Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

RAMADAN, SYAITAN DIRANTAI?

Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

                                                                             إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat Bukhari, no. 1899) Dalam riwayat Muslim, no. 1079, disebutkan (وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ)

DIBUKA PINTU SYURGA

  • Imam Qodhi ‘Iyadh berkata, “Hadis di atas boleh bermaksud, terbukanya pintu syurga dan tertutupnya pintu Jahannam dan terbelenggunya syaitan-syaitan sebagai tanda masuknya bulan Ramadan dan mulianya bulan tersebut.. Ia juga boleh bermaksud terbukanya pintu syurga kerana Allah memudahkan pelbagai ketaatan kepada hamba-Nya di bulan Ramadan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeda pada bulan yang lainnya. Di bulan Ramadan orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan hal maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang mengakibatkan seseorang mudah menjauhi maksiat ketika itu.” (al Minhaj Syarh Shahih Muslim, 7/188)

SYAITAN DIRANTAI?

  • Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan (yang dirantai) dalam hadis ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan)”. (Rujuk Fath al-Bari, 4/114)

  • Berhubung perkara ini, Imam Ibn Khuzaimah telah menamakan satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimahnya sebagai:

بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ

  • Maksudnya: “Bab penjelasan bahawa yang dimaksudkan Nabi SAW dengan sabda baginda: ‘Dan dibelenggu syaitan-syaitan,’ bukanlah merujuk kepada kesemua syaitan kerana sebutan syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk melambangkan sebahagian sahaja daripada mereka (bukan kesemuanya).” (Rujuk Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188)

  • Syeikh Anwar al-Kashmiri menyatakan: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmizi ialah (dibelenggu) Jin yang ganas. Justeru, bukan dirantai keseluruhannya.” (Rujuk Faidh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, 3/327)

  • Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurangan terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya.  Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya, sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan selainny”. (Rujuk Fath Al-Bari 4/114)

KESIMPULAN

Berdasarkan hadis yang telah dipaparkan serta perbincangan para ulama tentangnya, beberapa kesimpulan dapat dibuat:

    1. Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dirantai, iaitu syaitan yang besar atau yang ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ), manakala selebihnya masih ada.
    2. Ia juga boleh bermaksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman (di bulan Ramadan) berbanding bulan-bulan yang lain.
    3. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat memberi ujian / godaan kepada umat Islam seperti mana di luar bulan Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, di samping sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir”. (Rujuk Fath al-Bari 4/114)

Nukilan / Susunan Oleh:

Dato Dr Danial Zainal Abidin,

Georgetown, Pulau Pinang.

12 Ramadan 1444 H, 3/4/2023.

 

  • Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

 

1 thought on “RAMADAN, SYAITAN DIRANTAI?”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *