Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (JIL.2/407) menukilkan kenyataan Imam al-Hasan berhubung ayat ini: “Mereka melupakan tanda-tanda kebesaran Allah yang ada pada semesta alam ini, kerana mereka tidak mahu memikirkannya. Mereka pun lalai daripada hukum Allah yang ada pada syariat agama-Nya. Kerana itulah maka tempat kembali mereka kelak di hari kiamat adalah neraka, sebagai pembalasan atas apa yang selama di dunia mereka lakukan, iaitu berupa dosa-dosa, kesalahan-kesalahan, dan kejahatan-kejahatan, di samping kekufuran mereka kepada Allah, Rasul-Nya, dan hari kemudian.”
Yang beriman selalu optimis. Sentiasa membuat persiapan: Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/154-155): “Ayat 7 ini masih bersangkut rapat dengan ayat 6. Orang yang merenung semua langit dan bumi dan memperhatikan (kelainan) malam dan siang, akan timbul kepercayaan, timbul Iman akan adanya Tuhan. Sebab itu dia akan menjadi seorang yang bertakwa. Kalau takwa telah timbul, akan percayalah dia bahawa hidupnya bukanlah setakat ini saja. Tetapi dia akan mati, dan sesudah mati mempunyai harapan akan bertemu dengan Tuhan. Orang yang telah sampai kepada makam Iman itu, menjadi tidak takut lagi akan mati, melainkan bersedia menerimanya dengan reda.. Dia pun berasa gembira menjalani hidup di dunia ini, sebab dalam hidup yang pendek ini dia dapat menyiapkan bekal persediaan yang akan dihadapkannya ke hadapan Tuhan kelak. Sebab itu dia selalu optimis atau bergembira menghadapi hari depan.”
Bagi mereka yang tiada akhirat, syurga hanya di dunia: Seterusnya Hamka berkata: “Sangat berbeza keadaannya dengan orang yang renungannya dalam hidup ini hanya (berlegar) di sekitar benda. Dia beredar di sekitar makhluk, tetapi tidak sampai kepada khaliq (Tuhan).. Dia tidak keberatan mengerjakan pekerjaan yang merugikan orang lain atau merugikan dirinya sendiri. Nilainya tentang baik dan buruk hanya bergantung kepada kepentingan dirinya saja. (Pegangan mereka ialah): Untuk mencapai suatu tujuan, segala jalan boleh ditempuh (halal). Sifat hidup orang demikian dijelaskan oleh ayat: ‘Dan mereka berasa senang dengan kehidupan di dunia dan berasa tenteram dengannya,’ (ayat 7). Hidup hanya di dunia ini sahaja, akhirat tidak ada, pertemuan dengan Tuhan tidak ada, syurga neraka tidak ada. Kalau mau masuk syurga, cariilah syurga dunia ini saja.”
Apabila akhirat tidak penting, kelalaian menjadi pendamping: Begitulah yang akan berlaku kepada mereka yang menolak akhirat. Mereka akan terus menerus lalai dan menjadi ‘orang dunia.’
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/156): “Dan orang-orang yang lalai daripada ayat-ayat Kami,’ (hujung ayat 7). (Mereka) tidak ada perhatian kepada tanda-tanda adanya kekuasaan Tuhan, malahan, tidak mahu percaya. Bagaimana akhir atau akibat orang seperti ini? ‘Mereka itu, tempat kembali mereka adalah neraka, lantaran apa yang telah mereka usahakan,’ (ayat 8). Orang yang tidak mengharapkan hari depan, tidak percaya bahawa segala perbuatan di kala hidup ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak, berasa bahawa dia (tidak perlu) bertanggungjawab. Sebab itu mereka tidak keberatan berbuat dosa, baik untuk kecelakaan dirinya atau kecelakaan masyarakat.. Oleh sebab itu maka naik turunnya grafik kejahatan seseorang, atau naik turunnya kezaliman dalam sesuatu masyarakat, adalah menurut ukuran turun naik kepercayaan terhadap pertemuan di hari akhirat dengan Allah jua. (Maka) penghujung yang wajar bagi yang hidup yang tidak mempunyai kepercayaan (yang benar) ialah neraka.”
- RUMUSANNYA: Beriman kepada Allah SWT serta hari kiamat wajib ada dalam diri manusia agar ia menghasilkan kompas yang benar dalam hidup menuju destinasi yang sejahtera. Tanpa kompas ini manusia akan hanya mementingkan dunia dan hidup penuh kelalaian.
RUJUKAN:
- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
- Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
- Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
- Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
- Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
- Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980