Persiapan dan penawar bagi jiwa ketika menghadapi kesulitan: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/271): “Tiga ayat di atas adalah persiapan jiwa bagi Rasul dan orang-orang yang beriman agar jangan takut dan dukacita menghadapi kesulitan. Sebab dengan Iman dan Takwa, Rasul dan orang Mukmin pasti menang menghadapi kesulitan, sebab mereka adalah aulia Allah, orang-orang yang dekat dengan Tuhan.”
Baginda Nabi SAW menghadapi pelbagai penentangan, namun usah bersedih: Pelbagai tentangan yang telah diterima oleh Rasul SAW, serta pelbagai sindiran dan kehinaan telah dilontarkan kepada baginda. Sudah pasti kesemua ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesedihan di hati baginda. Namun Allah SWT Maha Berkuasa dan Dia pasti akan membantu.
Sebagaimana yang dikatakan Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/271): “(Baginda) mendapat wahyu daripada Tuhan, tetapi manusia (kafir) itu menyatakan hairan dan mereka mengatakan bahawa beliau tukang sihir yang nyata. Paman beliau sendiri, Abu Lahab pernah mengatakan bahawa beliau Abtar, iaitu putus keturunan, sebab beliau tidak ada anak lelaki. Anaknya hanya perempuan saja, dan yang lelaki mati di waktu kecil. Hinaan seperti ini dalam masyarakat Arab, sangatlah mendukakan hati. Maka menegurlah Tuhan kepada Rasul-Nya, jangan sampai hatimu berdukacita lantaran perkataan-perkataan mereka itu.”
Seterusnya berkata Hamka: “Janganlah kamu sedih,’ (Yunus ayat 65). (Jangan bersedih) oleh perkataan orang-orang musyrik itu. tetapi mintalah pertolongan kepada Allah dalam menghadapi mereka dan bertawakallah kepada-Nya. Kerana sesungguhnya kemenangan itu hanyalah milik Allah semuanya, Rasul-Nya serta orang-orang mukmin. Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Yakni Maha Mendengar semua ucapan hamba-hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui semua keadaan mereka.”
- (SURAH YUNUS AYAT 66) – PEGANGAN KAFIR HUJAHNYA RAPUH: Allah berfirman bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya kepunyaan Allah semua yang ada di langit dan semua yang ada di bumi. Dan orang-orang yang menyeru sekutu-sekutu selain Allah, tidaklah mengikuti (suatu keyakinan). Mereka tidak mengikuti kecuali prasangka belaka, dan mereka hanyalah menduga-duga.” (Yunus 10:66)
Ayat ini menambahkan lagi motivasi kepada Rasul SAW dan umat Islam supaya tidak bimbang dengan penentangan golongan kafir itu, kerana mereka mempunyai Allah SWT yang menguasai langit dan bumi. Maka usah bimbang, sebaliknya bertawakallah kepada-Nya. Tambahan daripada itu, usah bimbang kerana hujah pegangan golongan kafir teramat lemah lagi rapuh.
Berkata Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/272): “Mereka telah mempersekutukan Allah, sedang yang mereka sembah itu tidak mendengar, terlebih lagi tidak mengetahui, maka pada hakikatnya sia-sialah pemujaan mereka kepada yang lain itu. Bagaimanapun tekunnya mereka menyembah, namun yang lain itu tidak dapat berbuat apa-apa, sebab yang sebenarnya yang mengetahui hanya Allah dan makhluk yang disembah itu pun tidak ada kalau tidak diadakan oleh Allah. Sebab itu segala perbuatan musyrikin itu adalah sia-sia.. ‘Tidak ada yang mereka ikuti selain daripada sangka-sangka.’ Atau agak-agak, atau khayal fikiran yang tidak berdasarkan kebenaran sama-sekali. Khayal bohong yang selalu diulang-ulang, sehingga lama-lama sudah dianggap sebagai suatu kebenaran.”
- (SURAH YUNUS AYAT 66) – WUJUDKAH MAKHLUK PINTAR DI LUAR SANA?: Allah berfirman bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya kepunyaan Allah semua (man) yang ada di langit dan semua yang ada di bumi.” (Yunus 10:66)
Ketika menerangkan bahawa semua yang ada di langit dan di bumi, semuanya kepunyaan Allah, Allah menggunakan kalimat man yang bermaksud semua (yakni semua yang berada di langit dan bumi). Bagi Hamka, penggunaan kalimat man mengisyaratkan bahawa wujud makhluk pintar di luar sana seumpama manusia.
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/272): “Dengan mengambil alasan dari ayat ini, kita faham bahawasanya dengan kalimat man yang bererti siapa atau orang, kita boleh faham bahawasanya di lain bintang, selain daripada bumi ada juga makhluk berakal. Kalau tidak ada, nescaya Tuhan tidak memakai kalimat man.. Akal manusia pun berkata: Sedangkan di sebuah bintang (planet) yang bernama bumi ada makhluk berakal bernama manusia, masakan di antara bintang-bintang yang beribu juta itu tidak akan ada makhluk lain, meskipun bukan manusia namanya?”
Seterusnya berkata Hamka: “Dan boleh juga diertikan secara lain, iaitu bahawasanya alam langit itu adalah alam lain yang pengetahuan kita belum sampai selengkapnya ke sana. Mungkin semua langit atau beberapa langit (yang dimaksudkan itu) ialah alam ghaib.. Di dalam alam itulah hidup makhluk Tuhan yang mulia yang disebut Malaikat.”
