Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

SINOPSIS TAFSIR KONTEMPORARI : FEB/2026 : RAMADAN/1447 : TAFSIRAN SURAH YUNUS AYAT 15-17 (10:15-17) – MEREKA MAHU AL-QURAN DIGANTIKAN? NABI MENGIKUT WAHYU BUKANNYA NAFSU. KAMU FAHAM APA ITU WAHYU? KAMU FAHAM MENGAPA AL-QURAN ITU KALAM TUHAN? PERSAKSIAN AL-WALID BIN MUGHIRAH DAN ABU SUFYAN

  • (SURAH YUNUS AYAT 15) – MEREKA MAHU KITAB YANG LAIN: Allah berfirman bermaksud: “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata, orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami berkata: Datangkanlah Al-Quran yang lain daripada ini atau gantilah ia. Katakanlah: Tidaklah patut bagiku menggantinya dari pihak diriku sendiri. Aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Sesungguhnya aku takut jika aku menderhaka terhadap Tuhanku maka akan datang seksaan pada hari yang besar (kiamat).” (Yunus 10:15)
  • Al-Walid bin Mughirah: Al-Quran tinggi tiada yang mampu mengatasinya: Muhammad bin Yusuf al-Salihi as-Syami dalam kitab Subulul Huda Warrasyad mengutip kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq, Muqatil, Ibn Abi Hatim, Abu Nu’aim, al-Baihaqi dan al-Wahidi daripada sahabat Ibn ‘Abbas RA, bahawa ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu surah Ghafir, baginda lalu membacakannya di masjid. Al-Walid bin Mughirah mendengarnya kemudian menuju ke Bani Makhzum dan mengucapkan pujian terhadap ayat yang dibacakan Nabi Muhammad SAW.

    Pujian Walid ini membuat kaum Quraish berasa resah. Mereka menganggap Walid telah keluar daripada agama pagan mereka dengan sebab pujiannya itu. Walid adalah sosok Quraish yang terkemuka dan mendapat julukan Raihanat Quraish (iaitu bau wangi suku Quraish).

    Abu Jahal kemudian tampil untuk mengatasi masalah itu. Dia mendatangi Walid dan mendesaknya agar mengucapkan sesuatu yang menunjukkan ketidaksukaannya terhadap Al-Quran.

    Imam Al-Thabari dalam karyanya Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, meriwayatkan dialog antara kedua tokoh penentang Islam ini. Antara isi dialognya ialah:

    Berkata Abu Jahal datang kepada al-Walid Ibn al-Mughirah: “Ucapkanlah sesuatu yang menunjukkan bahawa engkau tidak menyetujui (al-Quran) yang disampaikan oleh Muhammad!”

    Lalu Al-Walid menjawab: “Demi Tuhan! Tidak ada dari kalangan kamu orang yang lebih memahami syair Arab serta prosa dan puisinya berbanding aku. Tetapi apa yang diucapkan Muhammad itu tidak serupa dengan ini semua. Juga ia bukan sihir jin. Demi Allah! Apa yang diucapkan itu (yakni al-Quran) begitu manis, mengandungi keindahan. Bahagian atasnya berbuah, dan bahagian bawahnya begitu subur. Perkataannya begitu tinggi dan tidak ada yang mampu mengatasinya, serta ia menghancurkan apa yang dibawahnya.”

    Mendengar ucapan al-Walid itu Abu Jahal menjadi terkejut, lantas ia membalas: “Sesungguhnya kaummu tidak akan rela terhadapmu sampai engkau mengucapkan sesuatu yang menunjukkan bahawa dirimu tidak mendukung Muhammad.” Al-Walid lalu berkata: “Kalau begitu, biarkanlah aku berpikir dahulu.”

    Al-Walid berpikir sampai akhirnya, dalam keadaan terdesak, dia memutuskan untuk menyatakan bahawa, “Sesungguhnya yang disampaikan Muhammad adalah sihir yang tidak dimiliki oleh orang lain.”

    Sedangkan mereka telah hidup bersama baginda sebelum itu selama puluhan tahun dan mereka mengetahui baginda tidak pernah mempelajari ilmu sihir dan bukan seorang ahli sihir.

    Mereka kenal siapa Nabi Muhammad SAW: Quraisy telah hidup bersama baginda dan mengenali keperibadian baginda.

    Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/169): “Al-Walid bin Mughirah sampai bingung, akan dimasukkan ke bahagian manakah ucapan-ucapan Muhammad yang disebutnya wahyu ini. Akan dimasukkan ke golongan syair, dia lebih atas daripada syair. Akan digolongkan dalam kata hikmat pusaka lama, dia mengalahkan kata-kata hikmat itu. Akhirnya diputuskan saja: Ini adalah sihir yang dipelajari dengan tekun. ‘Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata, orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami berkata: Datangkanlah Al-Quran yang lain daripada ini atau gantilah ia,’ (ayat 15).

    Oleh sebab mereka telah membuat dasar pendirian bahawa Nabi Muhammad itu bukanlah Rasul, hanya seorang tukang sihir, mereka minta supaya didatangkan al-Quran yang lain, jangan wahyu yang sekarang ini. Atau ganti ucapannya itu dengan ucapan lain.

    Apa sebab mereka minta demikian? Mereka semua tahu, bahawa sebelum Nabi Muhammad SAW berusia 40 tahun, sebelum beliau memaklumkan dirinya sebagai Rasul Allah, tidaklah beliau pernah terkenal sebagai seorang ahli syair atau ahli pidato.. Tidak pernah dia turun dalam (pertandingan) syair di pasar ‘Ukaz. Sekarang tiba-tiba dia muncul dengan susun kata yang berbeza. Mereka tuduh bahawa ini adalah sihir. Dengan maksud hendak menjatuhkan baginda, mereka (minta) Nabi Muhammad SAW mengemukakan al-Quran lain daripada apa yang dia ucapkan itu, atau ganti kata-katanya dengan yang lain.

    Tetapi Rasulullah SAW sudah disuruh oleh Tuhan menjawab: ‘Katakanlah: Tidaklah ada hak bagiku bahawa aku menggantinya mengikut kemahuan diriku sendiri,’ (ayat 15). Tidak ada upayaku untuk menggantinya dengan al-Quran lain. Sebab bukan aku sendiri yang empunya karangan. ‘Tidak ada yong aku ikut, kecuali apa yang diwahyukan kepadaku,’ (ayat 15). Segala yang telah aku sampaikan ini bukan kata-kataku sendiri melainkan aku terima langsung (daripada Allah). Aku sendiri tidak pandai mengarang kata seperti itu. Buat menggantinya dengan kata lain, aku tidak sanggup dan tidak boleh. ‘Sesungguhnya aku takut jika aku menderhaka Tuhanku akan (ditimpakan) dengan azab pada hari yang besar (kiamat),’ (hujung ayat 15). (Maksudnya) (aku) bertanggungjawab di hadapan Allah. Aku ini Utusan-Nya. Kalau aku berani menambah-nambah atau mengganti-ganti (firman) Ilahi, aku berdosa. Tuhan akan menyeksaku di Hari Kiamat atas perbuatan khianat itu. Itu namanya penderhakaan.”

    Semua ini dinyatakan Hamka dalam Tafsir al-Azhar.

    Al-Quran bukan buatanku, dan kamu mengetahui kejujuranku: Berkata pula Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/410 ) berhubung ayat ini: “Dengan kata lain, sesungguhnya aku menyampaikan ini kepada kamu hanyalah atas dasar keizinan Allah yang memberikannya kepadaku, atas kehendak dan kemahuan-Nya. Sebagai bukti bahawa al-Quran bukan buatanku dan bukan aku mengada-adakannya, ialah kamu tidak mampu menandinginya. Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui kejujuran dan kebenaranku sejak aku tumbuh besar di kalangan kamu sampai Allah mengangkatku menjadi seorang rasul. Janganlah kamu menentangku dan menjelik-jelikkan diriku.”

    • (SURAH YUNUS AYAT 16) – KAMU KENAL AKU. AKU TELAH HIDUP BERSAMA KAMU BEBERAPA LAMA SEBELUM INI: Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: ‘Jikalau Allah menghendaki, nescaya aku tidak membacakannya kepada kamu dan Allah tidak akan memberitahukannya kepada kamu. Sesungguh­nya aku telah tinggal bersama kamu beberapa lama sebelumnya. Maka apakah kamu tidak memikirkannya?’” (Yunus 10:16)

    Ini wahyu Allah: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/170):Katakanlah: Kalau Allah menghendaki nescaya tidaklah aku membacakannya (al-Quran) kepada kamu,’ (pangkal ayat 16). Aku menyampaikan wahyu kepadamu ini adalah atas kehendak Allah.. Aku sendiri tidak mempunyai kuasa untuk membacanya macam lain kepada kamu: ‘Dan (jika Dia kehendaki) Dia tidak akan memberi pengertian kepada kamu dengan dia.’ (Ertinya), dengan wahyu itu Tuhan memberi kamu pengertian dan ilmu, dan kepadaku dia diturunkan itu untuk aku sampaikan kepada kamu. Kalau Tuhan memakai kekuasaan-Nya, sehingga wahyu itu tidak turun lagi kepadaku, sehingga aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan kamu tidak dapat lagi mengetahui petunjuk Tuhan, maka tidak akan ada lagi sumber wahyu yang lain. Aku sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.”

    Aku bersama kamu sudah sekian lama: Berkata Hamka lagi: “Maka sesungguhnya aku telah tinggal bersama kamu sekian lama sebelumnya.,’ (ayat 16). Sudah lama aku hidup di tengah-tengah kamu, sehingga kamu telah mengetahui keadaan diriku, sampai aku berusia 40 tahun. Selama 40 tahun, sebelum aku menjadi Rasul itu, pernah kamu mendengar bahawa aku pandai bercakap seperti itu? (Wujudkah) kata-kataku di masa itu yang patut kamu catat kerana keistimewaannya? Sudah terang tidak ada, kerana kamu sendiri telah tahu bahawa aku ini bukan penyair, bukan terkemuka dalam soal sastera.”

    “Apakah tidak kamu fikirkan?” (hujung ayat 16). Berkaitan ayat ini Hamka berkata: “Apakah tidak kamu fikirkan, 40 tahun aku hidup di tengah-tengah kamu. Kamu tahu aku tidak pandai menulis dan membaca. Kamu tahu bahawa di masa itu aku tidak menganut semacam agama yang biasa kamu pegang. Aku tidak ahli dalam sesuatu ilmu dan pengetahuan. Aku tidak mengerti apa syariat, dan aku tidak terlatih berpidato, atau syair dan tidak pula aku belajar kitab Nabi yang telah lalu, dan tidak ada seorang guru pun tempat aku (pergi) belajar. Sekarang kamu menuntut kepadaku mendatangkan al-Quran lain daripada wahyu yang aku terima ini, manakah aku bisa?”

    Hamka terus merumuskan tentang peribadi Nabi SAW sebelum umur baginda mencecah 40 tahun. “(Baginda pernah) diberi orang gelar kehormatan ‘Al-Amin’. Orang yang dipercayai.. Hasilnya, sebelum usia 40 tahun itu tidaklah baginda termasuk orang penting dalam masyarakat Quraisy, cuma terhitung orang baik dan jujur. Tidak ada ambisi – kata orang sekarang – (iaitu cita-cita) untuk merebut kedudukan penting dalam masyarakat aristokrasi Quraisy ketika itu. Apatah lagi, di zaman itu kemegahan yang utama orang Arab pada umumnya dan Quraisy pada khususnya ialah bertanding bahagian syair. Sampai diadakan setiap tahun satu pasar untuk (bertanding) syair iaitu di Ukaz.. Maka urusan bersyair itu tidak menarik minat beliau.. Membaca baginda tidak pandai, menulis pun tidak. Seketika Jibrail menyuruhnya membaca Iqra’ pada wahyu yang pertama, dikatakan terus-terang bahawa baginda tidak pandai membaca.”

    Orangnya baik, jujur, tetapi diberikan penentangan: Hamka berhujah lagi: “Keadaan hidupnya yang seperti itu sebelum usia 40 tahun diketahui dan disaksikan oleh orang-orang yang kemudiannya telah menentangnya itu. Semua mereka menganggapnya orang baik, yang dipercayai, tidak ada keinginan-keinginan peribadi, bukan sasterawan, melainkan seorang suami yang baik dalam satu rumahtangga bahagia. Tidak ada orang terkemuka yang sakit hati kepadanya, kerana tidak ada persaingan merebut kedudukan (dengannya).

    Semuanya itu membuktikan bahawasanya apa yang disampaikannya dan dibacanya sekarang adalah semata-mata wahyu daripada Tuhan. Bukan karangannya sendiri. Tidak mungkin seseorang akan muncul saja menjadi sasterawan besar dalam usia 40 tahun, mengeluarkan susun kata yang menghairankan dan mengagumkan ahli sastera seumpama al-Walid al-Mughirah, (sedangkan) sebelum itu beliau tidak ada ‘bakat’ (dalam bidang itu). Pendeknya dari kecil bukanlah baginda terdidik di istana raja-raja sebagai Yusuf dan Musa. Bukan anak raja sebagai Sulaiman, dan bukan ahli hukum sejak kecil sebagai Yahya.”

    Kesemua ini dijelaskan Hamka dalam Tafsir al-Azhar.

    Jelas sekali, baginda SAW seorang yang amat jujur. Tidak pernah berdusta kepada manusia. Tidak mungkin baginda yang tidak sanggup berdusta kepada manusia tiba-tiba sanggup berdusta terhadap Tuhannya.

    Baginda tidak tahu membaca dan menulis. Tidak pernah mempelajari ilmu sihir. Bukan seorang sasterawan. Tidak berminat dengan syair. Tidak pernah mengkaji kitab ini dan kitab itu. Tiba-tiba baginda menyampaikan mesej yang amat luar biasa dengan gaya penyampaian yang menghairankan serta mengagumkan tokoh sastera ketika itu. Sudah pasti ini bukan hasil kerja baginda. Baginda tidak akan mampu melakukannya. Benar, ia sebenarnya adalah wahyu Allah SWT!

    Persaksian di hadapan Heraklius: Dia tidak pernah berdusta: Berhubung ayat ini, berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/410): “Maksudnya, bukankah kamu berakal yang dengannya kamu dapat mengenal antara yang hak dan yang batil? Kerana itu ketika Heraklius, Raja (Kaisar) Romawi, bertanya kepada Abu Sufyan dan orang-orang yang bersamanya mengenai sifat dan ciri khas Nabi SAW, ‘Apakah kamu menuduhnya pernah berkata dusta sebelum dia mengucapkan apa yang telah disampaikannya itu?’ Abu Sufyan menjawab, ‘Tidak.’ Padahal Abu Sufyan saat itu adalah pemimpin orang-orang kafir dan tokoh kaum musyrik. Walaupun demikian, dia mengakui kebenaran. Dan kesaksian yang diutarakan oleh bekas musuh itu mengandung nilai lebih yang tersendiri. Maka Heraklius berkata kepada Abu Sufyan, ‘Sesungguhnya aku mengetahui bahawa dia yang tidak sanggup berdusta kepada manusia maka tidak mungkin dia sanggup berdusta kepada Allah.’ (Riwayat Bukhari)

    Jaafar bin Abu Talib pula pernah berkata kepada Raja Najasyi, raja negeri Habsyah (Ethiopia), ‘Allah telah mengutus kepada kami seorang rasul yang kami kenali kebenarannya, nasabnya, dan kejujurannya. Masa tinggal beliau SAW bersama kami sebelum diangkat menjadi seorang nabi adalah empat puluh tahun’ (Riwayat Ahmad, Hasan)

    Demikian yang disebutkan Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim. Begitulah kemuliaan serta kejujuran baginda sebelum diangkat sebagai Rasul.

    • (SURAH YUNUS AYAT 17) – AMAT ZALIM GOLONGAN YANG BERDUSTA ATAS NAMA ALLAH SERTA MENDUSTAKAN AYAT-AYATNYA SWT: Allah berfirman bermaksud: “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan pendustaan terhadap Allah atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya tidak beruntung orang-orang yang berbuat dosa.” (Yunus 10:17)

    Contoh yang diberikan oleh Imam Ibn Kathir berhubung golongan yang berdusta atas nama Allah SWT ialah mereka yang mengaku nabi seperti Musailamah al-Kazzab.

    Berdusta terhadap Allah seumpama Musailamah al-Kazzab yang mengaku nabi: Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/410): “Yakni yang membuat pendustaan terhadap Allah, lalu dia mengaku bahawa Allah telah mengutusnya (sebagai Nabi), padahal hakikatnya tidaklah demikian. Dan tidak ada seorang pun yang dosanya lebih besar dan kejahatannya lebih parah daripada orang seperti itu. Orang seperti itu tidaklah samar bagi orang bodoh sekalipun, kerana mana mungkin orang seperti itu serupa dengan para Nabi. Seseorang yang mengucapkan kata-kata seperti itu, baik dia benar atau dusta, pasti Allah akan menegakkan hujah-hujah yang menunjukkan akan kebenaran atau pendustaannya dengan bukti-bukti yang lebih jelas daripada matahari.”

    Berkata Imam Ibn Kathir lagi: “Sesungguhnya perbezaan antara Nabi Muhammad SAW dengan Musailamah Al-Kazzab seperti membezakan antara waktu duha (siang hari) dengan pertengahan malam hari yang gelap-gelita. Orang yang menyaksikan ciri-ciri khas kedua-duanya melalui perbuatan dan ucapan-ucapan mereka — bagi orang yang mempunyai pandangan hati — akan menyimpulkan tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW dan pendustaan Musailamah Al-Kazzab serta yang lain seumpamanya, seperti Sajjah dan Al-Aswad Al-Insi.

    Abdullah ibnu Salam (pendeta Yahudi) pernah mengatakan: Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, orang-orang (Yahudi) berasa tidak senang dengan kehadirannya, dan aku termasuk salah seorang yang tidak senang itu. Namun ketika aku melihat wajahnya aku menyedari bahawa ini bukanlah wajah seorang pendusta.

    Abdullah ibn Salam melanjutkan kisahnya, bahawa ucapan Nabi SAW yang mula-mula didengarinya ialah sabdanya: يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، [وَصِلُوا الْأَرْحَامَ] وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ ‘Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan (kepada orang-orang yang miskin), hubungkanlah silaturahmi, dan solatlah di malam hari ketika orang-orang sedang tidur, nescaya kamu akan masuki syurga dengan sejahtera.’.”

    Kesemua ini disebutkan oleh Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim. Ertinya keperibadian mereka yang diutus Allah secara benar (seperti Nabi Muhammad SAW) dengan si pembohong atas nama Allah (seperti Musailamah al-Kazzab) begitu ketara sekali. Malah dalam al-Bidayah wan Nihayah (1/101) oleh Imam Ibn Kathir, beliau melaporkan kisah ‘Amr ibn al-’As yang pernah bertemu Musailamah al-Kazzab ketika ‘Amr ibn al-‘As belum memeluk Islam. Musailamah telah membaca kepadanya sesuatu yang kononnya wahyu. Kemudian dia bertanya pendapat ‘Amr ibn al-‘As tentang apa yang dibacakan itu. Berkata ‘Amr ibn al-‘As: ‘Demi Allah, sesungguhnya engkau pun sedar bahawa aku mengetahui bahawa engkau itu pendusta!’

    Berhubung ayat 17 ini, tafsiran oleh Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir (jil.6/137) adalah lebih umum. Beliau berkata: “Tidak ada yang lebih zalim daripada dua orang ini, (yang pertama) — Orang yang mengada-adakan dusta kepada Allah dengan menjadikan-Nya mempunyai sekutu atau anak, atau dengan menggantikan kalam-Nya seperti yang kamu usulkan, atau dengan mengatakan yang tidak benar terhadap Allah dan (mendakwa) bahawa Allah tidak pernah mengutus utusan-Nya (Nabi Muhammad) itu. Yang kedua — Orang yang mendustakan ayat-ayat Allah yang sangat jelas serta mengingkarinya. Kemudian Allah memberi keterangan tentang hal tersebut melalui firman-Nya: Sesungguhnya tidak beruntung orang-orang kafir ini di akhirat nanti.”

    • RUMUSANNYA – Agak penting untuk difahami tentang sejarah Nabi SAW dan sejarah penurunan al-Quran secara mantap. Hal ini disebabkan musuh-musuh Islam seringkali akan menyerang Islam melalui dua penjuru ini untuk menonjolkan kelemahan Islam.

    Salah satu aspek yang perlu diangkat dalam konteks sejarah ialah tentang kenyataan musuh berhubung kemuliaan peribadi Nabi SAW serta kejujuran baginda. Sebagai contoh kenyataan Abu Sufyan (pemimpin golongan kafir ketika itu) di hadapan Heraklius, Maharaja Rom ketika itu.

    Perlu juga diangkat tentang kisah sejarah berkaitan keunggulan al-Quran, sebagai contoh, tentang kenyataan al-Walid bin Mughirah, tokoh sasterawan Arab di zaman Nabi, berhubung keluarbiasaan serta keindahan al-Quran. Apabila kisah-kisah seperti ini diperkukuhkan dengan fakta-fakta penemuan yang menonjolkan aspek kemukjizatan al-Quran, ia akan menjadi kekuatan dan benteng penting untuk menguatkan keyakinan serta untuk mempertahankan kesucian Islam.

    RUJUKAN:

    1. Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
    2. Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
    3. Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
    4. Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
    5. Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
    6. Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980

    Leave a Comment

    Your email address will not be published. Required fields are marked *