Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

SINOPSIS TAFSIR KONTEMPORARI : TAFSIRAN SURAH YUNUS AYAT 3 (10:3) – ALLAH SWT MENCIPTA LANGIT DAN BUMI DALAM ENAM HARI, KEMUDIAN BERSEMAYAM DI ATAS ARASY. MAKSUDNYA? BERKATA STEPHEN HAWKING DAN RAKAN-RAKANYA, ALAM WUJUD TANPA TUHAN?

  • (SURAH YUNUS AYAT 3) – ALLAH MENCIPTA LANGIT DAN BUMI DALAM 6 HARI : Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan. Tiada seorang pun yang akan memberi syafaat (membela) kecuali sesudah ada keizinan-Nya. Itulah Dia Allah, Tuhan kamu, maka sembahlah Dia. Maka apakah kamu tidak hendak ingat?” (Yunus 10:3)

Alam ada Penciptanya, bukan wujud sebab undang-undang graviti: Sesetengah saintis seperti Stephen Hawking dan rakan-rakannya mengatakan, alam mampu wujud dengan sendirinya disebabkan graviti dan undang-undang berkaitan graviti (rujuk Stephen Hawking, The Grand Design, 2010).

Kenyataan ini yang menolak kewujudan Tuhan sebagai Sang Pencipta telah dikritik oleh ramai pakar sains yang lain (rujuk https//sciencesensei.com/hawking-vs-god-32-thinkers-who-believe-the-legendary-physicist-got-it-wrong/)

Kita sebagai umat Islam mempunyai pendirian kita yang tersendiri berhubung isu ini disuluh oleh wahyu, antaranya berdasarkan ayat ini. Iaitu alam ini ada Sang Penciptanya dan Pencipta itu adalah Allah SWT.

Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsir al-Quran al-Azim (jil.2/406): “Allah SWT menyebutkan bahawa Dia adalah Tuhan bagi semesta alam seluruhnya, Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa.”

  • (YUNUS AYAT 3) — ALLAH MENCIPTA ALAM DALAM ENAM HARI. MAKSUD HARI?: Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari.” (Yunus 10:3)

Dalam bahasa Arab ‘hari’ ini disebutkan sebagai ‘ayyam.’ Adakah maksud ‘hari’ ini sama seperti hari yang kita manusia sedang lalui sekarang?

Dalam Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic (1980), ‘ayyam’ dalam bahasa Arab diertikan sebagai ‘age, era, time’ yang bermaksud ‘usia, era (zaman), masa.’

Berhubung ayat ini Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/144): “Jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan enam hari itu (ayyam) bukanlah enam hari hitungan kita di bumi yang sekarang ini, tetapi ia lebih luas daripada itu. (Ia) bisa diertikan sebagai enam edaran masa, yang satu edaran itu memakan waktu kadang-kadang ratusan ribu tahun, bahkan jutaan tahun.”

  • (YUNUS AYAT 3) – ALLAH SWT BERSEMAYAM ATAS ARASY: Allah berfirman bermaksud: “Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy.” (Yunus 10:3)

Arasy berada di alam ghaib dan bukan sesuatu yang boleh kita kesan dan kaji walaupun dengan menggunakan alat teknologi yang paling canggih.

Berkata Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir (5/2424): “Imam Ibn Kathir berkata, Arasy ialah makhluk yang paling besar dan merupakan atap bagi kesemua makhluk. Dan aku (Syed Hawa) berkata, Arasy merupakan makhluk yang berada di alam ghaib.”

Awas riwayat Israiliyat tentang Arasy: Hamka memberikan peringatan tentang hal ini dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/146): “Dalam beberapa tafsir ada juga bertemu beberapa ceritera tentang Arasy. Sampai ada yang menyebut bahawa Arasy itu tercipta daripada batu zabarjad yang hijau, bertatahkan ratna mutu manikam, dan bersalut emas dewangga (sutera indah). Maka ceritera tentang Arasy yang demikian (diselitkan) ke dalam tafsir oleh pembuat cerita dongeng Israiliyat.”

Allah bersemayam atas Arasy. Tafsiran salaf: Berkata Hamka: “Dan pegangan mazhab salaf tentang Arasy atau tentang Tuhan Allah bersemayam di atasnya, ialah membaca saja apa yang tertulis (dalam al-Quran) dan tidak usah mencari tafsir yang lain atau khayalan. Kerana keadaan dalam alam ghaib tidaklah dapat dinilai dan dirangkakan dengan alat yang ada pada kita dalam alam syahadah yang sangat terbatas ini.” Hal ini dilaporkan dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/146).

Allah bersemayam, boleh ditakwili maksudnya sebagai kekuasaan-Nya: Pendirian ini Hamka sebutkan dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/146): “Yang terang dan sepakat di antara ulama salaf dan khalaf tentang tafsir, bahawa setelah selesai mencipta semua langit dan bumi, kemudian itu Tuhan bersemayam di atas Arasy, ia bererti Tuhan bukan (sekadar) khalaqa (yakni mencipta atau menjadikan), sesudah terjadi membiarkan sahaja, ia bukan demikian. Melainkan sesudah terjadi Allah pun mengaturnya dan ‘yudabbiru’ yakni mentadbirnya. Dan bersemayam di atas Arasy bererti memegang penuh kekuasaan-Nya.”

Justeru, ayat tentang ‘bersemayamnya Tuhan di atas Arasy’ sama ada ia dibaca sebagaimana yang diwahyukan dan menyerah maksudnya yang sebenar hanya kepada Allah, atau ditafsirkan atau ditakwili maksudnya sebagai kekuasaan Ilahi yang Maha Berkuasa yang mengurus seluruh alam ini mengikut kehendak-Nya, kedua-dua pendekatan ini adalah sah mengikut pegangan ahli sunnah wal jemaah.

  • (SURAH YUNUS AYAT 3) – ALLAH MENCIPTA ALAM DAN MENTADBIRNYA, BUKAN MEMBIARKANNYA BERKEMBANG DENGAN SENDIRINYA: Allah berfirman bermaksud: “Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan (yudabbiru).” (Yunus 10:3)

Sesetengah manusia berkepercayaan bahawa alam memang dicipta Tuhan. Namun selepas itu Tuhan membiarkan sahaja alam berfungsi dan berkembang dengan sendirinya tanpa sebarang gangguan daripada pihak Tuhan.

Pandangan ini ditolak oleh Islam. Islam menegaskan bahawa Allah SWT adalah Pencipta dan Allah juga adalah Pentadbir dan Pengurus bagi seluruh alam ini, semuanya dilakukan mengikut kehendak-Nya.

Kenyataan ini ada perkaitan dengan ayat 3 dalam surah Yunus ini iaitu berhubung kalimat yudabbiru. Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/145): Yudabbiru dalam ayat ini, kita ertikan secara umum dan ringkas bahawa Dia Mengatur. Kalau kita gali makna kalimat ini lebih dalam tidak salah kalau ertikannya sebagai: ‘Dia mentadbir perintah.’ Maka dalam Allah Mengatur sesuatu perintah, Allah telah mengetahui dan menentukan hujungnya, akhirnya atau ekornya ataupun akibatnya. Di situ nampak bahawa dalam mengatur alam ini, Tuhan mempunyai rencana yang tegas dan konkrit.”

  • (SURAH YUNUS AYAT 3) – TIADA SYAFAAT TANPA IZIN-NYA: Allah berfirman bermaksud: “Tiada seorang pun yang akan memberi syafaat (membela) kecuali sesudah ada keizinan-Nya. Itulah Dia Allah, Tuhan kamu, maka sembahlah Dia. Maka apakah kamu tidak hendak ingat?” (Yunus 10:3)

Tiada siapa pun yang berkuasa untuk memberi sebarang syafaat (pembelaan) kepada manusia yang lain, apatah lagi di hari kiamat, kecuali dengan izin Allah SWT.

Berkata Hamka Tafsir al-Azhar (juz.11/145): “Yang dapat membela hanyalah yang diberi izin oleh Tuhan. Membela itu ialah memohonkan kepada Tuhan agar si anu diampuni, agar si pulan diringankan seksaannya. Antara yang diberi izin oleh Tuhan untuk memohonkan syafaat itu ialah Malaikat yang memikul Arasy, sebagai mana tersebut dalam surat 40 (al-Mukmin ayat 7).. Di sini terang sekali betapa sulitnya pemberian syafaat (pembelaan) itu. Pertama, tidak sembarang orang diberi izin oleh Allah memohonkan ampun bagi orang yang bersalah melanggar tadbir Ilahi. Yang dibolehkan itu hanyalah beberapa Malaikat pilihan atau manusia pilihan. Antaranya ialah Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Syarat yang kedua, ialah bahawa yang dimintakan syafaat untuknya itu ialah orang yang beriman dan beramal salih. Batinnya baik dengan iman dan zahirnya baik dengan amal. Mungkin sekali-sekali dia terkhilaf, lalu dia langsung memohon taubat kepada Tuhan. Orang semacam itulah yang boleh (menerima) syafaat daripada manusia atau Malaikat yang ditentukan Tuhan. Tetapi yang memutuskan akan memberi ampun, tetap pada Tuhan.”

  • (SURAH YUNUS AYAT 3) – SEMBAHLAH DIA SWT: Allah berfirman bermaksud: “Itulah Dia Allah, Tuhan kamu, maka sembahlah Dia. Maka apakah kamu tidak hendak ingat?” (Yunus 10:3)

Sembahlah Dia SWT! Inilah matlamat serta tujuan hidup. Kesemua gerak kerja, renungan, analisis, pemerhatian, tadabbur serta ilmu tujuannya ialah untuk beribadah kepada Allah SWT! Jangan dilupai hakikat ini.

Berkata Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli dalam Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (jil.6/114): “Maka sembahlah Dia’, maksudnya ialah esakanlah Dia dalam beribadah dan jangan jadikan sesuatu apa pun sekutu bagi-Nya.”

  • RUMUSANNYA: Ayat ini dirumuskan dengan baik sekali oleh Hamka. Beliau berkata dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/146): “Maka inilah kunci sejak mula, (selepas) menerangkan betapa luas kekuasaan Allah, mencipta dan mengatur semua langit dan bumi, mengutus Rasul untuk manusia supaya manusia menuruti tadbir Ilahi, dan Maha Besarlah Dia dalam kekuasaan-Nya, sehingga (tiada) manusia bisa lepas daripada ikatan tadbir itu, dan tidak bisa meminta kepada yang selain Allah, kerana yang lain itu tidak bisa mentadbir dan tidak sempurna tadbirnya. Maka sudahlah terang bahawa yang sebenarnya Tuhan yang patut disembah hanya Allah saja, Yang Tunggal dalam Kekuasaan-Nya. Sembahlah Dia, jangan disembah yang lain.. Fikirkanlah itu dan ingatlah.”

RUJUKAN:

  1. Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
  2. Imam Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Kaherah: Darul Fikr.
  3. Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
  4. Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.
  5. Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhayli, Tafsir al-Munir fi as-Syari’ah wal ‘Aqidah wal Manhaj (terjemahan), Jakarta: Gema Insani, 2013 di https://archive.org/details/tafsir-munir/Tafsir%20Munir%2001/
  6. Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Edited by J Milton Cowan, Macdonald & Evans Ltd, London,1980

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *