DIANGKAT GUNUNG DI ATAS BANI ISRAIL KETIKA MEREKA MEMBUAT PERJANJIAN DENGAN ALLAH
TAFSIR AYAT 63-64 SURAH AL-BAQARAH (2:63-64)
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (٦٣) ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ فَلَوْلا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَكُنْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٦٤)
“Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada kamu dan Kami angkatkan gunung di atas kamu (seraya Kami berfirman), ‘Peganglah dengan teguh apa yang Kami berikan kepada kamu dan ingatilah selalu apa yang ada di dalamnya agar kamu bertakwa’. Kemudian kamu berpaling setelah (adanya perjanjian) itu, maka kalau tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya atas kamu, nescaya kamu tergolong orang-orang yang rugi”. (al-Baqarah 2:63-64)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 63-64 SURAH AL-BAQARAH: (PERJANJIAN DENGAN BANI ISRAIL DAN DIANGKAT GUNUNG DI ATAS MEREKA)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman mengingatkan Bani Israil akan janji dan ikrar mereka untuk beriman hanya kepada Allah semata, tidak mempersekutukan-Nya, dan mengikuti rasul-rasul-Nya. Allah menceritakan bahawa ketika Dia SWT mengambil janji itu daripada mereka, maka Dia mengangkat gunung di atas mereka agar mereka mahu mengakui apa yang disumpahkan, serta mengambilnya dengan sepenuh tenaga, dan bertekad untuk melaksanakannya. Sebagaimana yang disebutkan dalam firman yang lain, iaitu: ‘Dan (ingatlah) ketika Kami mengangkat bukit ke atas mereka seakan-akan bukit itu naungan awan dan mereka yakin bahawa bukit itu akan jatuh menimpa mereka. (Dan Kami katakan kepada mereka): Peganglah dengan teguh apa yang telah Kami berikan kepada kamu, serta ingatlah selalu (amalkanlah) apa yang tersebut dalamnya supaya kamu menjadi orang yang bertakwa’ (al-A’raf 7:171)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/104)
- TAFSIRAN SYEIKH SAID HAWA : ‘Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada kamu’ yakni untuk menerima dan amalkan apa yang di dalam Taurat. ‘Dan Kami angkat at-thur di atas kamu’ yakni kami angkat gunung di atas kamu. Demikianlah tafsiran oleh Ibn Abbas, Mujahid, Ata’, Ikrimah, al-Hasan, ad-Dahhak, ar-Rabi’ ibn Anas serta yang lainlainnya RA. ‘(Seraya Kami berfirman): Peganglah dengan teguh apa yang Kami berikan kepada kamu’ yakni peganglah kitab Taurat dengan serius penuh kesungguhan, dan ini hanyalah boleh dilakukan dengan ilmu dan amal. ‘Dan ingatilah selalu apa yang ada di dalamnya agar kamu bertakwa’ yakni hafazlah, ulang kajilah serta ingatilah isi kitab Taurat tanpa lupa dan cuai. Semoga dengan itu kamu menjadi golongan yang bertakwa yang berjaya di sisi Allah. ‘Kemudian kamu berpaling setelah (adanya perjanjian) itu’ yakni kamu berpaling daripada janji dan mengabaikan perlaksanaan janji itu. ‘Maka kalau tidaklah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya ke atas kamu, nescaya kamu tergolong orang-orang yang rugi’ yakni kalau tidaklah kerana Allah menangguhkan azab ke atasmu, atau kalau tidaklah kerana Allah mengurniakan taufik ke atasmu agar kamu bertaubat, nescaya kamu akan binasa.. dengan azab yang bakal menimpamu di dunia dan akhirat. (al-Asas fit Tafsir 1/157)
- TAFSIRAN OLEH IMAM IBN KATHIR : Menurut Imam Mujahid, mereka diarahkan untuk mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab Taurat. Berkata Imam Qatadah, (mengamalkannya) dengan penuh kesungguhan, dan jika tidak, nescaya (Allah) akan melemparkan bukit ini kepada kamu. Akhirnya setelah diancam demikian barulah mereka terima apa yang diberikan kepada mereka. Imam Abul Aliyah dan Ar-Rabi’ berkata, mereka diarahkan untuk ingat selalu apa yang ada dalam Kitab, maksudnya hendaklah dibaca dan diamalkan apa yang terkandung dalam kitab Taurat. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/105)
- GUNUNG DI ANGKAT? : Berkata Hamka: “Sesetengah ahli tafsir mengatakan bahawa benar-benar gunung itu diangkat. Tetapi setengah pentafsiran menolak pentafsiran demikian.. Dalam ayat yang lain, iaitu ayat 170 dari surah al-A‘raf, ayat ini telah menafsirkan ayat yang tengah kita perkatakan ini, iaitu mereka berdiam di dekat gunung yang tinggi, yang selalu mereka lihat seakan-akan menudungi mereka dan sewaktu-waktu rasa-rasa akan jatuh menimpa mereka. Mungkin dari gunung itu selalu menguap asap, tandanya dia berapi. Menjadi peringatan kepada mereka, demikian juga kepada kita umat manusia yang tinggal di lereng-lereng gunung berapi, bahawa ancaman Allah selalu ada. (Tafsir al-Azhar 1/210)
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
‘KALAU BUKANLAH KERANA KURNIAAN ALLAH DAN RAHMATNYA KE ATAS KAMU (YA BANI ISRAIL)’…… ULASAN HAMKA
Merujuk kepada penghujung ayat 64 surah al-Baqarah, dalam Tafsir al-Azhar Hamka merumuskan:
- KAMU MASIH ADA SEBAB KASIH SAYANG TUHAN :‘Maka kalau bukanlah kerana kurnia Allah dan belas kasihan-Nya ke atas kamu, sesungguhnya telah jadilah kamu (Bani Israil) orang-orang yang merugi’ (hujung ayat 64), maka berkata Hamka: “Belas-kasihan dan kurnia Tuhanlah yang menyebabkan kamu masih ada sekarang, masih ada anak-cucu yang akan melanjutkan keturunan. Kalau tidak sudah lamalah kamu hancur. Maka selama kamu sebagai anak-cucu masih ada, keadaan yang telah hancur.. masih dapat kamu perbaiki, iaitu dengan mengakui kebenaran yang dibawa oleh Muhammad SAW”.
- SELEPAS BERLALU RIBUAN TAHUN TIBA-TIBA ISRAIL TERTEGAK : “Sejarah berjalan terus. Undang-undang Tuhan berlaku terus buat umat manusia. Di saat kini kaum Bani Israil telah dapat mendirikan kembali kerajaan di tengah-tengah Tanah Arab, di Palestin yang telah dipunyai oleh orang Arab Islam sejak 1,400 tahun. Dan beratus-ratus tahun sebelum itu telah dikuasai negeri itu oleh orang Romawi dan Yunani. Sudah lebih daripada 2,000 tahun tidak lagi orang Yahudi mempunyai negeri itu. Tetapi dengan wang dan pengaruh, mereka menguasai pendapat dunia untuk tidak mengakui negeri Islam itu. Tujuh Negara Arab, hanya satu yang tidak resmi (sebagai) negara Islam, iaitu Negara Lebanon. Ketujuh Negara Islam itu kalah berperang dengan mereka (1948), dan langsung negeri Israel berdiri”.
- KAMI BERPECAH TUJUH, MEREKA SATU : “Maka setelah ditanyai orang kepada Presiden negeri Mesir, Jamal Abdel Nasser, apa sebab tujuh Negara Arab dapat dikalahkan oleh satu Negara Israel, Nasser menjawab: ‘Kami kalah ialah kerana kami pecah jadi tujuh, sedang mereka hanya satu’.”
- ARAB KALAH DENGAN TERUKNYA : “Pada tahun 1948, berlaku peperangan hebat antara orang Islam Arab dengan Yahudi, yang menyebabkan kekalahan Arab, negara-negara Arab baru tujuh buah. Kemudian, tengah buku ‘Tafsir Al-Azhar’ ini dalam cetakan yang pertama (Jun 1967), Negara Arab tidak lagi tujuh, melainkan telah menjadi tiga belas. Waktu itu sekali lagi Israel mengadakan serbuan besar-besaran. Sehingga dalam enam hari saja lumpuhlah kekuatan Arab Islam, hancur segenap kekuatannya. Beratus buah pesawat terbang kepunyaan Republik Arab Mesir dihancurkan sebelum sempat naik ke udara. Belum pernah negeri- negeri Arab khususnya dan umat Islam umumnya menderita kekalahan sebesar ini.. Maka dikaji oranglah apa sebab sampai demikian?”
- APAKAH PUNCANYA? : “Setengah orang mengatakan kerana persenjataan Israel lebih lengkap, dan lebih moden. Setengah orang mengatakan bahawa bantuan dari negara-negara Barat terlalu besar kepada Israel.. Setengahnya mengatakan bahawa Amerika dan Rusia menasihati Republik Arab Mesir agar jangan menyerang terlebih dahulu.. Tetapi.. Kalau dikatakan persenjataan Israel lebih lengkap, senjata Republik Arab Mesir tidak kurang lengkapnya. Kalau bukan lengkap persenjataan Mesir, tentu Presiden Jamal Abdel Nasser dan trompet-trompetnya di radio tidak akan berani mengatakan kalau mereka menyerang Israel di pagi-pagi, sore harinya mereka sudah bisa menduduki Tel Aviv.. Kalau dikatakan bahawa orang Yahudi Israel itu lebih cerdas dan pintar, maka sejarah dunia sejak zaman Romawi sampai zaman Arab menunjukkan bahawa bangsa yang lebih cerdas kerap kali dapat dikalahkan oleh yang masih belum cerdas.. Sebab yang utama bukan itu”.
- PUNCA KEKALAHAN ARAB DAN UMAT ISLAM SEBENARNYA : “Yang terang ialah kerana orang Arab khususnya dan Islam umumnya telah lama meninggalkan senjata batin yang menjadi sumber kekuatannya. Orang-orang Arab yang berperang menangkis serangan Israel atau ingin merebut Palestin sebelum tahun 1967 itu, tidak lagi menyebut-nyebut nama Islam. Islam telah mereka tukar dengan Nasionalisme, Jahiliah, atau Sosialisme ilmiah ala Marx. Bagaimana akan menang orang Arab yang sumber kekuatannya ialah imannya, lalu meninggalkan iman itu. Malahan barang siapa yang masih mempertahankan ideologi Islam, dituduh Reaksioner. Nama Nabi Muhammad sebagai pemimpin dan pembangun dari bangsa Arab telah lama ditinggalkan, lalu ditonjolkan nama Karl Marx, seorang Yahudi. Jadi untuk melawan Yahudi mereka buangkan pemimpin mereka sendiri, dan mereka kemukakan pemimpin Yahudi. Dalam pada itu kesatuan akidah kaum Muslimin telah dikucar-kacirkan oleh ideologi lain, terutama mementingkan bangsa sendiri”.
- DEMI MASA DEPAN UMAT : Berkata Hamka lagi: “Ahli-ahli fikir Islam moden telah sampai kepada kesimpulan bahawasanya Palestin dan Tanah Suci Baitulmuqaddis, tidak akan dapat diambil kembali daripada Yahudi (Zionis) itu, sebelum orang Arab khususnya dan orang-orang Islam seluruh dunia umumnya, mengembalikan pangkalan fikirannya kepada Islam. Sebab, baik Yahudi dengan Zionisnya, atau negara-negara kapitalis dengan Kristiannya, yang membantu dengan moral dan material mendirikan Negara Israel itu, kedua-duanya bergabung jadi satu melanjutkan Perang Salib secara moden, bukan untuk menentang Arab kerana dia Arab, melainkan menentang Arab kerana dia Islam”. (Tafsir al-Azhar 1/213)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 22 Syawal 1444 H, Bersamaan 13/05/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.