Kajian sains hari ini mengisyaratkan bahawa berkemungkinan wujud makhluk pintar di planet-planet lain.
Intelligent Life May Be More Likely to Exist on Other Planets Than Previously Thought, Scientists Say: “Researchers present an alternative to the long-held ‘hard steps’ theory to explain the evolution of complex life, suggesting it’s the natural outcome of a habitable environment rather than a lucky break.” Hal ini dilaporkan di Smithsonian Magazine (20/2/2025) di www.smithsonianmag.com/smart-news/intelligent-life-may-be-more-likely-to-exist-on-other-planets-than-previously-thought-scientists-say-180986078/.
- (SURAH YUNUS AYAT 67) – MALAM DAN SIANG CIPTAAN ALLAH SWT: Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirahat padanya dan (menjadikan) siang terang-benderang (supaya kamu mencari kurnia Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mendengar.” (Yunus 10:65-67)
Ayat ini membantu mengukuhkan lagi kesedaran manusia tentang kekuasaan Ilahi. Bahawa kejadian malam dan siang secara teratur adalah merupakan ketetapan serta peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Kegelapan malam merangsang kelenjar pineal dalam badan kita untuk mengeluarkan hormon melatonin. Hormon ini menyediakan badan kita untuk beristirahat di waktu malam. Hormon cortisol yang dikeluarkan oleh kelenjar adrenal pula merangsang kita untuk bangun tidur untuk beraktiviti di waktu siang. Ini antara ketetapan Ilahi untuk manusia.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda bagi kaum yang mahu mendengar,” (hujung ayat 67).
Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2483) berkata: “(Keadaan malam Allah jadikan sebagai waktu untuk beristirahat dan siang Allah jadikannya terang benderang) menjadi bukti tentang keesaan (kekuasaan-Nya) bagi golongan yang mendengar. Iaitu, mereka mendengar bertujuan untuk tadabbur serta mengambil pengajaran serta iktibar terhadap hujah dan bukti yang menunjukkan keagungan Allah.”
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/275): “Perhatikanlah ayat ini dengan saksama! Apabila manusia telah memakai fikiran dan renungan, baik di waktu dia berdiam diri dalam rumahnya di waktu malam, atau ketika dia melihat segala sesuatu dengan matanya di waktu terang-benderang siang, dia akan mendengar suatu pertanyaan bergelora dalam hatinya (iaitu): ‘Adakah malam yang teratur dan siang yang cerah permai ini terjadi secara kebetulan? Atau adakah (sesuatu kuasa) yang menjadikannya?’
Bertambah manusia bertafakur, bertambah terdengarlah olehnya pertanyaan itu dalam batinnya sendiri. Sebab malam dan siang itu penuh dengan keindahan, kemuliaan dan kesempurnaan, yang mendatangkan hairan dan kagum bagi orang yang berfikir. Inilah pendengaran pertama. Dan pertanyaan ini akan terdengar kalau manusia mau mendengar.. Kemudian datanglah tuntunan wahyu yang dibawa oleh Rasul Allah. Mereka menyampaikan dan mengajar jawapan Tuhan atas pertanyaan batin itu. Inilah pendengaran yang kedua. Seolah-olah, batin bertanya: ‘Adakah yang menjadikan alam?’ Wahyu menjawab: ‘Ada yang menjadikan alam!’ Batin bertanya: ‘Siapakah agaknya yang menjadikan itu?’ Wahyu menjawab: ‘Allah! Tidak ada Tuhan, melainkan Dia!’ Inilah soal-jawab yang timbul di antara diri dengan wahyu Allah, setelah menyaksikan alam sekeliling dalam pergantian antara siang dengan malam.”
Demikian dijelaskan Hamka dalam Tafsir al-Azhar.
Kepentingan istirahat dan tidur di waktu malam: Tidur malam secara optimum amat penting untuk kesihatan seseorang. Tanpanya ia boleh menjadi punca timbulnya penyakit mental, penyakit jantung, menyebabkan kanser, strok dan seumpamanya.
Mengikut laporan Sleep Foundation (10/7/2025), di www.sleepfoundation.org/how-sleep-works/what-makes-good-night-sleep, “In the short term, poor sleep leads to problems with memory, concentration, mood, and daytime sleepiness. Those who are short on sleep may be at a higher risk of car accidents or work injuries. In the long term, poor sleep has also been linked to a higher chance of developing diabetes, obesity, and heart disease. Shift workers with irregular sleeping patterns have a higher chance of developing breast cancer, stroke, and other medical conditions. Poor sleep may also exacerbate mental health problems such as anxiety and depression.”
- RUMUSAN: Perjuangan demi menegakkan kebenaran Islam dipenuhi onak dan duri dalam perjalanan. Kutukan, kata nista, fitnah, cercaan serta ancaman merupakan asam garam perjuangan. Maka ayat-ayat di atas merupakan penawar bagi jiwa agar Rasul serta orang Mukmin tidak takut dan dukacita menghadapi kesulitan. Sebab dengan Iman dan Takwa, Rasul dan orang Mukmin pasti menang menghadapi kesulitan dengan bantuan Ilahi.
Yang penting umat perlu terus yakin serta bertawakal kepada Allah kerana Allah, yang menguasai langit dan bumi serta malam dan siang, Maha Berkuasa untuk menolong mereka.
RUJUKAN:
- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
- Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
- Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
- Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
- Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
- Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980