RAHSIA ALIF-LAAM-MIIM
AYAT 1 SURAH AL-BAQARAH (2:1):
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
الم 1
“Alim Laam Miim.” (al-Baqarah 2:1)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 1 SURAH AL-BAQARAH: (RAHSIA ALIF-LAAM-MIIM)
Alif Laam Miim merupakan huruf-huruf hijaiyah dalam bahasa Arab. Terdapat 29 surah yang diawali dengan huruf-huruf hijaiyah atau disebut huruf-huruf ‘muqattha’ah’ seumpama pembukaan surah al-Baqarah ini. Malah Alif-Laam-Miim merupakan pembukaan bagi surah al-Baqarah, Ali Imran, al-Ankabut, ar-Rum, Luqman dan as-Sajdah. Jumlah huruf yang digunakan untuk mengawali surah-surah tertentu dalam al-Quran berjumlah 14 huruf iaitu: Alif, Laam, Miim, Siin, Ra’, Kaaf, Ha’, Ya, ‘Ain, Tho, Sod, Haa, Qaaf dan Nuun (ا ل م س ر ك هـ ي ع ط ص ح ق ن).
- MENARIK PERHATIAN ARAB : Imam Qartubi meriwayatkan: “Ketika Arab Mekah enggan mendengar al-Quran maka Allah SWT menurunkan huruf-huruf hijaiyah ini dan mereka terus memberikan perhatian selepas itu.” (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/135) Ia menampakkan dengan kehendak Allah SWT huruf-huruf ini mendatangkan kejutan ke atas golongan kafirun sehingga mereka terus memberikan fokus kepada al-Quran.
- APAKAH MAKSUDNYA? : Tidak ada sebarang hadis daripada Nabi SAW yang menerangkan maksud khusus kepada huruf-huruf ini. Justeru terhasil pelbagai pandangan ulama berhubung rahsia di sebalik huruf-huruf ini. Berkata Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya: Tiada pendapat yang menjadi kesepakatan ulama berhubung dengan masalah fawatihus suwar (huruf-huruf pembukaan surah) ini, melainkan mereka berselisih pendapat tentangnya. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/ 37)
- SEBAHAGIAN ULAMA CUBA MEMBERIKAN TAFSIRAN : Sebahagian ulama berusaha memberikan tafsiran / erti kepada huruf-huruf ini. Berkata Hamka: “Yang banyak memberikan erti (kepada huruh-huruf ini) ialah sahabat Abdullah ibn Abbas RA. Mengikut satu tafsiran oleh beliau RA, Alif-Laam-Miim adalah isyarat kepada tiga nama, Alif untuk Allah SWT, Laam untuk Jibrail AS dan Miim untuk Nabi Muhammad SAW.” (Tafsir al-Azhar 1/113)
- IA NAMA ALLAH? : Menurut riwayat oleh Imam Baihaqi dan Ibn Jarir yang diterima daripada sahabat Abdullah ibn Mas’ud RA, bahawa Alif-Laam-Miim diambil daripada nama Allah. Malah ia bersumberkan nama Allah Yang Maha Agung (Ismullahi al-A’zam). (Tafsir al-Azhar 1/113)
- IA LAMBANG MUKJIZAT? : Dalam Tafsir ibn Kathir disebutkan bahawa sebahagian ulama menganggap huruf-huruf hijaiyah di awal surah ini melambangkan mukjizat al-Quran kerana semua makhluk tidak mampu menentangnya dengan membuat perkara yang seumpamanya. Pendapat ini diriwayatkan oleh ar-Razi dalam kitab tafsirnya daripada Mubarrad dan sejumlah ulama ahli tahqiq. Al-Qartubi meriwayatkan seumpamanya daripada al-Farra dan Qutrub. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/38)
- IA RAHSIA ALLAH? : Namun ramai ulama mengatakan bahawa ia rahsia Allah SWT. Berkata Imam Qartubi dalam kitab tafsirnya: “Telah berkata Imam ‘Amir as-Sya’bi, Sufyan at-Thauri dan satu jemaah ahli hadis, ‘Ia rahsia Allah SWT dalam al-Quran. Ia hal mutasyabihat yang hanya berada dalam ilmu Allah SWT dan tidak harus kita berbicara tentangnya. Cukuplah dengan kita beriman dengannya dan membaca sebagai mana ia didatangkan’.” Di riwayatkan bahawa inilah juga pandangan sahabat Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abi Talib dan lain-lainnya RA. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/134) Menurut Hamka, pendapat ini juga merupakan pendapat sahabat Omar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Abdullah bin Mas’ud RA. (Tafsir al-Azhar 1/113)
- KESIMPULANNYA : Hamka berkata: “Nyatalah huruf-huruf ini bukan kalimat bahasa yang boleh diertikan.. Oleh sebab itu adalah lebih baik untuk kita terima sahaja huruf-huruf itu mengikut keadaannya.” (Tafsir al-Azhar 1/114)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 11/1/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
1- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
2- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
3- Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.