Isu dan persoalan berhubung menyentuh al-Quran ketika berhadas timbul disebabkan beberapa senario yang berlaku dalam masyarakat:
-
- Pelajar Maahad Tahfiz yang perlu mendampingi al-Quran selalu untuk mengulang kaji dan mengukuhkan hafalannya, dan kadangkala mereka dalam keadaan tanpa wuduk.
- Pelajar sekolah secara umumnya yang perlu membawa al-Quran untuk menghadiri program tertentu dan berhadas ketika program sedang berjalan.
- Ahli masyarakat yang seringkali membawa al-Quran untuk tadabbur dan kadangkala berhadas dan mempunyai kepayahan untuk mengambil wuduk.
DALIL DAN NAS
Berhubung persoalan menyentuh al-Quran tanpa bersuci, secara umumnya para ulama bersepakat bahawa menyentuh al-Quran atau Mashaf adalah haram, melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 37/276)
Dalilnya ialah firman Allah:
لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
“Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.” (al-Waqi’ah 56:79)
Berhubung ayat ini, Imam Qartubi berkata, “Telah berkata Imam Qatadah dan yang lain-lainnya, tidak boleh menyentuhnya (al-Quran) dalam keadaan berhadas dan bernajis.. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum menyentuh Mashaf tanpa wuduk. Jumhur ulama melarangnya berdasarkan hadis ‘Amru ibn Hazm. Inilah pendapat yang dipegang oleh Ali, Abdullah ibn Mas’ud, Saad ibn Waqqas, Said ibn Zaid, ‘Atha, az-Zuhri, an-Nakhaie, Hammad dan golongan fuqaha’ antaranya Imam Malik, Syafie RA..” (al-Jamik li Ahkam al-Quran, Imam Qartubi)
Adapun hadis yang dijadikan hujah oleh para ulama ini ialah:
عَنْ أَبِى بَكْرِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ حَزْمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَتَبَ إِلَى أَهْلِ الْيَمَنِ كِتَابًا فَكَانَ فِيهِ لاَ يَمَسُّ الْقُرْآنَ إِلاَّ طَاهِرٌ
“Daripada Abu Bakar bin Muhammad bin ‘Amr bin Hazm (daripada ayahnya daripada datuknya), sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menulis surat untuk penduduk Yaman yang isinya bermaksud, ‘Tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci’.” (Riwayat Daruquthni no. 449. Hadis ini dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani dalam al-Irwa’ no. 122)
Imam Nawawi menegaskan, diharamkan seseorang yang berhadas menyentuh Mashaf dan membawanya, sama ada membawanya secara tidak langsung atau secara langsung. Sekiranya ditulis al-Quran pada kayu maka hukumnya adalah seperti hukum Mashaf, sama ada tulisan itu sedikit atau banyak. Sekiranya sebahagian ayat (al-Quran) ditulis untuk belajar maka haram menyentuh kayu atau lembaran yang ditulis ayat tersebut. (Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/192)
Imam Ibn Taimiyyah berkata, “Mengikut pendapat imam mazhab yang empat, Mashaf al-Quran tidak boleh disentuh melainkan oleh orang yang suci, sebagaimana terdapat dalam surat yang dikirimkan oleh Rasulullah kepada ‘Amr bin Hazm iaitu, ‘Tidak boleh menyentuh Mashaf melainkan orang yang suci’. Imam Ahmad berkata, ‘Tidak diragukan bahawa Nabi SAW telah menulis surat tersebut kepada ‘Amr bin Hazm’. Inilah pendapat Salman al-Farisi, Abdullah bin Umar dan yang lainnya RA. Tidak diketahui adanya sahabat lain yang berbeza pendapat dengan dua orang sahabat ini.” (Rujuk Majmuk Al-Fatawa, 21/266)
Imam Ibn Hajar al-Haitami, salah seorang ulama mazhab Syafie berkata:
ويحرم بالحدث الصلاة إجماعا ونحوها كسجدة تلاوة وشكر وخطبة جمعة وصلاة جنازة. والطواف, ولو نفلا لأنه صلاة كما في الحديث ،وحمل المصحف ومس ورقه وحواشيه وجلده المتصل به
“Haram ketika sedang berhadas melakukan solat secara ijmak, dan hal yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat, solat jenazah, tawaf sekalipun sunnah.. dan (haram) membawa mashaf, menyentuh kertasnya, hasyiyahnya serta sampulnya yang berhubungan dengan mashaf”. (Rujuk al-Minhaj al-Qawim)
Di sudut mazhab Syafie, diharamkan mereka yang berhadas menyentuh mana-mana bahagian kitab atau mashaf al-Quran, walaupun dengan menggunakan lapik yang tebal. (Rujuk al-Bujairimi, (1995), Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib)
PERBEZAAN MASHAF DENGAN KITAB TAFSIR DAN SEUMPAMANYA
Telah jelas bahawa mereka yang tidak berwuduk tidak boleh menyentuh Mashaf al-Quran. Wanita yang sedang mengalami haid dan nifas juga tidak boleh menyentuh Mashaf al-Quran.
Apakah itu Mashaf? Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani berkata:
وَالْمرَاد بالمصحف كل مَا كتب فِيهِ شَيْء من الْقُرْآن بِقصد الدراسة كلوح أَو عَمُود أَو جِدَار
“Dan dimaksudkan dengan Mashaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding”. (Rujuk Nihayah al-Zain, hlm. 32)
Justeru, Mashaf adalah sesuatu atau benda yang ditulis di atasnya ayat al-Quran semata-mata. Sesuatu atau benda itu mungkin lembaran kertas, kain, batu, kayu, atau tanah. (Rujuk Hasyiah al-Bujairimi al-Khatib, 3/498)
Maka haram orang yang berhadas menyentuh Mashaf al-Quran, samada kulit bukunya, sampulnya atau kertas di dalamnya.
Manakala buku atau kitab tafsir, buku-buku agama, kitab-kitab fikah dan yang seumpamanya adalah tulisan-tulisan yang terdapat beberapa potongan ayat al-Quran di dalamnya, dan bukan seratus peratusnya al-Quran. Jumhur ulama mengharuskan menyentuh, membawa dan mengulang kaji kitab atau buku seumpama ini walaupun dalam keadaan berjunub, kerana hukum Mashaf al-Quran tidak terpakai ke atasnya. Inilah pendapat yang zahir dari mazhab Maliki dan juga Hanbali. (Rujuk Syarh Mukhtasar Khalil oleh Imam al-Kharasyi al-Maliki)
Demikian juga yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi:
وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ
“Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fikah, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat potongan ayat al-Quran. Ini berdasarkan dalil Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat al-Quran, kerana ia tidak dinamakan sebagai mashaf justeru tidak sabit hukum haram ke atasnya”. (Rujuk al-Mughni, Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi)
Namun di sisi mazhab Syafie, terdapat sedikit perincian, iaitu, haram menyentuh dan membawa kitab tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak berbanding tafsirnya. Sekira tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka tidak haram menyentuhnya.
Berhubung dengan ini, Imam Nawawi berkata:
كِتَابُ تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ إنْ كَانَ الْقُرْآنُ فِيهِ أَكْثَرَ كَبَعْضِ كُتُبِ غَرِيبِ الْقُرْآنِ حُرِّمَ مَسُّهُ وَحَمْلُهُ وَجْهًا وَاحِدًا كَذَا ذَكَرَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ وَنَقَلَهُ الرُّويَانِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ
“Adapun kitab tafsir al-Quran, sekiranya pada tafsir itu yang paling banyaknya ialah ayat-ayat al-Quran, maka diharamkan untuk menyentuh dan membawanya. Demikianlah yang disebutkan oleh al-Mawardi dan selainnya, juga dinukilkan oleh al-Ruyani daripada Ashab (yakni tokoh-tokoh ulama mazhab Syafie). Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah Mashaf”. (Rujuk Majmuk dan Raudah at-Talibin oleh Imam Nawawi, dan Asnaa al-Matolib oleh Imam Zakaria al-Ansari)
Namun jika timbul keraguan tanpa kepastian tentang sama ada jumlah ayat al-Quran yang lebih atau tulisan yang bukan al-Quran yang lebih di sudut jumlahnya, maka hukumnya adalah tidak haram untuk menyentuh dan memegangnya. Berhubung dengan ini, Imam Muhammad Syatha Ad-Dimyathi telah berkata:
وَجَرَى اِبْنُ حَجَرٍ عَلَى حِلِّهِ مَعَ الشَّكِّ فِي الْأَكْثَرِيَّةِ اَوِ الْمُسَاوَةِ، وَقَالَ: لِعَدَمِ تَحَقُّقِ الْمَانِعِ وَهُوَ الْإِسْتِوَاءُ
“Imam Ibn Hajar al-Haytami berpendapat boleh menyentuh (kitab-kitab) ketika ragu akan jumlah hurufnya apakah lebih banyak ayat (al-Quran) atau sama jumlahnya.” (I’anatul Thalibin, Imam Muhammad Syatha ad-Dimyathi)
KESIMPULAN
Haram bagi mereka yang berhadas (yang tidak berwuduk) daripada menyentuh Mashaf. Mashaf adalah sesuatu atau benda yang ditulis di atasnya ayat al-Quran semata-mata. Sesuatu atau benda itu mungkin lembaran kertas, kain, batu, kayu, tanah dan yang seumpamanya.
Adapun kitab-kitab tafsir, buku-buku fikah, risalah-risalah agama dan seumpamanya, hukumnya tidak sama seperti hukum Mashaf. Ini disebabkan di dalamnya terdapat potongan ayat-ayat al-Quran di samping tulisan-tulisan yang lain. Justeru, mereka yang berhadas, malah mereka yang berjunub dan berhadas besar, harus (yakni tidak haram) membawa dan menyentuh kitab-kitab ini, apatah lagi untuk tujuan pembelajaran.
Walau bagaimanapun bagi mazhab Syafie, keharusan itu mempunyai syarat tambahan, iaitu, hendaklah jumlah ayat-ayat al-Quran di dalam kitab-kitab itu kurang berbanding jumlah ayat-ayat (tulisan) yang bukan al-Quran di dalamnya. Jika jumlah ayat al-Quran dan yang lain-lainnya kelihatan lebih kurang sama, dan tidak dapat dipastikan sama ada jumlah ayat al-Quran kurang atau lebih berbanding tulisan yang lain, tidak haram menyentuh kitab-kitab itu.
Oleh:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
14/1/2023
-
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
-
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4443-irsyad-al-fatwa-siri-ke-496-bolehkah-membaca-al-quran-di-dalam-telefon-bimbit-tanpa-berwuduk
