأصول وهذا بين لا يخفى والحمد لله

“Hadis ini menunjukkan bolehnya wanita yang haid membaca al-Quran, kerana membaca al-Quran termasuk amalan yang paling utama dalam ibadah haji, dan Nabi ﷺ membolehkan Aisyah melakukan semua amalan kecuali tawaf dan solat. Seandainya haram baginya membaca al-Quran tentu akan Baginda ﷺ terangkan.. Oleh kerana Baginda ﷺ melarang Aisyah daripada solat (ketika haid) dan tidak berbicara tentang hukum membaca al-Quran (ketika haid), maka ini menunjukkan membaca al-Quran ketika haid diharuskan.” (Hajjatun Nabi, hal. 69)

Walau bagaimana sekalipun mereka yang berhadas ini (termasuk wanita yang haid) dilarang menyentuh mashaf atau sebahagian daripada mashaf ketika membaca al-Quran. Inilah pendapat mengikut empat mazhab, Hanafiyyah (rujuk al-Mabsuth 3/152), Malikiyyah (rujuk Mukhtashar al-Khalil hal. 17-18), Syafi’iyyah (rujuk al-Majmuk 2/67), Hanabilah (rujuk al-Mughny 1/137).

Di sudut mazhab Syafie, diharamkan mereka yang berhadas menyentuh mana-mana bahagian kitab atau mashaf al-Quran, walaupun dengan menggunakan lapik yang tebal. (Rujuk al-Bujairimi, (1995), Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib)

HUJAH SOKONGAN SEBAGAI TAMBAHAN

  • Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata: “Tidak ditegah membaca al-Quran disebabkan haid, sekalipun telah berlaku janabat sebelum itu.” (Rujuk Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)
  • Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata: “Tidak ditegah dengan sebab haid daripada membaca al-Quran, tanpa menyentuh al-Quran.” (Rujuk Jawahir al-Iklil, 1/32)
  • Al-Mardawi al-Hanbali berkata: “Ditegah wanita yang haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali, tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah.” (Rujuk al-Insaf 1/347)

MEMBACA AL-QURAN KETIKA JANABAT

Seseorang yang melakukan jimak (persetubuhan) antara suami isteri, atau terkeluar air maninya, maka dia berada dalam keadaan janabat dan berhadas besar.

Tidak diharuskan dia membaca al-Quran melainkan selepas mengangkat hadas besar dengan melaksanakan mandi wajib.

Daripada Ali bin Abi Ṭālib RA, “Nabi ﷺ pernah keluar untuk qadak hajat kemudian mengajarkan kami al-Quran, dan Baginda ﷺ makan (daging) bersama kami, dan tidak ada sesuatu pun yang menghalangi beliau ﷺ – atau (dia berkata) merintangi beliau ﷺ – daripada al-Quran kecuali janabat”.

Hadis ini disahihkan sanadnya oleh Tirmiżi dan Ibn Ḥibbān. Namun sebahagian ulama melemahkan salah seorang periwayatnya, maka darjat hadis menjadi hasan dan masih dapat dijadikan hujah, dan inilah kesimpulan Imam Ibn Hajar (rujuk Fatḥ al-Bāri Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhāri, Ibn Hajar, jilid 1, hlm. 408).

Hadis ini menghasilkan hukum bahawa orang yang junub tidak boleh membaca al-Quran, dan inilah pendirian jumhur ulama.  

KESIMPULAN

Dipaparkan di sini kesimpulan yang telah dirumuskan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung perkara ini. Beliau berkata dalam Irsyad al-Fatwa ke-18, “Membaca al-Quran dan menghafaznya ketika haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan.. Direkodkan bahawa Saidatina Aisyah membaca a-Quran dalam keadaan haid.. Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib yang menyatakan keharusan membaca al-Quran bagi wanita haid termasuk Muhammad ibn Maslamah”.

Seterusnya beliau berkata, “Saya menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Quran dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah (dalam kesusahan) amat sesuai digunakan.. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca al-Quran yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Quran sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid (lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175). Saya cadangkan juga pelajar dalam haid beralih kepada mendengar al-Quran melalui CD atau YouTube yang memungkinkan seseorang itu mengingati dan mengulang hafalan al-Quran”.

Oleh:

Dato Dr Danial Zainal Abidin,

(M.B.Ch.B, University of Alexandria)

Glugor, Penang, Malaysia

11/1/2023

  • Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – irsyad al-fatwa ke-18: hukum membaca dan mengulang hafazan al-quran dalam keadaan haid (muftiwp.gov.my)
  2. Bolehkah Wanita Haid Membaca Al-Quran? – KonsultasiSyariah.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *