Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

RAHSIA LAILATUL QADR, SUATU ANUGERAH

Berhubung dengan malam al-Qadr, Allah SWT berfirman:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr). Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan ar-Ruh dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (al-Qadr 97:1-5)

Al-Qadar boleh diertikan sebagai ‘kemuliaan’ atau ‘penentuan’. (Rujuk Tafsir al-Azhar 30/202) Ia mulia kerana kelebihan dan keberkatan yang pelbagai yang Allah tetapkan baginya. Ia adalah penentuan kerana pada malam itu ditetapkan beberapa aspek taqdir bagi manusia.

KEISTIMEWAAN MALAM AL-QADR BERDASARKAN SURAH AL-QADR

Antara keistimewaannya ialah:

    • Ia malam diturunkan al-Quran. Sahabat Abdullah Ibn Abbas RA berkata, “Iaitu (pada malam itu) diturunkan al-Quran sekali gus dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, sebelum diturunkan secara berangsur-angsur selama 23 tahun (ke atas Nabi SAW)”. (Rujuk Shahih Tafsir Ibnu Katsir 9/656)

    • Berkata Hamka, “Ayat-ayat awal yang Allah turunkan ke atas Nabi SAW di Gua Hira’ juga telah berlaku pada malam al-Qadr”. (Rujuk Tafsir al-Azhar 30/203)

    • Kelebihan beribadah seperti 1,000 bulan. Berkata Imam Ibn Kathir: “Beribadah pada malam al-Qadar adalah lebih afdal daripada beribadah selama 1,000 bulan yang dalamnya tiada Lailatul Qadar. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Jarir, dan pendapat ini adalah benar”. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 4/531)

    • Para Malaikat dan ar-Ruh turun. Berkata Imam Ibn Kathir: “Ramainya Malaikat yang turun pada malam ini kerana banyaknya berkat pada malam ini. Para Malaikat turun bersamaan dengan turunnya berkat dan rahmat itu. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 4/531) Ar-Ruh dalam surah ini ialah Malaikat Jibrail. (Rujuk Tafsir al-Azhar 30/203)

    • Segala urusan diatur. Berkata Imam Qatadah (dan yang lain), “Segala urusan diatur. Ajal dan rezeki ditentukan pada malam itu.” (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 4/531) Ibn Abbas RA berkata, “Pada malam al-Qadr, ditulis pada ummul kitab segala kebaikan, keburukan, rezeki dan ajal yang terjadi dalam masa setahun.” (Rujuk Ma’alimut Tanzil, Tafsir al-Baghowi)

    • Dipenuhi kesejahteraan sehingga fajar. Berkata Imam Mujahid, “Syaitan tidak mampu melancarkan kejahatan dan gangguan.” (Rujuk Shahih Tafsir Ibnu Katsir 9/658) Berkata Hamka: “Itulah malam damai, malam salam, sejak terbenamnya matahari sampai terbitnya fajar hari esoknya”. (Rujuk Tafsir al-Azhar 30/204)

BILAKAH HARINYA?

Terdapat beberapa hadis berhubung perkara ini:

    • Hadis Pertama: Malam 17, 21 dan 23 Ramadan. Sahabat Abdullah Ibn Mas’ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

                                                                اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ

    • Maksudnya: “Tuntutlah (carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan”. (Riwayat Abu Daud)

    • Hadis Kedua: Malam 27 Ramadan. Daripada sahabat Ubay bin Ka’ab RA:

هِىَ اللَّيْلَةُ الَّتِى أَمَرَنَا بِهَا رَسُولُ اللَّهِصلى الله عليه وسلمبِقِيَامِهَا هِىَ لَيْلَةُ صَبِيحَةِ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ وَأَمَارَتُهَا أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ

فِى صَبِيحَةِ يَوْمِهَا بَيْضَاءَ لاَ شُعَاعَ لَه.

    • Maksudnya: “Ia malam yang diarahkan Nabi SAW agar kami menghidupkannya, malam yang cerah iaitu malam ke-27 (dari bulan Ramadan). Dan tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru.” (Riwayat Muslim)

    • Hadis Ketiga: Dalam 10 terakhir Ramadan, daripada Aisyah RA:

عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ :” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

 ، وَيَقُولُ : ” تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

    • Maksudnya: Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW sering mengasingkan diri (beriktikaf) pada sepuluh terakhir Ramadan. Baginda SAW bersabda: ‘Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir Ramadan’.” (Riwayat Bukhari)

    • Hadis Keempat: Hari-hari ganjildalam 10 terakhir Ramadan. Daripada Aisyah RA:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ

 ” تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

    • Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan”. (Riwayat Bukhari)

    • Hadis Kelima: Dalam 10 terakhir baki Ramadan. Daripada Abu Bakrah RA:

                                                                 الْتَمِسُوهَا فِي تِسْعٍ يَبْقَيْنَ أَوْ فِي سَبْعٍ يَبْقَيْنَ أَوْ فِي خَمْسٍ يَبْقَيْنَ أَوْ فِي ثَلَاثِ أَوَاخِرِ لَيْلَةٍ

    • Maksudnya: Abu Bakrah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Carilah (Lailatul Qadar) pada sembilan malam yang terakhir, atau tujuh malam terakhir, atau lima yang terakhir, atau tiga malam terakhir”. (Riwayat Tirmizi, hasan sahih)

    • Rumusan Oleh Imam Ibn Hajar: Imam Ibn Hajar Asqalani dalam Fathul Bari telah mengemukakan lebih daripada empat puluh pandangan berhubung  waktu terjadinya Lailatul Qadar. Namun yang paling kuat (rajih) adalah pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar  berlaku pada tanggal ganjil daripada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Berlakunya di malam yang berbeza setiap tahun. Daripada tanggal-tanggal ganjil itu, kemungkinan yang paling besar ialah ia berlaku pada tanggal 21 dan 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie RA. Menurut majoriti ulama, kemungkinan besar ia berlaku pada tanggal 27 Ramadan. (Rujuk Fathul Bari, juz 5, hal. 569)

    • Berkata Hamka: “Berdiri mengerjakan sembahyang dengan qiamullail atau tarawih di seluruh malam Ramadan, menambah di malam 10 yang akhir, pastilah salah satu bertepatan dengan malam (al-Qadr)”. (Rujuk Tafsir al-Azhar 30/206)

APAKAH WUJUD AMALAN KHAS PADA MALAM AL-QADR?

Wujud beberapa petunjuk tentang perkara ini.

    • Bersungguh-sungguh beribadah imanan wa ihtisaban: Daripada Abu Hurairah RA:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ

 مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

    • Maksudnya: Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan (pahala), diampuni dosanya yang terdahulu”. (Bukhari)

    • Bersungguh beribadah, menjauhi isteri: Daripada Aisyah RA:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، قَالَتْ

  كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

    • Maksudnya: Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh terakhir (Ramadan), baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan mengetatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isteri)”. (Riwayat Muslim)

    • Bersungguh beribadah berbanding bulan lain: Daripada Aisyah RA:

                                                        عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

    • Maksudnya: Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW beribadah bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”. (Musnad Ahmad, Shaikh al-Arnaouth berkata: Isnadnya sahih)

    • Beriktikaf: Daripada Abu Hurairah RA:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ , كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْتَكِفُ فِي كُلِّ رَمَضَانٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ

 ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِي قُبِضَ فِيهِ ، اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا

    • Maksudnya: Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW biasa beriktikaf pada bulan Ramadan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda SAW beriktikaf selama dua puluh hari”. (Riwayat Bukhari)

    • Membaca doa diajar Nabi SAW: Daripada Aisyah RA:

                                                                                                             اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

    • Maksudnya: Aisyah RA bertanya, “Ya Rasulullah, jika aku tahu bahawa suatu malam adalah malam al-Qadr, apa yang mesti aku katakan? Rasulullah SAW menjawab: Katakanlah (doa seperti yang tercatat di atas) ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, suka memaafkan, maka maafkanlah daku’.” (Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni) (Riwayat Tirmizi, Ibn Majah, Nasaie – Sahih)

    • Melaksanakan solat Isyak dan Subuh berjemaah: Sebagaimana dinukilkan oleh Imam Syafie dalam al-Umm daripada sekelompok ulama Madinah, daripada sahabat Abdullah Ibn Abbas RA, disebutkan,

                                                        أَنَّ إِحْيَاءَهَا يَحْصُلُ بِأَنْ يُصَلِّيَ العِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ وَ يَعْزِمُ عَلَى أَنْ يُصَلِّيَ الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ

    • Maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadr itu terlaksana dengan melaksanakan solat Isyak berjemaah dan bertekad untuk melaksanakan solat Subuh secara berjemaah.”

    • Menghidupkan solat berjemaah pada malamnya: Imam Malik menukilkan dalam al-Muwatha’, Imam Ibnul Musayyib berkata,

                                                                                             مَنْ شَهِدَ لَيْلَةَ القَدْرِ ـ يَعْنِي فِي جَمَاعَةٍ ـ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا

    • Maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat berjemaah pada malam Lailatul Qadr, maka dia telah mengambil bahagian dalam menghidupkan malam Lailatul Qadr tersebut.”

    • Kelebihan solat Isyak dan Subuh berjemaah secara umum: Daripada Uthman bin Affan RA,

                                       مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِى جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِى جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ

    • Maksudnya: Uthman bin Affan RA berkata, Nabi SAW bersabda, “Sesiapa menghadiri solat Isyak berjemaah, maka baginya pahala solat separuh malam. Sesiapa melaksanakan solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka baginya pahala solat semalam penuh.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

    • Banyak memohon keampunan: Imam Ibn Rajab al-Hambali RA mengutarakan sebuah nasihat yang berguna:

و إنما أمر بسؤال العفو في ليلة القدر بعد الإجتهاد في الأعمال فيها و في ليالي العشر لأن العارفين يجتهدون في الأعمال ثم لا يرون لأنفسهم عملا صالحا و لا حالا و لا مقالا فيرجعون إلى سؤال العفو كحال المذنب المقصر

    • Maksudnya: “Dianjurkan banyak meminta ampun kepada Allah pada malam al-Qadr setelah gigih beramal di malamnya dan di sepuluh malam terakhir Ramadan. Kerana orang yang arif (bijak) adalah yang bersungguh-sungguh dalam beramal, namun dia masih menganggap bahawa amalan yang dia lakukan bukanlah amalan, keadaan, atau ucapan yang (benar-benar soleh). Justeru, dia banyak memohon ampun kepada Allah sebagai seorang yang penuh dengan kekurangan dan dosa”.

    • Tiada solat khusus / khas hanya untuk malam al-Qadr!

Susunan / Nukilan:

Dato Dr Danial Zainal Abidin,

(M.B.Ch.B, University of Alexandria)

Glugor, Penang, Malaysia

22 Ramadan 1444 H, bersamaan 13/4/2023,

    • Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *