Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 1) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 3-5

CIRI-CIRI GOLONGAN YANG BERTAKWA.. KEPENTINGAN BERIMAN DENGAN YANG GHAIB, SOLAT & INFAK.. KEPENTINGAN BERIMAN DENGAN KITAB-KITAB.. BERIMAN DENGAN AKHIRAT.. DENGAN ITU BELAYAR MENUJU KEJAYAAN

AYAT 3 SURAH AL-BAQARAH (2:3):

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣

“(Iaitu) mereka beriman kepada perkara yang ghaib, menegakkan solat, dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka”. (al-Baqarah 2:3)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 3 SURAH AL-BAQARAH: (KEPENTINGAN BERIMAN DENGAN YANG GHAIB, MENEGAKKAN SOLAT DAN INFAK)

Berkata Syeikh Said Hawa: “Ayat ini mengaitkan golongan yang bertakwa dengan Iman, solat dan sedekah. Iman merupakan asas bagi segala kebaikan dan kebajikan. Solat berkait dengan ibadah badaniyah (ibadah melalui tubuh jasad) dan sedekah berkait dengan ibadah maaliyah (ibadah melalui harta benda). Daripada dua ibadah ini lahirlah pelbagai cabang ibadah yang lain yang seumpama kedua-duanya”. (al-Asas fit Tafsir 1/68)

  • MAKSUD IMAN : Iman secara dasarnya adalah tasdiq, iaitu kepercayaan, pembenaran di hati, sebagaimana yang disebutkan Syeikh Said Hawa. (al-Asas fit Tafsir 1/68) Namun Iman yang sempurna adalah seperti yang disebutkan Imam Ibn Kathir iaitu: “Jika digunakan secara mutlak, Iman di sudut syariat tidak wujud kecuali melalui keyakinan, ucapan dan amal perbuatan”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/40)
  • TUNTUTAN BERIMAN KEPADA YANG GHAIB : Antara tuntutan Iman yang diwajibkan ialah: ‘Beriman kepada perkara yang ghaib (2:3).’ Menurut Imam Abul Aliyah, maksudnya ialah: “Mereka beriman kepada Allah SWT, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari kemudian, syurga dan neraka-Nya, bertemu dengan-Nya, beriman kepada kehidupan sesudah mati dan hari kebangkitan. Semua ini merupakan perkara yang ghaib”. Hal yang sama dikatakan oleh Imam Qatadah. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/41)
  • KEPENTINGAN BERIMAN KEPADA YANG GHAIB : Berkata Hamka: “Percaya kepada yang ghaib. Yang ghaib ialah yang tidak dapat disaksikan oleh pancaindera.. Tetapi dia dapat dirasa adanya oleh akal. Maka yang pertama sekali ialah percaya kepada Allah SWT, zat yang menciptakan sekalian alam, kemudian itu percaya akan adanya hari kemudian.. Iman bererti percaya, iaitu pengakuan hati yang terbukti dengan perbuatan yang diucapkan oleh lidah, dan menjadi keyakinan hidup. Maka Iman akan yang ghaib itulah tanda pertama atau syarat pertama bagi takwa tadi”. (Tafsir al-Azhar 1/116)
  • CIRI KEIMANAN YANG AGUNG : Berkata sahabat Abdullah Ibn Mas’ud RA: “Demi Allah SWT yang tidak ada Tuhan selain Dia, tidaklah seseorang itu beriman dengan keimanan yang lebih agung daripada keimanan kepada perkara yang ghaib”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/41) Beriman kepada yang ghaib ini merupakan tonggak kepada Iman yang benar lagi sejahtera. Tiada Iman tanpa keimanan kepada yang ghaib.
  • KEPENTINGAN MENEGAKKAN SOLAT : “Dan mereka menegakkan solat (2:3).” Sahabat Abdullah Ibn Abbas RA berkata, maksudnya ialah “mereka mendirikan solat dengan melaksanakan segala kefarduan yang dituntut dalamnya”. Imam ad-Dahhak RA meriwayatkan juga daripada Ibn Abbas RA bahawa menegakkan solat ialah “menyempurnakan rukuk, sujud, bacaan al-Quran, khusyuk, dan menghadap seluruh jiwa raganya dalam solat”. Imam Muqatil ibn Hayyan RA berkata, menegakkan solat ertinya “bersolat tepat pada waktunya, menyempurnakan wuduk, sujud, bacaan al-Quran, bacaan tasyahud, dan selawat. Demikianlah menegakkan solat”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/42) Maksudnya, golongan yang bertakwa langsung tidak akan alpa dan cuai dengan solatnya. Solat agenda penting dalam hidupnya. Dia akan memelihara waktu solatnya dengan tepat secara tunai, menjaga rukun dan fardunya, mementingkan khusyuk, serta memelihara segala tuntutan berkaitan solat agar solatnya berkualiti. Inilah yang akan dilakukan oleh mereka yang bertakwa. 
  • KEPENTINGAN MENGELUARKAN NAFKAH : “Dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka (2:3).” Berkata sahabat Abdullah Ibn Abbas RA, maksudnya ialah mereka mengeluarkan zakat yang difardukan. Berkata sahabat Abdullah Ibn Mas’ud RA, ia adalah nafkah yang dikeluarkan oleh seseorang lelaki untuk keluarganya. Berkata Imam ad-Dahhak RA, ia adalah sedekah sunat. (rujuk Tafsir Imam Qartubi) Seterusnya Imam Qartubi berkata: “Ada yang mengatakan ayat ini suruhannya berbentuk umum dan ini adalah pendapat yang sahih. Iaitu, (mengeluarkan nafkah) adalah mengeluarkan nafkah yang halal untuk disalurkan mengikut tuntutan syariat, seperti mengeluarkan zakat, serta (mengeluarkan harta) untuk tuntutan-tuntutan yang lain”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/156) Maksudnya, golongan bertakwa langsung tidak bakhil. Tidak kedekut. Mereka menyedari sebahagian harta yang mereka miliki wajib dinafkahkan kepada mereka yang memerlukan dalam bentuk mengeluarkan zakat, sara hidup ke atas tanggungan dan yang seumpamanya. Mereka mengeluarkannya dengan penuh rasa bertanggungjawab.
  • KESIMPULANNYA HAMKA : Berkata Hamka: “Maka keimanan kepada yang ghaib dengan sendirinya diturutinya dengan mendirikan sembahyang. Maka bila panggilan sembahyang datang, bila azan telah terdengar, dia pun bangkit buat mendirikan sembahyang. Kerana hubungan di antara pengakuan hati dengan mulut tidak mungkin putus dengan perbuatan. Waktu datang panggilan sembahyang itulah ujian yang sangat tepat buat mengukur iman kita. Adakah tergerak hati ketika mendengar azan? Atau timbulkah malas atau seakan-akan tidak tahu? Maka jika waktu sembahyang telah datang dan kita tidak genser (tidak peduli) juga, tandanya iman belum ada, tandanya tidak ada kepatuhan dan ketaatan.. Dan sembahyang itu bukan semata dikerjakan. Di dalam al-Quran atau di dalam hadis tidak pernah tersebut suruhan mengerjakan sembahyang, melainkan mendirikan sembahyang. Tandanya sembahyang itu wajib dikerjakan dengan kesedaran, bukan sebagai mesin yang bergerak saja. Dan setelah mereka buktikan iman dengan sembahyang, mereka pun mendermakan rezeki yang diberikan Allah kepada mereka.. Itulah tingkat ketiga atau syarat ketiga dari pengakuan iman. Di tingkat pertama percaya kepada yang ghaib, dan kepercayaan kepada yang ghaib dibuktikan dengan sembahyang, sebab hatinya dihadapkannya kepada Allah yang diimaninya. Maka dengan kesukaan memberi, berderma, bersedekah, membantu dan menolong, imannya telah dibuktikan pula kepada masyarakat. