Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

SINOPSIS TAFSIR KONTEMPORARI : FEB/2026 : RAMADAN/1447 : TAFSIRAN SURAH YUNUS AYAT 4-6 (10:4-6) – MUSAFIR HIDUP, MATI DAN HIDUP SEMULA, MENUJU PEMBALASAN. AL-QURAN DAN SAINS BERKAITAN CAHAYA MATAHARI DAN BULAN. KAJIAN ALAM BOLEH MEMBAWA KEPADA TUHAN

  • (SURAH YUNUS AYAT 4) – MUSAFIR KEHIDUPAN MENUJU AKHIRAT: Allah berfirman bermaksud: “Hanya kepada-Nyalah kamu semuanya akan kembali, sebagai janji yang benar daripada Allah. Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk pada permulaannya, kemudian mengulanginya (menghidupkannya) kembali (sesudah berbangkit), agar Dia memberi pembalasan kepada orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal salih dengan adil. Dan untuk orang-orang yang kafir disediakan minuman air yang panas dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka.” (Yunus 10:4)

Hidup mempunyai tanggungjawab, maka jangan lupa, kita akan kembali untuk dipertanggungjawabkan: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/147): “Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali dan selama hidup yang hanya seketika ini tidaklah kita terlepas daripada tilikan-Nya.. Makan minum, persediaan untuk hidup seluruhnya pun adalah daripada Dia belaka.. Oleh sebab itu jika Tuhan berfirman bahawa kepada-Nya jua tempat kita kembali, ia bererti kita kembali untuk dipertanggungjawabkan (atas segala perbuatan kita).”

Kepentingan menjiwai tentang Hari Pembalasan. Apakah bekalan yang bermanfaat di sana?: ‘Agar Dia memberi pembalasan kepada orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal salih dengan adil,’ (ayat 4).

Keimanan terhadap hari kiamat teramat penting agar kehidupan kita di dunia mempunyai matlamat yang jelas. Apabila hidup ini jelas matlamatnya, kita akan bekerja keras demi mencapai matlamat itu.

Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/147): “Guna apa Dia mengembalikan hidup kita (bagi kali) yang kedua itu? ‘Agar dibalas-Nya orang yang beriman dan beramal salih dengan adil,’ (ayat 4). Tidak ada amal atau jasa yang akan terbuang sia-sia, tidak ada usaha ikhlas yang akan hilang percuma. Semuanya akan diberi ganjaran (dengan) adil.. Tuhan menjelaskan bahawa di hari Kiamat itu kelak Tuhan akan menegakkan neraca pertimbangan yang (amat) adil, sehingga tidak seorang jua pun yang akan teraniaya atau dirugikan, bahkan meskipun hanya seberat biji sawi yang amat kecil itu (amalannya), juga akan dihadirkan (balasannya).. Dan Tuhan bersedia menambah (pahala) berlipat-ganda, (ada) yang satu dibalas sepuluh, (ada) yang ditanam satu biji, menumbuhkan tujuh cabang dan satu cabang menghasilkan seratus biji pula. Sebagaimana dalam surat an-Nisak (ayat 173) ada disebutkan, bahawasanya orang yang beriman dan beramal salih akan dibayar penuh pahala mereka dan akan ditambah lagi dengan kurniaannya.”

Justeru, ingatlah akhirat dalam setiap perkara yang kita lakukan agar ia dilakukan secara yang betul dan akhirnya menjadi bekalan untuk kita di sana. Iman dan amal salihlah merupakan bekalan yang diiktiraf di sana.

Orang kafir mendapat minuman hamim serta azab. Adilkah?: Bagaimana pula dengan golongan kafir. Apakah balasan yang bakal mereka terima?

Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/148): Dan untuk orang kafir disediakan minuman air hamim (yang panas) dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka,’ (ayat 4). Hamim kita ertikan air yang sedang mendidih kerana terlalu panas. Itulah yang akan menjadi minuman bagi orang kafir, yang tidak mahu mempercayai kebenaran Ilahi, disertai pula dengan azab seksaan yang pedih. Dapatlah kita faham betapa besar kesannya ancaman meminum air mendidih ini sebagai salah satu contoh daripada pelbagai macam azab.. Di seluruh zaman dan tempat di dunia, air mendidih menjadi minuman tetaplah sesuatu yang ngeri. Dan ini hanya satu daripada pelbagai azab.

