Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

TAFSIRAN SURAH YUNUS AYAT 1-2 (10:1-2) — AL-QURAN DIPENUHI KEBIJAKSANAAN. MUSLIMUN MENDAPAT ‘QADAMA SIDQIN’. KAFIRUN TERUS-MENERUS MENYERANG NABI SAW DAN ISLAM, TETAPI..

  • MUKADIMAH SURAH YUNUS, SURAH MAKKIYAH, MENGANDUNGI 109 AYAT: Hamka berkata: “Surat Yunus merupakan surah ke-10 dalam Mashaf. Mengandungi 109 ayat, mengikut jumhur ulama. Bahagian terbesar daripada ulama tafsir sependapat bahawa surah Yunus diturunkan di Mekah. Diturunkan sesudah surah al-Israk (surah 17) dan sebelum surah Hud (surah 12).. Sebagai salah satu surah yang diturunkan di Mekah, kita dianjurkan (untuk) mengenal Tuhan dengan merenung alam. Dari tempat kita tertegak sekarang kita merenung sekeliling kita, kepada manusia dan alam sekelilingnya. Lalu ingatan kita melayang kepada zaman lampau, (tentang) manusia yang terdahulu dan perjuangan para Rasul membawa ajaran (kepada mereka), dan keruntuhan umat (yang menolak) kebenaran. Dan kita terkenang ke zaman hadapan yang akan kita tempuh, sampai masa berhitung (hisab) di hadapan Tuhan (di hari Kiamat).”
  • (SURAH YUNUS AYAT 1) – ALIF LAAM RA: Allah berfirman bermaksud: “الٓر. (Alif Laam Ra). Inilah ayat-ayat daripada kitab yang bijaksana.” (Yunus 10:1)
Alif Laam Ra merupakan huruf-huruf hijaiyah dalam bahasa Arab. Terdapat 29 surah yang diawali dengan huruf-huruf hijaiyah atau disebut sebagai huruf-huruf ‘muqattha’ah’ seumpama pembukaan surah ini. Jumlah huruf yang digunakan untuk mengawali surah-surah tertentu dalam al-Quran berjumlah 14 huruf iaitu: Alif, Lam, Mim, Sin, Ra, Kaf, Ha, Ya, ‘Ain, Tho, Sod, Ha, Qaf dan Nun (ا ل م س ر ك هـ ي ع ط ص ح ق ن).
Usah memandai-mandai dalam memberi erti kepada huruf-huruf ini. Usah meneka-neka, ia satu perbuatan yang salah. Perlulah berusaha untuk memahaminya, antaranya, dengan membuka kitab-kitab tafsir muktabar supaya kefahaman tentangnya tidak terbabas.
Ramai ulama mengatakan bahawa huruf-huruf ini adalah rahsia Allah SWT. Berkata Imam Qartubi dalam kitab tafsirnya: “Telah berkata Imam ‘Amir as-Sya’bi, Sufyan at-Thauri dan satu jemaah daripada ahli hadis: ‘Ia rahsia Allah SWT dalam al-Quran. Ia hal mutasyabihat yang hanya berada dalam ilmu Allah SWT dan tidak harus kita berbicara tentangnya. Cukuplah dengan kita beriman dengannya dan membacanya sebagai mana ia didatangkan’. Di riwayatkan bahawa inilah juga merupakan pandangan sahabat Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abi Talib dan lain-lainnya RA.” Hal ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran (jil.1/134).
Menurut Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.1/113), pendapat ini juga merupakan pendapat sahabat Omar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Abdullah bin Mas’ud RA.
  • (SURAH YUNUS AYAT 1) – KITAB AL-QURAN DIPENUHI KEBIJAKSANAAN: Allah berfirman bermaksud: “Inilah ayat-ayat daripada kitab yang bijaksana.” (Yunus 10:1)
Berkata Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Hakim (jil.2/405): “Ertinya, inilah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hukum yang jelas.”
Syeikh Said Hawa pula menjelaskan: “Maksudnya, ayat-ayat al-Quran mengandungi hukum yang jelas lagi penuh kebijaksanaan. Malah al-Quran sendiri bijaksana kerana ia dipenuhi kebijaksanaan.”
Justeru, ayat-ayat al-Quran dan al-Quran sendiri dikaitkan dengan kebijaksanaan. Al-Quran bukan sebuah kitab syair, bukan kitab falsafah, atau mantera atau yang seumpamanya. Ia adalah wahyu Allah justeru tidak pelik isi-isinya penuh dengan kebijaksanaan. Untuk memperoleh kebijaksanaan ini, kita perlulah memahami mesej al-Quran. Kita akan terbabas daripada kebijaksanaan tanpa memahami al-Quran. Permata kebijaksanaan yang terdapat dalam al-Quran akan menyinari seluruh hidup kita jika ia difahami dan kemudian dihayati. Sayang sekali masih ramai dari kalangan umat yang menggali kebijaksanaan dari sumber yang terpisah jauh daripada al-Quran. Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan al-Quran sebagai suluh dalam hidup kita.
Al-Quran terpelihara. Perlu difahami prosesnya. Tidak akan sempurna kefahaman kita tentang al-Quran jika kita tidak mengetahui tentang sejarah penurunan serta pembukuan al-Quran. Pengkajian tentang sejarah penurunan serta pembukuan al-Quran akan menampakkan betapa isi-isi al-Quran yang bijaksana terpelihara sejak daripada awal lagi.
Hamka melaporkan dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/118): “(Al-Quran) tidak diturunkan sekali gus, meskipun catatan asli telah tersedia dalam Lohmahfuz. Ia turun dengan teratur dalam masa 23 tahun, iaitu 13 tahun zaman Makkah dan 10 tahun zaman Madinah. Dan turunnya selalu tepat pada waktunya, sehingga Asbabun Nuzulnya atau sebab turunnya itu bisa dijadikan pedoman dalam memahami isinya. Kemudian setelah Rasulullah SAW wafat, Al-Quran (yang seluruh catatannya telah wujud di zaman Nabi SAW), dibukukan dan di mashafkan. Pengumpulan menjadi Mashaf itu pun menambah bukti akan kebijaksanaannya. Inilah satu-satunya Kitab Suci yang diterima daripada bapa turun ke anak, daripada nenek turun ke cucu, dan daripada Arab turun ke Ajam melalui jalan Mutawatir. Iaitu ia diterima daripada orang yang sangat banyak, disampaikan kepada orang yang sangat banyak, yang mustahil bahawa mereka bersepakat terlebih dahulu akan berdusta. Oleh sebab itu maka al-Quran, sebuah Kitab Yang Bijaksana ini, tetap begitu bunyi bacaannya dan susunannya sejak diterima daripada Nabi SAW, dan sejak dimashafkan (bagi kali) yang pertama oleh Abu Bakar RA dengan anggota panitianya, yang disaksikan oleh beribu orang. (Kemudian) dinaskhahkan oleh Usman bin Affan RA menjadi 5 naskhah, kemudian disalin dan disalin lagi.. Dan sampai di zaman kita, baik yang ditulis dengan tangan, atau setelah dicetak (jumlahnya) sudah berjuta-juta. Namun dia tetap satu dan tetap dalam keaslian kebijaksanaannya, sehingga al-Quran di Sin Kiang (Cina) dapat dibaca dengan huruf yang sama oleh Muslim di Afrika.”
Justeru, bacalah al-Quran dengan tajwid yang betul. Untuk mencapai tujuan ini kita perlu berguru dengan mereka yang layak. Kemudian hendaklah kita teruskan dengan memberikan tumpuan untuk tadabbur serta memahami isi al-Quran dengan bantuan guru yang betul. Perlu diingat kefahaman al-Quran perlu dilakukan berpandukan metodologi yang betul. Kita tidak boleh bersikap semberono dengannya. Selepas itu berazamlah untuk hidup di bawah suluh kebijaksanaan al-Quran. Semoga dengan itu kita dirahmati.
  • (SURAH YUNUS AYAT 2) – ORANG KAFIR BERASA PELIK TENTANG RASUL?: Allah SWT berfirman bermaksud: “Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki dari kalangan mereka, ‘Berilah ancaman kepada manusia dan gembirakanlah orang beriman, bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka.’ Maka orang-orang kafir berkata, ‘Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah seorang tukang sihir yang nyata’.” (Yunus 10:2)
Mereka hairan dan mahu Rasul daripada kalangan bukan manusia?: Mereka hairan bahawa seorang lelaki dari kalangan mereka telah diangkat menjadi Rasul. Sedangkan dia makan, minum, tidur, berkahwin, pergi ke pasar dan mengalami sakit. Mereka hairan, dia yang seperti ini layakkah menjadi Rasul? Ya, apabila hati sudah diselimuti kufur, pelbagai pertikaian, pelbagai alasan akan ditimbulkan demi menolak kebenaran. Demikianlah perangai musyrikin Mekah yang bersikap hairan bahawa Rasul diutus daripada kalangan manusia, malah daripada kalangan mereka. Sedangkan secara logiknya, memang sepatutnya Rasul diutus daripada kalangan manusia agar manusia mudah mengikut dan mencontohinya dalam kehidupan. Jika Malaikat yang diutus sebagai Rasul, bagaimana mencontohinya, sedangkan dia tidak berminat langsung untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan melakukan yang seumpamanya?
Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/118-119) menjelaskan bahawa, kaum musyrikin Mekah dan semua orang yang sama cara fikirnya dengan musyrikin Mekah itu, mereka tidak mahu percaya bahawa Muhammad menerima wahyu daripada Tuhan. Dalam surah ke-6 (al-An‘am) ayat 8-9 yang turun di Mekah juga, dinyatakanlah tentang bantahan mereka, iaitu mengapa Rasul itu tidak disertai oleh seorang Malaikat, atau mengapa tidak Malaikat sahaja yang diutus Tuhan menjadi Rasul kepada manusia? Dalam surah ke-25 (surah al-Furqan), diceritakan tentang kehairanan mereka, tentang mengapa manusia dikirim menjadi Rasul yang keadaannya sama seperti manusia biasa. Dia makan makanan dan dia berjalan di pasar. Dalam surah al-An‘am, kehairanan mereka itu disuruh jawab oleh Tuhan SWT, iaitu, oleh sebab yang akan (menerima) petunjuk itu ialah manusia, maka oleh kerana itu yang diutus (untuk mendidik manusia) itu adalah manusia juga. Demikian yang di dilaporkan dalam Tafsir al-Azhar.
Syeikh Said Hawa melaporkan dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2423) bahawa, ketika Nabi Muhammad SAW diutus, golongan Arab menolaknya dan berkata: ‘Allah lebih agung dan mampu untuk tidak mengutus seorang manusia seperti Muhammad ini.’ Imam Nasafi menjelaskan: “(Golongan Arab) berkata: Hairan sungguh Allah tidak mempunyai pilihan lain untuk dijadikan Rasul melainkan seorang yang yatim piatu yang dipelihara oleh Abu Talib? Mereka juga berasa hairan dengan peringatan yang diberikan berkaitan dengan hari kebangkitan, ancaman tentang neraka, dan berita gembira tentang syurga. Sedangkan hal-hal ini sepatutnya tidak menghairankan kerana rasul-rasul yang diutus sebelum ini adalah manusia belaka. Dan mengutus seorang yang yatim piatu lagi miskin juga tidak menghairankan kerana ciri-ciri yang melayakkan seseorang dipilih sebagai Rasul begitu pelbagai dan kemewahan serta kehebatan di dunia pastinya tidak menjadi sebab yang utama. Mesej kebangkitan dan pembalasan di hari kiamat juga tidak menghairankan kerana terdapat hikmat yang besar di sebalik ketetapan ini.” Semua ini dilaporkan dalam al-Asas fit Tafsir.
  • (SURAH YUNUS AYAT 2) – YANG BERIMAN MENDAPAT ‘QADAMA SIDQIN’: Allah SWT berfirman bermaksud: “Berilah ancaman kepada manusia dan gembirakanlah orang beriman, bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka (qadama sidqin).” (Yunus 10:2)
Rasul diutus dengan tugas-tugas khas yang perlu dilaksanakan. Berkata Hamka: “Dalam ayat ini bertemu dua tugas agung bagi Nabi. Pertama memberi ancaman kepada yang tidak mahu percaya. Kedua memberi khabar gembira kepada yang mahu percaya.”
Memberi khabar gembira kepada mereka yang mahu percaya (beriman) ialah khabar bahawa mereka mempunyai ‘qadama sidqin’ di sisi Tuhan mereka.
Berhubung ‘qadama sidqin’ ini, Imam Ibn Kathir melaporkan tafsiran Ibn Abbas RA bahawa ia bermaksud ditetapkan bagi mereka kebahagiaan sebagai mana (tercatat) dalam lohmahfuz. Al-Aufi juga meriwayatkan kenyataan Ibn Abbas RA bahawa ia juga bermaksud pahala yang baik atas apa yang telah mereka lakukan di dunia. Hal ini disebutkan dalam Shahih Tafsir Ibnu Katsir (jil.4/358).
Syeikh Said Hawa mengatakan, ‘qadama sidqin’ bermaksud diberikan keutamaan dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka SWT. Hal ini dilaporkan dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2423).
  • (SURAH YUNUS AYAT 2) – NABI MUHAMMAD SAW AHLI SIHIR?: Allah SWT berfirman bermaksud: “Berkata orang-orang kafir itu: ‘Sesungguhnya orang ini adalah seorang ahli sihir yang nyata’.” (Yunus 10:2)
Begitulah orang kafir di zaman Nabi SAW. Mereka berusaha sedaya upaya mereka untuk mencari kecacatan terhadap Nabi SAW serta risalah yang dibawa baginda. Mereka sebenarnya mengiktiraf keperibadian mulia yang baginda miliki, dan mengakui baginda bukan seorang pendusta.
Hamka menukilkan kisah tentang al-Walid bin Mughirah. Dia seorang ahli pidato, pandai dalam bidang syair Arab dan seorang yang terkemuka di kalangan kaumnya. Abu Jahal telah datang kepadanya bertanyakan pendapatnya tentang apa yang disebutkan Muhammad sebagai wahyu, kerana semakin ramai yang terpesona dengannya. Disebabkan desakan oleh Abu Jahal, al-Walid telah membuat kajian dan penyelidikan tentang wahyu ini. Akhirnya berkatalah al-Walid: ‘Kamu sudah tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu yang lebih pintar daripadaku dalam soal syair.. Namun setelah aku selidiki, kata-kata yang dikeluarkan Muhammad ini bukanlah syair dan bukan buatan jin. Demi Allah, perkataan ini sangat indah ucapannya dan merdu di dengar oleh telinga. Dan ia terang di bahagian atasnya, dan memancarkan sinar di sebelah bawahnya. Perkataan ini akan selalu berada di atas dan tidak dapat diatasi, bahkan yang di bawahnya akan dihancurkannya.’
Abu Jahal tidak berpuas hati dengan jawapan al-Walid. itu, maka disuruhnya al-Walid menyelidiki lagi. Akhirnya selepas didesak, al-Walid merumuskan sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Muddatthir ayat 24-25, iaitu, ‘Ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari dengan tekun. Ini tidak lain hanyalah kata-kata manusia.’
Baginda seorang ahli sihir? Aneh sekali! Baginda Nabi SAW telah hidup berpuluh tahun bersama mereka dan baginda dikenali dengan keperibadiannya yang mulia. Baginda tidak pernah dikenali sebagai seorang pengamal ilmu sihir atau ahli sihir. Justeru, awal-awal lagi dalam ayat 1 surah Yunus Allah SWT menegaskan bahawa ayat-ayat al-Quran ini penuh dengan hikmat kebijaksanaan. Ia amat berbeza dengan mantera sihir dan mantera ilmu hitam yang sarat dengan kalimat-kalimat pelik yang langsung tidak membawa kepada kebijaksanaan dalam hidup.
  • (SURAH YUNUS AYAT 2) – NABI MUHAMMAD SAW AHLI SIHIR? ORANG KAFIR TERUS-MENERUS MENYERANG NABI SERTA RISALAH ISLAM: Seperti golongan kafir di zaman Nabi SAW, sebahagian golongan kafir pada hari ini juga tidak jemu-jemu berusaha untuk menyerang Nabi, risalah Islam dan al-Quran.
Panjang lebar tulisan Hamka dalam Tafsir al-Azhar berhubung serangan musuh Islam terhadap Islam pada hari ini (rujuk Tafsir al-Azhar juz.11/129-140). Hamka sendiri pernah disoal oleh seorang pelajar S.M.P. di sebuah kota di Jawa Tengah bahawa, benarkah Nabi Muhammad itu mengharamkan makan babi sebab baginda sendiri gemar makan babi, lalu suatu hari daging babi miliknya telah dicuri oleh pembantunya maka disebabkan itu babi beliau haramkan? Kemudian pelajar itu memberitahu bahawa maklumat ini diajar oleh gurunya yang beragama Kristian Katolik.
Hamka turut menukilkan tulisan Syeikh Muhammad Qutub dalam buku Syeikh bertajuk Jahiliyatul Qarnil ‘Isyrin (Jahiliyah Abad ke-20). Di halaman 195-196, Syeikh menceritakan pengalaman rakannya yang tinggal di Amerika berdepan dengan seorang guru bahasa Inggeris di sana. Guru itu memberitahu bahawa dia mengetahui kisah tentang Nabi Muhammad. Pada suatu hari (Nabi) telah mabuk, berjalan terhuyung-hayang sehingga terjatuh. Selepas beliau jatuh datanglah seekor babi menggigitnya. Lantaran itulah dia (Nabi) mengharamkan orang meminum arak dan memakan babi. Guru itu seterusnya memberitahu bahawa inilah antara perkara yang beliau ajarkan kepada anak muridnya dalam kelas hari Ahad setiap minggu, dan beliau diberikan gaji untuk mengajar semua ini. Mereka sanggup menyebarkan kisah bohong seperti ini semata-mata untuk mengaibkan Nabi dan Islam!
Hamka seterusnya menceritakan tentang Rolland yang telah mengarang lirik syair tentang peperangan Charlemagne memerangi orang Islam (The Song of Roland), dan kononnya dia telah menghancurkan berhala yang disembah oleh orang Islam. Berkata Rolland, orang-orang Islam di Andalusia menyembah berhala bernama Mahome, Tartagan dan Abulun.
Malah beberapa pengarang di barat mengatakan bahawa Muhammad adalah dajal, dan Islam adalah kelompok kekafiran dari ajaran syaitan, kaum Muslimin adalah golongan yang biadab, dan Al-Quran adalah sumber kekacauan.
Pada abad ke-16 timbullah Gerakan Protestan yang memprotes kekuasaan Gereja Katolik. Dari kalangan Protestan di Jerman timbullah kenyataan bahawa kalimat Muhammad itu samalah dengan kalimat Mahound yang dalam bahasa Jerman maksudnya adalah ‘anjing’.
Dan pada hari ini serangan terhadap Islam berlaku secara yang lebih terancang melalui tokoh-tokoh orientalis barat, di sokong oleh pelbagai kuasa dan kekuatan demi untuk melemahkan Islam dan menjatuhkan imej Islam.
Kenyataan-kenyataan ini disebutkan dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka.
Justeru, umat Islam tidak boleh tidur berhadapan dengan serangan-serangan ini. Kita perlu kuasai ilmu tentang Islam secara yang mantap dengan penuh kefahaman. Kita juga perlu tahu cara untuk menangkis tohmahan terhadap Islam. Di samping itu kita juga perlu sebarkan Islam yang sebenarnya kepada dunia hari ini. Inilah antara tugas-tugas kita hari ini. Jangan pula kita yang hanyut dipukul oleh arus ciptaan mereka!
  • (SURAH YUNUS AYAT 2) – NABI MUHAMMAD SAW AHLI SIHIR? NAMUN ADA JUGA NON-MUSLIM YANG SEDAR DAN BERUBAH: Seperti yang disebutkan Hamka, terdapat dari kalangan tokoh-tokoh di barat yang, selepas mengkaji Islam, terus beriman dengannya. Beliau telah membincangkan hal ini dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/141-142). Antara yang menonjol ialah (Muhammad) Marmaduke Pickthall dari Britain, pengarang buku terjemahan al-Quran berjudul Holy Quran. Juga Nasreddine Dinet, seorang tokoh dari Perancis, Julius Germanus (Dr. Abdul Karim Germanus), seorang profesor dari Hungary, dan Leopold Weiss (Muhammad Asad) seorang tokoh wartawan dari wilayah Austria-Hungary sebelum ini. Muhammad Asad (Leopold Weiss) kemudiannya telah mengarang sebuah buku bertajuk The Message of the Al-Quran.
Terdapat sebahagian yang lain di barat yang, selepas membuat penyelidikan, mereka menyedari keindahan Islam dan dapat menerima hakikat bahawa Muhammad SAW itu memang seorang Nabi. Namun mereka tidak memeluk Islam dan tidak pula mencerca Islam. Antaranya ialah seorang tokoh dari Britain, Profesor Sir Thomas Walker Arnold, dari Britain. Beliau telah mengarang buku bertajuk The Preaching of Islam. Dalam bukunya itu beliau mengemukakan dalil-dalil yang cukup mantap berdasarkan sejarah yang membuktikan bahawa dakwah dan penyebaran Islam tidak berlaku secara kekerasan.
Justeru, di samping kita menguasai ilmu tentang Islam serta mampu menangkis serangan musuh yang menyerang Islam, kita juga perlu mengenali tokoh-tokoh seumpama mereka yang di atas ini berserta dengan penemuan mereka tentang keindahan dan kebenaran Islam. Agar pengalaman serta penemuan mereka itu dapat kita jadikan sebagai hujah tambahan dalam dakwah dan seruan kita.
RUJUKAN:
  1. Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
  2. Imam Qartubi, Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Kaherah: Darul Syaab.
  3. Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
  4. Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *