- (SURAH YUNUS AYAT 62-64) – SIAPAKAH WALI ALLAH SWT?: Allah berfirman bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (ayat 62). (Iaitu) mereka orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa (ayat 63). Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar (ayat 64).” (Yunus 10:62-64)
Ayat-ayat ini membicarakan tentang wali-wali Allah SWT, dan ayat 62 bermula dengan: Alaa! Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/250): “Ayat ini dipangkalnya (ialah) Alaa yang bererti: Ketahuilah! Iaitu sebagai peringatan dan untuk menghilangkan kebimbangan. Tegasnya jangan bimbang lagi, teruskanlah usahamu mencapai darjat wali Allah.”
Maksud kalimat wali: Secara dasarnya wali Allah ialah mereka yang dekat dengan Allah. Imam Ibn Abi al-Izz al-Hanafi menjelaskan bahawa perkataan al-Wali lawannya ialah al-A’du (yang bermaksud musuh). Kata dasar bagi kalimat al-Wali membawa maksud dekat dan hampir. Justeru, Wali Allah ialah golongan yang dekat dengan Allah SWT dan dipermudahkan urusannya, serta diberikan kasih sayang ke atasnya. Mereka hampir dengan Allah SWT bersama keredaan-Nya. Hal ini dilaporkan dalam Syarah al-Tahawiyyah (2/509).
Sifat-sifat utama wali Allah: Sifat-sifat utama wali-wali Allah bukannya kemampuan mereka untuk membuat atau mendatangkan kepelikan demi kepelikan, seperti mampu berjalan di atas air dan yang seumpamanya. Tidak. Sifat-sifat utama mereka ialah keimanan yang mendalam serta ketakwaan yang benar kepada Allah.
Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/422): “Allah SWT memberitahu bahawa wali-wali Allah adalah mereka yang beriman dan bertakwa, sebagaimana yang ditafsirkan oleh ramai ulama. Dengan demikian, setiap orang yang bertakwa dia adalah wali Allah.”
Hamka memperincikan lagi kenyataan ini dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/253-254) dengan berkata: “Ayat ‘(wali Allah ialah) orang-orang yang beriman,’ (ayat 63). Inilah pokok pertama dan utama atau anak tangga pertama dalam menuju martabat menjadi wali. Iaitu Iman (atau) kepercayaan. Percaya bahawa Allah itu ada. Rukun Iman yang enam perkara mudah menghafalnya, tetapi seluruh tenaga wajib dikerahkan untuk melaksanakannya. Rukun Iman enam perkara, keenam-enamnya diresapkan benar-benar ke dalam jiwa.. Kemudian menyusullah lanjutan yang pasti daripada Iman: ‘Dan adalah mereka orang-orang yang bertakwa’.”
Hamka seterusnya menegaskan: “Iman itu hendaklah dijadikan kenyataan dan dipelihara terus, iaitu dengan melakukan takwa.. Erti takwa, asal kata (Arab) daripada ‘wiqayah’, yang bererti pemeliharaan. Banyak orang yang mengaku bahawa Allah itu ada, tetapi dia tidak berusaha mengadakan hubungan dengan Allah dan tidak pula memelihara hubungan itu.”
Memelihara Iman kepada Allah secara yang sebenarnya diikuti dengan amal salih, kedua-dua ini adalah asas kepada binaan takwa. Berkata Hamka: “Kedua-dua ini adalah sebagai pelancaran daripada takwa dan hasilnya ialah reda dan tawakal. Dan dalam takwa itu timbul pula (perasaan) khauf, iaitu takut. Takut kalau-kalau diri sia-sia dan umur terbuang percuma dan habis tidak menentu sehingga nilai diri menjadi tiada.. Di samping khauf timbullah timbalannya, iaitu rajaa’ yang bererti pengharapan. Alangkah buntunya jalan hidup kalau tidak ada pengharapan.”
Wali Allah mematuhi syariat: Wali-wali Allah pasti akan menjadikan syariat serta petunjuk Rasulullah SAW ataupun sunnah sebagai panduan hidup yang penting. Mereka bukan golongan yang dengan mudah memutuskan ikatan diri terhadap syariat serta sunnah kerana beranggapan kononnya diri sudah mencapai makam yang tinggi dan tidak lagi memerlukan syariat.
Berkata Hamka: “Seluruh sunnah Rasulullah SAW adalah tuntunan dalam pelaksanaan Iman dan takwa buat mencapai menjadi wali Allah ini.. Supaya jangan sepi sendiri-sendiri, supaya beramai-ramai (melaksanakan) sembahyang berjemaah, dan disuruh berpuasa bersama-sama dalam satu bulan, disuruh yang kaya memberikan zakat dan sedekah kepada fakir-miskin. Dan disuruh naik haji pada bulan yang sama (dengan orang lain) menuju tempat yang sama.”
Kesemua kenyataan ini dinyatakan Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/253-254).
- (SURAH YUNUS AYAT 62) – WALI ALLAH TIDAK AKAN TAKUT, TIDAK AKAN BERDUKACITA : Allah berfirman bermaksud: “Tidak ada kekhuatiran (ketakutan) ke atas mereka dan mereka tidak akan berdukacita.” (Yunus 10:62)
Berhubung dengan ini Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya antara hamba-hamba Allah terdapat hamba-hamba yang para nabi dan para syuhada berasa iri hati ketika melihat mereka. Para sahabat bertanya, ‘Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah? Mudah-mudahan kami dapat mencintai mereka.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Mereka adalah suatu kaum yang saling mengasihi kerana Allah, bukan disebabkan harta benda atau nasab (keturunan). Wajah mereka bercahaya dan mereka berada di atas mimbar-mimbar daripada nur (cahaya). Mereka tidak merasa khuatir (takut) di saat manusia dicengkam oleh kekhuatiran, mereka juga tidak bersedih hati di saat manusia bersedih hati.’ Kemudian Rasulullah SAW membacakan firman-Nya: ‘Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran ke atas mereka dan tidak (pula) mereka berdukacita,’ (Yunus ayat 62).” (HR Abu Daud, disahihkan oleh Syeikh al-Albani)
Berhubung ayat 62 ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/422) menegaskan: “Tidak ada kekhuatiran ke atas mereka dalam menghadapi kengerian di hari kiamat, dan tidak (pula) mereka bersedih hati terhadap apa yang mereka tinggalkan di alam dunia.”
- (SURAH YUNUS AYAT 64) – ADA BERITA GEMBIRA BAGI WALI-WALI ALLAH: Allah berfirman bermaksud: “Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus 10:62-64)
Benar, wali-wali Allah dikurniakan anugerah dalam bentuk berita gembira di dunia dan di akhirat. Dalam Tafsir al-Munir (jil.6/209), Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili berkata: “Antara berita gembira di dunia bagi mereka adalah mimpi yang baik (benar) sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Hakim daripada Abu Darda’. Juga berita gembira dalam bentuk (disampaikan daripada) malaikat kepada mereka akan keadaan yang baik dan darjat yang tinggi pada saat wafat, (sebagaimana firman Allah bermaksud): ‘(Iaitu) orang yang dimatikan oleh para malaikat dalam keadaan yang baik, dan mereka (para malaikat) berkata (kepada mereka): salamun alaikum,’ (an-Nahl ayat 32). Mereka pun mendapat kegembiraan dalam kehidupan akhirat dengan pahala yang baik dan kesenangan yang abadi serta kekal di syurga.”
Janji yang pasti: Sesungguhnya janji-janji Allah SWT dengan berita gembira ini pasti terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menolak atau menafikannya.
Berkata Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili lagi dalam Tafsir al-Munir (jil.6/209): “Sesungguhnya janji Allah SWT tidak ada pengingkarannya dan tidak ada perubahan, tidak ada satu apa pun yang dapat menghapusnya dan ia pasti terjadi seperti apa yang diberitakan. Betapa agungnya hal itu dan betapa mulianya hamba yang mendapat berita gembira itu dan dicintai-Nya.”
- (SURAH YUNUS AYAT 63) – GAMBARAN KELIRU DAN SESAT TENTANG WALI-WALI ALLAH: Allah berfirman bermaksud: “Mereka (wali-wali Allah) adalah orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.” (Yunus 10:63)
Begitu banyak cerita yang tersebar tentang wali-wali Allah dan sebahagiannya dilaporkan dalam kitab-kitab tertentu. Sebahagian cerita yang dilaporkan ini merupakan cerita-cerita yang tidak masuk akal malah bercanggah dengan prinsip serta dasar agama. Namun ia tetap disebarkan seolah-olahnya ia tidak bercanggah dengan kehendak ajaran Islam.
Hamka telah menulis panjang lebar tentang hal ini dalam Tafsir al-Azhar berserta dengan komentar serta pandangan beliau. Ada baiknya jika isu ini kita angkat supaya pendirian kita jelas tentang kedudukan wali Allah yang sebenarnya mengikut pandangan Islam.
Wali Allah berkuasa ke atas alam?: Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/257): “Itulah yang dimaksudkan dengan (wali Allah) dalam al-Quran. Iaitu orang-orang yang beriman, beramal salih dan bertakwa, yang terus melatih diri dalam ibadat. Apabila kita pergi ke pangkal agama, iaitu al-Quran, kita mendapat keterangan yang sejelas ini. Dan ini (merupakan) pegangan sahabat-sahabat Rasul Allah dan ulama salaf. Tetapi kemudian, di sekitar kurun ketiga hijrah, setelah timbul pelbagai gerakan tasawuf, timbullah erti yang lain bagi kalimat wali itu, yang sudah jauh menyimpang daripada maksudnya yang pertama, yang (dinyatakan) dalam ayat al-Quran tadi. Dikatakanlah bahawasanya wali Allah ialah manusia istimewa yang sangat tinggi darjatnya, dan berkuasa ke atas seluruh alam ini. Bisa menahan jalan matahari, bisa menahan air sungai mengalir, bisa pula pada setiap hari Jumaat bersembahyang Jumaat di Masjidil Haram dan tawaf keliling Kaabah, walaupun tempat tinggalnya di pulau Jawa dan Sumatera misalnya.”
Ada wali qutub mengatur alam?: Sebahagian mempercayai wali-wali ini mempunyai carta kepimpinannya yang tersendiri. Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/261) berkata: “Mereka mempunyai kepercayaan pula bahawasanya wali-wali dengan pelbagai nama dan tingkatan, di bawah pimpinan Qutub tertinggi, mengatur alam ini dalam satu Dewan Batin. (Hal ini) diterangkan oleh ad-Dabbagh dalam kitabnya al-Ibriz, bahawa tempat bersidang ialah dalam Gua Hira’. Qutub tertinggi duduk di luar gua, dan empat orang Qutub yang di bawahnya duduk di sebelah kanannya. Di sanalah dibicarakan apa yang akan dilakukan di seluruh penjuru dunia ini buat besok harinya. Anggota-anggota Majlis Wali itu bersidang setiap malam, dan semua mesti hadir.”
Seterusnya Hamka berkata: “Dengan perkembangan ajaran tasawuf semacam ini, nyatalah erti wali dan aulia dalam al-Quran, iaitu orang yang benar-benar taat melaksanakan perintah Tuhan dan (menjauhi) larangannya, telah berbelok jauh sekali. Telah bererti bahawa ada manusia yang martabatnya lebih tinggi daripada Nabi, malahan mendekati atau menyamai Tuhan, yang disembah dan dipuja, baik di kala hidupnya atau sesudah matinya dengan mengadakan berbagai upacara pada kuburnya. Maka terdengarlah perkataan wasilah, yang bererti (mereka) menjadi perantara antara kita manusia ini dengan Tuhan. Dan wali itu dapat berbuat hal yang ganjil-ganjil, yang hanya dapat dilakukan oleh Tuhan.”
Alangkah bahayanya kepercayaan seumpama ini! Ia merosakkan akidah dan merosakkan agama dan masyarakat perlu disedarkan tentang kesesatan ini.
Wali lebih hebat berbanding Nabi?: Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/261): “Menurut kepercayaan sesetengah penganut tasawuf, martabat wali lebih tinggi daripada martabat Nabi.. Ibnu ‘Arabi berkata: ‘Ulamaur Rusum, (iaitu ulama yang mementingkan syariat saja), mengambil ilmu daripada khalaf (dan) salaf sampai hari kiamat, sehingga kian lama hubungannya kian putus. Tetapi (wali-wali) Allah mengambil ilmu langsung daripada Allah, dan (dituangkan) Allah langsung ke dalam dada mereka.’ Mereka berkata: ‘Nabi menerima ilmu dengan perantaraan Malaikat, sedang wali menerimanya dengan tidak ada perantaraan’.”
Kepercayaan bahawa makam wali lebih tinggi berbanding makam Nabi amat menyesatkan dan boleh membawa kepada kekufuran. Kepercayaan seumpama ini tidak boleh dibiarkan berkembang dalam masyarakat.
Kubur wali untuk mohon syafaat dan berkat?: Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/264): “Maka terdapatlah di negeri-negeri Islam yang besar-besar, baik di Mesir atau di Baghdad, di Isfahan atau di Turki, kubur-kubur yang luar biasa yang dibesarkan atau diagungkan, (menjadi) tempat orang berziarah meminta syafaat dan berkat daripada wali dan aulia. Satu perbuatan yang sudah sangat jauh menyimpang daripada pokok ajaran tauhid. Dan kalau ada ulama yang berani menentang perbuatan yang sudah menjadi syirik ini, dituduh orang itu dengan serta-merta bahawa dia telah terkeluar daripada mazhab Ahli Sunnah Wal Jemaah.”
Kiah-kisah yang dipaparkan di atas menampakkan seolah-olahnya wali-wali Allah memiliki kuasa yang agung yang memampukan mereka untuk melakukan itu dan ini. Sedangkan dalam surah Yunus ayat 49, Allah SWT mengarahkan Nabi SAW untuk memberitahu bahawa baginda tidak berdaya untuk mendatangkan manfaat ke atas diri baginda sendiri dan tidak berdaya menolak mudarat yang menimpa diri baginda!
Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/225) telah menukil kenyataan Imam as-Syaukani tentang ayat ini. Berkata Hamka: “Menulis Imam as-Syaukani dalam tafsirnya Fathul Qadir: (Sepatutnya) ayat ini menjadi pengajaran bagimu. Perhatikanlah, sesungguhnya penghulu bagi sekalian anak Adam dan penutup bagi sekalian Rasul telah diperintahkan Tuhan untuk menyampaikan kepada sekalian hamba Tuhan: Bahawasanya aku tidak memiliki bagi diriku sendiri (sesuatu untuk menolak) bahaya dan (sesuatu untuk mendatangkan) manfaat! Kalau Tuhan telah menyuruh menjelaskan yang demikian kepada Rasul-Nya sendiri, bagaimana pula yang lain dapat memilikinya? Hairanlah kita terhadap kaum yang duduk tekun beriktikaf di hadapan kubur orang-orang yang telah mati, mereka minta kepadanya apa yang mereka hajatkan, (sedangkan mereka di dalam kubur itu) tidak ada kuasa memberikannya kecuali hanya Allah saja. Mengapa mereka tidak sadar bahawa mereka telah terjerumus ke dalam syirik.”
Jatuh kufur yang mengatakan kedudukan wali lebih tinggi berbanding makam Nabi: Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.6/3213) melaporkan kenyataan Imam an-Nasafi bahawa “golongan sesat yang telah melebihkan kedudukan wali berbanding Nabi telah kafir dengan jelas.”
Golongan tasawuf yang tertipu: Awas, golongan sufi atau pengamal ilmu tasawuf, disebabkan kejahilan, seringkali terbabas daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Mereka seringkali bercakap tentang wali, tentang makrifat, tentang keramat dan tentang kasyaf, sedangkan pada ketika yang sama mereka melanggar kehendak serta landasan agama dalam hidup mereka.
Dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/265) Hamka berkata: “Imam Ghazali, setelah beliau menyelami kehidupan tasawuf sedalam-dalamnya dapatlah beliau menyisihkan mana tasawuf yang sejati dan mana yang (berunsurkan) penipuan. Maka menulislah beliau dalam Ihya’ Ulumiddin dalam (bab) ‘Al-Ghurur’ (Penipuan), bahawa ramai orang tertipu atau menipu dalam soal kasyaf itu. Apabila disebut perkara wali, tidaklah dilepaskan (persoalan tentang) keramat.. Di sinilah bermain segala macam khayal atau tahayul yang telah banyak kita (paparkan) di atas tadi. Bahawa wali polan mendapat keramat daripada Tuhan, sehingga bisa sembahyang dalam 30 masjid dalam satu hari Jumaat, dan wali yang lain berjumaat di Makkah, ‘ramai’ orang melihat, padahal dia tinggal di Jakarta.”
Seterusnya Hamka berkata: “(Imam) Junaid ai-Baghdadi yang terkenal berkenaan dengan soal-soal keramat ini berkata: ‘Meskipun engkau lihat seorang berjalan di atas air, atau terbang di udara, janganlah engkau lekas percaya kepadanya, sebelum nyata olehmu bahawa dia berjalan menurut garis al-Kitab dan as-Sunnah’.”
Tasawuf yang benar ialah tasawuf yang merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah secara yang benar, disuluh oleh metodologi yang betul. Tasawuf yang benar sentiasa diletakkan di atas landasan al-Quran dan as-Sunnah, bukan meminggirkannya.
Awas dengan Wali Syaitan: Awas dengan kepelikan-kepelikan yang berlaku melalui ilmu yang mencampuradukkan agama dengan kebatilan.
Berhubung isu ini, dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/270), Hamka menegaskan: “Sehingga ada orang yang belajar ilmu kebal, dengan memakai syarat mengerjakan puasa dan sembahyang tahajud. Ertinya dipergunakan ibadat kepada Allah buat membangun suatu sihir! Disangkanya keramat dan wali, padahal sudah jadi Wali Syaitan. Padahal sahabat Rasulullah SAW yang empat, Iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali RA adalah wali Allah belaka. Tetapi tiga daripada empat sahabat itu (Umar, Usman dan Ali RA) mati terbunuh.. Nabi SAW sendiri pun dekat wafatnya mengatakan bahawa kesan racun (di Khaibar) ada dalam dirinya.. Jadi tidak ada yang kebal.”
- (SURAH YUNUS AYAT 63) – AWAS, AWAS CERITA DONGENG TENTANG WALI ALLAH: Allah berfirman bermaksud: “Iaitu) mereka (wali-wali Allah) adalah orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.” (Yunus 10:63)
Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/257-265) telah berbicara panjang lebar tentang cerita-cerita ini. Berkata Hamka:
- “Berceritera lagi al-Qusyairi bahawa sebatang pohon delima bercakap dengan Ibrahim bin Adham, sufi yang terkenal itu. Pohon delima itu memohon dengan segala kerendahan hati kepada Ibrahim bin Adham agar sudi kiranya memakan buahnya, tetapi Ibrahim tidak mahu. Lalu pohon delima itu meminta tolong dengan perantaraan teman seperjalanan Ibrahim bin Adham sudi kiranya menyampaikan permohonannya kepada beliau supaya buahnya dimakan.
- Suatu hari Zin Nun al-Mishri menunjuk (jarinya) kepada sepohon kayu yang tidak berbuah, supaya segera berbuah. Maka pohon kayu itu pun berbuahlah (ketika) itu juga.
