KISAH BANI ISRAIL DAN KURNIAAN NIKMAT SERTA PERINTAH KHUSUS UNTUK MEREKA.. DIARAH BERIMAN DENGAN AL-QURAN YANG MEMBENARKAN TAURAT
TAFSIR AYAT 40-41 SURAH AL-BAQARAH (2:40-41)
يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا بِعَهْدِي أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّايَ فَارْهَبُونِ (٤٠) وَآمِنُوا بِمَا أَنْزَلْتُ مُصَدِّقًا لِمَا مَعَكُمْ وَلا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ وَلا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ (٤١
“Wahai Bani Israil, ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepadamu dan penuhilah janjimu kepada-Ku, nescaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu, dan takutlah kepada-Ku sahaja. Dan berimanlah kamu dengan apa yang telah Aku turunkan (al-Quran) yang membenarkan apa yang ada pada kamu (Taurat) dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya, dan janganlah kamu jualkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa. ”. (al-Baqarah 2:40-41)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 40-41 SURAH AL-BAQARAH: (BERMULANYA KISAH TENTANG BANI ISRAIL)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah berfirman memerintahkan kaum Bani Israil agar masuk Islam dan mengikut Nabi Muhammad SAW dan merangsang mereka dengan menyebut nama nenek moyang mereka yakni Israil, iaitu Nabi Allah Ya’qub AS. Seakan-akan ayat ini mengatakan, ‘Hai anak-anak hamba yang soleh lagi taat kepada Allah, jadilah kalian seperti nenek moyang kalian dalam mengikuti perkara yang hak’.. Israil ialah Nabi Ya’qub AS sendiri. Sebagai dalilnya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud at-Tayalisi, bahawa sahabat Abdullah ibnu Abbas RA meriwayatkan: ‘Segolongan Yahudi datang menghadap kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW berkata kepada mereka: Tahukah kamu bahawa Israil adalah Ya’qub? Mereka menjawab: Demi Allah, memang benar. Nabi SAW berkata: Ya Allah, saksikanlah”. (Hadis dihasankan oleh Syeikh al-Arna’uth) Al-A’masy meriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas RA, disebutkan bahawa Israil itu bererti Abdullah (yakni hamba Allah)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/82)
-
- YAHUDI / BANI ISRAIL DI MADINAH: Berkata Hamka: “Selain persukuan Arab Bani Aus dan Bani Khazraj, maka ada pula penduduk Madinah dari kalangan pemeluk agama Yahudi. Mereka bukanlah bangsa Arab keturunan Qahthan atau Adnan. Tetapi mereka adalah keturunan Nabi Ya‘kub AS. Ya‘kub AS putera Ishak AS, dan Ishak AS putera Ibrahim AS, semuanya adalah Rasul Allah AS. Nabi Ya’kub AS mempunyai anak lelaki 12 orang.. Maka berkembang-biaklah keturunan Nabi Ya‘kub.. Gelar kehormatan yang diberikan Tuhan kepada Nabi Ya‘kub AS ialah Israil. Il di hujung itu ialah daripada bahasa Ibrani yang ertinya ialah Allah. Israil kononnya bererti Amir pejuang bersama Allah. Bani Israil menerima Taurat daripada Musa AS.. Antara 12 suku Bani Israil itu, yang terbesar ialah keturunan daripada suku anak yang kedua, iaitu Yahuda. Lama kelamaan menjadi kebiasaanlah mereka menyebut diri mereka sebagai Yahudi dan agama mereka sebagai agama Yahudi, yang dibangsakan kepada Yahuda itu. Padahal yang lebih tepat, kesemua mereka tercakup dalam golongan Bani Israil.. Selain berdakwah kepada orang Arab, Nabi Muhammad SAW juga diperintahkan Tuhan untuk menyampaikan dakwah kepada Bani Israil. Persukuan mereka di Madinah ketika itu ialah Bani Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraizhah dan lain-lain persukuan yang kecil-kecil..”. (Tafsir al-Azhar 1/179)
-
- NIKMAT KE ATAS BANI ISRAIL : Allah berfirman: ‘Wahai Bani Israil, ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepadamu’ (2:40).Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Mujahid berkata, nikmat Allah (antaranya) dipecahkan batu besar buat mereka hingga mengeluarkan air untuk minuman mereka, diturunkan kepada mereka manna dan salwa (dari langit), dan mereka diselamatkan daripada perbuatan Firaun dan bala tenteranya. Imam Abul Aliyah berkata, nikmat itu ialah Dia SWT menjadikan dari kalangan mereka ramai nabi dan rasul, dan diturunkan kepada mereka kitab-kitab dari langit”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/82) Berkata Hamka: “Sepatutnya mereka yang terlebih dahulu menerima kebenaran yang dibawa Muhammad SAW mengingatkan nikmat yang telah dianugerahkan Allah kepada mereka”. (Tafsir al-Azhar 1/179)
-
- PERJANJIAN BANI ISRAIL :Allah berfirman: ‘Dan penuhilah janjimu kepada-Ku, nescaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu, dan takutlah kepada-Ku sahaja’ (2:40). Berkata Imam Ibn Kathir: “(Sebahagian ulama berkata), janji tersebut adalah yang diambil oleh Allah ke atas mereka dalam kitab Taurat, bahawa Allah kelak akan mengutus seorang nabi yang besar dan ditaati oleh semua bangsa dan dia dari kalangan Bani Ismail. Nabi yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad SAW. Barang siapa yang mengikutnya, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga serta memberikan kepadanya dua pahala”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/83) Berkata Hamka: “Meskipun kitab Taurat sudah tidak asli lagi, namun janji itu masih bertemu, iaitu bahawa mereka tidak akan mempersekutukan yang lain dengan Allah. Dan supaya mereka beriman dengan Rasul-rasul Allah yang datang menegakkan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa itu. Dan dijanjikan pula kelak kemudian hari akan diutus pula seorang Rasul dari kalangan saudara mereka, iaitu Bani Ismail. Itulah Nabi Muhammad SAW. Sekarang Nabi itu telah datang membawa ajaran persis ajaran mereka, iaitu Tauhid mengesakan Tuhan. Sepatutnya mereka ingat janji itu kembali. Dan Tuhan pun telah berjanji pula kepada mereka, akan memberi kepada mereka kemuliaan antara manusia dan bangsa-bangsa. Asalkan mereka tetap setia dengan janji itu, Tuhan pun akan memenuhi janji-Nya pula. Dan kata Tuhan selanjutnya, kepada-Ku sajalah kamu patut takut! Jangan takut kepada yang lain. Jangan segan menyatakan iman kepada Muhammad karena ancaman dari ketua-ketua mereka, rabbi-rabbi dan ahbar (pendeta-pendeta) mereka. Dan jangan segan menyatakan iman, karena takut akan kalah pengaruh”. (Tafsir al-Azhar 1/180)
-
- AL-QURAN MEMBENARKAN KITAB SEBELUMNYA : Allah berfirman: ‘Dan berimanlah kamu dengan apa yang telah Aku turunkan (al-Quran) yang membenarkan apa yang ada pada kamu (Taurat)’ (2:41). Berkata Imam Ibn Kathir: “Yang dimaksudkan ialah al-Quran, yakni kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang ummi dari kalangan bangsa Arab. Dalamnya terkandung berita gembira dan peringatan serta pelita yang memberi penerangan, dan mengandungi perkara yang hak daripada Allah SWT, serta membenarkan apa yang ada sebelumnya, iaitu kitab Taurat dan Injil”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/8)
-
- JANGAN MENJADI GOLONGAN PERTAMA YANG KUFUR : Allah berfirman: ‘Dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya’ (2:41). Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Abul Aliyah berkata, jangan kamu (Bani Israil) menjadi orang yang pertama yang kafir kepada Muhammad SAW’.. Akan tetapi, Imam Ibn Jarir memilih pendapat yang mengatakan (jangan kamu menjadi orang yang pertama yang kafir) kepada al-Quran. Namun kedua-duanya adalah benar.. Dengan kata lain, orang yang kafir kepada al-Quran bererti dia kafir dengan Nabi Muhammad SAW. Orang yang kafir kepada Nabi Muhammad SAW bererti dia kafir dengan al-Quran. Adapun mengenai firman Allah tentang ‘orang pertama yang kafir,’ ia merujuk kepada orang-orang Yahudi Madinah yang merupakan orang pertama dari kalangan Bani Israil yang diajak berbicara oleh al-Quran. Kekafiran mereka bererti merekalah orang pertama kafir kepada (al-Quran) dari kalangan ahli kitab”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/83)
-
- JANGAN JUALKAN AYAT ALLAH DENGAN HARGA YANG SEDIKIT :Allah berfirman: ‘Dan janganlah kamu jualkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa’ (2:41). Berkata Hamka: “Ertinya, jangan kerana mengharapkan kemegahan, lalu kamu dustakan kebenaran ayat Allah. Berapa pun pangkat yang kamu dapat lantaran mendustakan kebenaran, namun semua itu masih sedikit harganya jika dibandingkan dengan kerugian rohani yang kamu dapat. ‘Dan hanya kepada Aku harus kamu bertakwa,’ ertinya, semata-mata perhubungan dengan Allahlah yang sepatutnya kamu pelihara, dan perbesarkan perasaan tanggungjawabmu terhadap Tuhan”. (Tafsir al-Azhar 1/180) “Ibn Abi Hatim meriwayatkan, berkata Thalq bin Habib, ‘Takwa bermaksud kamu beramal mentaati Allah dengan mengharapkan rahmat-Nya berpandukan nur petunjuk daripada Allah, dan kamu meninggalkan maksiat berpandukan nur petunjuk daripada Allah kerana takutkan siksaan-Nya’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/84)
- …………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
TAFSIR AYAT 42-43 SURAH AL-BAQARAH (2:42-43)
وَلا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ (٤٢) وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ (٤٣)
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil, dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui. Dan dirikanlah salat dan tunaikanlah zakat, dan rukuklah berserta orang-orang yang rukuk”. (al-Baqarah 2:42-43)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 42-43 SURAH AL-BAQARAH: (BANI ISRAIL, KEPENTINGAN TIDAK MENCAMPURADUKKAN HAK DENGAN BATIL DAN MENYEMBUNYIKAN YANG HAK. KEPENTINGAN SOLAT DAN ZAKAT)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman melarang orang-orang Yahudi melakukan hal yang biasa mereka kerjakan di masa lalu, iaitu sengaja mencampuradukkan perkara yang hak dengan yang batil, serta menyembunyikan perkara yang hak dan menonjolkan perkara yang batil.”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/84)
- JANGAN CAMPURADUKKAN HAK DENGAN BATIL : Allah berfirman: ‘Dan janganlah kamu campuradukkan yang hak dengan yang batil’ (2:42). Berkata Imam Ibn Kathir: “Ad-Dahhak meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, (maksud ayat ini ialah), janganlah kamu memalsukan yang hak dengan yang batil, dan mencampuradukkan yang benar dengan perkara dusta.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/84) Imam Qatadah pula mengatakan, “(maksudnya ialah), janganlah kamu campuradukkan ajaran Yahudi dan Nasrani dengan Islam, sedangkan kamu mengetahui bahawa agama Allah itu adalah agama Islam, dan agama Yahudi dan agama Nasrani itu adalah bidaah, bukan daripada Allah”. Hal yang semisal telah diriwayatkan daripada Imam Hasan al-Basri. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/84)
- JANGAN SEMBUNYIKAN YANG HAK : Allah berfirman: ‘Dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui’ (2:42).Berkata Imam Ibn Kathir: “Berkata sahabat Abdullah ibn Abbas RA, (maksud ayat ini ialah), janganlah kamu sembunyikan apa yang ada pada kamu mengenai pengetahuan tentang kebenaran Rasul-Ku dan apa yang diturunkan kepadanya (al-Quran), sedangkan kamu menemukan hal tersebut termaktub dalam kitab yang ada di tangan kamu”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/84) Berkata Hamka: “Dalam Kitab Taurat telah diperingatkan bahawa seorang Rasul akan datang dari kalangan Bani Ismail. Tanda-tanda-nya sudah jelas dan sekarang tanda itu sudah ditemui. Tetapi pemuka agama mereka melarang pengikut mereka percaya kepada Rasul SAW kerana kata mereka dalam kitab-kitab Nabi mereka itu tersebut juga akan ada Nabi-nabi palsu. Lalu mereka katakan kepada pengikut-pengikut itu bahawa ini adalah Nabi palsu. Bukan Nabi yang dijanjikan itu. Kalau pengikut mereka datang bertanya, mereka sembunyikan kebenaran dan kitab mereka sendiri mereka tafsirkan lain daripada maksud sebenar, padahal mereka mengetahui bahawa memang Muhammad itulah Nabi dari Bani Ismail yang ditunggu-tunggu itu”. (Tafsir al-Azhar 1/181)
- KEPENTINGAN SOLAT, ZAKAT, BERJEMAAH : Allah berfirman: ‘Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan rukuklah berserta orang-orang yang rukuk’ (2:43). Imam Ibn Kathir berkata: “Berkata Imam Muqatil, firman Allah SWT yang ditujukan kepada ahli kitab, ‘Dan dirikanlah solat’ merupakan perintah Allah kepada mereka agar mereka solat bersama Nabi SAW. Firman-Nya, ‘Dan tunaikanlah zakat’ merupakan perintah Allah agar mereka menunaikan zakat, yakni menyerahkannya kepada Nabi SAW. Firman Allah SWT, ‘Dan rukuklah kamu bersama orang yang rukuk’ merupakan perintah Allah agar mereka rukuk (solat) bersama orang yang rukuk (solat) dari kalangan umat Muhammad SAW (yakni berjemaah). Singkatnya, jadilah kamu bersama-sama mereka dan termasuk golongan mereka”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/84) Berkata Syeikh Said Hawa, “Ramai ulama menjadikan firman Allah ‘dan rukuklah bersama dengan mereka yang rukuk’ sebagai dalil tentang kewajipan melaksanakan solat (fardu) secara berjemaah”. (al-Asas fit Tafsir 1/137)
- PEMBERSIHAN JIWA MELALUI SOLAT, ZAKAT, BERJEMAAH : Berkata Hamka: “Telah diperingatkan kepada mereka tentang kesalahan dan kecurangan mereka yang telah lalu itu, sekarang mereka diajak membersihkan jiwa dan mengadakan ibadat tertentu kepada Allah, iaitu, dengan mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Dengan sembahyang, hati terhadap Allah menjadi bersih dan khusyuk, dan dengan mengeluarkan zakat, penyakit bakhil menjadi hilang.. Maka akan tumbuhlah iman itu dengan suburnya. Kerana ada juga orang yang telah mengaku beriman kepada Allah tetapi dia malas sembahyang. Berbahayalah bagi iman itu, kerana kian lama dia akan runtuh kembali. Dan hendaklah dididik diri bermurah hati dengan mengeluarkan zakat, kerana bakhil adalah musuh yang terbesar bagi iman. Apabila berperangai bakhil, nyatalah orang itu tidak beriman! Kemudian mengapa disuruh rukuk bersama dengan orang yang rukuk? Tidakkah cukup dengan perintah sembahyang saja? Apakah ini bukan kata berulang? Bukan! Ada juga orang yang faham bahawa asal aku sudah sembahyang sendiri di rumahku, tidak perlu lagi aku bercampur dengan orang lain. Itulah yang salah! Sembahyang sendiri belum sempurna, tetapi perlu rukuk bersama-sama dengan orang yang rukuk, bawalah diri ke tengah masyarakat. Pergilah berjemaah! Maksud kedua erti rukuk ialah khusyuk. Jangan hanya sembahyang asal sembahyang, sembahyang mencukupi kebiasaan sehari-hari saja, tidak dijiwai rasa khusyuk dan ketundukan. Inilah yang diserukan kepada Bani Israil, agar mereka teruskan sahaja agama yang diajarkan Musa yang diteruskan oleh Muhammad SAW, agar mereka menjadi Muslim, menyerah diri kepada Tuhan, dan hiduplah sebagai Muslim yang sejati”. (Tafsir al-Azhar 1/181-182) Seruan kepada mereka menjadi iktibar, pedoman dan peringatan kepada kita yang bukan Bani Israil! Kita juga cuai!
……………………………………..…………………………………………………………………………..
TAFSIR AYAT 44-46 SURAH AL-BAQARAH (2:44-46)
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلا تَعْقِلُونَ (٤٤)وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ (٤٥) الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (٤٦)
“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Tidakkah kamu mengerti? Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”. (al-Baqarah 2:44-46)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 44-46 SURAH AL-BAQARAH: (JANGAN JADI HIPOKRIT, KEPENTINGAN SABAR, SOLAT DAN KHUSYUK)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman: Apakah layak bagi kamu, wahai ahli kitab, kamu memerintahkan manusia berbuat kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri. Kamu tidak melakukan apa yang kamu perintahkan untuk orang mengerjakannya, padahal kamu membaca kitab kamu dan mengetahui akibat yang akan menimpa orang-orang yang melalaikan perintah Allah? Tidakkah kamu berakal memikirkan apa yang kamu telah lakukan terhadap diri kamu sendiri, lalu kamu bangun daripada kelalaian kamu dan melihat setelah kamu buta?” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/85)
- AHLI KITAB YANG HIPOKRIT : Allah berfirman: ‘Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)?’(2:44). Berkata Hamka: “Teguran keras ini adalah kepada pemuka-pemuka dan pendeta-pendeta mereka. Bukan main keras larangan mereka: ‘Ini haram!’. Bukan main keras perintah mereka: ‘Ini wajib’, seakan-akan merekalah empunya agama itu, padahal diri mereka sendiri mereka lupakan. Hanya mulut mereka yang keras mempertahankan agama untuk dipakai oleh orang lain, adapun untuk diri mereka sendiri, tidak usahlah dipersoalkan. Padahal mereka membaca Kitab, hafal nombor ayatnya, ingat fasalnya, bahkan salah titik dan salah baris sedikit saja, mereka tahu. Tetapi apa isi dan intisari daripada Kitab itu, apa maksudnya yang sejati, tidaklah mereka mahu mengetahui dan tidak mereka fikirkan. Inilah penyakit pemuka-pemuka atau yang disebut pendeta atau ahbar mereka pada waktu itu.”. (Tafsir al-Azhar 1/182)
- HUKUM PENDAKWAH HIPOKRIT :Allah berfirman: ‘‘Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri’ (2:44). Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran (berdakwah) hukumnya adalah wajib. Namun, sebahagian pendakwah tidak melaksanakan apa yang mereka seru. Hipokrit? Berkata Imam Ibn Kathir: “Mengajak kepada yang makruf (dakwah) dan mengamalkan perkara makruf itu hukumnya kedua-duanya adalah wajib. Jika salah satu daripada kedua-duanya tidak dilakukan maka tidak gugur hukum wajib terhadap yang satu lagi. Demikianlah pendapat yang paling sahih daripada golongan ulama, iaitu daripada kalangan salaf dan khalaf. Sebahagian ulama mengatakan orang yang berbuat maksiat tidak boleh mencegah orang lain daripada melakukan maksiat itu . Pendapat ini adalah lemah.. Pendapat yang sahih ialah, hendaklah seorang yang alim melaksanakan amar makruf, sekalipun dia sendiri tidak mengerjakannya, dan hendaklah dia melarang perbuatan yang mungkar, sekalipun dia sendiri mengerjakannya! (Tafsir al-Quran al-Azim 1/85)
- HADIS TENTANG PENDAKWAH ‘CAKAP TAK SERUPA BIKIN’:
Daripada Usamah bin Zaid RA , Nabi SAW bersabda:
يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِى النَّارِ ، فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِى النَّارِ ، فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ ، فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ ، فَيَقُولُونَ أَىْ فُلاَنُ ، مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَى عَنِ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلاَ آتِيهِ ، وَأَنْهَاكُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ
- Maksudnya: “Ada seorang yang didatangkan pada hari kiamat dan dia dilemparkan dalam neraka. Usus-ususnya pun terburai dalam neraka. Lalu dia berputar-putar seperti keldai memutari penggilingannya. Lantas penghuni neraka berkumpul di sekitarnya lalu mereka bertanya, ‘Wahai si polan, apa berlaku kepadamu? Bukankah kamu dahulu yang mengajak kami kepada kebaikan dan melarang kami daripada kemungkaran?’ Dia menjawab, ‘Memang betul, aku dulu mengajak kamu kepada kebaikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Dan aku dulu melarang kamu daripada kemungkaran tapi aku sendiri yang mengerjakannya.” (HR. Bukhari no. 3267 dan Muslim no. 2989)
- BERDAKWAH WALAUPUN TIDAK SEMPURNA : Imam Ibn Kathir melaporkan: “Malik ibn Rabi’ah mengatakan, dia pernah mendengar Imam Sa’id bin Jubair berkata, ‘Seandainya seseorang tidak mengajak kepada yang makruf, dan tidak pula mencegah yang mungkar sehingga dia sempurna, nescaya tidak akan ada seorang pun yang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran’. Berkata Imam Malik, ‘Memang benar, dan siapakah antara kita yang sempurna?” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/85) Justeru, hendak seseorang pendakwah teruskan dengan dakwahnya walaupun dia tidak sempurna, dan pada ketika yang sama hendaklah dia sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya di sudut ilmu, amal salih, akhlak serta menjauhi maksiat!
- SABAR DAN SOLAT ADALAH PENOLONG : Allah berfirman: ‘Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu’ (2:45). Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman seraya memerintahkan hamba-hamba-Nya, demi meraih kebaikan dunia dan akhirat yang mereka dambakan, hendaklah menjadikan sabar dan solat sebagai sarananya (medium)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/87) Berkata Hamka: “Orang yang berpadu antara sabar dengan sembahyangnya akan jernihlah hatinya dan besar jiwanya.. Cubaan yang harus kita tempuh dalam kehidupan ini kadang-kadang sangatlah besarnya. Sehingga jiwa harus kuat dan pendirian harus kukuh. Sebab itu untuk mendapat pertolongan dari Tuhan, agar kita dikuatkan ketika menghadapi kesulitan itu, tidaklah boleh terpisah daripada kedu-dua ini: Sabar dan Solat.. Ingatlah, betapa pun sabarnya hati, kadang-kadang kerana beratnya (ujian) yang dihadapi, jiwa bisa bergoncang juga. Maka dengan sembahyang khusyuk sekurang-kurangnya 5 waktu sehari semalam, hati yang tadinya nyaris lemah, nescaya akan kuat kembali. Maka sabar dan sembahyang itulah alat pengukuhan bagi peribadi orang Islam”. ((Tafsir al-Azhar 1/183)
- JENIS-JENIS SABAR : Berkata Imam Ibn Kathir: “Sabar itu ada dua macam, iaitu sabar dalam meninggalkan perkara yang diharamkan dan dosa-dosa, serta sabar dalam mengerjakan ketaatan dan amal-amal untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jenis yang kedua inilah yang lebih utama, kerana ia adalah tujuan yang utama. Adapun jenis sabar yang lain ialah sabar dalam menanggung pelbagai musibah dan cubaan. Jenis ini pun hukumnya adalah wajib”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/196)
- SOLAT AMAT BERAT : Allah berfirman: ‘Dan sesungguhnya ia sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk’ (2:45). ‘Ia sungguh berat’merujuk kepada apa? Sebahagian ulama mengatakan ia merujuk kepada wasiat pesanan Allah yang terdapat dalam ayat ini (untuk Bani Israil). Namun Imam Mujahid mengatakan ia merujuk kepada solat, dan inilah pendapat yang dipilih oleh Imam Ibn Jarir. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/239) Demikian juga yang disebutkan oleh Syeikh Said Hawa, ia adalah solat mengikut pendapat yang lebih kuat (rajih). (al-Asas fit Tafsir 1/139) Berkata Hamka: “Yang dimaksudkan ialah solat; bahawa mengerjakan solat itu amat berat”. (Tafsir al-Azhar 1/183)
- SOLAT BERAT KECUALI BAGI YANG KHUSYUK : Allah berfirman: ‘Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi mereka yang khusyuk.(Iaitu) mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya’ (2:45-46). Berkata Syeikh Said Hawa: “Yang khusyuk ialah dia yang meyakini pembalasan di hari akhirat. Adapun mereka yang tidak meyakini tentang pembalasan di akhirat dengan ganjaran yang sedang menanti, maka menjadi berat baginya untuk melaksanakan tanggungjawab agama, dan solat merupakan ibadat utama yang menjadi berat untuk dipikulnya”. (al-Asas fit Tafsir 1/139) Berkata Hamka: “Untuk menambahkan khusyuk hendaklah kita ingat, sampai menjadi keyakinan, bahawasanya kita ini datang ke dunia atas kehendak Tuhan dan akan kembali ke akhirat dan akan bertemu dengan Tuhan. Di hadapan Tuhan kita dipertanggungjawabkan semua amal dan usaha kita selama di dunia. Maka dari sekarang hendaklah kita latih diri mendekati Tuhan”. (Tafsir al-Azhar 1/184)
- MAKSUD KHUSYUK : Berkata Imam Qartubi : “Berkata Imam Qatadah, ‘Khusyuk ialah perasaan takut dalam hati dan merendahkan pandangan ketika dalam solat’.. Omar al-Khattab RA pernah melihat seorang anak muda menundukkan kepalanya, dan beliau berkata, ‘Wahai kamu, angkat kepala kamu kerana sesungguhnya khusyuk tumpuannya adalah di hati’.. Sesiapa yang lebih menzahirkan khusyuk secara luarannya sahaja (lebih) berbanding aspek hati, dia telah menzahirkan kemunafikan atas kemunafikan. Aku (Imam Qartubi) ingin berkata, ‘Jika takut (kepada Allah) wujud di hati, pasti akan zahir juga khusyuk secara luarannya.. Adapun manusia yang keji dia bertindak berpura-pura (khusyuk) dengan (berpura-pura) menangis sambil menunduk-nundukkan kepala sebagaimana yang dilakukan oleh manusia jahil, (kononnya) untuk menampakkan kebaikan dan kemuliaan dirinya, sedangkan ini adalah tipu daya syaitan’.” (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/ 320)
- BENAR SEKALI! : Keyakinan yang mendalam kepada Allah dan hari pertemuan dengan Allah dengan pembalasannya atas apa yang kita lakukan bakal melahirkan rasa gerun yang bakal menghalang kelalaian dalam hidup. Pada ketika yang sama kita juga berharap akan diberikan ganjaran atas kebaikan yang sempat kita lakukan, dan ini menghasilkan motivasi diri untuk kuat beramal. Rasa gerun dengan azab, dan pengharapan terhadap syurga bakal melahirkan fokus terhadap ibadat dengan khusyuk yang mendalam.
- APA KAITANNYA DENGAN KITA? : Ayat-ayat ini berkaitan dengan golongan Bani Israil. Apa perkaitannya dengan kita? (Sila baca bahan AWAS di bawah).
AWAS! PERINGATAN PENTING
Ayat-ayat yang telah dibincangkan adalah berkaitan dengan golongan Bani Israil. Ia tiada perkaitan dengan kita pada hari ini. Benarkah demikian? Adakah sikap itu betul?
- AYAT TENTANG BANI ISRAIL TIADA PERKAITAN DENGAN KITA?: Berkata as-Syeikh Said Hawa: “Imam Ibn Kathir berkata, walaupun zahir ayat menunjukkan bahawa ia peringatan untuk golongan Bani Israil namun iktibarnya bukanlah semata-mata untuk mereka secara khusus. Bahkan iktibarnya adalah untuk umum, iaitu untuk mereka dan selain daripada mereka”. (al-Asas fit Tafsir 1/139)
- MESEJ AL-QURAN IALAH UNTUK UMAT INI: Berkata as-Syeikh Said Hawa: “Aku berkata, setiap ayat al-Quran diturunkan kepada umat Islam (umat Nabi Muhammad SAW) kerana merekalah golongan khusus yang akan mengambil manfaat daripada ayat-ayat itu. Justeru adalah amat penting untuk umat ini memahami kaedah ini, iaitu, jika Allah menceritakan sesuatu, contohnya tentang Bani Israil, ia bertujuan agar kita mengambil iktibar dan peringatan daripadanya, belajar daripadanya dan beramal berdasarkannya”. (al-Asas fit Tafsir 1/139)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 10 Syawal 1444 H, Bersamaan 01/05/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.