Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 1) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 8-20

MENGENALI GOLONGAN HIPOKRIT IKTIKAD (MUNAFIK IKTIKAD).. HIDUP PENUH KEPURA-PURAAN.. GOLONGAN YANG BERPENYAKIT DI HATI.. MEMPERBODOHKAN ORANG ISLAM.. FASAD KEROSAKAN DIKATAKAN ISLAH KEBAIKAN

TAFSIR AYAT 8 SURAH AL-BAQARAH (2:8)

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ    8     

“Di antara manusia ada yang mengatakan: ‘Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian,’ pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman”. (al-Baqarah 2:8)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 8 SURAH AL-BAQARAH: (MUNAFIK KONON BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI KEMUDIAN)

Berkata Hamka: “Mulai ayat 8 sampai ayat 20 akan dibicarakan tentang golongan yang lebih sulit daripada kufur, iaitu orang yang berlainan apa yang diucapkannya dengan mulutnya dengan pendirian hatinya yang sebenarnya. Sifat ini bernama nifaq dan pelakunya bernama munafik. Mereka berkata dengan mulut bahawa mereka mereka percaya kepada Allah, percaya akan Hari Kemudian, tetapi yang sebenarnya mereka itu tidak mempercayainya”. (Tafsir al-Azhar 1/127)

  • MAKSUD NIFAQ / MUNAFIK : Berkata Hamka: “Kalimat munafik atau nifaq itu asal ertinya ialah lubang tempat bersembunyi di bawah tanah. Lubang perlindungan daripada bahaya (serangan) udara disebut nafaq. Dari sinilah diambil erti tentang orang (munafik) yang menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sebagai suatu pengecohan atau penipuan”. (Tafsir al-Azhar 1/127)
  • NIFAQ / MUNAFIK : Berkata Imam Ibn Kathir: “Nifaq (kemunafikan) ialah menampakkan kebaikan dan menyembunyikan kejahatan. Sifat munafik itu bermacam-macam, ada yang berkaitan dengan akidah (nifaq iktiqadi) yang menyebabkan pelakunya (menjadi kafir), kelak di dalam neraka. Ada yang berkaitan dengan perbuatan (nifaq ‘amali), yang merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar.. Menurut Ibn Juraij, orang munafik ialah orang yang ucapannya bertentangan dengan perbuatannya, keadaan batinnya bertentangan dengan sikap lahiriahnya, bahagian dalamnya bertentangan dengan bagian luarnya, dan penampilannya bertentangan dengan keperibadiannya yang sebenar”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/135)
  • SEJARAH GOLONGAN MUNAFIK : Berkata Imam Ibn Kathir: “Sifat orang munafik diterangkan dalam surah-surah Madaniyah, kerana di Mekah tidak ada sifat munafik.. Ketika Nabi SAW berhijrah ke Madinah, di sana telah ada kaum Ansar yang terdiri daripada kabilah Aus dan Khazraj. Di masa Jahiliah, mereka termasuk penyembah berhala. Di Madinah terdapat juga orang-orang Yahudi yang memeluk agama menurut nenek moyang mereka. Orang-orang Yahudi Madinah terdiri atas tiga kabilah, iaitu Bani Qainuqa’ (teman sepakat kabilah Khazraj), Bani Nadhir, dan Bani Quraizah (teman sepakat kabilah Aus). Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, orang-orang Ansar dari kalangan kabilah Aus dan Khazraj telah masuk Islam, tetapi sedikit sekali dari kalangan Yahudi yang masuk Islam, bahkan hanya satu orang sahaja iaitu Abdullah ibnu Salam RA. Pada saat awal itu masih belum terdapat nifaq. Hingga terjadi Perang Badar Besar, dan Allah memberikan kejayaan kepada Islam serta para pemeluknya.. Abdullah ibn Ubay ibn Salul adalah seorang pemimpin di Madinah, berasal dari kabilah Khazraj. Di masa Jahiliah mereka bertekad menjadikannya sebagai raja mereka. Kemudian datanglah Islam dan mereka semua masuk Islam, sedangkan Abdullah ibn Ubay ibn Salul tetap pada pendirian asalnya. Namun ketika terjadi Perang Badar (dan kaum muslim beroleh kemenangan), dia berkata, ‘Ketetapan Allah benar-benar telah tiba.’ Akhirnya dia menampakkan lahiriahnya masuk Islam, dan sikapnya ini diikuti oleh orang-orang yang mendukungnya, juga oleh orang lain daripada kalangan ahli kitab. Sejak itulah munculnya nifaq (kemunafikan) di kalangan sebahagian penduduk Madinah dan orang-orang Badawi yang berada di sekitar kota Madinah. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/136)
  • MUNAFIK IKTIKAD HUKUMNYA KAFIR : Berkata Imam Ibn Kathir: “Yang dimaksudkan (dalam ayat 8 ini) ialah tentang orang-orang munafik dari kabilah Aus dan Khazraj serta orang-orang yang mengikuti mereka (di Madinah). Hal yang sama ditafsirkan oleh Imam Abul Aliyah, al-Hasan, Qatadah, dan as-Saddi.. Melalui ayat ini Allah memperingatkan kaum mukmin agar jangan terpedaya dengan lahiriah sikap mereka, kerana hal tersebut akan mengakibatkan timbulnya kerosakan yang meluas.. sebagai akibat meyakini keimanan mereka, padahal kenyataannya ialah mereka adalah orang-orang kafir”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/137) Memang amat berbahaya golongan munafik iktikad yang pandai berpura-pura ini.

                                              ……………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 9 SURAH AL-BAQARAH (2:9)

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ    9

“Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak menyedarinya”. (al-Baqarah 2:9)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 9 SURAH AL-BAQARAH: (KONON INGIN MEMPERDAYA ALLAH DAN GOLONGAN BERIMAN)

Ibn Kathir: “Mereka (golongan munafik) hendak menipu Allah dan orang-orang beriman dengan menampakkan keimanannya pada lahiriahnya saja, sedangkan batin mereka menyimpan kekufuran. Kerana kebodohan mereka sendiri, mereka menduga bahawa diri mereka telah menipu Allah SWT dan mengelabui Allah SWT sebagaimana mereka dapat menipu sebahagian kaum mukmin”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/137)

  • MENIPU DIRI SENDIRI : Berkata Imam Qartubi, “Tipu daya orang munafik ialah menzahirkan iman dan menyembunyikan kekufuran dalam hati mereka.. Dengan itu mereka merasakan diri mereka selamat dan sejahtera.. (Mereka sebenarnya telah menipu diri mereka sendiri) kerana sebenarnya (mereka tidak selamat) kerana balasan azab sedang menanti mereka.. namun mereka tidak menyedari bahawa inilah balasan yang sedang menanti mereka”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/170-171)

                                                  ……………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 10 SURAH AL-BAQARAH (2:10)

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ    10

“Dalam hati mereka (golongan munafik ini) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit untuk mereka, dan mereka akan beroleh azab seksa yang amat pedih, disebabkan mereka mendustakan kebenaran.” (al-Baqarah 2:10)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 10 SURAH AL-BAQARAH: (HATI MEREKA BERPENYAKIT)

Penyakit yang dimaksudkan dalam ayat ini bukannya penyakit fizikal sebaliknya penyakit hati. Berkata Syeikh Said Hawa: “Penyakit di sini ialah syak (keraguan) dan nifaq (kemunafikan).. Syak dan kemunafikan menghasilkan kerosakan di hati. Dan Allah menambah kejelikan dan kekejian di atas kekejian yang sedia ada pada mereka sebagai balasan bagi mereka”. (al-Asas fit Tafsir 1/70-71)

  • PENYAKIT DAN TAMBAHAN PENYAKIT : Imam Ibn Kathir berkata: “Sahabat Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud RA serta sejumlah sahabat Nabi SAW yang lain berkata, firman-Nya, ‘fi qulubihim maradhun,’ (di dalam hati mereka ada penyakit), bermaksud keraguan (syak). ‘Fazadahumullahu maradhan’ (lalu ditambah Allah penyakitnya), bermaksud (ditambah lagi) keraguan yang telah menimpa mereka. Inilah juga pendapat Imam Mujahid, ‘Ikrimah, Hasan al-Basri, Qatadah dan lain-lain”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/140)
  • PENYAKIT YANG MENYERANG HATI : Berkata Imam Qartubi: “(Penyakit itu) boleh bermaksud keraguan dan kemunafikan. Boleh juga bermaksud penentangan dan pendustaan. Hati mereka berpenyakit kerana tidak wujud padanya kesucian, petunjuk dan pemeliharaan.. Dan Allah tambahkan penyakit bagi mereka dengan maksud ditambahkan keraguan dan kemunafikan bagi mereka”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/172)
  • AZAB PEDIH MENANTI : Allah berfirman: ‘Dan mereka akan beroleh azab seksa yang amat pedih, disebabkan mereka mendustakan kebenaran’ (2:10). Berkata Hamka: “Azab (Allah) yang paling pedih yang mereka rasai ialah lantaran dusta mereka sendiri. (Perkataan mereka) jarang yang benar.. Mereka mengatakan mereka percaya kepada Allah dan Hari Akhirat.. Kian lama kian nampak dustanya”. (Tafsir al-Azhar 1/128) Berkata Imam Qartubi: “(Pendustaan mereka) ialah pendustaan terhadap Rasul, derhaka terhadap Allah dan mendustakan ayat-ayat-Nya”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/172)

                                          ……………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 11 SURAH AL-BAQARAH (2:11)

 وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ     11

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu melakukan kerosakan (fasad) di muka bumi’, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanya melakukan kebaikan’.” (al Baqarah 2:11)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 11 SURAH AL-BAQARAH: (MAKHLUK PEROSAK MENDAKWA MEREKA BUKAN PEROSAK)

Berkata Imam Ibn Kathir: “ Berkata sahabat Ibn Abbas, sahabat Ibn Mas’ud RA dan sejumlah sahabat-sahabat Nabi SAW berhubung ayat, ‘Dan apabila dikatakan kepada mereka : Janganlah kalian melakukan kerosakan di muka bumi,’ bahawa mereka itu adalah orang-orang munafik. Sedangkan yang dimaksudkan dengan kerosakan di muka bumi ialah melakukan kekufuran dan perbuatan maksiat”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/144)

  • MAKSIAT MENDATANGKAN KEROSAKAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Abu Ja’far meriwayatkan daripada Imam Abul Aliyah berhubung firman-Nya, ‘Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu melakukan kerosakan (fasad) di muka bumi’ (2:11) bahawa maksudnya ialah, ‘janganlah kalian melakukan maksiat di muka bumi’. Kerosakan yang mereka lakukan adalah disebabkan perbuatan maksiat mereka terhadap Allah. Kerana orang yang derhaka kepada Allah di muka bumi atau menyuruh orang kepada kederhakaan (kemaksiatan) bererti telah menimbulkan kerosakan di muka bumi. Kebaikan di bumi dan langit hanya terhasil kerana perbuatan taat (bukan maksiat). Hal yang sama dikatakan oleh Imam Ar-Rabi’ ibnu Anas dan Qatadah”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/144)
  • KEROSAKAN (FASAD) YANG MEREKA LAKUKAN : Berkata Imam Qartubi: “Maksud ayat ialah, ‘jangan kamu lakukan kerosakan di muka bumi melalui kekufuran (kamu) dan dengan bersahabat setia dengan golongan kafir. Di samping itu kamu cuba jauhkan manusia daripada beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran’. Dikatakan juga bahawa sebelum diutus Nabi Muhammad SAW dunia dipenuhi kerosakan dan maksiat. Apabila baginda SAW diutus maka terangkatlah kerosakan dan keadaan dunia menjadi baik. Kerana sesungguhnya perbuatan maksiat mendatangkan kerosakan di atas muka bumi”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/176)
  • KEROSAKAN (FASAD) DIANGGAP KEBAIKAN (ISLAH): Berkata Hamka: “Dengan cara melempar batu sembunyi tangan, mereka berusaha menghalangi perbaikan, pembangunan rohani dan jasmani yang sedang dijalankan oleh Rasul SAW dan orang-orang beriman. Hati mereka sakit melihatnya, lalu mereka buat sikap lain secara sembunyi untuk menentang perbaikan itu. Kalau ditegur secara baik, jangan begitu, mereka jawab bahawa maksud mereka adalah baik. Mereka mencari jalan perbaikan atau jalan yang damai. Lidah yang tidak bertulang pandai saja menyusun kata yang elok-elok bunyinya, padahal kosong isinya”. (Tafsir al-Azhar 1/129)
  • FASAD MEREKA DINAMAKAN ISLAH : Berkata Imam Qartubi: “Mereka (golongan munafik) menjawab demikian kerana mengikut sangkaan mereka kerosakan (fasad) yang mereka lakukan adalah perbaikan (islah). (Kononnya), mereka bersahabat setia dengan golongan kafir (ketika itu) adalah bertujuan untuk mencari perbaikan antara golongan kafir dan golongan Mukminin. Demikian disebutkan oleh sahabat Ibn Abbas RA”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/177)
  • FASAD DINAMAKAN ISLAH DI ZAMAN MODEN INI : Berkata Syeikh Said Hawa, “Kerosakan (fasad) yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah kekufuran dan maksiat.. Hal ini amat menonjol pada masa kini di mana seruan kepada kekufuran dan kemaksiatan dijustifikasikan sebagai kebaikan (islah) dengan menggunakan slogan-slogan yang nampaknya seperti Islamik berselindung di sebalik kalimat kemajuan dan kebebasan dan seumpamanya. Sedangkan sebenarnya seruan itu adalah kepada kekufuran dan kemaksiatan”. (al-Asas fit Tafsir 1/71)

                                        ……………………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 12 SURAH AL-BAQARAH (2:12)

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ    12

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya merekalah orang yang sebenarnya melakukan bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”. (al Baqarah 2:12)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 12 SURAH AL-BAQARAH: (BUAT KEROSAKAN TANPA MENYEDARINYA)

Maksiat dan kekufuran oleh golongan munafik telah menghasilkan kerosakan. Berkata Imam Qartubi: “Ayat ini menempelak (golongan munafik yang mengatakan mereka pembuat kebaikan ini) kerana pada hakikatnya mereka adalah pembuat kerosakan”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/179)

  • AWAS GOLONGAN PEROSAK DENGAN SLOGAN KEBAIKAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Melalui ayat ini Allah memberitahu bahawa, ketahuilah apa yang mereka sangkakan sebagai perbaikan itu sebenarnya adalah kerosakan, Namun disebabkan kebodohan, mereka tidak menyedari hal itu sebagai kerosakan”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/146)

                                           ………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 13 SURAH AL-BAQARAH (2:13)

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لَا يَعْلَمُونَ  13  

“Dan apabila dikatakan kepada mereka (golongan munafik ini): ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang yang telah beriman’. Mereka menjawab: ‘Patutkah kami beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?’ Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”. (al Baqarah 2:13)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 13 SURAH AL-BAQARAH: (ORANG BERIMAN DIANGGAP BODOH?)

Berkata Hamka: “Inilah rahsia pokok. Berasa diri lebih pintar.. Mereka pandang orang-orang yang menjadi pengikut Muhammad itu hanyalah orang-orang yang bodoh, dan merekalah orang pintar, lebih banyak mengerti soal agama.. Kesombongan beginilah di zaman dahulu kala telah menyebabkan umat Nabi Nuh menentang Nabi Nuh”. (Tafsir al-Azhar 1/130)

  • TIDAK MENGETAHUI DIRI DALAM KESESATAN LAMBANG KEBODOHAN : Berkata Imam Ibn Kathir : “Antara tanda kebodohan mereka yang sempurna ialah tidak mengetahui bahawa mereka berada dalam kesesatan dan kebodohan”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/147)
  • KEBODOHAN MANUSIA MASA INI : Berkata Syeikh Said Hawa: “Ciri-ciri golongan yang terdapat dalam ayat ini amat menonjol pada hari ini, dalam bentuk golongan munafik (hipokrit) pada hari ini menghina golongan yang beriman, para ulama, golongan yang rabbani (yang kuat pegangan agamanya), para pendakwah Islam, ahli ibadah, dengan mengatakan bahawa mereka ini lemah pemikirannya, golongan mundur, beku dan tidak berpandangan jauh. Sebaliknya merekalah yang maju dan mulia.. Namun sebenarnya merekalah golongan yang bodoh namun mereka tidak menyedarinya. Antara tanda mendalamnya kebodohan mereka ialah keadaan mereka tidak menyedari bahawa mereka berada di landasan kesesatan, kejahilan serta kebodohan”. (al-Asas fit Tafsir 1/72)

                                  …………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 14 SURAH AL-BAQARAH (2:14)

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ 14

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman, mereka berkata: ‘Kami telah beriman’, dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: ‘Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olokkan (orang yang beriman)’.” (al Baqarah 2:14)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 14 SURAH AL-BAQARAH: (TERUS MENERUS HIDUP DALAM KEADAAN BERPURA-PURA)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Ibn Jarir berkata, syaitan daripada setiap makhluk ialah mereka yang derhaka (kepada Allah). (Syaitan ini) boleh wujud dari kalangan jin atau manusia”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/149)

  • PAKAR-PAKAR RUJUK JENIS SYAITAN : Berkata Syeikh Said Hawa: “Allah menjelaskan lagi tentang mengapa golongan munafik ini amat keji. Iaitu, apabila mereka bertemu dengan orang beriman mereka secara berpura-pura menonjolkan keimanan mereka. Apabila mereka kembali bertemu dengan ketua-ketua, pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin mereka dari kalangan orang kafir, musyrik dan munafik, mereka mengatakan (yang mereka tidak beriman), dan apa yang mereka katakan kepada orang yang beriman hanyalah untuk memperolok dan mempermainkan golongan yang beriman”. (al-Asas fit Tafsir 1/72) Berkata Imam Ibn Kathir: “Syaitan-syaitan mereka ialah pendeta-pendeta Yahudi, para pemuka musyrikin dan orang-orang munafik.” (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/148)
  • MAKSUD ISTIHZAA’ : إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ Mustahziuun dalam ayat ini berasal daripada kalimat istihzaa’. Secara umumnya ia bermaksud memperolok. Berkata Imam Ibn Kathir sebagaimana diriwayatkan dalam Tafsir at-Tabari, bahawa (ayat ini bermaksud), kami hanya memperolok dan mempermainkan mereka sahaja. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/149)

                                  ……………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 15 SURAH AL-BAQARAH (2:15)

 اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ   15

“Allah memperolok-olokkan mereka, dan membiarkan mereka teraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu)”. (al Baqarah 2:15)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 15 SURAH AL-BAQARAH: (KEPURA-PURAAN MEREKA MEMAKAN DIRI SENDIRI)

Berkata Syeikh Said Hawa: “Maksud (ayat ini) ialah, Allah membalas perbuatan mereka memperolokkan (orang beriman) secara setimpal dan memberikan pembalasan atas tipu daya mereka”. (al-Asas fit Tafsir 1/73)

  • ALLAH TIDAK BEROLOK-OLOK : Berkata Imam Ibn Kathir: “Ayat ini merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT bahawa Dia akan membalas olok-olokan mereka dan menyeksa mereka akibat tipu daya mereka.. Sudah pasti olok-olok mereka terhadap golongan beriman dan olok-olok Allah terhadap mereka tidak sama. Kerana atas ijmak ulama, sesungguhnya Allah tidak melakukan tipu daya dan tidak pula melakukan ejekan atau olok-olok. Justeru, yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah bahawa olok-olok dan tipu daya mereka itu menimpa ke atas diri mereka sendiri melalui balasan Allah yang adil dan setimpal”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/150-151)
  • PEMBALASAN SECARA SETIMPAL : Syeikh Said Hawa: “Maksud (ayat ini) ialah, Allah membalas perbuatan mereka memperolokkan (orang beriman) secara setimpal dan memberikan pembalasan atas tipu daya mereka”. (al-Asas fit Tafsir 1/73)
  • MAKSUD THUGHYAN : وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ Berkata Syeikh Said Hawa, ayat ini bermaksud, ‘(Allah) membiarkan mereka berterusan terumbang-ambing dalam kesesatan mereka.’ (al-Asas fit Tafsir 1/73)
  • DIBIARKAN TERUMBANG-AMBING : Berkata Imam Qartubi: “Yamudduhum bermaksud ‘diberikan masa / dibiarkan mereka.’ Thughyan bermaksud ‘kekufuran dan kesesatan. Maksud asal thughyan ialah perbuatan yang melampaui batas.’ Ya’mahuun bermaksud ‘terumbang ambing’.” (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/181-182) Justeru golongan munafik ini dihukum Allah secara setimpal dengan perbuatan mereka memperolokkan orang-orang beriman, dan dibiarkan mereka terumbang ambing dalam kekufuran dan kesesatan yang melampaui batas. Semua tindak tanduk mereka akan menjadi hujah ke atas mereka pada Hari Pembalasan.

                              …………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 16 SURAH AL-BAQARAH (2:16)

أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَى فَمَا رَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ   16

“Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah”. (al Baqarah 2:16) 

TAFSIR-TADABBUR AYAT 16 SURAH AL-BAQARAH: (MEMBELI KESESATAN DAN MEMBUANG PETUNJUK)

Berkata Imam Ibn Kathir, “Daripada Ibn Abbas RA, Ibn Mas’ud RA, dan sejumlah sahabat Nabi SAW berhubung firman-Nya, ‘Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk,’ yang dimaksudkan ialah mereka telah mengambil kesesatan dan meninggalkan hidayah. Menurut Imam Mujahid, maksudnya ialah pada mulanya mereka beriman, kemudian menjadi kafir. Imam Qatadah berkata, maksudnya ialah mereka lebih menyukai kesesatan daripada hidayah (petunjuk).. Kesimpulannya, golongan munafik ini telah menyimpang daripada petunjuk dan jatuh ke dalam kesesatan”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/153)

  • PERNIAGAAN YANG MERUGIKAN : Berkata Hamka: “Nabi SAW telah datang membawakan huda (petunjuk).. Akan diikuti petunjuk itu atau akan tetap dalam kesesatan? Rupanya menanglah hawa nafsu dan syaitan dan kalahlah jiwa murni kerana kelemahan diri. Lalu diadakanlah pertukaran: petunjuk diserahkannya kepada orang lain, dan dhalalah (kesesatan), diambilnya buat dirinya. ‘Sebab itu tidaklah berlaba (beruntung) perniagaan mereka.. Mereka mengelak daripada pimpinan wahyu, dan mengambil pimpinan (petunjuk) yang lain, iaitu pimpinan untuk terus sesat. Itulah pimpinan syaitan”. (Tafsir al-Azhar 1/133-134) Kerugian yang dialami mereka amat besar terutamanya di akhirat nanti dengan azab yang amat keras sedang menanti mereka.                     

                                                  ……………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 17-18 SURAH AL-BAQARAH (2:17-18)

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَا يُبْصِرُونَ 17 صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ  18

“Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api. Apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun). Mereka tuli, bisu, dan buta; maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar) ”. (al-Baqarah 2:17-18)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 17-18 SURAH AL-BAQARAH: (MUNAFIK YANG MENDAPAT NUR SEKETIKA SEBELUM BERGELAP SELAMA-LAMANYA)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT mengumpamakan perbuatan (golongan munafik) yang membeli kesesatan dengan keimanan, dengan keadaan orang yang menyalakan api. Setelah suasana di sekitarnya terang dan beroleh manfaat daripada sinarnya, iaitu dapat melihat semua yang ada di kanan dan kirinya, di saat itu tiba-tiba api tersebut padam. Maka dia berada dalam kegelapan yang pekat, tidak dapat melihat, dan tidak beroleh petunjuk. Selain itu dia menjadi tuli tidak dapat mendengar, bisu tidak dapat berbicara lagi, dan buta tidak dapat melihat. Kerana itu, dia tidak dapat kembali kepada keadaan sebelumnya. Dalam perumpamaan ini terkandung pengertian yang menunjukkan bahawa pada awalnya mereka beriman, kemudian kafir, sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT dalam ayat lain”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/154-155)

  • CAHAYA TIBA-TIBA PADAM : Berkata Syeikh Said Hawa: “Ayat ini merupakan perumpamaan tentang golongan munafik yang membeli (memilih) kesesatan dan membuang petunjuk kebenaran. ‘Seperti orang yang menyalakan api’ bermaksud suatu ketika mereka (golongan munafik ini) berjalan dengan cahaya, iaitu cahaya Islam. ‘(Tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita’ (2:17) bermaksud, kemudian mereka kembali hidup dalam keraguan, kekufuran dan kemunafikan. ‘Mereka tuli, bisu, dan buta’ (2:18) bermaksud, seterusnya mereka menjadi golongan pekak (tidak mahu mendengar kebenaran), bisu (tidak suka memperkatakan kebenaran, dan buta (daripada melihat kebenaran). Mereka tidak kembali lagi selepas itu kepada cahaya hidayah”. (al-Asas fit Tafsir 1/74)
  • CONTOH GOLONGAN INI PADA HARI INI : Seterusnya berkata Syeikh Said Hawa: “Perumpamaan tentang golongan munafik ini amat menonjol di zaman kita hari ini dikalangan anak-anak orang Islam. Pada suatu ketika mereka beragama Islam dan hidup dengan ibadat. Kemudian mereka mengikut jalan kekufuran dan kesesatan. Sesungguhnya perumpamaan ini menunjukkan sesiapa yang tidak mampu menilai sesuatu perkara berpandukan suluh Iman dia sebenarnya adalah munafik”. (al-Asas fit Tafsir 1/74)             

                                            …………………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 19-20 SURAH AL-BAQARAH (2:19-20)

أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ مِنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ 19 يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 20

“Atau (bandingannya) seperti (orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat. Mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing daripada mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang yang kafir itu. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu”. (al-Baqarah 2:19-20)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 19-20 SURAH AL-BAQARAH: (MUNAFIK YANG TERUMBANG-AMBING ANTARA CAHAYA DAN KEGELAPAN)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Menurut pendapat yang terkenal, ‘hujan yang turun dari langit, dalam keadaan yang gelap-gelita,’ maksudnya keraguan, kekufuran, dan kemunafikan (yang melanda mereka). Sedangkan maksud dari ‘suara guruh’ ialah rasa takut yang mencekam hati mereka, kerana orang munafik itu selalu berada dalam ketakutan yang amat sangat. Al-barqu ertinya kilat, iaitu suatu keadaan yang berkilat di dalam hati golongan munafik sebagai pertanda wujudnya cahaya iman,  dalam waktu sebentar dan hanya sekali-sekala. Mereka menyumbat telinga dengan anak jari, maksudnya (mereka takut) namun tiada gunanya ketakutan mereka, kerana Allah dengan kekuasaan-Nya Maha Meliputi dan mereka berada di bawah kehendak dan kekuasaan-Nya. ‘Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka.’ Dikatakan demikian karena kuatnya cahaya kebenaran (namun penglihatan mata hati mereka tidak mantap serta iman mereka tidak teguh). ‘Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, apabila gelap-gelita menimpa mereka, mereka berhenti.’ Maksudnya ketika muncul seberkas cahaya iman di dalam diri mereka, lalu mereka mengikutinya, tetapi di waktu yang lain muncul keraguan yang menjadikan hati mereka gelap, dan mereka berhenti dalam keadaan kebingungan”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/157-158)

  • TAHAP-TAHAP KEMUNAFIKAN : Berkata Syeikh Said Hawa: “Perumpamaan yang awal (ayat 17-18 di atas) ialah tentang golongan munafik khalis yakni golongan munafik yang beriman seketika kemudian meninggalkan kebenaran selama-lamanya. Perumpamaan kedua iaitu (ayat 19-20) ialah tentang golongan munafik yang sekejap beriman dan sekejap dalam keraguan. Mereka hidup terumbang-ambing antara kebenaran dan keraguan”. (al-Asas fit Tafsir 1/75)
  • SENARIO KEMUNAFIKAN ORANG ISLAM HARI INI : Seterusnya berkata Syeikh Said Hawa: “Di zaman kita ini juga, kesan daripada cara pembesaran dan pengaruh persekitaran, terdapat anak-anak orang Islam seperti yang digambarkan dalam perumpamaan ini. Mereka terpengaruh dengan bahan-bahan mengelirukan serta seruan kesesatan. Maka jiwa mereka diselimuti Iman dan kemunafikan, atau Iman dan kekufuran. Seketika mereka yakin dengan hujah berkaitan Islam maka mereka pun hidup di atasnya. Pada waktu yang lain kekeliruan menyerang semula diri mereka maka dengan itu terpadam cahaya kebenaran di hati mereka. Begitulah keadaan ramai anak-anak orang Islam hari ini”. (al-Asas fit Tafsir 1/76)               

                                                   …………………………………………………………………………………………………………………….

IBRAH / PENGAJARAN DARIPADA AYAT 8-20 SURAH AL-BAQARAH BERKAITAN GOLONGAN MUNAFIK

  1. DEFINISI : Menurut Imam Ibn Juraij, orang munafik ialah orang yang ucapannya bertentangan dengan perbuatannya, keadaan batinnya bertentangan dengan sikap lahiriahnya, bahagian dalamnya bertentangan dengan bagian luarnya, dan penampilannya bertentangan dengan keperibadiannya yang sebenar. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/135)
  1. LEBIH SULIT DARIPADA KUFUR : Berkata Hamka: Ayat 8-20 membicarakan tentang golongan yang lebih sulit daripada kufur, iaitu orang yang berlainan apa yang diucapkannya dengan mulut dengan pendirian hatinya yang sebenarnya. (Tafsir al-Azhar 1/127)
  1. ASAL USUL KALIMAT MUNAFIK / NIFAQ : Hamka juga berkata: Kalimat munafik atau nifaq maksud asalnya ialah lubang tempat bersembunyi di bawah tanah. Lubang perlindungan daripada bahaya (serangan) udara disebut nafaq. Justeru, orang munafik ialah yang menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sebagai suatu pengecohan atau penipuan. (Tafsir al-Azhar 1/127)
  1. KATEGORI KEMUNAFIKAN : Berkata Imam Ibn Kathir: Nifaq (kemunafikan) ialah menampakkan kebaikan dan menyembunyikan kejahatan. Sifat munafik itu bermacam-macam, ada yang berkaitan dengan akidah (nifaq iktiqadi) yang menyebabkan pelakunya (menjadi kafir), kelak di dalam neraka. Ada yang hanya berkaitan dengan perbuatan (nifaq ‘amali), yang merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/135)
  1. MUNAFIK MENONJOL DI MADINAH : Imam Ibn Kathir juga berkata: Sifat orang munafik diterangkan dalam surah-surah Madaniyah, kerana di Mekah tidak ada orang munafik. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/136)
  1. 13 AYAT TENTANG MUNAFIK DI AWAL BAQARAH : Berkata Syeikh Said Hawa: Selepas Allah menerangkan sifat golongan bertakwa di awal surah al-Baqarah dalam 4 ayat. Allah kemudiannya menerangkan keadaan golongan kafir dalam 2 ayat. Seterusnya (dalam ayat 8-20, sebanyak 13 ayat)) Allah menceritakan tentang golongan munafik yang menzahirkan Iman tetapi batinnya adalah kafir. (al-Asas fit Tafsir 1/69)
  1. MUNGKIN SIFAT MUNAFIK ADA PADA KITA? : Jangan lupa peringatan Hamka: “Jangan kita dengan mudah menuduh orang lain munafik, tetapi perhatikanlah pada jiwa kita sendiri, kalau-kalau penyakit ini ada pada kita entah sedikit entah banyak. Tafakurlah tentang seorang Muslim yang agung, Sayidina Umar al-Khattab RA yang selalu bertanya kepada sahabat Huzaifah bin Yaman RA: ‘Huzaifah! Beritahu aku, mungkin padaku ada sifat-sifat munafik yang aku sendiri tidak sedar’. Siapa Umar? Dan siapa kita?” (Tafsir al-Azhar 1/137
  1. PERSIAPAN UMAT HARI INI : Justeru, penguasaan ilmu agama amat penting untuk ditekankan pada hari ini berdasarkan rujukan yang sah agar pegangan menjadi kukuh.. Pada ketika yang sama perlu dikenali seruan-seruan serta slogan-slogan jahiliah yang menyesatkan pada hari ini. Ibadah penuh khusyuk perlu menjadi pegangan kerana keberkatannya mengukuhkan jiwa, disusuli dengan doa agar tidak digelincirkan hati kita selepas ia mendapat petunjuk. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 8:

                                                         رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

  • “Mereka berdoa): ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau karena sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)’.” (Ali Imran 3:8)
  • Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA, dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka Dia akan memahamkan baginya agama (Islam).” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Imam Ibn Hajar al-‘Asqalaani berkata: “Dalam hadis ini terdapat keterangan yang jelas tentang keutamaan orang-orang berilmu berbanding semua manusia, dan keutamaan mempelajari ilmu agama berbanding ilmu-ilmu yang lain.” (Fathul Bari 1/165)

                                                                               من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين  (Bukhari-Muslim)                                                   

                          …………………………………………………………………………………………………………………………

                                                     BEBERAPA ISU  / PERSOALAN TENTANG GOLONGAN MUNAFIK

  • GOLONGAN MUNAFIK DI ZAMAN NABI SAW : Berkata Imam Ibn Kathir: “Pendapat orang yang mengatakan bahawa Nabi SAW mengetahui secara pasti sebahagian orang munafik, adalah berdasarkan hadis Huzaifah bin Yaman RA yang di dalamnya disebut nama empat belas orang munafik dalam Perang Tabuk. Mereka berniat membunuh Rasulullah SAW dalam kegelapan malam di salah satu lembah di Tabuk. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada baginda mengenai niat jahat mereka. Kemudian Nabi SAW menceritakan hal tersebut kepada Huzaifah”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/141)
  • NABI MENGENALI ORANG MUNAFIK? : Berkata Imam Qartubi: “Sesungguhnya Nabi SAW mengenali mereka yang munafik ini atau mengenali ramai dari kalangan mereka, termasuk nama-nama mereka secara khusus berdasarkan pengetahuan yang dikurniakan Allah. Dan Huzaifah RA mengenali mereka berdasarkan apa yang telah baginda khabarkan kepada beliau (secara khusus). Sehinggakan Umar al-Khattab RA bertanya kepada Huzaifah RA: ‘Adakah aku dari kalangan mereka (yang munafik)? Maka berkata Huzaifah RA: ‘Tidak kamu bukan dari kalangan mereka’.” (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/174)
  • MENGAPA NABI SAW TIDAK MEMBUNUH GOLONGAN MUNAFIK? : Golongan munafik ini adalah musuh dalam selimut yang jahat lagi keji. Imam Qartubi dan lain-lainnya dari kalangan ulama tafsir pernah ditanya mengenai rahsia Nabi SAW tidak membunuh orang-orang munafik ini. Antara jawapannya ialah mengenainya yang antara lain ialah melalui apa yang telah disebutkan dalam Bukhari dan Muslim daripada Umar ibnul Khattab RA: “Aku tidak suka bila nanti orang-orang Arab mengatakan bahawa Muhammad telah membunuh sahabat-sahabatnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

                                            «أَكْرَهُ أَنْ يَتَحَدَّثَ الْعَرَبُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ» (Riwayat Bukhari dan Muslim)

  • MASLAHAT MUNAFIK TIDAK DIBUNUH NABI SAW : Berkata Imam Qartubi: “Nabi SAW tidak membunuh mereka kerana ada maslahat. Iaitu agar ia dapat melembutkan hati manusia dan tidak menyebabkan mereka lari daripada (risalah) baginda, (kerana secara zahirnya mereka melihat golongan munafik ini adalah orang Islam sekali gus sahabat-sahabat baginda. Pastinya jika mereka dibunuh ia perbuatan yang amat mengejutkan). Demikianlah pendapat ulama mazhab kami dan yang selain mereka. Imam Ibnu ‘Atiyyah berkata bahawa pendapat ini adalah pegangan murid-murid pengikut Imam Malik. Pendapat ini dinaskan seperti yang disebutkan ini oleh Muhammad ibn al-Jahm, al-Qadi Ismail, al-Abhuri dan Ibn al-Majisyun”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/173)
  • CIRI-CIRI KEMUNAFIKAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Sifat munafik itu bermacam-macam, ada yang berkaitan dengan akidah (nifaq iktiqadi) yang menyebabkan pelakunya (menjadi kafir), kelak di dalam neraka. Ada yang berkaitan dengan perbuatan (nifaq ‘amali), yang merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/135)
  • ANTARA PERANGAI KEMUNAFIKAN : Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

  • Maksudnya: “Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika dia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sehingga dia meninggalkan kelakuan tersebut, iaitu: (1) Jika diberi amanah (tanggungjawab), dia khianat; (2) Jika berbicara, dia berdusta; (3) Jika membuat perjanjian, dia tidak memenuhinya; (4) Jika berselisih, dia bertindak keji (tidak di atas kebenaran).” (Riwayat Muslim no. 58)

 

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (Disempurnakan pada 12 Rejab, 03/02/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.        

       

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  • Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  • Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  • A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  • Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.