- Pengikut-pengikut Syeikh Ahmad ar-Rifa‘i (di Mesir) percaya bahawa Syeikh Ahmad Rifa‘i berkuasa menghidupkan dan mematikan, membahagiakan orang atau menyengsarakan, mengayakan atau memiskinkan, dan beliau telah sampai ke makam yang menyebabkan seluruh langit yang tujuh tingkat itu ada di bawah kakinya. Di dalam kitab ‘Al-Bahjatur Rifa‘iyah’ disebutkan bahawa ketika masih hidup Syeikh Ahmad Rifa‘i pernah menjual kebun yang ada dalam syurga kepada murid-muridnya.”
Seterusnya Hamka merumuskan: “Inilah beberapa dongeng, yang sama sekali tidak ada asalnya daripada al-Kitab ataupun daripada sunnah, hanya timbul daripada khayalan orang-orang sufi yang iktikadnya telah bercampur-aduk dengan faham (sesat) Wildatul Wujud (Panteisme), yang pada zahirnya kita sangka masih berpokok kepada Islam, padahal sudah sangat jauh meninggalkannya.”
- (SURAH YUNUS AYAT 63) – WALI-WALI ALLAH YANG SEBENARNYA. PERLUKAH KEPELIKAN BERLAKU KEPADA MEREKA?: Allah berfirman bermaksud: “Iaitu) mereka (wali-wali Allah) adalah orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.” (Yunus 10:63)
Pada hari ini, ciri-ciri wali Allah yang berasaskan sumber yang sahih, iaitu al-Quran dan As-Sunnah, telah ditenggelami oleh cerita-cerita pelik tanpa asas oleh golongan-golongan sufi. Contoh terbaik tentang wali-wali Allah ialah para sahabat Nabi yang mulia. Mereka dikenali dengan pengabdian kepada Allah, ibadat, zuhud, takut melakukan maksiat, perjuangan demi menegakkan Islam dan yang seumpamanya. Mereka tidak dikenali sebagai golongan yang melakukan kepelikan itu dan ini. Mungkin pada ketika tertentu telah berlaku keramat kepada mereka, namun itu bukan aspek yang difokuskan tentang mereka.
Tidak disyaratkan kepelikan berlaku kepada wali: Dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2487), Syeikh Said Hawa telah menukilkan kenyataan Imam al-Alusi yang telah berkata: “Secara umumnya apabila kami bertemu peribadi yang beriman lagi bertakwa, kami menetapkannya sebagai seorang wali berdasarkan pandangan zahir., dan kami akan melayaninya dengan penuh penghormatan, tanpa bersikap melampau dengan mengatakan wali itu lebih mulia berbanding Rasul dan Nabi, ataupun yang seumpamanya.
Tidak disyaratkan berlaku sesuatu keramat dari penjurunya, sebagaimana tidak disyaratkan berlaku mukjizat ke atas seseorang Rasul. Cukuplah keramat baginya dengan dikurniakan istiqamah (dalam beribadah kepada Allah). Ini adalah selari dengan pandangan Abu Yazid rahimahullahutaala yang masyhur, iaitu: Bahkan seseorang wali yang sempurna tidak menoleh kepada keramat itu (yakni tidak mementingkannya). Bahkan dia tidak mengharapkan keramat berlaku di tangannya, kecuali jika ia mendatangkan maslahat kepada golongan muslimin secara khusus atau umum.”
- (SURAH YUNUS AYAT 64) – BERITA GEMBIRA DALAM BENTUK MIMPI YAN G BAIK: Allah berfirman bermaksud: “Bagi mereka (wali Allah) berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat.” (Yunus 10:64)
Dalam Tafsir al-Munir (jil.6/209), Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili berkata: Antara berita gembira di dunia bagi mereka adalah mimpi yang baik (benar) sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Hakim daripada Abu Darda’.
Justeru, salah satu anugerah Allah SWT kepada wali Allah ialah mimpi yang baik (benar) di samping pelbagai anugerah yang lain. Mimpi yang baik merupakan mimpi yang datang dalam bentuk rangsangan, petunjuk, nasihat dan seumpamanya, yang bertujuan untuk membantu kehidupan seseorang wali Allah.
Mimpi-mimpi ini tidak datang untuk menentukan hukum-hakam syariat yang baharu atau untuk membatalkan hukum hakam yang telah sedia ada. Demikianlah yang diputuskan oleh para ulama muktabar.
Kenyataan Imam Syafie: Imam al-Syafi’e berkata: “Jika seseorang melihat Nabi SAW dalam mimpinya dan baginda berkata kepadanya: ‘Aku telah menghalalkan bagimu sesuatu yang telah haram bagi dirimu,’ atau ‘Aku telah mengharamkan bagimu sesuatu yang sebelumnya adalah halal,’ maka ia tidak boleh diikuti.” (Rujuk Manaqib al-Syafi’e, oleh Imam al-Bayhaqi, jilid 2, hal. 297)
Kenyataan Imam Qartubi: Imam al-Qurtubi berkata: “Mimpi seseorang bukanlah jalan untuk mengetahui hukum-hukum syariat, melainkan hanya untuk beberapa peringatan dan khabar gembira.” (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, oleh Imam al-Qartubi, jilid 15, hal. 223)
Kenyataan Imam Malik: Imam Malik berkata: “Sesiapa pun yang mendakwa bahawa mimpi dapat digunakan untuk menetapkan hukum-hukum syariat, kami katakan kepadanya: Kenabian telah terputus setelah Rasulullah SAW.” (Rujuk al-Mudawwanah al-Kubra, oleh Imam Malik, jilid 1, hal. 12).
Kenyataan Imam an-Nawawi: Imam al-Nawawi berkata: “Jika sesuatu mimpi sesuai dengan syariat, maka itu adalah khabar gembira daripada Allah, tetapi jika bertentangan dengan syariat, maka ia tidak boleh dijadikan pegangan.” (Rujuk Syarah Sahih Muslim, oleh Imam al-Nawawi, jilid 15, hal. 25)
- RUMUSAN TENTANG WALI ALLAH: Wali Allah bukanlah golongan yang mampu melakukan pelbagai kepelikan dalam hidup. Mereka bukan golongan yang berkuasa membuat itu dan ini. Mereka adalah manusia biasa yang menghiaskan diri mereka dengan iman dan takwa secara yang sebenarnya.
Justeru, berkata Syeikh Dr Wahbah dalam Tafsir al-Wajiz (juz.11/217): “(Dan para wali Allah SWT), mereka golongan yang beriman sebenar-benarnya kepada Allah dan hari akhirat, dan mereka bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.”
Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/422): “Allah SWT memberitahu bahawa wali-wali Allah adalah mereka yang beriman dan bertakwa, sebagaimana yang ditafsirkan oleh ramai ulama. Dengan demikian, setiap orang yang bertakwa dia adalah wali Allah.”
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/257): “Itulah yang dimaksudkan dengan (wali Allah) dalam al-Quran. Iaitu orang-orang yang beriman, beramal salih dan bertakwa, yang terus melatih diri dalam ibadat.. Dan ini (merupakan) pegangan sahabat-sahabat Rasul Allah dan ulama salaf. Tetapi kemudian, di sekitar kurun ketiga hijrah, setelah timbul pelbagai gerakan tasawuf, timbullah erti yang lain bagi kalimat wali itu, yang sudah jauh menyimpang daripada maksudnya yang pertama, yang (dinyatakan) dalam ayat al-Quran tadi. Dikatakanlah bahawasanya wali Allah ialah manusia istimewa yang sangat tinggi darjatnya, dan berkuasa ke atas seluruh alam ini. Bisa menahan jalan matahari, bisa menahan air sungai mengalir, bisa pula pada setiap hari Jumaat bersembahyang Jumaat di Masjidil Haram dan tawaf keliling Kaabah, walaupun tempat tinggalnya di pulau Jawa dan Sumatera misalnya.”
RUJUKAN:
- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
- Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
- Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
- Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
- Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
- Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980