Ada orang bertanya: ‘Apakah layak memberikan hukuman sengeri itu, daripada Tuhan yang bersifat Rahman dan Rahim, kepada manusia yang terlanjur berbuat dosa kerana kelemahannya?’ Kita menjawab: Ayat-ayat ini adalah peringatan agar manusia menjaga diri sebelum berdosa. Laksana badan ataupun jiwa kita ini, bisa saja ditimpa oleh penyakit yang ngeri, sakit dada, lemah jantung, penyakit typhus dan kolera dan pelbagai penyakit yang lain. Apabila ahli kesihatan telah memberi peringatan supaya menjaga diri, menjaga makanan dan minuman, (tiba-tiba) tidak dipedulikan segala nasihat itu. Kerana kesalahan diri sendiri, lalai berjaga-jaga, maka penyakit itu pun datang menimpa. Bolehkah disandarkan kekejaman kepada Tuhan, jika seorang yang tidak menjaga dirinya ditimpa penyakit?

Orang yang taat dan patuh, (bersusah payah) memelihara peraturan dan tatacara hidup menurut yang sewajarnya, adillah jika dia menerima nikmat disebabkan usahanya. Dan orang yang melanggar segala peraturan, sehingga kemudian mendapat seksaan yang ngeri di akhirat, adalah laksana penyakit badan yang tadi juga. Dia menerima seksa kerana dia sendiri yang salah. Sebab itu azab bukan daripada sebab luaran, melainkan dari sebab diri sendiri jua.”

Demikian dijelaskan oleh Hamka dalam Tafsir al-Azhar.

  • (SURAH YUNUS AYAT 5) – MEMAHAMI RAHSIA DHIYA’ DAN NUR: Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar (dhiya’) dan bulan bercahaya (nur) dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang yang mengetahui.” (Yunus 10:5)

Perbezaan antara dhiya’ dan nur: Dalam Hans Wehr: A Dictionary of Modern Written Arabic, dhiya’ bermaksud ‘light’ iaitu yang mengeluarkan cahaya. Adapun nur, ia diertikan sebagai ‘brightness, gleam, glow’ yang bermaksud bercahaya, menyilau.

Justeru, wujud perbezaan antara dhiya’ dan nur.

Dhiya’ dan nur. Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (11/149): “Di sini terdapat perbezaan antara dhau’ atau dhia’, yang kita ertikan sebagai terang, berbanding nur yang kita ertikan sebagai cahaya. Menurut sesetengah ahli tafsir, dhia’ yang kita ertikan sebagai terang itu ialah terang yang timbul daripada dirinya sendiri. Dan nur yang kita ertikan sebagai cahaya itu ialah sebagai kesan daripada terang yang menimpa ke atas dirinya. Seumpama pelita api, dia adalah terang. (Apabila) terang pelita itu memantul kepada kaca jendela, maka bercahayalah kaca jendela itu disebabkan terangnya pelita.. Kita mengetahui bahawa bulan itu bukanlah terang bersinar sendirinya, melainkan mataharilah yang memancarkan terang dari dalam dirinya sendiri, sebab sepenuhnya matahari itu adalah bahan bakar belaka, dan terang matahari itu memantul kepada bulan, lalu bulan menjadi bercahaya, laksana berlian terkena cahaya lampu. Maka lebih fahamlah kita maksud ayat yang menerangkan bahawa matahari memancarkan sinar terang dan bulan bercahaya”.

Dhiya’ dan nur. Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/407): “Allah SWT menerangkan tentang apa yang telah diciptakan-Nya, yang menunjukkan tentang kesempurnaan kekuasaan-Nya dan kebesaran kemampuan-Nya. Dia telah menjadikan sinar yang timbul dari matahari sebagai penerang dan menjadikan bulan bercahaya. Yang ini berbeza dengan yang itu, antara kedua-duanya tidak ada keserupaan.. Dia telah menetapkan manzilah-manzilah untuk bulan bagi peredarannya. Pada mulanya ia kelihatan kecil, lalu bertambah besar cahaya dan bentuknya hingga menjadi bulan penuh pada malam purnama. Setelah itu mulai berkurang sedikit demi sedikit hingga kembali kepada keadaannya (seperti asal) pada akhir bulan.”

Dhiya’ dan nur. Berkata Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2427) berkata: “Allah menjadikan matahari ضِيَاءً (dhiya’) dan bulan sebagai نُورً (nur), (ayat 5).’ Dhiya’ lebih kuat (cahayanya) berbanding nur. Justeru, dijadikan matahari dhiya’ dan bulan nur kerana wujud perbezaan antara kedua-duanya. Pada hari ini terdapat penjelasan berhubung perbezaan ini. Bahawa cahaya nur bulan adalah merupakan refleksi daripada cahaya dhiya’ matahari. Bahawa matahari mengeluarkan cahayanya sendiri, dan cahaya bulan bergantung kepada cahaya matahari. Maka dengan ini zahirlah mukjizat al-Quran.”

Manzilah-manzilah bulan. Berkata Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2427):Dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, (ayat 5). Maksudnya, telah ditetapkan tempat-tempat perjalanan bulan, di peringkat awalnya ia kelihatan kecil, kemudian cahayanya meningkat sehingga menjadi purnama, kemudian mengecil semula dan kembali seperti mana asal.”

Supaya diketahui bilangan tahun dan hitungan. Berkata Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2427): “Supaya kamu ketahui bilangan tahun dan hitungan,’ (ayat 5). Maksudnya melalui matahari dan bulan kamu mengetahui kiraan tahun, bulan dan hari-harimu. Juga mengetahui tarikh serta waktu yang berkait dengan tahun dan bulan. Telah berkata Imam Ibn Kathir: ‘Melalui matahari kita mengetahui hari-hari dan melalui bulan kita mengetahui bulan-bulan serta tahun.’ Aku (Said Hawa) berkata: ‘Melalui matahari kita tahu tahun syamsiah dan melalui bulan kita tahu tahun qamariah’.”

Penciptaan dengan benar: Rahsia serta kesempurnaan penciptaan Tuhan, perbezaan dhiya’ dan nur, semua ini tidak akan dapat difahami secara yang benar tanpa kajian serta ilmu.

Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/152): “Allah tidak mencipta yang demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang yang mengetahui,’ (ayat 5). Inilah jaminan Allah terhadap terangnya sinar matahari atau cahaya bulan itu ataupun tentang perjalanan falaknya. Semua teratur dengan sangat teliti, sehingga manusia terjamin hidupnya di muka bumi ini. Malamnya untuk istirahat, siangnya untuk berusaha. Terutama tentang sinar atau cahaya itu, bagaimana pertaliannya dengan hidup, malah dengan kesihatan. Dan (mana mungkin boleh digunakan) setiap detik, minit, jam dan hari kalau sekiranya sinar matahari dan cahaya bulan dan edaran falaknya tidak teratur dengan benar, nescaya (ketika itu) manusia tidak akan berani menentukan suatu rencana dalam kehidupan..

Hamka seterusnya menambah: “Perhatikanlah jaminan Tuhan ini. Tidak Allah jadikan yang demikian melainkan dengan benar.. Sinar matahari ada dan cahaya bulan pun ada. Dalam diri kita sendiri diberi pula akal untuk menyambut cahaya itu. Maka bagaimanapun kerasnya sinar matahari dan bagaimanapun lembutnya cahaya bulan, tidak akan diketahui kebenarannya kalau otak sendiri dalam keadaan gelap. Orang yang otaknya kelam tidaklah akan mendapat cahaya kebenaran yang dijamin oleh Tuhan. Oleh sebab itu hujung ayat ini adalah tepat: ‘Dia jelaskan tanda-tanda untuk kaum yang mahu mengetahui (ya’lamun),’ (hujung ayat 5). Ya‘lamun ertinya orang-orang yang mengetahui (berterusan) untuk zaman sekarang dan zaman masa depan.. Agar pencinta ilmu tidak berhenti menyelidiki baik kini, besok atau seterusnya. Dan di sini baru disebut satu sudut saja daripada ilmu itu, iaitu ilmu falak.”

  • (SURAH YUNUS AYAT 6) – PADA PENCIPTAAN ALAM TERDAPAT TANDA BAGI YANG BERTAKWA. MENGAPA DIKAITKAN DENGAN MEREKA YANG BERTAKWA?: Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang dan pada yang diciptakan Allah di langit dan di bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang yang bertakwa.” (Yunus 10:6)

Kefahaman tentang kejadian serta penciptaan alam ini menjadi tanda serta bermanfaat bagi mereka yang bertakwa.

Berkata Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2428): “Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang,’ (ayat 6). Maksudnya, pertukaran dalam bentuk berturut-turutan antara satu sama lain, termasuk tentang panjang pendek kadar masanya. ‘Dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi benar-benar terdapat tanda (tentang kekuasaan-Nya) bagi orang yang bertakwa,’ bermaksud, pada apa yang diciptakan Allah di langit yang menunjukkan tentang keagungan-Nya, dan pada apa yang diciptakan-Nya di bumi dengan pelbagai makhluk, keajaiban serta pelbagai buktinya, kesemuanya merupakan tanda tentang kekuasaan Ilahi bagi golongan yang bertakwa.”

