Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

SOLAT TARAWIH DARI PELBAGAI SUDUT

Ketika Rasulullah SAW masih hidup, solat tarawih ini dikenali sebagai ‘Qiyam Ramadan’ atau ‘solat demi menghidupkan malam bulan Ramadan’. Ia tidak dinamakan sebagai solat sunat tarawih. Begitu juga di zaman Saidina Abu Bakar RA. Nama ‘Tarawih’ hanya wujud di zaman Saidina Omar RA.

Perkataan ‘Tarawih’ berasal daripada kalimat ‘Rawwaha’ yang bermaksud berehat. Ibn Manzur dalam kamus Lisan al-Arab (1/615) berkata, perkataan ‘Tarawih’ adalah kata jamak (plural) daripada kalimat ‘Tarwihah’ yang bermaksud sekali berehat. Maka solat tarawih dinamakan demikian kerana selepas setiap 4 rakaat solat (iaitu selepas dua rakaat – dua rakaat), disunatkan berehat kemudian diikuti dengan 4 rakaat berikutnya. Begitulah keadaannya sehingga selesai solat tarawih sepenuhnya.

Pendapat ini dikemukakan oleh al-Qunawi dalam Anis al-Fuqaha’ (hlm. 34), dan al-Khatib al-Syarbini dalam al-Iqna’ (1/117).

    1. MAKSUD QIYAM RAMADAN DAN KEUTAMAANNYA

Diriwayatkan daripada sahabat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda                                     

                           مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

    • Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan Qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

    • Imam an-Nawawi menjelaskan tentang hadis ini:                 

       

      مَعْنَى إِيْمَاناً: تَصْدِيْقاً بِأَنَّهُ حَقٌّ مُقْتَصِدٌ فَضِيْلَتُهُ، وَمَعْنَى اِحْتِسَاباً،

       أَنَّهُ يُرِيْدُ اللهَ تَعَالَى لاَ يَقْصُدُ رُؤْيَةَ النَّاسِ وَلاَ غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يُخَالِفُ الإِخْلاَصَ     

  •  “Makna ‘Imanan’ ialah membenarkan, bahawa (perintah puasa) itu memang benar, bersama nilai keutamaannya. Sedangkan makna ‘Ihtisaban’ ialah, dia menginginkan Allah SWT, bukan mengharapkan dilihat manusia, dan bukan niat yang lain yang menyalahi maksud keikhlasan”. (Dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 6/39)

    • Imam Ibn Hajar Asqalani dalam kitab Fath al-Bâri berkata:

   اَلْمُراَدُ بِالإِيْمَانِ: الاِعْتِقَادُ بِفَرْضِيَّةِ صَوْمِهِ. وَبِالاِحْتِسَابِ: طَلَبُ الثَّوَابِ مِنَ اللهِ تَعَالَى. وَقَالَ اَلْخَطَّابِيْ: اِحْتِسَابًا أَيْ: عَزِيْمَةً، وَهُوَ أَنْ يَصُوْمَهُ عَلَى مَعْنَى الرَّغْبَةِ فِيْ ثَوَابِهِ طَيِّبَةَ نَفْسِهِ بِذَلِكَ غَيْرَ مُسْتَثْقِلٍ لِصِيَامِهِ وَلاَ مُسْتَطِيْلٍ لأَيَامِهِ. اه                           ـ.

    • “Maksud ‘Imanan’ ialah beriktikad bahasa puasa (Ramadan) memang suatu yang difardukan.  Sedangkan maksud ‘Ihtisaban’ ialah mencari pahala daripada Allah SWT. Al-Khatthabi berkata, ‘Ihtisaban’ ialah ‘Azimah’, iaitu berpuasa dengan mengharapkan pahala-Nya, dengan jiwa yang bersih terhadapnya, tidak berasa berat menjalankan puasanya..”

    • Menurut Imam al-Nawawi lagi, makna ‘Qiyam Ramadan’ ialah perlaksanaan solat tarawih. (Dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim 6/39)

    • Al-Hafiz al-‘Iraqi pula berkata: “Bukan dimaksudkan dengan ‘Qiyam Ramadan’ seseorang menghidupkan keseluruhan malamnya. Bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam dengan solat tahajud, solat tarawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan — serta perlaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah”. (Dalam Tarh al-Tathrib 4/161)

    • Hadis ini menunjukkan perbuatan ‘Qiyam Ramadan’ yang meliputi solat fardu, tarawih, tahajud, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari di bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan serta mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

2- BILANGAN RAKAAT SOLAT TARAWIH

Perbincangan tentang bab ini tidak pernah selesai. Sebenarnya terdapat beberapa pendapat tentang bilangan rakaat solat tarawih:

PENDAPAT PERTAMA

Jumhur ulama berpendapat bahawa solat Tarawih berjumlah 20 rakaat, tidak termasuk solat witir. Ini adalah seperti yang diamalkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar RA.

    • Dalil yang paling kuat ialah perbuatan Saidina Omar al-Khattab RA dalam riwayat daripada Abdul Rahman Abdul Qariy. Di samping itu terdapat banyak lagi dalil yang lain. Antaranya ialah yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Sa’ib bin Yazid al-Sohabi yang berkata :

عن يزيد بن خُصَيْفَة عن السائب بن يزيد رضي الله عنه قال

: يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه فِي رَمَضَانَ عِشْرِينَ رَكْعَةً،

 وَلَكِنْ كَانُوا يَقْرَءُونَ بِالْمِئِينَ فِي رَكْعَةٍ حَتَّى كَانُوا يَتَوَكَّئُونَ عَلَى عِصِيِّهِمْ مِنْ شِدَّةِ الْقِيَامِ

    • Dari Yazid bin Khushaifah dari As-Saib bin Yazid mengatakan: “Mereka mengerjakan solat di masa Umar bin Khatthab RA pada bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat, akan tetapi mereka membaca ratusan ayat dalam satu rakaat, sehingga mereka bersandar pada tongkat-tongkat mereka karena lamanya berdiri”. (Sanadnya disahihkan oleh: Imam Nawawi dalam Al-Khulashah no 1961, Ibnul Mulaqqin dalam al-Badrul Munir 4/350, Ibnul Iraqi dalam Tharh Tatsrib 3/97, al-‘Aini dalam Al-Binayah Syarh al-Hidayah 2/660, Syaikh Abdullah ad-Duwaisy dalam Tanbih al-Qari’ li Taqwiyati Ma Dha’afahul Albani hlm. 42)

    • Juga berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh Imam Malik dalam kitab Muwatta’ daripada Yazid bin Ruman yang berkata:

                                           كَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فِي رَمَضَانَ، بِثَلاَثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً

    • Maksudnya: “Orang ramai di zaman Omar RA, ketika bulan Ramadan mendirikan solat malam sebanyak 23 rakaat.” (Iaitu solat Tarawih 20 rakaat dan Witir 3 rakaat). (Dalam al-Mizan al-Adil li Tamyiz al-Haq Min al-Batil, hlm. 242)

    • Imam Tirmizi mengatakan: “Sebahagian besar ulama berpegang pada riwayat yang berasal daripada Omar al-Khattab RA, Ali RA dan para sahabat Nabi yang lainnya, iaitu (tarawih) jumlahnya 20 rakaat. Demikianlah juga pendapat Imam Sufyan at-Thauri, Ibn al-Mubarak dan al-Syafi’ie. Bahkan Imam al-Syafi’ie mengatakan: ‘Di negeri kita, Makkah, aku melihat orang melakukan solat Tarawih 20 rakaat’.” (Dalam Sunan al-Tirmizi, 3/160)

    • Ramai ulama salaf dan khalaf memilih 20 rakaat sebagai jumlah rakaat solat Tarawih, dan 3 rakaat jumlah solat Witir.

    • Golongan al-Hanabilah mengatakan, “Solat tarawih 20 rakaat inilah yang dilakukan dan dihadiri ramai sahabat. Sehingga hal ini menjadi ijmak atau kesepakatan sahabat. Dalil yang menunjukkan hal ini amatlah banyak.” (Dalam al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/9636)

    • Walaupun demikian, jumhur ulama berpendapat bilangan rakaat solat Tarawih tidak ditetapkan jumlahnya secara pasti. Hal ini disebabkan terdapat pelbagai ulama Salaf as-Soleh yang mengerjakan solat tarawih dengan jumlah bilangan rakaat yang lebih dan kurang daripada 20 rakaat. Demikianlah yang disebutkan oleh Imam Abu Hanifah dan pengikut-pengikutnya, juga oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Dawud serta ramai ulama yang terdahulu. Imam al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan bahawa kebanyakan ulama (jumhur) telah berkata demikian.

    • Berhubung hadis bahawa Nabi SAW bersolat tarawih 20 rakaat, Imam Ibn Hajar al-Haithami mengatakan, “Tidak ada satu hadis sahih pun yang menjelaskan Nabi SAW melaksanakan solat tarawih 20 rakaat. Adapun hadis yang mengatakan ‘Nabi SAW biasa melaksanakan solat (tarawih) 20 rakaat’, ini adalah hadis yang tersangat lemah.” (al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah Al-Quwaitiyyah, 2/9635)

PENDAPAT KEDUA

Solat Tarawih itu hanya 8 rakaat dan solat Witir 3 rakaat. Antara dalil-dalil mereka ialah:

    • Hadis daripada Jabir bin Abdillah RA. Beliau berkata: “Rasulullah SAW solat dengan kami pada bulan Ramadan 8 rakaat dan witir. Ketika malam berikutnya, kami berkumpul di masjid dengan harapan beliau solat dengan kami. Maka kami terus berada di masjid hingga pagi, kemudian kami masuk bertanya, ‘Ya Rasulullah, tadi malam kami berkumpul di masjid, berharap anda solat bersama kami’ maka baginda bersabda, ‘Sesungguhnya aku khuatir diwajibkan ke atas kamu’.” (Riwayat Thabrani, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah, dihasankan oleh al-Albani)

    • Hadis Nabi SAW. Daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman RA, dia bertanya kepada Aisyah RA: “Bagaimana Rasulullah SAW mengerjakan solat di bulan Ramadan?  Lalu Aisyah menjawab:

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا

    • Maksudnya: “Nabi mengerjakan solat di bulan Ramadan atau lainnya tidak melebihi 11 rakaat. Baginda mengerjakan solat 4 rakaat, maka jangan kamu bertanya tentang kesempurnaan dan panjangnya. Kemudian Baginda mengerjakan solat 4 rakaat lagi, dan jangan kamu bertanya tentang kesempurnaan dan panjangnya. Kemudian Baginda mengerjakan solat 3 rakaat.” Aisyah berkata lagi: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur sebelum kamu mengerjakan solat Witir?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Aisyah! Sesungguhnya kedua mataku tidur tetapi hati aku tidak tidur”. (Riwayat  Bukhari dan Muslim)

PENDAPAT KETIGA

Solat tarawih dan witir kesemuanya berjumlah 13 rakaat. Daripada sahabat Ibn Abbas RA, beliau berkata:

                                                      كَانَ صَلاَةُ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً . يَعْنِى بِاللَّيْلِ

    • “Solat Nabi SAW di malam hari adalah 13 rakaat.” (Bukhari dan Muslim)

    • Sebahagian ulama berkata bahawa solat malam yang dilakukan Nabi SAW adalah 11 rakaat. Adapun dua rakaat lagi adalah dua rakaat ringan yang dikerjakan oleh Nabi SAW sebagai pembuka perlaksanaan solat malam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar dalam Fathul Bari 4/123.

PENDAPAT KEEMPAT

Solat tarawih berjumlah 36 rakaat tidak termasuk solat witir. Ini diamalkan di zaman Umar bin Abdul Aziz RA dan juga dari kalangan ahli Madinah.

    • Solat tarawih adalah 39 rakaat termasuk witir. Inilah pendapat Imam Malik. Beliau memiliki dalil daripada riwayat Daud bin Qois, dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah. (Dalam Shahih Fiqh Sunnah, 1/419)

    • Dalam kitab Syarh al-Muhazzab, Nafi’ meriwayatkan: ”Aku menyaksikan sendiri, ketika itu umat Islam mendirikan solat malam (solat tarawih) di bulan Ramadan sebanyak 39 rakaat, termasuk di dalamnya 3 rakaat witir”.

    • Mengikut pandangan jumhur (majoriti) ulama, dalil ini tidaklah kuat. Oleh itu, jumhur ulama tidak mengambil riwayat-riwayat ini sebagai dalil untuk menegakkan hukum.

PENDAPAT KELIMA

Ada pendapat yang mengatakan solat tarawih berjumlah 40 rakaat, tidak termasuk witir.

    • Bilangan rakaat sebanyak empat puluh rakaat adalah mengikut pendapat al-Aswad bin Yazid. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 4/32.

3- BERSOLAT DAN SELESAI BERSAMA IMAM

Bertarawih dan witir telah disyariatkan. Namun untuk memperoleh lebihan ganjaran ketika bersolat jemaah, hendaklah kita bersolat dan selesai bersama imam. Nabi SAW bersabda:

                                                                                  مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

    • Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat bersama imam sehingga selesai, dicatat baginya pahala seumpama dia menghidupkan sepanjang malam dengan beribadah.” (Riwayat al-Tirmizi 806 dan beliau menilainya sebagai hadis sahih. Abu Daud (1375), al-Nasa’ie (1605) dan Ibn Majah (1327). Hadis ini juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi)

    • Berkata Sahibus Samahah Dato Mufti Wilayah Persekutuan (2016): “Lafaz Nabi SAW di dalam hadis iaitu ‘solat bersama imam sampai ia selesai’ jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunnah Nabi adalah solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir akhir.  Hadis ini menunjukkan bahawa fadilat yang besar bagi makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala Qiyam sepanjang malam”. (Irsyad Al-Hadith Siri Ke-83: Kelebihan Solat Sehingga Imam Selesai)

4- KESIMPULAN TENTANG JUMLAH RAKAAT

    • Imam al-Qadhi ‘Iyadh merumuskan: “Para ulama berpendapat kesemua hadis.. baik yang berasal daripada Ibn Abbas, Zaid bin Khalid mahu pun yang berasal daripada Aisyah RA, masing-masing mengemukakan kesaksian secara peribadi. Dalam semua hadis itu tidak terdapat sesuatu tentang batas jumlah rakaat yang tidak boleh ditambah atau dikurangi (iaitu tidak ada ketetapan jumlah rakaat secara pasti). Sebab solat malam adalah ibadah sunat, semakin banyak dilakukan semakin banyak pula pahala yang diperolehi. Perbezaan yang ada pada hadis-hadis tersebut hanya mengenai beberapa jumlah rakaat yang dilakukan..” (Dalam Ikmal al-Mu’lim bi Fawa’id Muslim, 3/126)

    • Demikian pula yang dikatakan oleh Imam al-Hafiz al-Iraqi dalam kitab Tarhu at-Tathrib (3/406). Dia mengatakan, semua ulama sebulat suara bersepakat bahawa solat tarawih tidak ada ketentuan batas jumlah rakaatnya. Perbezaan yang ada pada pelbagai riwayat hadis hanya mengenai soal berapa rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

    • Imam Ahmad dan lainnya berkata:

           وَمَنْ ظَنَّ أَنَّ قِيَامَ رَمَضَانَ فِيهِ عَدَدٌ مُوَقَّتٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُزَادُ فِيهِ وَلَا يُنْقَصُ مِنْهُ فَقَدْ أَخْطَأَ

    • Maksudnya: “Sesiapa mengira Qiyam Ramadan ada bilangan tertentu daripada Nabi SAW yang tidak boleh ditambah dan dikurangi maka ia terjatuh dalam kesalahan.” (Majmuk Fatawa 22/272 dan 23/113)

    • Imam as-Syaukani berkata:

وَالْحَاصِلُ أَنَّ الَّذِي دَلَّتْ عَلَيْهِ أَحَادِيثُ الْبَابِ وَمَا يُشَابِهُهَا هُوَ مَشْرُوعِيَّةُ الْقِيَامِ فِي رَمَضَانَ، وَالصَّلَاةُ فِيهِ جَمَاعَةً وَفُرَادَى، فَقَصْرُ الصَّلَاةِ الْمُسَمَّاةِ بِالتَّرَاوِيحِ عَلَى عَدَدٍ مُعَيَّنٍ، وَتَخْصِيصُهَا بِقِرَاءَةٍ مَخْصُوصَةٍ لَمْ يَرِدْ بِهِ سُنَّةٌ

    • Maksudnya: “Kesimpulannya, hadis-hadis dalam bab ini dan yang seumpamanya menunjukkan Qiyam Ramadan adalah sesuatu yang disyariatkan, dan (ketika menghidupkannya) boleh bersolat sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian. Adapun membatasi solat yang dinamai dengan tarawih dengan jumlah tertentu dan mengkhususkan bacaan tertentu baginya, maka tidak ada sunnah yang menunjukkah tentang hal itu”. (Nailul Authar 3/66)

    • Imam Nawawi berkata:

وَتَجُوزُ مُنْفَرِدًا وَجَمَاعَةً وَأَيُّهُمَا أَفْضَلُ فِيهِ وَجْهَانِ مَشْهُورَانِ كَمَا ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ وَحَكَاهُمَا جَمَاعَةٌ قَوْلَيْنِ الصَّحِيحُ  بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ أَنَّ الْجَمَاعَةَ أَفْضَلُ

    • Maksudnya: “Dan dibolehkan (solat tarawih itu dilakukan) secara bersendirian atau secara berjemaah. Berkenaan yang manakah yang lebih afdal antara keduanya terdapat dua pendapat yang masyhur.. dan yang sahih secara sepakat oleh ashab (ulama mazhab Syafie), ialah solat berjemaah itu adalah lebih afdal”. (Dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi 4/31)

    • Pendapat yang pelbagai dalam perkara ranting agama mempunyai hikmat dan kebaikannya. Majma’ Fiqh Islam dalam persidangannya bagi kali yang ke-10 di Makkah al-Mukarramah, bermula pada hari Sabtu 24 Safar 1408 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1987 sehingga hari Rabu 18 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987, memutuskan antara lain: “Perbezaan mazhab-mazhab fikah dalam beberapa masalah mempunyai sebab-sebab ilmiah yang mengandungi hikmat yang besar. Antaranya menunjukkan rahmat kepada hamba-hamba Allah SWT dan meluaskan lapangan hukum berdasarkan nas-nas”.

Nukilan / Susunan Oleh:

Dato Dr Danial Zainal Abidin,

Georgetown, Pulau Pinang.

8 Ramadan 1444 H, 30/3/2023.

    • Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

    1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #90: HUKUM SOLAT TARAWIH SECARA BERSENDIRIAN (muftiwp.gov.my)
    2. Fatwa Bilangan Rakaat Solat Terawih: https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/154-fatwa-bilangan-rakaat-solat-terawih
    3. Bilangan Rakaat Solat Tarawih: https://maktabahalbakri.com/33578-2/
    4. https://firanda.com/2729-bolehnya-shalat-tarawih-lebih-dari-11-rakaat.html
    5. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-83: KELEBIHAN SOLAT SEHINGGA IMAM SELESAI (muftiwp.gov.my)

  1.  

  1.  

  1.  

  1.  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *