Al-Quran merupakan kalam Allah. Mereka yang sentiasa mendampinginya akan sentiasa mendapat keberkatan daripadanya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili RA, Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
“Bacalah al-Quran karena al-Quran akan datang pada hari kiamat nanti sebagai syafi’ (pemberi syafa’at) kepada yang membacanya.” (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah RA telah berkata, Nabi SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
“Dan tidaklah satu kaum berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan diturunkan ketenangan kepada mereka, diliputi oleh Allah rahmat-Nya, serta para malaikat mengerumuninya, dan Allah menyebut tentang mereka di kalangan makhluk yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang perlahan amalannya, maka nasab keturunannya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. (Riwayat Muslim)
Justeru, membaca al-Quran serta mengkaji serta mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan al-Quran merupakan aktiviti yang amat mulia.
Kalam Allah tidak boleh disamakan sedikit pun dengan kalam makhluk-Nya. Justeru, pembacaan al-Quran perlu dilakukan dengan menjaga cara dan adabnya, supaya tidak berlaku kesilapan yang boleh merosakkan lafaz dan makna al-Quran.
KEPENTINGAN TARTIL DAN TAJWID
Allah S.W.T berfirman:
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
“Dan bacalah al-Quran dengan Tartil”. (Surah al-Muzammil 73:4)
Berkaitan ayat ini, Imam al-Mawardi berkata, yang dimaksudkan daripadanya adalah suruhan untuk membaca ayat al-Quran mengikut aturannya dan susunannya, jangan mengubah lafaz dan jangan mendahulukan ayat yang akhir pada yang awal, ibarat susunan gigi yang kemas apabila asasnya sama dan ia tersusun rapi. Ini adalah apa yang dikatakan oleh Ibn Bahr. (Rujuk: Tafsir al-Mawardi; 6/126)
Berhubung ayat ini, Hamka pula berkata, “Sahabat Nabi SAW, Abdullah ibn Mas’ud RA, memberi ingat, jika membaca al-Quran janganlah tergesa-gesa, jangan terburu-buru, bahkan bacalah secara perlahan-lahan dan jangan seperti mendendangkan syair. Ketika menemui keajaiban-keajaibannya berhentilah sejenak untuk merenungkannya, dan gerakkan hati untuk memperhatikannya.” (Tafsir al-Azhar oleh Hamka)
Syeikh Said Hawa merumuskan ayat ini dengan berkata, “Diturunkan al-Quran ke atas Rasul SAW secara tartil, dan Rasul SAW membaca al-Quran secara tartil. Umat telah mewarisi cara membaca al-Quran secara tartil daripada Rasul SAW ini dan para qurra’ (ulama dalam bidang al-Quran) telah menghimpun kaedah-kaedah membaca al-Quran secara tartil ini dan mengarang pelbagai kitab tentangnya. Para ulama menetapkan, ilmu berkaitan tartil ini merupakan antara ilmu fardu ain yang wajib dikuasai oleh setiap Muslim. Justeru setiap Muslim digesa agar mengkaji risalah tentang ilmu tajwid serta mempelajari al-Quran dari yang ahli tentangnya, agar tertunai bebanan fardu ain ini daripada dirinya”. (al-Asas fit Tafsir, Syeikh Said Hawa)
MAKSUD TARTIL DAN TAJWID
Kenyataan Syeikh Said Hawa (di atas) menunjukkan ilmu tartil dan tajwid bersekali dan tidak dapat dipisahkan. Tartil di sudut istilah bermaksud meraikan tempat keluar huruf dan menjaga tempat berhentinya. Dikatakan juga bahawa tartil ialah merendahkan suara dan bersedih dalam bacaan al-Quran. (Rujuk: at-Ta’rifat hlm.55)
Perbezaan antara tajwid dan tartil ialah, tartil merupakan salah satu aspek dalam ilmu tajwid. Tajwid merangkumi sifat-sifat huruf dan apa yang dimestikan pada setiap sifat tersebut, dengan memberikan atau meletakkan pada setiap huruf haknya, sebagai contoh, menyatakan atau menyembunyikannya, atau membacanya secara tebal, nipis dan seumpamanya. Manakala tartil lebih kepada meraikan makhraj (tempat keluar) huruf dan menjaga tempat berhentinya supaya tidak bercampur sebutan huruf disebabkan bacaan yang laju. (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 10/177-178)
Imam Ibn al-Jazari berkata:
فَالتَّجْوِيدُ هُوَ حِلْيَةُ التِّلَاوَةِ، وَزِينَةُ الْقِرَاءَةِ، وَهُوَ إِعْطَاءُ الْحُرُوفِ حُقُوقَهَا وَتَرْتِيبُهَا مَرَاتِبَهَا، وَرَدُّ الْحَرْفِ إِلَى مَخْرَجِهِ وَأَصْلِهِ، وَإِلْحَاقُهُ بِنَظِيرِهِ وَتَصْحِيحُ لَفْظِهِ وَتَلْطِيفُ النُّطْقِ بِهِ عَلَى حَالِ صِيغَتِهِ، وَكَمَالِ هَيْئَتِهِ ; مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا تَعَسُّفٍ وَلَا إِفْرَاطٍ وَلَا تَكَلُّفٍ
“Tajwid adalah perhiasan bagi tilawah (bacaan), iaitu dengan memberikan huruf-huruf haknya dan susunannya berdasarkan kedudukan yang layak baginya, dan meletakkan (sebutan) huruf berdasarkan tempat keluarnya dan tempat asalnya, dan mengaitkannya dengan apa yang seumpamanya, di samping membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya bersesuaian dengan bentuk dan juga keadaannya, tanpa melebih-lebih atau cuai”. (Rujuk: al-Nasyru fi al-Qira’at al-‘Asyr; 1/212)
Selain al-Quran, hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W juga menekankan tentang kepentingan membaca al-Quran dengan baik. Nabi SAW bersabda:
وَزَيِّنُوا القُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ
“Dan hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” (Riwayat Bukhari)
Dan juga Rasulullah S.A.W bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ
“Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak mengindahkan bacaan al-Qurannya”. (Riwayat Bukhari)
Maksud umum daripada hadis-hadis ini ialah tentang kepentingan membaca al-Quran dengan baik dan elok. Ia juga boleh difahami sebagai suatu saranan untuk membaca al-Quran secara bertajwid kerana pembacaan al-Quran yang baik tidak akan sempurna tanpa tajwid. (Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – Irsyad al-Fatwa siri ke-482)
HUKUM BERTAJWID
Syeikh Ali al-Qari berkata:
فَيَنْبَغِي أَنْ تُرَاعَى جَمِيعُ قَوَاعِدِهِمْ وُجُوبًا فِيمَا يَتَغَيَّرُ بِهِ الْمَبْنَى وَيَفْسُدُ الْمَعْنَى، وَاسْتِحْبَابًا فِيمَا يَحْسُنُ بِهِ اللَّفْظُ وَيُسْتَحْسَنُ بِهِ النُّطْقُ حَال الْأَدَاءِ.
“Maka hendaklah meraikan semua kaedah-kaedah (sebutan huruf) yang wajib dikuasai iaitu yang berkaitan perkara yang boleh mengubah struktur ayat atau merosakkan makna, dan sunat pada apa yang dapat mengelokkan lafaz dan sebutan ketika membacanya. (Rujuk: al-Minah al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah hlm.112)
Ia bermaksud, wajib membaca dengan tajwid yang betul agar sebutan huruf tidak mengubah struktur ayat dan tidak mengubah makna ayat al-Quran. Adapun untuk mendalami dan memperhalusi pembacaan agar ia menjadi lebih elok, maka hukumnya adalah sunat.
Imam al-Jazari berkata:
وَالأَخْذُ بِالتَّجْوِيدِ حَتْمٌ لازِمُ … مَنْ لَمْ يُجَوِّدِ الْقُرَآنَ آثِمُ
“Dan mengambil (membaca) dengan tajwid adalah wajib, barang siapa yang tidak mengelokkan bacaan al-Quran (dengan tajwid) maka dia berdosa. (Rujuk: al-Muqaddimah al-Jazariyyah, hlm. 11)
Ibn al-Jazari ketika mensyarahkan matan bapanya (Imam al-Jazari) berkata:
وذلك واجب على من يقدر… لأن الله تعالى أنزل به كتابه المجيد ووصل من نبيه عليه الصلاة والسلام متواترا بالتجويد قوله: (من لم يصحح القرآن) أي من لم يصحح القرآن مع قدرته على ذلك فهو آثم عاص
“Kewajipan ini adalah pada mereka yang mampu…kerana Allah SWT menurunkan kitab-Nya, dan telah sampai (kepada kita) daripada Nabi-Nya SAW bahawa Baginda membaca secara bertajwid secara mutawatir.. Barang siapa yang tidak membaca al-Quran dengan baik sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan telah melakukan kemaksiatan”. (Syarh Toyyibatu al-Nasyr li Ibn al-Jazariyy, hlm.35)
KESIMPULAN
Membaca al-Quran dengan bertajwid hukumnya adalah wajib. Justeru, sesiapa yang ingin membaca al-Quran wajib ke atasnya mempelajari ilmu tajwid yang asas bagi mengelakkan diri daripada tersilap ketika membaca yang boleh membawa kepada perubahan lafaz dan makna. Perubahan lafaz dan makna al-Quran merupakan kesalahan yang besar dalam pembacaan al-Quran. Adapun mempelajari ilmu tajwid secara mendalam dalam aspek-aspek yang khusus, maka hukumnya adalah fardu kifayah, bukan fardu ain.
Oleh:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
11/1/2023
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Al-Asas fit Tafsir, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam, Kaherah, 1985
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – irsyad al-fatwa siri ke-482: hukum membaca al-quran dengan bertajwid (muftiwp.gov.my)