Laman Rasmi Dr Danial Zainal Abidin

SINOPSIS TAFSIR KONTEMPORARI PADA JAN/2026 : SYAABAN/1447 : TAFSIRAN SURAH YUNUS AYAT 53-56 (10:53-56) — KAFIRUN MEMPEROLOKKAN JANJI TUHAN SWT. MEREKA LUPA KUASA TUHAN.

 
  • (SURAH YUNUS AYAT 53) — MEMINTA KETERANGAN YANG LEBIH TENTANG AZAB?: Allah berfirman bermaksud: “Dan mereka akan meminta berita daripada engkau (Nabi Muhammad), ‘Benarkah ia (iaitu azab yang dijanjikan Allah) itu?’ Katakanlah, ‘Ya, demi Tuhanku, sesungguhnya (azab) itu adalah benar dan sekali-kali kamu tidak dapat menghindarinya’.” (Yunus 10:53)
Mempertikaikan kebenaran serta memperolokkan janji-janji Tuhan sering dilakukan oleh golongan kafir. Hati yang kufur akan melahirkan tindak tanduk kekufuran. Sebaliknya hati yang memiliki iman akan melahirkan ketundukan.
Imam Ibn Kathir berkata, dalam ayat ini orang kafir bertanya tentang hari dibangkitkan manusia dari alam kubur mereka, adakah ianya benar. Rasul SAW diarahkan untuk menjawab bahawa ia adalah benar dan ia bukan suatu yang sulit di sisi Allah SWT. Hal ini dinyatakan dalam Shahih Tafsir Ibnu Katsir (jil.4/423-424).
Syeikh Said Hawa pula berkata, golongan kafir ingin tahu sama ada benar Tuhan akan mendatangkan azab serta hari Kiamat. Pertanyaan mereka bertujuan untuk mengingkari dan memperolokkan janji-janji Tuhan itu. Ataupun disebabkan mereka ragu-ragu tentang kebenarannya. Inilah yang disebutkan Syeikh dalam al-Asas fit Tafsir (jil.5/2476).
Namun bagi Hamka, tidak mustahil mereka yang bertanya ini bertanya kerana ingin tahu.
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/230): “Antara kaum musyrikin itu ada yang akan meminta keterangan yang lebih jelas tentang berita itu, iaitu (berita tentang) Allah Maha Berkuasa akan mendatangkan azab dengan tiba-tiba, baik di tengah malam atau (di waktu) tengah hari tepat, dan kelak di akhirat pun akan ditimpakan azab yang kekal. Mereka itu selama ini menjadi kafir atau musyrik kerana belum mendapat keterangan yang jelas. Orang yang seperti ini kalau mendapat keterangan yang jelas dan jujur, bisa kembali kepada jalan yang benar. Apatah lagi ramai pula di kalangan mereka yang mengakui bahawa Muhammad itu bukanlah seorang yang pendusta sejak dia belum menjadi Rasul. Sekarang mereka bertanya, apakah hal yang seperti itu benar-benar boleh terjadi?”
Apa saja tujuan pertanyaan mereka, sama ada untuk mengingkari, atau untuk memperolokkan kebenaran dan seumpamanya, Allah SWT tetap mengarahkan Nabi SAW untuk memberikan jawapan yang benar, walaupun pahit untuk ditelan oleh mereka.
Demikian juga dengan kita pada hari ini. Apa saja soalan ingin tahu tentang Islam yang dihadapkan orang kafir kepada kita hendaklah kita jawab dengan benar dan jelas, walau pun niat mereka mungkin tidak ikhlas. Mungkin dengan keikhlasan jawapan kita akan terbuka hati mereka untuk lebih mengenali Islam!
  • (SURAH YUNUS AYAT 54) — AZAB KIAMAT TIDAK DAPAT DITEBUS, NAMUN TIADA SIAPA YANG AKAN DIZALIMI: Allah berfirman bermaksud: “Dan kalau setiap diri yang zalim (musyrik) itu mempunyai segala apa yang ada di bumi ini, tentu dia menebus dirinya dengan itu, dan mereka membunyikan penyesalannya ketika mereka telah menyaksikan azab itu. Dan diberikan keputusan antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dianiaya.” (Yunus 10:54)
Ketika hukuman azab ditimpakan ke atas seseorang manusia di akhirat, tidak berfaedah lagi segala kehebatan serta kemewahan yang dimilikinya kerana ia tidak akan dapat menyelamatkannya sedikit pun, walaupun dia cuba menebus kesalahannya dengan kesemua itu. Namun hukuman yang bakal diterimanya adalah berdasarkan keadilan. Dia tidak akan dizalimi.
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/232): “Ertinya, pada saat itu tidak berguna lagi kekayaan, walaupun seseorang mempunyai kekayaan sepenuh bumi (ia tidak akan menebus dosanya).. Setelah berhadapan dengan seksaan Allah yang sudah pasti itu, terpendamlah rasa menyesal di dalam dada, bahkan kadang-kadang menyesak menjadi keluhan.. (Namun) tidak mungkin atau mustahil hukum dijatuhkan Allah dengan zalim. Sebab hukum zalim hanya terdapat dalam dunia ini oleh manusia kepada manusia, kerana pihak yang menzalimi ada kepentingannya.”
Justeru di dunia hendaklah kita fokus kepada perkara yang boleh menyelamatkan kita di akhirat. Yang boleh menyelamatkan kita bukannya kemewahan serta kemegahan. Sebaliknya yang bakal menyelamatkan kita ialah iman serta amal salih!
Allah berfirman dalam surah at-Tin ayat 6 (95:6): “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” Inilah yang menjadi landasan pegangan kita.
  • (SURAH YUNUS AYAT 55) — SEMUA YANG DI LANGIT DAN BUMI MILIK ALLAH. JUSTERU, USAH ANGKUH DENGAN TUHAN: Allah berfirman bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya milik Allahlah apa yang ada di langit dan di bumi. Ketahuilah, sesungguhnya janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Yunus 10:55)
Ayat ini mengingatkan manusia tentang kekuasaan Allah SWT. Supaya dengan menyedari kekuasaan-Nya itu manusia akan takut dan akan tunduk kepada-Nya. Takut dan tunduk mampu menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat nanti. Dan mereka juga akan menyedari bahawa Tuhan Yang Menguasai langit dan bumi itu mampu melakukan apa yang dikehendakinya, termasuk menghidupkan manusia kembali untuk di hukum pada hari Kiamat.
Berkata Hamka dalam Tafsir al-Azhar (juz.11/233): “Kalau sudah disebut semua langit dan bumi, ertinya seluruh alam ini, yang bernyawa ataupun tidak, semuanya adalah di bawah Kuasa Tuhan. Supaya ingatlah setiap orang bahawa kekuasaan mutlak adalah pada Tuhan, dan dia (manusia) bertanggungjawab di hadapan Tuhan, dan dia tidak dapat melepaskan diri daripada ketentuan itu. Dia lahir, dia hidup dan dia akan mati. Lahir (kerana) kehendak Tuhan, hidup di bawah kuasa Tuhan, dan mati kembali kepada Tuhan. ‘Ketahuilah, sesungguhnya janji Allah adalah benar.’ Yang nampak sekarang adalah kuasa Allah meliputi semua langit dan bumi dan (seluruh) hidup kita. Adapun yang di sebalik ini ada lagi, iaitu: ‘Janji Tuhan.’ (Janji) hari perhitungan dan pertemuan dengan Tuhan, yang mesti kita tempuh. ‘Akan tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui.’ Tidak mengetahui, atau tidak mahu tahu, atau tidak sadar, bahawa hidup ini di bawah Kuasa Allah, dan sesudah mati akan menemui Allah. Yang menjadikan manusia tersesat, terpesong, menyeleweng, lain tidak (melainkan) kerana manusia melupakan Kuasa Tuhan atas alam, dan (melupakan) Janji Tuhan di kemudian hari.”
  • (SURAH YUNUS AYAT 56) — JANGAN LUPA TENTANG PERJALANAN HIDUP YANG PASTI: (Yunus 10:56) Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan, dan kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan.” (Yunus 10:56)
Hidup ini persis satu musafir. Musafir yang mempunyai beberapa persinggahan yang pasti. Pertama, kita diberi peluang untuk hidup di dunia. Kedua, kita pasti mati dan berpindah ke alam barzakh. Ketiga, kita akan dibangkitkan untuk dihisab oleh Allah SWT. Semua ini adalah perjalanan yang pasti. Kemuncak perjalanan ialah pertemuan dengan Allah SWT di akhirat nanti. Justeru kehidupan di dunia mestilah bertujuan untuk mencapai kesejahteraan serta keselamatan ketika bertemu Allah di akhirat nanti. Hendaklah kita bercucuk tanam secara yang betul di dunia ini (dengan beramal), agar hasilan yang baik dapat dituai di sana. Yang penting ialah hasilan yang di sana. Ini selari dengan firman Allah dalam surah al-A’la ayat 17 (87:17): “Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”
Berkata Hamka Tafsir al-Azhar (juz.11/233-234): “Lahir ke dunia dan hidup; putus nafas dan mati. Sesudah itu kembali kepada Allah, pulang kepada-Nya, untuk menerima perhitungan dan ganjaran. Jangan dilupakan ini, supaya kita jangan kehilangan pedoman dalam pelayaran hidup dengan alun, gelombang, ombak, riak dan arusnya.”
  1. Tim Ahli Tafsir (di bawah pengawasan Syeikh al-Mubarakfuri), Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2008.
  2. Syeikh Said Hawa, Al-Asas fit Tafsir, Kaherah: Dar as-Salam, 1985.
  3. Hamka, Tafsir al-Azhar, Jakarta: Pustaka Panjimas, 1985.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *