Allah tidak menyegerakan untuk mengabulkan permohonan kaum kafir ketika mereka mencabar agar disegerakan azab ke atas mereka. Agar mereka berpeluang untuk terus mendengar seruan kebenaran dan berfikir tentangnya. Ini antara sifat rahmat Allah kepada makhluknya.
Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/408): “Allah SWT menyebutkan tentang sifat penyantun dan lemah lembut-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Dia tidak memperkenankan ketika mereka mendoakan kejahatan buat diri mereka sendiri atau buat harta benda dan anak-anak mereka, di saat mereka sedang marah dan emosi. Allah SWT mengetahui bahawa mereka tidak sengaja melakukan hal itu, kerana itulah maka Dia tidak mengabulkan doa mereka, sebagai kasih sayang dan rahmat buat mereka. Hal ini berbeza jika mereka mendoakan kebaikan, keberkatan, dan kesuburan buat diri, harta benda, dan anak-anak mereka, maka ketika itu Allah memperkenankannya buat mereka.”
Namun hidup mereka tetap dalam kebingungan, tanpa petunjuk: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/162): “Tetapi Kami biarkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan Kami itu dalam kesesatan, dalam keadaan bingung,’ (hujung ayat 11). Mereka diazab juga, tetapi bukan dengan azab kemusnahan, tetapi dengan azab kebingungan kerana jalan yang telah tersesat.. (Bagi) orang yang beriman, nescaya dia percaya bahawa akan datang masanya dia bertemu Tuhan untuk dipertanggungjawabkan amalnya selama berada di dunia ini. Bagaimana pula dengan orang yang tidak mahu menerima kepercayaan itu? Mereka menjadi dalam kebingungan, kerana tidak tentu ke mana hidupnya hendak diarahkan.”
- (YUNUS AYAT 12): MASA SUSAH BARU BENAR-BENAR MENCARI TUHAN: Allah berfirman bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripada dirinya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Yunus 10:12)
Begitulah perangai sebahagian manusia. Mereka hanya mencari Tuhan ketika menghadapi masalah. Ketika senang mereka kembali menyembah nafsu, kembali hanyut dalam kekufuran.
Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/409): “Allah SWT menceritakan tentang manusia dengan kegundahan dan kekhuatirannya ketika ditimpa oleh bahaya.. Manusia itu apabila tertimpa oleh malapetaka dan kesusahan, maka dia gelisah dan cemas serta banyak berdoa pada saat itu. Lalu dia berdoa kepada Allah agar musibah itu dilenyapkan dan dijauhkan daripadanya dalam keadaan berbaring atau duduk atau berdiri, dan terus menerus berdoa dalam semua keadaan. Tetapi apabila Allah melenyapkan musibah dan malapetaka yang menimpanya, maka dengan serta merta dia berpaling dan menjauh serta meninggalkan apa yang pernah dilakukannya, seakan-akan tidak pernah terjadi sesuatu pun ke atasnya sebelum ini.”
Ketika susah, oh Tuhan! Ketika senang Tuhan tiada: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/163): “Ayat ini masih berhubungan dengan ayat yang sebelumnya. Dia membayangkan tentang tabiat perangai manusia. Dengan sombong dan bangga mereka menentang Nabi Allah, cuba datangkan tanda bukti kekuasaan Allah dengan mengazab kami sekarang juga.. Cubalah, lekaskan! (Ketika) mereka ditimpa oleh suatu kemudaratan atau kesusahan, mereka akan gelisah berdoa, mohon kepada Allah, ya Tuhan, kasihanilah hamba-Mu ini. Mereka berdoa baik ketika sedang berbaring tidur, atau sedang duduk atau sedang tegak berdiri.. Bukan kepalang khusyuknya doa mereka ketika itu. ‘Tetapi tatkala telah Kami lepaskan daripada kesusahannya itu, dia pun pergi, seakan-akan tidak pernah berdoa kepada Kami buat menghilangkan kesusahan yang menimpanya itu,’ (ayat 12). Ini pun tabiat kebanyakan manusia tadi. Di waktu susah dia tekun berdoa kepada Tuhan, tetapi setelah bahaya terlepas, dia pun pergi! Tuhan Allah mereka belakangi dan tidak mereka ‘tegur-sapa’ lagi.”
Bahaya berasa OK dan selesa dengan kemungkaran yang kita lakukan: Mereka berasa OK dengan sikap mereka dan kekufuran mereka itu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan, kata mereka. Mereka tidak sedar bahawa neraca pertimbangan mereka telah jauh terbabas daripada kebenaran. Azab semakin hampir.
“Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang mereka kerjakan,” (hujung ayat 12). Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/163): “Begitulah perangai orang yang jiwa mereka tidak berdiri atas dasar kepercayaan akan bertemu dengan Tuhan. Begitulah keadaan jiwa musyrikin Makkah yang menentang Nabi Allah dan minta diturunkan azab sekarang juga. Orang yang keras mulut dan sombong itulah kelak, bila datang bahaya, akan kelihatan kecil dan kerdil jiwanya.”
- (YUNUS AYAT 13): MENOLAK KEBENARAN MENGUNDANG KEBINASAAN: Allah berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang sebelum kamu ketika mereka melakukan kezaliman, padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.” (Yunus 10:13)
Usah terpedaya dengan kehidupan yang senang hanya seketika ketika kita menolak kebenaran. Ketika itu kita berasa kita yang betul. Everything is going to be OK. Umat terdahulu pernah berada dalam keadaan seperti itu, kemudian mereka binasa.
Dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/409), Imam Ibn Kathir berkata: “Allah SWT menceritakan perihal apa yang telah menimpa ke atas umat-umat terdahulu karena mereka mendustakan keterangan-keterangan dan hujah-hujah yang jelas yang disampaikan oleh rasul-rasul mereka. Kemudian Allah mengganti mereka dengan kaum lain sesudah mereka, mengutus seorang rasul kepada mereka untuk dilihat tahap ketaatan mereka kepadanya, dan apakah mereka mahu mengikuti Rasul-Nya.”
Dihancurkan mereka disebabkan mereka zalim: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/164): “Kebinasaan yang menimpa mereka ialah kerana mereka aniaya diri sendiri, zalim diri mereka sendiri, melanggar batas dan peraturan: ‘Dan telah datang kepada mereka Rasul-rasul dengan penjelasan-penjelasan,’ Semua Rasul itu datang bukan sembarang datang, melainkan datang dengan wahyu daripada Tuhan. Ada yang membawa Kitab lengkap sebagai nabi Musa dan yang lain-lain. ‘Tetapi tidaklah mereka mau percaya.’ Dengan ringkas dibayangkan dalam ayat ini perjuangan Rasul-rasul itu, yang diuraikan agak panjang dalam surah-surah yang lain, bagaimana Rasul-rasul itu datang, bagaimana pula kaum itu menolak, dan akhirnya bagaimana Allah menghancurkan mereka. Demikianlah Kami ganjari kaum yang derhaka,’ (hujung ayat 13). Ganjaran seksaan datang kepada mereka sebabnya ialah ‘lamma zalamu’, iaitu tatkala mereka telah bertindak zalim.”
Berkata Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir (jil.6/133): “Sesungguhnya kebinasaan umat yang zalim terdahulu ataupun yang sekarang adalah disebabkan kezaliman. Kezaliman ini berupa kekafiran dan kemusyrikan ataupun sikap melampaui batas seseorang dan penguasa.”
- (YUNUS AYAT 14) ALLAH DATANGKAN KITA SEBAGAI PENGGANTI, MENGGANTIKAN UMAT YANG TERDAHULU, DAN KITA AKAN DINILAI: Allah berfirman bermaksud: “Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti mereka (khalaaif) di muka bumi selepas mereka, supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat.” (Yunus 10:14)
Kitalah pengganti umat yang terdahulu yang sebahagiannya telah hancur binasa. Kita sebagai pengganti sepatutnya mengambil iktibar tentang apa yang telah berlaku ke atas umat terdahulu. Jika kita taat, kita selamat. Jika kita derhaka, kita bakal binasa.
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/165): “Turunnya ayat ini pada mulanya tentu kepada penduduk Makkah, sebab kepada merekalah Tuhan mengutus Rasul-Nya Muhammad SAW (pada awalnya). Maka diperingatkanlah mereka, bahawasanya setelah umat-umat terdahulu itu, kerana derhaka, karena zalim, telah binasa, sekarang kamu pula ditimbulkan Tuhan daripada sisa (peninggalan) umat yang telah binasa itu. Kamu adalah khalaaif, ertinya pengganti-pengganti, atau penyambung daripada umat yang dahulu itu, buat melanjutkan hidup manusia di bumi. Dan telah diutus pula kepada kamu seorang Rasul, iaitu Muhammad SAW. ‘Supaya Kami melihat bagaimana kamu beramal,’ (hujung ayat 14).”
Berkata Hamka lagi: “Maksudnya, hendaklah pengalaman daripada umat yang telah kamu gantikan itu kamu jadikan perbandingan dan iktibar. Maka Tuhan akan melihat bagaimana caranya kamu melanjutkan hidup sebagai pengganti (yang memikul) tugas umat manusia. Apakah kamu akan memilih jalan yang salah, (seperti) umat yang telah binasa itu, atau kamu akan terima ajaran Tuhan dengan baik? Ayat ini turun di Makkah. Orang Quraisy atau musyrikin (Quraisy) menjadi sebab bagi turunnya ayat ini, sedangkan ayat ini selanjutnya akan menjadi pedoman bagi umat Muhammad SAW sendiri, umat yang telah mengakui Nabi Muhammad sebagai Rasulnya dan Islam sebagai agamanya. (Maka) ayat ini bukan lagi buat Quraisy, melainkan buat kita umat Muhammad SAW.”
Ya, Allah SWT akan melihat bagaimana kita bekerja, bagaimana kita beramal, bagaimana tindak tanduk kita, bagaimana perangai kita, bagaimana kita menyelesaikan masalah, bagaimana, bagaimana dan bagaimana. Justeru mari pastikan jalan kita merupakan jalan yang lurus, selari dengan apa yang di bawa Nabi SAW. Jangan sudah terhantuk baru tengadah!
- RUMUSANNYA. INGAT TUHAN HENDAK MELIHAT APA YANG KAMU BUAT, APA YANG KAMU KERJAKAN: Rahmat Ilahi begitu luas hatta terhadap golongan yang menderhaka terhadap Allah SWT. Rahmat-Nya adalah dalam bentuk ditangguhkan azab ke atas mereka dan permohonan mereka agar azab disegerakan tidak segera dikabulkan untuk memberi peluang kepada mereka untuk mendengar kebenaran dan semoga dengan itu mereka akan insaf.
Jangan jadi seperti golongan yang menggelupur mencari Tuhan memohon pertolongan ketika menghadapi kesusahan, dan ketika senang Tuhan dikesampingkan begitu sahaja. Tunduklah kepada Allah SWT di waktu susah dan senang!
Jangan lupa azab Ilahi datang ketika manusia hanyut dalam kezaliman dan kekufuran, dan itulah yang telah berlaku kepada umat terdahulu, seperti kaum ‘Ad dan Thamud. Kita pada hari ini perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku kepada mereka sebelum ini. Jalan yang menjadi pilihan mereka jangan ia kita pilih sebagai jalan pilihan kita pada hari ini.
Dan ingat, di hujung ayat 14 Allah menegaskan, bahawa, ‘Tuhan mahu melihat apa yang kamu kerjakan.’ Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/167): “Hujung ayat menegaskan bahawa Tuhan mau melihat apa yang kamu kerjakan. Alangkah penting hubungan manusia dengan perkembangan pekerjaan dan usaha mereka dalam membangun masyarakat mereka. Apabila semangat bekerja masih berkobar berdasarkan Iman kepada Allah, suatu masyarakat atau negara tidak akan runtuh. Tetapi apabila semangat bekerja mulai kendur, kerana Iman yang mendorongnya sudah padam, keruntuhan tidak dapat dicegah lagi.. Agama, tegasnya al-Quran dan as-Sunnah, sudah ditinggalkan oleh Rasul SAW untuk menjadi pedoman dalam menghadapi dan menguasai hidup. Kekuatan Iman mampu memberikan ilham yang kuat. Hidup (memerlukan kita) menyesuaikan diri dengan ruang dan waktu, sedang al-Quran mengatasi dan memimpin kita (menghadapi) perubahan ruang dan waktu itu. Semangat yang telah nyaris runtuh, bisa bangun kembali kalau umat pulang kepada Iman dan amal.”
RUJUKAN:
- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
- Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
- Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
- Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
- Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
- Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980