Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

AIDILFITRI, SUNNAH, ADAB DAN KESILAPAN

Disunat melakukan beberapa perkara berdasarkan nas dan athar:

1- Mandi Sebelum Berangkat Melaksanakan Solat Aidilfitri

  • Daripada Ali bin Abi Talib RA, seorang pernah bertanya pada Ali RA mengenai mandi. Ali RA menjawab, “Mandilah setiap hari jika kamu mahu.” Orang tadi berkata, “Bukan. Maksudku, manakah mandi yang dianjurkan (agama)?” Ali menjawab, “Mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat Baihaqi. Syaikh al-Albani berkata sanad hadis ini sahih. Rujuk al-Irwa’ 1: 177)
  • Daripada amalan sahabat Abdullah ibn Umar RA.

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

  • Maksudnya: “Dari Nafi’, (dia berkata) Abdullah bin Umar RA biasa mandi di hari Aidilfitri sebelum dia berangkat pagi-pagi ke tanah lapang. (Riwayat Malik dalam al-Muwattha’ 426. Imam Nawawi menyatakan athar ini sahih)
  • Ulama mazhab Syafie menyatakan digalakkan untuk mandi pada pagi hari Raya. Ini berdasarkan athar Ibn Umar RA di atas dan dikiaskan dengan hari Jumaat. Masa untuk mandi pula, mengikut pendapat yang paling kuat dalam mazhab Syafie ialah dibolehkan untuk mandi sama ada selepas fajar atau sebelum fajar. Mandi ini digalakkan untuk semua orang sama ada yang hadir mendirikan solat raya mahupun yang tidak hadir. Begitu juga, digalakkan berhias-hias, memotong kuku, berwangi-wangian sebagaimana dilakukan pada hari Jumaat. (rujuk al-Majmuk 5/9)

2- Berhias Diri Dan Memakai Pakaian Yang Terbaik

  • Disebutkan dalam Bulughul Maram no. 533 diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Nabi SAW memiliki baju khusus untuk hari Jumaat dan di saat baginda menyambut tamu. (Riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad)
  • Allah suka penonjolan nikmat Allah ke atas diri kita tanpa melampaui batas dan tanpa sombong dan riyak. Jangan sampai seseorang yang mampu asyik  menonjolkan dirinya seperti seorang fakir dan miskin. Daripada ‘Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya, dia berkata Rasulullah SAW bersabda,

إِنَّ اللَّهَ يُحِبَّ أَنْ يُرَى أَثَرُ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ

  • Maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka melihat bekas nikmat kurniaan Allah tampak kepada hamba-Nya.” (Riwayat Tirmidzi no. 2819 dan an-Nasai no. 3605. Al-Hafiz Abu Tohir berkata hadisnya sahih)
  • Nabi SAW memiliki jubah khusus untuk hari raya. Jabir RA meriwayatkan:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جُبَّةٌ يَلْبَسُهَا لِلْعِيْدَيْنِ وَيَوْمِ الجُمُعَةِ

  • Maksudnya: “Nabi SAW memiliki jubah khusus yang baginda gunakan untuk Aidilfitri dan Aidiladha, juga untuk digunakan pada hari Jumaat.” (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya, 1765)
  • Imam Ibn Qayyim merumuskan: “Nabi SAW biasanya keluar ketika solat Aidilfitri dan Aidiladha dengan pakaian baginda yang terbaik”. (Zaadul Ma’ad fi Hadyi Khairil ‘Ibad 1/425)
  • Imam Syafie berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (tertentu). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” (Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm 1/327)
  • Namun untuk kaum wanita, dengan ciri-ciri kecantikan yang telah Allah kurniakan kepada mereka, di samping memelihara aurat, hendaklah mereka tidak berlebihan dalam menghiaskan diri dan mengenakan wangi-wangian, agar mereka sentiasa mendapat rahmat Allah.

3- Makan Sebelum Solat Aidilfitri

  • Haram berpuasa pada 1 Syawal. Anas RA, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا

  • Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW tidak akan keluar rumah pada hari raya Aidilfitri melainkan setelah Baginda memakan beberapa biji buah tamar, dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.” (Riwayat Bukhari)
  • Daripada Abdullah bin Buraidah RA, daripada ayahnya, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِصلى الله عليه وسلملاَ يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ وَلاَ يَأْكُلُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يَرْجِعَ فَيَأْكُلَ مِنْ أُضْحِيَّتِهِ

  • Maksudnya: “Rasulullah SAW biasa berangkat untuk solat ‘Id pada hari Aidilfitri, dan sebelumnya baginda makan terlebih dahulu. Sedangkan pada hari raya Aidiladha baginda tidak makan terlebih dulu kecuali setelah pulang dari solat ‘Id barulah baginda menyantap hasil korbannya.” (Riwayat Ahmad. Syeikh Syu’aib  al-Arnauth berkata hadis hasan)

4- Bertakbir Dari Rumah Menuju Tempat Solat

  • Ketika puasa Ramadan telah sempurna, kita diperintahkan untuk mensyukuri Allah dengan memperbanyakkan takbir. Allah SWT berfirman,

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

  • Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (al Baqarah 2:185)
  • Berhubung ayat ini, Zaid bin Aslam berkata:

إذا رأى الهلال، فالتكبيرُ من حين يَرى الهلال حتى ينصرف الإمام، في الطريق والمسجد،

 إلا أنه إذا حضر الإمامُ كفّ فلا يكبرِّ إلا بتكبيره

  • Maksudnya: “Jika seseorang melihat anak bulan, maka hendaknya dia bertakbir dimulai sejak dia melihat anak bulan di jalan dan masjid.. kecuali apabila imam telah datang (untuk solat sunat Aidilfitri), dia tahan jangan bertakbir kecuali dengan takbirnya”. (Rujuk Jami’ul Bayan, 3/479 No 2901. Juga dalam Tafsir Ibn Abi Hatim 1/314)
  • Dalam satu riwayat disebutkan:

كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ المصَلَّى وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلاَةَ

 فَإِذَا قَضَى الصَّلاَةَ ؛ قَطَعَ التَّكْبِيْرَ

  • Maksudnya: “Nabi SAW biasa keluar hendak solat pada hari raya Aidilfitri sambil bertakbir sehingga sampai di lapangan dan sampai solat hendak dilaksanakan. Ketika solat hendak dilaksanakan, baginda berhenti daripada bertakbir.” (Oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Mushannaf 2/1/2. Hadis ini mursal daripada az-Zuhri namun memiliki penguat yang sanadnya bersambung. Lihat Silsilah al-Ahadis As-Sahihah, no. 171. Syeikh al-Albani mengatakan riwayat ini sahih)
  • Imam Syafi’e berkata:

فاذاراواهلال شوال احببت ان يكبر الناس جماعة و فرادى في المسجدوالاسواق والطرق والمنازل و مسافرين ومقيمين في كل حال واين كانوا و ان يظهروا التكبير

  • Maksudnya: “Maka apabila mereka melihat hilal (anak bulan) Syawal, aku sangat menganjurkan agar manusia bertakbir secara berjemaah atau sendiri-sendiri di masjid, pasar-pasar, jalan-jalan, rumah-rumah, ketika bermusafir dan bermukim di seluruh keadaan dan di mana jua mereka berada, dengan (mengeraskan) suara takbir”. (al-Umm 1/231)

5- Saling Mengucapkan Selamat

  • Termasuk sunnah yang baik yang boleh dilakukan pada hari Aidilfitri ialah saling mengucapkan selamat dalam bentuk doa seperti ucapan ‘taqabbalallahu minna wa minkum’ (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu). Ucapan seperti itu sudah dikenali di zaman salaf dahulu.

فعن جُبَيْرِ بْنِ نُفَيْرٍ قَالَ : كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ : تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

  • Maksudnya: Dari Jubair bin Nufair RA, dia berkata jika para sahabat Rasulullah SAW berjumpa antara satu sama lain pada hari ‘Id, mereka saling mengucapkan, ‘Taqabbalallahu minna wa minka’ (Semoga Allah menerima amalku dan amal kamu). (Imam Ibn Hajar berkata sanad hadis ini hasan. Rujuk Fath Al-Bari 2: 446)
  • Bahkan, segala bentuk ucapan selamat yang mengandungi maksud yang baik diharuskan untuk mengucapkannya. Berkata Imam al-Bulqini: “Berkata Imam Ibn Hajar,

أَنَّ التَّهْنِئَةَ بِالأْعْيَادِ وَالشُّهُورِ وَالأْعْوَامِ مَنْدُوبَةٌ. قَال الْبَيْجُورِيُّ: وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ

  • Maksudnya: ‘Sesungguhnya ucapan tahniah pada segala hari perayaan dan hari kebesaran adalah sunat’. Berkata Syeikh al-Bajuri: Dan inilah pendapat yang muktamad.” (Rujuk al-Mausu’atul Fiqhiyyah)
  • Maka boleh diucapkan, contohnya, ‘Minal ‘aidin wal faizin’ (semoga kembali dan meraih kemenangan). ‘Kullu ‘aamin wa antum bi khair’ (semoga di sepanjang tahun terus berada dalam kebaikan), dan yang seumpamanya.

6- Melewati Jalan Pergi Dan Pulang Yang Berbeza

  • Daripada Jabir RA, dia berkata:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ كَانَ النَّبِىُّصلى الله عليه وسلمإِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

  • Maksudnya: “Nabi SAW pada hari ‘Id, baginda membezakan antara jalan pergi dan pulang”. (HR. Bukhari, no. 986)
  • Antara hikmat Nabi SAW membezakan antara jalan pergi dan pulang adalah agar banyak bahagian bumi yang menjadi saksi atas amalan yang dilakukan.
  • Ia selari dengan firman Allah SWT:

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

  • Maksudnya: “Pada hari itu bumi menceritakan beritanya.” (al-Zalzalah : 4) Rasul SAW lalu bertanya, “Apakah kamu tahu apa yang diceritakan oleh bumi?” Para sahabat menjawab, “Allah dan Rasul yang lebih tahu.” Rasulullah SAW bersabda,

إِنَّ أَخْبَارَهَا أَنْ تَشْهَدَ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ أَمَةٍ بِمَا عَمِلَ عَلَى ظَهْرِهَا

أَنْ تَقُولَ عَمِلَ كَذَا وَكَذَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا قَالَ فَهَذِهِ أَخْبَارُهَا

  • Maksudnya: “Sesungguhnya yang diberitakan oleh bumi adalah bumi jadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, baik laki-laki mahupun perempuan, tentang apa  yang telah mereka lakukan di muka bumi. Bumi itu akan berkata, ‘Manusia telah berbuat begini dan begitu, pada hari ini dan hari itu’. Inilah yang diberitakan oleh bumi.” (Riwayat Tirmizi. Tirmizi berkata hadis ini hasan gharib. Al-Hafizh Abu Thahir berkata sanad hadis ini daif. Namun hadis ini mempunyai penguat dalam al-Kabir karya At-Thabrani 4596, sehingga hadis ini dapat dikatakan hasan sebagaimana kesimpulan daripada Syeikh Salim bin ‘Ied al-Hilaliy dalam Bahjah An-Nazhirin 1: 439)
  • Solat hari raya di Musalla. Sahabat Abu Sa’id al-Khudri berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسِ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَن يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنصَرِفُ

  • Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Musalla ialah kawasan lapang seperti padang dan sebagainya. Jumhur ulama menyebut adalah sunat kita melakukan solat hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di Musalla (tempat yang lapang atau padang). Imam Nawawi berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat lapang dan ianya lebih afdal daripada solat di masjid.” (Rujuk al-Minhaj fi Syarh Muslim 6/177). Begitu juga yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Akan tetapi bagi mazhab al-Syafi’e tidak mengapa dilakukan solat hari raya di masjid. (Rujuk Fath al-Bari 2/450)
  • Semua keluar ke tempat solat. Ummu Atiyyah RA melaporkan:  

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ، قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ‏.

  • Maksudnya: “Kami disuruh untuk keluar pada hari raya sehingga kami mengeluarkan anak-anak dara daripada tempat tinggal mereka, sehingga kami mengeluarkan wanita haid, dan mereka duduk di belakang orang ramai. Mereka bertakbir bersama takbir orang ramai, berdoa dengan doa mereka, dan mereka mengharapkan keberkatan dan kesucian berkaitan hari tersebut. (Riwayat Bukhari, Kitab al-Eid, no: 971)
  • Boleh solat raya dilakukan secara seorang diri. Berkata Imam Nawawi:

وَإِذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ، فَصَلَّاهَا الْمُنْفَرِدُ، لَمْ يَخْطُبْ عَلَى الصَّحِيحِ

  • Maksudnya : “Dan apabila kita berpegang dengan pendapat mazhab (bahawa dibolehkan untuk solat hari raya itu dilakukan secara seorang diri), maka seseorang yang melakukannya secara sendirian tidak perlu untuk berkhutbah mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk Raudah at-Thalibin, Al-Nawawi 2/70)

7- Kesilapan Yang Berlaku Pada Hari Raya Hari Ini

  • Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
  • Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
  • Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
  • Memasang lagu-lagu pada hari raya yang kurang sopan dan secara berlebih-lebihan. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
  • Pergi berhari raya ke rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
  • Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
  • Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
  • Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul (lelaki perempuan) setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
  • Pergi berhari raya ke rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu atau melambatkan solat daripada waktunya.
  • Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
  • Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
  • Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
  • Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
  • Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
  • Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang serba sihat. (Rujuk: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1814-bayan-linnas-adab-berhari-raya-dan-kesilapannya)

8- Boleh Bergembira Asalkan Kompas Syariat Dijaga

  • Di zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi ketika menyambut sesuatu perayaan. Daripada Aisyah RA, dia berkata, “Rasulullah SAW memanggilku saat orang-orang Habsyah sedang bermain tombak mereka dalam masjid pada hari raya ‘Id. Baginda berkata kepadaku, ‘Wahai Humaira’ kamu suka menonton mereka?’ Aku menjawab, ‘Ya’. Maka baginda pun meletakkan aku berdiri di belakangnya. Baginda merundukkan bahunya agar aku boleh melihat mereka. Aku letakkan daguku di atas bahunya dan aku sandarkan wajahku ke pipinya. Baginda bersabda, ‘Teruskan wahai Bani Arfadah’. Sampai aku merasa puas”.
  • Dalam riwayat lain: “Sampai aku bosan.” Baginda bertanya, “Sudah cukup, ‘Aisyah?” Aku berkata, ”Ya.” Baginda berkata, ”Pergilah”.
  • Dalam riwayat lain: Kemudian baginda bertanya lagi, ”Sudah cukup, ‘Aisyah?” Aku menjawab, “Jangan terburu-buru”. (Riwayat Bukhari, Muslim, An Nasa’i, At-Thayalisi, dan Ahmad dan Muhamili dalam Salatul ‘Idain dan At-Thahawi dalam Musykilul Atsar, satu sama lain saling melengkapi. Lihat: Adabuz Zifaf fis Sunnah Al Muthahharah, karya Al-Albani, hal. 272, cetakan terbaru)
  • Dalam riwayat lain ada tambahan: دعهن يا أبا بكر فإنها أيام عيد فتعلم يهود أن فى ديننا فسحة إنى أرسلت بحنيفية سمحة
  • Maksudnya: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar, sesungguhnya ini adalah hari raya, agar orang Yahudi mengetahui bahawa pada agama kita ada kelapangan, dan aku diutus dengan membawa agama yang hanif penuh keringanan.” (HR Ahmad 24855, hadis hasan)
  • Berkata Syeikh Sayyid Sabiq: “Melakukan permainan yang dibolehkan, gurauan yang baik, nyanyian yang baik, semua itu termasuk antara syiar-syiar agama yang Allah tetapkan pada hari raya, untuk menyihatkan badan dan mengistirahatkan jiwa”. (Fiqhus Sunnah 1/323)

Susunan / Nukilan:

Dato Dr Danial Zainal Abidin,

(M.B.Ch.B, University of Alexandria)

Glugor, Penang, Malaysia

1 Syawal 1444 H, bersamaan 22/4/2023,

  • Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *