1- DALIL PUASA ENAM
- Sunat puasa enam di bulan Syawal adalah berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim. Daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
- Maksudnya: “Barang siapa berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun”. Riwayat Muslim)
- Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebutkan bahawa hadis ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadilatnya ialah seumpama berpuasa sepanjang tahun. Berhubung fadilat ini, ia adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang lain yang menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا (rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 8/56)
- Setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 kali ganda dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan puasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan pahalanya seumpama berpuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah).
2- MESTIKAH 6 HARI BERTURUT-TURUT?
- Imam Nawawi dalam al-Majmuk menyebutkan: “Dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…” (rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 6/379)
- Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan: “Tidak ada bezanya (puasa itu) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan sama ada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadis menyebutkannya secara mutlak tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain”. (rujuk al-Mughni 3/177)
3- BOLEHKAH NIAT PUASA ENAM BERGABUNG DENGAN PUASA QADA?
- Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib qada ke atasnya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Dia tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian baharu diekori dengan puasa qada.
- Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak), maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada kerana baginya waktu untuk dia melaksanakan puasa qada adalah luas (muwassa’).
- Berhubung perkara ini, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berkata: “(Dan demikian lagi) orang yang tidak berpuasa disebabkan uzur, sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal. Melainkan orang yang tidak berpuasa Ramadan tanpa uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan mengqada Ramadhan..” (Rujuk Bughyah at-Tullab, hlm. 128)
- Ulama dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat antara puasa qada Ramadhan dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
- Syeikul Islam Zakaria al-Ansari berkata: “Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk qada bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya… Tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat untuk berpuasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja”. (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
- Imam Ramli berkata bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qada di bulan Syawal, adakah berhasil qada puasa Ramadan dengan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal? Beliau menjawab: “Bahawa berhasil puasa qada Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qada Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil juga pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli 2/339)
- Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam isu berniat puasa sunat bersama puasa wajib berkata: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu sahaja maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya”. (Rujuk Kitab al-Fatwa al-Kubra 2/75)
4- KESIMPULANNYA
- Bagi mereka yang terpaksa berbuka puasa di bulan Ramadan kerana uzur yang diizinkan syarak, maka harus menggabungkan puasa sunat Syawal dengan puasa qada Ramadannya. Namun pahala yang diperolehnya adalah tidak sempurna.
- Sahibus Samahah Mantan Mufti Wilayah Persekutuan merumuskan: “Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan Syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang daif. Namun begitu, menyegerakan qada puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama bagi mereka yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang diizinkan syarak”.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3458-al-kafi-1275-bolehkah-niat-puasa-enam-dan-puasa-ganti-secara-serentak
Susunan / Nukilan:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
4 Syawal 1444 H, bersamaan 25/4/2023
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.