Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/408): “Hal ini merupakan kisah tentang keadaan orang-orang yang berbahagia, iaitu mereka yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul, serta melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka maka mereka pun mengerjakan amal-amal salih. Maka Allah memberi petunjuk kepada mereka berkat keimanannya. Berkemungkinan juga maksudnya ialah, disebabkan Iman mereka di dunia, maka Allah pada hari kiamat memberi kepada mereka petunjuk menempuhi siratulmustakim sehingga mereka selamat memasuki syurga.”
Tidak cukup sekadar bertempik mengatakan diri beriman: Benar, begitu ramai yang mengaku beriman tetapi cara hidup mereka seumpama kafir. Iman dan amal salih amat perlu untuk ditekankan secara konsisten dalam hidup dan dengan itu, biiznillah, kita akan dipimpin oleh Allah menuju kejayaan.
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/157): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka disebabkan keimanan mereka,’ (ayat 9). Semua orang dapat membuka mulut dan bersorak mengatakan beriman. Orang-orang Islam yang fanatik di kampung-kampung amat marah kalau mereka dikatakan kafir, walaupun mereka tidak mengerjakan sembahyang.. Memang mereka telah percaya kepada Allah. Tetapi dalam ayat ini ditegaskan bahawa pengakuan percaya sahaja belum cukup. Iman adalah kepercayaan di dalam hati, dan ia tidak bererti sebelum dibuktikan dengan amal yang salih. Ertinya Iman itu perlu dipraktikkan dengan amal perbuatan.. Maka apabila Tuhan telah melihat kegiatan hamba-Nya itu dengan Iman dan amal salihnya, Dia sendiri akan memimpin, memberi petunjuk dengan Iman yang ada padanya itu, sehingga dia selamat menempuh siratulmustakim. Maka orang yang beriman dan beramal salih tidaklah pernah terlepas daripada bimbingan Tuhan, daripada Tauhid dan Hidayat-Nya. Betapa pun besar kesukaran yang ditempuhinya, namun di dalam kesukaran itu akan bertemu kemudahan. Dia tidak pernah kehilangan cahaya, sebab cahaya ada dalam hatinya sendiri.. Segala perdayaan oleh Iblis untuk memisahkannya daripada Tuhan, dia tidak mahu. Bertambah ditarik tangannya supaya terlepas, bertambah dipegangnya dengan erat. Walaupun dia akan mati dalam memegang itu.”
Berkat Iman dan amal salih berserta bimbingan Tuhan, manusia memasuki taman istimewa yang mengalir di bawahnya sungai-sungai: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/158): “Maka datanglah lanjutan ayat, bahawa pimpinan Tuhan yang telah menyelamatkannya daripada perdayaan dunia, membawanya sampai ke akhirat dan lancarlah jalannya memasuki syurga: “Mengalir di bawah mereka sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan,’ (hujung ayat 9). Ayat ini menjelaskan kepada kita, kalau tunas iman telah mulai terasa tumbuh dalam diri kita, janganlah kita pasif, atau kita diamkan saja. Lekas buktikan, lekas pupuk.. Kalau Iman telah mulai terasa walaupun baru sedikit, pupuklah dia dengan amal dan ibadat.. Dan bantuan yang dijanjikan Tuhan itu hanya akan terasa sesudah usaha kita memupuk iman (dengan beramal) itu berjalan. Oleh sebab itu teranglah bahawa jalan ke syurga itu perlu dimulai dari sekarang juga (dengan iman dan amal salih).”
- (SURAH YUNUS AYAT 10) – DOA AHLI SYURGA: Allah berfirman bermaksud: “Doa mereka di dalam (syurga) ialah سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ (Subhanakallahumma), dan salam penghormatan mereka ialah سَلامٌ (Salam). Dan penutup doa mereka ialah الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin).” (Yunus 10:10)
Tiga ucapan ahli syurga: Berkata Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir (jil.6/125): “Bagi orang Mukmin yang benar yang melakukan amal salih, (baginya) syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawah mereka atau dari bawah taman mereka sungai-sungai. Mereka terus memuji Allah SWT di dalam syurga dengan membaca سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ dan memuji-Nya dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ . Kebahagiaan selalu menyelimuti mereka, kemegahan selalu mengisi hati mereka dan kegembiraan selalu menaungi mereka. (Bentuk) salam penghormatan Allah bagi mereka, atau salam penghormatan para malaikat (bagi mereka) atau salam penghormatan sesama mereka adalah salaam.”
Hamka pula menjelaskan dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/159): “Tiga kalimat menjadi ucapan ahli syurga. Pertama Tasbih, iaitu menyucikan Tuhan. Kedua Salam, yang bererti damai, sehingga syurga itu sendiri dinamai juga Darus Salam iaitu Negeri Damai. Ketiga Tahmid, iaitu puji-pujian yang setinggi-tingginya bagi Tuhan. Dengan ini jelaslah bahawa nikmat syurga itu lebih banyak yang bersifat rohaniah, meskipun di dalamnya ada juga nikmat jasmani. Maka dalam hidup kita yang sekarang ini pun kita telah rasai bahawasanya nikmat rohani itulah nikmat yang kekal dan sejuk.”
- RUMUSANNYA: Iman di dalam hati tidak akan sempurna tanpa dibuktikan dengan amal salih secara konsisten. Maksudnya, Iman itu perlu dipraktikkan dengan amal perbuatan, secara amali. Apabila Allah menyaksikan kegiatan hamba-Nya itu menegakkan tuntutan Iman dan amal salihnya secara yang bersungguh-sungguh, maka Dia SWT akan memimpin dan memberi petunjuk kepada hamba-Nya itu berkat Iman yang ada padanya, sehingga dia selamat menempuhi alam akhirat.
Inilah yang kita dambakan.
RUJUKAN:
- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
- Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
- Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
- Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
- Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
- Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980