Seterusnya berkata Syeikh Said Hawa: “Terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang yang bertakwa,’ (ayat 6). Golongan yang bertakwa ini merupakan golongan yang takut akan balasan, kemurkaan serta azab Allah. Allah menyeru mereka untuk merenungi penciptaan Allah di langit dan di bumi kerana mereka golongan yang amat berwaspada tentang keadaan di akhirat. Maka Allah mengisyaratkan bahawa tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat di alam ini yang menunjukkan tentang kesempurnaan kekuasaan-Nya, tidak akan dapat difahami dan dimanfaatkan (secara benar) kecuali oleh mereka yang bertakwa. Maka tidak pelik jika ramai daripada manusia (yang merenungi alam) tidak mendapat manfaat daripadanya, maka dengan itu menjadikan mereka semakin jauh dengan wahyu yang diturunkan Ilahi.”

Demikian disebutkan Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir.

  • RUMUSANNYA: Manusia diperingatkan Allah bahawa mereka pasti kembali kepada Allah. Itu merupakan destinasi yang pasti. Di sana mereka akan dibalas secara yang adil. Tiada siapa yang akan dizalimi. Allah juga mengingatkan manusia bahawa azab seksaan sedang menanti mereka di akhirat kecuali golongan yang hidup mengikut acuan Ilahi. Acuan Ilahi ialah acuan yang menekankan tentang iman yang sahih disusuli dengan amal yang salih secara konsisten. Inilah bekalan yang diterima demi kesejahteraan di akhirat.

Allah juga mengingatkan bahawa pada penciptaan langit dan bumi terdapat tanda-tanda tentang kebesaran Ilahi. Yang akan dapat memahami tanda-tanda ini serta memanfaatkannya secara yang benar ialah golongan yang bertakwa.

Rumusan Hamka, renungan alam boleh membawa kepada Tuhan: Alangkah indahnya rumusan yang dibuat oleh Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/154-155). Beliau berkata: “Pada ayat 5 dan 6 disuruh merenung alam, guna memperhatikan kebesaran Ilahi pada semua langit dan bumi. Disuruh memperhatikan pergantian siang dan malam. Segala sesuatu cubalah renung dan pelajari dengan saksama, walaupun (tentang) ulat kecil yang menjalar di atas tanah. Semuanya itu adalah ayat-ayat, semuanya adalah tanda bukti bahawa alam ini tidak terjadi dengan sia-sia, bahkan semuanya dijadikan dengan benar. Tuntutlah ilmu pengetahuan..

Apabila ilmu ini dipakai untuk merenung fakta-fakta yang terlalu banyak di alam ini, akhir kelaknya semua itu akan sampai kepada satu kesimpulan. Iaitu kesimpulan yang telah disebutkan Tuhan dalam ayat 5 di atas, iaitu: ‘Tidaklah Allah menjadikan yang demikian, melainkan dengan benar.’

Bagaimana kita akan dapat mendekati kebenaran itu, kalau alat guna mencapainya (contohnya otak) tidak terlatih?

Maka terkenallah beberapa ahli fikir yang sampai kepada kesimpulan kebenaran sejati setelah dicarinya dengan jalan Riadhah (latihan akal). Yang sangat terkenal di zaman kita ialah Einstein, yang akhirnya sampai kepada kesimpulan bahawa (Tuhan) pasti ada, setelah dihitungnya dengan Teori Relativitinya yang terkenal. Anjuran ini bukan untuk Einstein saja, tetapi untuk seluruh manusia yang berakal, agar dicapainya menurut kemampuan akalnya.

Setelah nyata ada Tuhan menurut tanda-tandanya, sehingga (akhirnya) menimbulkan takwa kepada-Nya, (maka) datanglah ayat (seterusnya) memberi tuntunan (tentang bagaimana membina) nilai hidup.”

Usah berikan hatimu kepada yang dicipta sebaliknya hubungkannya kepada Sang Pencipta: Berkata Hamka lagi: “Kalau sekiranya sudah diketahui bahawa segala yang terjadi ini adalah tanda (tentang) adanya Yang Mencipta, maka janganlah hidupmu itu kamu sediakan untuk (memberi tumpuan kepada) yang dicipta, tetapi sebaliknya hubungkan jiwamu dengan Pencipta itu sendiri. Pengetahuanmu tentang alam dan pencipta alam, gunakanlah untuk mempertinggi nilai dirimu dan diri kemanusiaan. Sedarlah bahawa kamu adalah Khalifah dalam alam ini. Bukan untuk merosak, melainkan untuk melanjutkan pembangunan. Dan kamu hanya singgah di sini, bukannya (kekal).”

Demikian antara yang dinyatakan Hamka dalam Tafsir al-Azhar.

RUJUKAN:

  1. Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
  2. Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
  3. Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
  4. Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
  5. Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
  6. Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *