NABI MUSA AS MENDATANGKAN PELBAGAI MUKJIZAT.. KESESATAN JUGA YANG DIPILIH OLEH BANI ISRAIL.. KAMI DENGAR, NAMUN KAMI TIDAK AKAN TAAT, KATA MEREKA.. YAHUDI SETAMAK-TAMAK MANUSIA
TAFSIR AYAT 92 SURAH AL-BAQARAH (2:92)
وَلَقَدْ جَاءَكُم مُّوسَىٰ بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ مِن بَعْدِهِ وَأَنتُمْ ظَالِمُونَ
“Sesungguhnya Musa telah datang kepada kamu membawa bukti-bukti kebenaran (mukjizat), kemudian kamu jadikan anak sapi (sebagai sembahan) sesudah kepergiannya, dan sebenarnya kamu adalah orang-orang yang zalim”. (al-Baqarah 2:92)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 92 SURAH AL-BAQARAH: (RASUL MEMBAWA BUKTI KEBENARAN, ANAK SAPI JUGA YANG MEREKA SEMBAH)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Musa telah datang kepada kamu membawa bukti-bukti kebenaran (mukjizat)’ yakni tanda-tanda yang jelas dan bukti-bukti yang tak boleh diingkari lagi. Semuanya menunjukkan bahawa Nabi Musa AS adalah utusan Allah dan tidak ada Tuhan selain Allah. Tanda-tanda yang jelas itu berupa banjir, belalang, kutu, katak, darah, tongkat, tangan Nabi Musa AS, terbelahnya laut, awan menaungi mereka, manna dan salwa, batu (memancar air), dan selainnya sebagainya mukjizat yang mereka saksikan sendiri dengan mata kepala mereka. ‘Kemudian kamu jadikan anak sapi (sebagai sembahan),’ yakni kamu menjadikannya sebagai sembahan selain daripada Allah, ‘Sesudah kepergiannya,’ yakni sesudah Nabi Musa AS pergi meninggalkan kamu menuju Bukit Tursina untuk bermunajat kepada Allah SWT. Kelakuan mereka saat itu diterangkan dalam firman Allah: ‘Dan kaum Musa, setelah kepergian Musa ke Gunung Tur membuat daripada perhiasan-perhiasan (emas) anak lembu yang bertubuh dan bersuara’ (al-A’raf 7:148). ‘Dan sebenarnya kamu adalah orang-orang yang zalim,’ yakni kamu adalah orang yang zalim kerana perbuatan kamu yang menyembah anak lembu itu, sedangkan kamu mengetahui bahawa tiada yang wajib disembah kecuali Allah SWT”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1:126)
-
- BUKTI MUKJIZAT YANG PELBAGAI NAMUN TETAP MEMILIH KESESATAN : Berkata Hamka: “Kamu (Bani Israil) menyatakan bahawa kamu hanya akan beriman kepada Kitab yang kamu terima.. Itu hanya cakapmu saja: ‘Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Musa dengan keterangan-keterangan, (pangkal ayat 92). Berapa banyak baginda mempertunjukkan kepada kamu mukjizat kebesaran Allah. Meskipun hal itu ditujukan kebanyakannya kepada Firaun namun kamu tentu dapat mengambil iktibar dengan kejadian-kejadian itu. ‘Kemudian kamu ambil (kamu sembah) anak-lembu sesudah itu’. Itukah bukti bahawa kamu hanya beriman kepada yang diturunkan kepada kamu? ‘Adalah kamu orang-orang yang aniaya’ (hujung ayat 92). Iaitu menganiaya dirimu sendiri, kerana kamu dibebaskan daripada penindasan Firaun yang menyembah berhala, oleh Allah Yang Maha Tunggal, padahal kamu sembah lagi berhala anak-lembu setelah kamu diselamatkan. Itulah satu aniaya besar terhadap diri sendiri”. (Tafsir al-Azhar 1/244)
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
TAFSIR AYAT 93 SURAH AL-BAQARAH (2:93)
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا ۖ قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ ۚ قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُم بِهِ إِيمَانُكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
“Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada kamu dan Kami angkat Bukit (Tursina) di atas kamu (seraya Kami berfirman), ‘Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepada kamu dan dengarlah!’ Mereka menjawab, ‘Kami mendengar, tetapi tidak taat’. Dan telah meresap ke dalam hati mereka itu (kecintaan menyembah) anak sapi kerana kekafiran mereka. Katakanlah, ‘Amat jahat perbuatan yang diperintahkan oleh iman kamu terhadap diri kamu jika betul kamu beriman (kepada Taurat)’.” (al-Baqarah 2:93)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 93 SURAH AL-BAQARAH: (KEBIADAPAN BANI ISRAIL, KAMI DENGAR TETAPI TIDAK TAAT)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT menghitung kembali kekeliruan (Bani Israil), pelanggaran mereka terhadap janji dan sifat takbur mereka, serta berpalingnya mereka daripada Allah SWT sehingga pada suatu ketika diangkat Bukit Tursina di atas mereka. Akhirnya mereka menerima janji itu, tetapi sesudah itu mereka melanggarnya, seperti yang disebutkan oleh Allah SWT tentang kenyataan mereka: ‘Kami mendengar, tetapi tidak taat’. ‘Dan telah meresap ke dalam hati mereka (kecintaan menyembah) anak sapi kerana kekafiran mereka’ (al-Baqarah 2:93). Imam Qatadah berkata bahawa menyembah anak sapi telah meresap ke dalam hati mereka sehingga kecintaan mereka mendalam terhadap penyembahan tersebut. Hal yang sama dikatakan juga oleh Abul Aliyah dan Ar-Rabi’ ibn Anas”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/126)
-
- JIKA JIWA SUDAH KUFUR, KEKUFURAN JUGA YANG MENJADI TARIKAN : Berkata Hamka: “Dengarkanlah segala ajaran yang disampaikan kepada kamu dengan perantaraan Rasul Kami Musa dan Harun AS. Tetapi apa sambutan kamu? ‘Mereka berkata: Telah kami dengar dan kami derhaka’. Begitulah sambutan kamu.. Pengaruh apa yang telah masuk ke dalam hatimu sehingga kamu berani menderhaka sampai sedemikian rupa? Sebabnya ialah: ‘Dan menyelusuplah ke dalam hati mereka anak lembu itu lantaran kekafiran mereka’. Ertinya pengaruh penyembahan berhala anak-lembu itu sudah sangat meresap ke dalam hati mereka, sehingga walaupun telah diancam akan dihimpit gunung, walaupun telah diperintah supaya setia kepada hukum Taurat dengan bersungguh-sungguh, namun pengaruh anak-lembu itu belum lagi kikis daripada hati mereka”. (Tafsir al-Azhar 1/244)
-
- IMAN APA JENISNYA JIKA BUAT BEGITU? :Allah berfirman: ‘Amat jahat perbuatan yang diperintahkan oleh iman kamu terhadap diri kamu jika betul kamu beriman’. Berkata Syeikh Said Hawa: “Ini adalah sindiran tajam daripada Allah. Mereka dakwa diri mereka beriman, tetapi iman mengajak kepada taat sedangkan mereka bermaksiat. Mereka dakwa diri mereka beriman dengan Taurat, tetapi Taurat tidak pernah menyuruh mereka menyembah anak sapi. Maka Iman jenis apa yang membawa mereka kepada penyembahan anak sapi dan mencintainya? ‘Amat jahat perbuatan yang diperintahkan oleh iman kamu itu’.” (al-Asas fit Tafsir 1/188)
……………………………………………………………………………………………………………………………………………
TAFSIR AYAT 94-95 SURAH AL-BAQARAH (2:94-95)
قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
“Katakanlah, ‘Jika kamu (menganggap) kampung akhirat (syurga) itu khusus untuk kamu di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka inginilah (mintalah) kematian jika kamu memang benar. Dan sekali-kali mereka tidak akan mengingini kematian itu selama-lamanya kerana kesalahan yang telah diperbuat oleh tangan mereka (sendiri). Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang yang aniaya”. (al-Baqarah 2:94-95)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 94-95 SURAH AL-BAQARAH: (KALAU SUDAH TERJAMIN SYURGA MOHONLAH AGAR DIMATIKAN, KALAU BERANI)
Berkata Hamka: “Tadi mereka menganggap Bani Israil adalah kaum yang diistimewakan Allah. Di akhirat mereka pun akan mendapat tempat yang lebih mulia berbanding segala bangsa dan kaum di seluruh dunia. Mereka adalah kaum yang handal, dipilih Tuhan buat melebihi segala bangsa di dunia dan di akhirat. Kalau memang demikian keyakinan kamu: ‘Jika memang untuk kamu negeri akhirat itu, di sisi Allah sudah ditentukan. tidak ada bagi orang lain, maka cubalah minta mati, jika kamu memang orang-orang yang benar’ (ayat 94). Kerana orang yang sudah yakin dia telah disediakan tempat yang mulia di akhirat, melebihi segala manusia di dunia ini, apalah ertinya dunia.. Keberanian menghadapi maut adalah bukti yang terang atas adanya keyakinan itu.Sebelum mereka menjawab, sudah nyata akan jawabnya. Mereka tidak berani menghadapi maut. ‘Sekah-kali mereka tidak akan meminta mati’ (pangkal ayat 95). Mendengar sebutan mati saja mereka sudah takut. Mengapa demikian? ‘Tersebab apa yang telah didahului oleh tangan mereka’. Ertinya, dosa sudah terlalu banyak diperbuat di dunia ini dan hati sangat lekat kepada dunia. Sebab itu timbullah takut mereka kepada mati. ‘Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim’ (hujung ayat 95). Allah Maha Mengetahui akan gerak-geri orang yang berlaku aniaya dengan melanggar segala perintah yang ditentukan Tuhan”. (Tafsir al-Azhar 1/245)
-
- MUBAHALAH UNTUK MELIHAT SIAPA BENAR : Ada ulama mengatakan ayat ini mencabar golongan Yahudi melakukan mubahalah, iaitu masing-masing daripada kalangan Muslim dan Yahudi mendoakan kebinasaan ke atas golongan yang berdusta dengan dakwaan mereka. Berkata Imam Ibn Kathir: “Ketika mereka — semoga laknat Allah menimpa mereka — menduga bahawa diri mereka adalah ‘anak-anak Allah’ dan kekasih-Nya, serta mereka berani mengatakan, ‘Tidak akan masuk syurga kecuali orang yang beragama Yahudi atau Nasrani,’ lalu mereka diajak untuk bermubahalah, (yakni golongan Muslim dan Yahudi) saling mendoakan kebinasaan terhadap siapa yang berdusta antara kedua belah pihak; yakni sama ada dari kalangan mereka atau dari kalangan kaum muslim. Apabila mereka menolak maka masing-masing mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang zalim. Seandainya mereka merasa yakin dengan apa yang mereka dakwakan, nescaya mereka berani melakukan mubahalah tersebut. Tetapi setelah mereka mundur, maka diketahuilah bahawa mereka berdusta”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/127)
……………………………………………………………………………………………………………………………………………..
TAFSIR AYAT 96 SURAH AL-BAQARAH (2:96)
وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ
“Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, setamak-tamak manusia berhubung kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) daripada orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur hidup seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya dari seksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”. (al-Baqarah 2:96)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 96 SURAH AL-BAQARAH: (YAHUDI SETAMAK-TAMAK MANUSIA. INGIN UMUR PANJANG)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Abdur Rahman ibn Zaid ibn Aslam, sehubungan dengan tafsir firman ini berkata, bahawa orang Yahudi adalah setamak-tamak manusia tentang kehidupan di dunia berbanding selain mereka. Orang Yahudi ingin seandainya masing-masing daripada mereka diberi umur seribu tahun, padahal usia panjang itu sama sekali tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada azab Allah. Seandainya dia diberi usia sebagaimana iblis sekalipun, nescaya hal tersebut tiada manfaatnya bagi dirinya, kerana dia adalah kafir”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/129)
-
- JENIS MANUSIA YANG AMAT TAMAK DAN LOBA DENGAN DUNIA : Berkata Hamka: “Dan sesungguhnya akan engkau dapati mereka itulah yang seloba-loba manusia terhadap hidup’ (pangkal ayat 96). Meskipun mereka mengaku beriman kepada Kitab Wahyu yang diturunkan Tuhan. ‘Dan lebih daripada orang-orang musyrikin’. Orang-orang yang musyrikin menyembah berhala lebih berani mempertahankan berhala mereka, walaupun pendirian itu tidak benar. Sebab mereka yakin pula bahawa dengan runtuhnya berhala itu ertinya ialah keruntuhan bagi kemegahan mereka dan nenek-moyang mereka. Tetapi Bani Israil, yang mereka pertahankan apa? Yang mereka tuju itu apa? Yang mereka tuju ialah kemegahan hidup, mengumpul harta-benda sebanyak-banyaknya, walaupun dengan menternakkan wang (riba). Menguasai ekonomi setempat dan memeras keringat orang yang lemah. Oleh sebab itu maka: ‘Ingin setiap orang daripada mereka jikalau diberi umur seribu tahun’. Oleh karena terikatnya hati kepada dunia, tidak lagi ingat kepada mati”. (Tafsir al-Azhar 1/246)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 04 Zulkaedah 1444 H, Bersamaan 24/05/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.