Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

SINOPSIS TAFSIR KONTEMPORARI : FEB/2026 : SYAABAN/1447 : TAFSIRAN SURAH YUNUS AYAT 57-60 (10:57-60) — AL-QURAN MANUAL KETUHANAN YANG AGUNG. USAH MEMANDAI-MANDAI DALAM BAB HALAL DAN HARAM

  • (SURAH YUNUS AYAT 57) — TELAH DATANG AL-QURAN YANG MERUPAKAN MAU’IZAH, SYIFA’, HUDA DAN RAHMAT: Allah berfirman bermaksud: “Wahai manusia! Sungguh telah datang kepadamu mau’izah dari Tuhanmu, syifa’ bagi (penyakit) yang terdapat dalam dada, dan huda serta rahmat bagi orang-orang mukmin.” (Yunus 10:57)

Betapa ramai manusia yang mengharungi kehidupan persis si buta yang berjalan tanpa tongkat. Justeru, manusia perlukan satu manual panduan untuk hidup. Tanpa manual ini perjalanan hidup manusia akan bersimpang-siur dan mungkin terbabas. Syukur, Tuhan SWT telah menurunkan satu Manual Ketuhanan yang luar biasa. Ia bernama Al-Quran. Dalamnya terdapat mau’izah, syifa’, huda dan rahmat.

Dalam tafsir Imam Ibn Kathir, beliau menjelaskan bahawa ayat ini berkaitan dengan kurniaan Allah kepada makhluk-Nya dalam bentuk al-Quran yang diturunkan kepada Rasul-Nya SAW.. Seterusnya Imam Ibn Kathir menjelaskan: “Mau’izah ertinya (al-Quran merupakan) pencegah daripada perbuatan-perbuatan keji. Syifa’ lima fis sudur (ertinya al-Quran) penyembuh bagi pelbagai syubhah (kesamaran) dan keraguan (di hati). Sekali gus, menghilangkan kotoran dan penyakit yang ada (dalam dada). Huda dan rahmat bermaksud, disebabkan al-Quran mereka memperoleh hidayat dan rahmat daripada Allah SWT. Hal ini hanya diperoleh oleh orang-orang yang mengimani al-Quran, membenarkannya dan meyakini kebenaran yang terdapat dalamnya.” Hal ini dinyatakan dalam Shahih Tafsir Ibnu Katsir (jil.4/425-426).

Dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/235-240), Hamka mengatakan bahawa manusia “dalam kebingungan, maka Tuhan menunjukkan jalan. Tuhan menerangkan, betapa pun sulitnya jalan yang ditempuh, akan dapatlah ia diatasi, sebab Tuhan telah memberikan pedoman. Itulah dia kitab al-Quran yang mengandungi empat unsur penting dalam menempuh kehidupan.”

Seterusnya Hamka memperjelaskan tentang keempat-empat unsur itu. “Pertama: (Al-Quran) berisi pengajaran atau tuntunan (mau’izah) dalam pembangunan akhlak atau karakter, sikap hidup, atau dalam mengamalkan sesuatu pekerjaan. Dia adalah pendidikan untuk memperhalusi jiwa. Dengan pengajaran al-Quran itu dapatlah manusia membezakan antara yang baik dengan buruk, antara pekerjaan yang diredai Allah dan yang dikutuki-Nya. (Juga mengetahui) sikap dan pekerjaan yang akan membawa kepada keuntungan zahir dan batin.. Nasihat ini datang langsung dari Tuhan, bukan filsafat hasil (pemikiran) akal manusia, demi kebahagiaan hidup hamba Allah pada setiap waktu dan tempat.”

Di samping mau’izah, al-Quran adalah penawar atau ubat bagi hati (syifa’ lima fis sudur). Berhubung dengan syifa’ ini Hamka menjelaskan:

“Kedua: Disebutkan bahawa (al-Quran) adalah ubat bagi apa yang ada dalam dada.. Sebab memang banyak perasaan hati yang menghendaki segera diubati. Setengah daripada penyakit yang menimpa hati ialah bodoh dan jahat sangka, ragu-ragu dalam memegang suatu kepercayaan, munafik, benci, dendam, hasad dengki, niat jahat, keji kehendak, busuk laku, cemuh, putus asa, gelap mata, dan lain-lain lagi. Penyakit dalam hati dapat mempengaruhi badan. Bisa timbul penyakit-penyakit pada tubuh kerana ada penyakit dalam hati.. Sesetengah ulama berpendapat bahawa al-Quran bisa (juga) menjadi ubat bagi penyakit badan (berdasarkan hadis Abu Said al-Khudri).”

Di samping itu al-Quran juga adalah huda (petunjuk) dan rahmat bagi mereka yang beriman lagi yakin kepadanya.

Seterusnya berkata Hamka: “Ketiga: Huda yang bererti petunjuk. Al-Quran adalah penunjuk jalan, pemandu atau pelopor, untuk menempuh semak belukar kehidupan ini. Supaya kita jangan tersesat dalam iktikad dan kepercayaan serta jangan tersalah dalam amal dan ibadat. (Ia) menuntun akal, agama dan (dalam aspek) kemasyarakatan.”

Al-Quran juga adalah rahmat, dan berhubung dengan ini Hamka menjelaskan: “Keempat: Rahmat, iaitu kurniaan kasih dan sayang kepada orang-orang yang beriman. Ini adalah hasil atau akibat daripada tiga (aspek yang) pertama. Bila pengajaran Tuhan dipegang teguh, bila al-Quran dijadikan ubat hati dan penawar dada, di samping dijadikan petunjuk dalam perjalanan hidup, pasti akan dirasailah rahmat Ilahi bagi diri, rumahtangga dan masyarakat.. (Ada dua bentuk rahmat), pertama rahmat (kurniaan) Tuhan yang meliputi kita. Kedua, rahmat yang tumbuh dalam hati kita, yang (menghilangkan) rasa benci, dan rahmat inilah yang menjadi perhiasan hidup bagi seseorang Mukmin. ”

Kesemua ini dijelaskan oleh Hamka dalam Tafsir al-Azhar.

Dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2479-2480), Syeikh Said Hawa telah memberikan rumusan yang baik berkaitan ayat ini. Beliau berkata: “Allah telah menjadikan al-Quran sebagai pencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan sebagai pendidik serta perangsang kepada kebaikan, bagi mereka yang membaca dan mentadabbur isi-isinya. Inilah antara ciri khusus al-Quran. (Al-Quran) juga adalah penawar bagi hati (qulub) daripada akidah yang rosak, daripada syak dan keraguan, sekali gus ia menghilangkan kekotoran dan kejelikan yang terdapat dalam hati. Dan ini merupakan ciri khusus kedua al-Quran. (Di samping itu) antara ciri khusus al-Quran ialah ia adalah petunjuk dan rahmat. Dan mereka yang akan mendapat petunjuk dan rahmat ini ialah mereka yang memanfaatkan serta mengagungkannya.”

Kesemua ini adalah kurniaan untuk mereka yang beriman dan percaya kepada Allah SWT serta kitab-Nya. Rugilah orang yang mengetepikan al-Quran dalam hidupnya apatah lagi jika dia dari kalangan orang yang beriman. Rugi dan malanglah mereka ini jika masih mengagungkan budaya songsang golongan barat, memuja isme-isme serta falsafah sesat dan mementingkan kehendak serta keinginan hawa nafsu. Rugi. Akhirnya kaca dirasakan permata!

  • (SURAH YUNUS AYAT 58) — KURNIAAN ALLAH SWT, ITULAH YANG TERBAIK: Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: Dengan kurniaan Allah dan rahmat­Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itulah yang lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Yunus 10:58)

Sebahagian manusia akan berasa begitu bergembira dan begitu bersukacita ketika dia mendapat anugerah, pingat, kenaikan pangkat, kenaikan gaji dan yang seumpamanya. Seolah-olahnya tiada apa yang lebih besar dan bermakna baginya berbanding pencapaiannya itu. Seolah-olahnya itulah kemuncak hidupnya.

Namun Nabi diarahkan Allah untuk memberitahu manusia bahawa, kurniaan Allah dan rahmat-Nya adalah lebih baik berbanding segala kesenangan dunia yang manusia miliki. Justeru, bagi mereka yang hidup disuluh oleh wahyu, mereka menyedari pencapaian duniawi ini adalah kecil berbanding kenikmatan ukhrawi. Mereka juga menyedari bahawa kurniaan yang paling bermakna lagi amat menggembirakan ialah kurniaan daripada Allah SWT.

Apakah kurniaan Allah itu? Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/421): “Ertinya, dengan adanya hidayah dan agama yang hak ini yang datang kepada mereka, hendaklah mereka bergembira, kerana hal itu merupakan sesuatu yang lebih patut untuk mereka gembirakan. (Ia) lebih baik daripada harta benda duniawi dan semua perhiasannya yang pasti akan fana dan lenyap.”

Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2480) pula berkata: “Kurniaan Allah itu manifestasinya adalah dalam bentuk hidayah yang membawa kepada Iman dan Islam. Dan rahmat-Nya itu ialah al-Quran. Maka kurniaan Allah SWT dalam bentuk petunjuk dan agama kebenaran ini di samping Kitab yang menjadi panduan, maka inilah sepatutnya yang menggembirakan (umat Islam). Ia lebih baik daripada seluruh kemewahan yang terdapat di dunia ini.”

Justeru, usah sia-siakan kurniaan Allah SWT ini. Ia datang dalam bentuk agama kebenaran (dengan Iman dan Islamnya), di samping al-Quran sebagai panduan kepada kita. Sepatutnya kita bergembira serta bersyukur dengan anugerah ini dengan mempertingkatkan kefahaman kita terhadap agama Tuhan ini, di samping mendalami mesej al-Quran, disusuli dengan penghayatan berasaskannya. Kemudian kita bangun untuk sebarkan kebenaran ini seantero dunia.

  • (SURAH YUNUS AYAT 59-60) — KAMU TIADA KUASA MENENTUKAN HALAL DAN HARAM SECARA SEWENANG-WENANGNYA: Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: ‘Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebahagiannya) halal.’ Katakanlah: ‘Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?’” (Yunus 10:59)

“Apakah sangkaan orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukurinya).” (Yunus 10:60)

Islam datang dengan prinsip, hukum-hakam, peraturan, usul serta kaedah yang jelas. Antara pegangan penting yang ditekankan oleh Islam ialah, penetapan hukum halal dan haram adalah hak Allah SWT. Kenyataan ini bermaksud penetapan hukum halal dan haram mestilah merujuk kepada nas dan dalil yang jelas yang diiktiraf oleh agama Islam, iaitu, merujuk kepada al-Quran dan Sunnah dengan menggunakan metodologi yang betul. Justeru, sebarang hukum berkaitan halal dan haram tidak boleh dilakukan secara semberono.

Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil2./421): “Ibn Abbas. Mujahid, Ad-Dahhak, Qatadah, Abdur Rahman ibn Zaid ibn Aslam dan yang lain-lainnya mengatakan ayat ini diturunkan sebagai pengingkaran terhadap perbuatan orang-orang musyrik yang menghalalkan dan mengharamkan sesuatu mengikut diri mereka sendiri, seperti mengharamkan bahirah, saibah, dan wasilah.”

Seterusnya Imam Ibn Kathir menegaskan: “Allah SWT mengingkari orang yang mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya, atau menghalalkan apa yang diharamkan-Nya hanya berdasarkan kepada pendapat dan hawa nafsu sendiri tanpa ada sandaran dan tanpa ada dalil.”

Hamka menegaskan dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/242): “Dahulu dalam surah al-An‘am telah diingatkan Tuhan tentang kesalahan kaum musyrikin yang mengharamkan pelbagai macam binatang. Ada yang dinamai Sa‘ibah, ada yang dinamai Wasilah, ada yang dinamai Ham. (Sedangkan) Allah telah memberi kurnia binatang-binatang ternak, baik kambing atau unta, yang halal untuk mereka makan. Tetapi mereka membuat peraturan sendiri mengatakan ini haram itu halal, kerana menghormati berhala. Maka ayat ini memperingatkan kepada musyrikin itu: Adakah itu syariat yang kamu terima daripada seorang Rasul sebelum Muhammad SAW? Kalau ada mana kitabnya? Mana ayatnya? Bagaimana bunyinya? Atau kamu karang sendiri suatu peraturan, lalu kamu katakan bahawa itu adalah aturan daripada Allah?”

Agama Islam dan peraturan yang terdapat dalamnya tidak tertegak melainkan berdasarkan dalil yang jelas. Memandai-mandai dalam menentukan halal dan haram akan mengundang azab Allah SWT.

  • (SURAH YUNUS AYAT 60) – HUKUMAN KERAS MENANTI MEREKA YANG MENENTUKAN HALAL DAN HARAM SECARA SEWENANG-WENANGNYA: Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: ‘Apakah sangkaan orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah pada hari kiamat?” (Yunus 10:60)

Berhubung ayat ini, Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/243) menegaskan: “Ayat ini bersifat pertanyaan, tetapi (bertujuan) untuk (menarik) perhatian, bahawasanya sangatlah besar dosanya manusia mengada-adakan peraturan sendiri, terutama mengharamkan sesuatu yang tidak ada nas yang sarih (jelas) daripada Allah tentang haramnya.”

Bagi Syeikh Said Hawa ayat ini bermaksud: “Apakah agaknya yang Allah akan timpakan ke atas mereka ini yang mengharamkan dan menghalalkan sesuatu mengikut hawa nafsu mereka dan kemudian mengadakan dusta terhadap Allah di hari kiamat? Adakah mereka merasakan mereka tidak akan dihukum sedangkan mereka telah berdusta terhadap Allah? Bahkan, mereka pasti akan dihukum (dengan azab) kerana perbuatan mereka itu.” Hal ini dilaporkan dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2481).

Justeru, usah memandai-mandai dalam bab halal dan haram ini. Kita tidak diberi mandat oleh Allah untuk menentukan hukum hakamnya sesuka hati kita!

  • (SURAH YUNUS AYAT 59-60) – CONTOH MENENTUKAN HALAL DAN HARAM SECARA SEWENANG-WENANGNYA, ANALISIS HAMKA:

Dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/243), Hamka menegaskan bahawa perangai masyarakat kita pada hari ini telah menyerupai perangan musyrikin Quraisy di zaman Nabi SAW. Beliau berkata: “Teguran kepada musyrikin ini patutlah diperhatikan oleh kita di zaman sekarang. Seumpama peraturan yang dibuat oleh orang di kampung-kampung. Sudah menjadi adat di beberapa negeri, setiap tahun orang mengadakan kenduri Maulid di Masjid. Kerana adat, yang berlaku setiap tahun, maka dipeliharalah ikan di tebat (kolam) besar, yang hanya sekali setahun dikeluarkan isinya, untuk makanan waktu kenduri itu. Tetapi di beberapa negeri ikan-ikan di tebat besar itu tidak diambil lagi. Sebab menurut kepercayaan, ikan itu ‘bertuah’ dan ‘keramat’, tidak boleh (haram) diambil-ambil. Barang siapa mengambilnya akan ditimpa sakit dan sengsara.”

Seterusnya berkata Hamka: “Ada pula yang mengatakan bahawa ikan itu berasal daripada manusia, iaitu seorang anak yang salih, yang pada suatu ketika telah hilang tenggelam dalam tebat itu. Maka mulailah orang pergi berniat, bernazar, kepada ikan-ikan yang dikatakan keramat itu.. Kepercayaan begini sudah menyerupai kepercayaan jahiliah Quraisy tadi.”

Contoh-contoh lain seumpama ini memang banyak terdapat dalam masyarakat kita. Justeru, kita perlu kritis dengan adat resam serta kepercayaan yang diwarisi daripada datuk nenek moyang kita. Jika jelas terdapat sesuatu yang bercanggah dengan akidah serta syariat hendaklah kita bangun untuk mencegah serta membuangnya daripada kehidupan kita!

  • (SURAH YUNUS AYAT 60) – ALLAH MELIMPAHKAN KURNIAANNYA KE ATAS MANUSIA: Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukurinya).” (Yunus 10:60)

Pelbagai kurniaan telah Allah SWT limpahkan kepada hamba-hamba-Nya di dunia. Malah, dalam aspek duniawi, kesemua yang ada di dunia ini Allah ciptakan untuk dimanfaatkan oleh manusia. Sedikit sangat daripadanya yang di haramkan. Itulah antara kurniaan Allah SWT. Demikian dijelaskan Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/244).

Imam Ibn Kathir pula menukilkan kenyataan Imam Ibn Jarir yang mengatakan “kurnia Allah itu adalah berbentuk penangguhan azab, yakni Allah membiarkan mereka hidup di dunia tanpa menyegerakan seksaan-Nya ke atas mereka.”

Namun pada pandangan Imam Ibn Kathir sendiri, kurniaan Allah itu ialah bahawa “Dia membolehkan bagi mereka semua hal yang bermanfaat di dunia ini, dan Dia tidak mengharamkan ke atas mereka sesuatu pun kecuali yang membahayakan diri serta agama mereka.”

“Tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukurinya”, (Yunus: 60). Berkata Imam Ibn Kathir lagi: “(Mereka tidak mensyukurinya) dengan mengharamkan nikmat Allah yang diberikan kepada mereka, dengan mempersempit diri mereka sendiri dengan cara menghalalkan sebahagian dan mengharamkan sebahagian yang lain. Dan memang itulah yang telah dilakukan oleh orang-orang musyrik dengan hukum-hukumnya yang membebankan diri mereka sendiri. Begitu juga yang dilakukan ahli kitab terhadap agama mereka.”

Kesemua kenyataan oleh Imam Ibn Kathir ini dilaporkan dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/421).

Kesimpulannya, usah memandai-mandai dalam hal berkaitan halal dan haram. Penentuan hukum mestilah merujuk kepada nas dan dalil yang jelas dengan menggunakan metodologi yang betul. Kurniaan Allah kepada kita dalam aspek duniawi begitu luas sekali. Justeru, jangan ia disempitkan dengan mewujudkan hukum hakam secara semberono sehinggakan yang harus lagi halal menjadi haram kerana tindak tanduk kita!

RUJUKAN:

  1. Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
  2. Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
  3. Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
  4. Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *