- (SURAH YUNUS AYAT 61) – TIADA SUATU PUN YANG LUPUT DARIPADA TUHAN SWT: Allah berfirman bermaksud: “Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat daripada Al-Quran, dan kamu tidak mengerjakan sesuatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak akan luput daripada pengetahuan Tuhanmu walaupun sebesar zarah (atom) di bumi ataupun di langit, dan tidak pula (akan luput sesuatu daripada Tuhan) walaupun ia lebih kecil daripada (zarah) atau yang lebih besar, melainkan semuanya ada (tercatat) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” (Yunus 10:61)
Tiada siapa pun yang akan terlepas daripada pengawasan Tuhan. Setiap tindak tanduk, malah setiap lintasan dalam hati tidak terlepas daripada pengetahuan Allah SWT.
Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/422): “Allah SWT memberitahukan kepada Nabi-Nya bahawa Dia Maha Mengetahui semua keadaan baginda dan semua keadaan umat baginda serta keadaan semua makhluk pada setiap jam, minit, dan detiknya. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya walaupun ianya sebesar zarah (atom) yang ada di langit dan di bumi, atau pun yang lebih kecil atau yang lebih besar daripada zarah (atom) itu, kecuali semuanya tercatat di dalam kitab yang nyata.”
Dan berhubung kalam Allah: “Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat daripada Al-Quran, dan kamu tidak mengerjakan sesuatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya” (Yunus: 61), Imam Ibn Kathir berkata: “Yakni ketika kamu melakukan kesemua ini, Kami sentiasa menyaksikan kamu, dan Kami melihat dan mendengar kamu. Justeru, ketika Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW tentang makna ihsan, maka baginda menjawab: Hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak mampu melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu, (HR Bukhari dan Muslim).” Hal ini dilaporkan dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/422).
- (SURAH YUNUS AYAT 61) – BERIBADAT DENGAN IHSAN, MENUJU MAKAM MURAQABAH: Imam Ibn Kathir mengaitkan ayat ini dengan kepentingan Ihsan, berdasarkan sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu beribadah (menyembah) Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak mampu melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Ihsan adalah puncak tertinggi dalam agama selepas Islam dan Iman. Ia menuntut manusia untuk melakukan ibadah dengan penuh rasa sedar tentang kehadiran Allah di setiap penjuru hidupnya.
Ihsan dalam hidup akan meningkatkan seseorang ke makam yang tinggi lagi mulia bernama muraqabah. Imam Ibn al-Qayyim berkata dalam Madarij as-Salikin (2/1489): “Muraqabah ertinya pengetahuan hamba dan keyakinannya bahawa Allah SWT mengetahui lahir dan batinnya. Muraqabah ini merupakan hasil pengetahuannya bahawa Allah mengawasinya, melihatnya, mendengar perkataannya, mengetahui amalnya pada setiap waktu dan tempat, mengetahui setiap hembusan nafasnya, dan tidak sedetik pun dia dapat lolos daripada perhatian-Nya.”
Ayat ini merangsang diri kita untuk menggilap hati supaya merasai pengawasan Allah SWT ke atas diri kita secara total. Semoga dengan itu akan lahirlah Ihsan di hati kita yang bakal membawa kepada muraqabah dalam hidup kita.
- (SURAH YUNUS AYAT 61) – ZARAH, ATOM DAN YANG LEBIH KECIL DARIPADA ATOM: Allah berfirman bermaksud: “Tidak akan luput daripada pengetahuan Tuhanmu walaupun sebesar zarah (atom) di bumi ataupun di langit, dan tidak pula (akan luput sesuatu daripada Tuhan) walaupun ia lebih kecil daripada (zarah) atau yang lebih besar, melainkan semuanya ada (tercatat) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” (Yunus 10:61)
Dalam Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic (1980), ‘zarrah’ diertikan sebagai ‘atom, tiny particle, speck, mote.’ Justeru, sebahagian ulama mengertikan kalimat ‘zarrah’ dalam ayat ini sebagai atom.
Ayat ini membawa erti, tidak ada sesuatu pun yang terlepas daripada pengawasan Allah SWT walaupun sesuatu itu sebesar atom, atau yang lebih kecil daripada atom.
Apakah itu atom? Tokoh-tokoh Yunani sebelum ini mempercayai bahawa atom merupakan unit partikel yang terkecil yang pernah ditemui, dan ia tidak dapat dibahagikan atau dipecahkan kepada sesuatu yang lebih kecil. Pandangan ini telah menjadi pegangan sehingga awal abad ke-19.
Namun ayat ini menunjukan tentang kewujudan sesuatu yang lebih kecill daripada atom, dan pada hari ini memang sah terdapat sesuatu yang lebih kecil daripada atom (subatomic particles). Malah atom pun boleh di pecahkan kepada sesuatu yang lebih kecil.
Justeru, Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhayli dalam Tafsir al-Munir (jil.6/206-207) berkata: “(Ayat ini) mengisyaratkan teori bahawa atom boleh dibelah dan ditemukan bagian terkecilnya, dan tidak akan mengamatinya dengan benar kecuali seorang yang alim dan Mukmin, yang memiliki ilmu dan wawasan yang luas. Maka dia akan mendapati betapa luasnya ilmu Allah SWT yang meliputi semua hal.”
Berhubung firman Allah bermaksud: ‘Dan tidak pula (akan luput sesuatu daripada Tuhan) walaupun ia lebih kecil daripada atom (zarah) atau yang lebih besar, melainkan semuanya ada (tercatat) dalam Kitab yang nyata’ (Yunus 10:61), Syeikh Said Hawa berkata: “(Yang lebih kecil daripada atom) seperti elektron, proton dan neutron. Ataupun yang lebih besar daripadanya, semuanya tercatat dalam Lauh Mahfuz.” Hal ini dilaporkan dalam al-Asas fir Tafsir (jil.5/2481).
Rumusan yang paling penting berhubung ayat ini ialah kepentingan menghalusi jiwa kita dengan nilai Ihsan, supaya dengan itu kita merasai pengawasan Tuhan SWT terhadap segala tindak tanduk kita. Semoga dengan itu kita sentiasa tunduk dan beribadah kepada Allah SWT, serta menjauhi maksiat. Akhirnya kita doakan kita mencapai makam muraqabah yang mulia.
RUJUKAN:
- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
- Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
- Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
- Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
- Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
- Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980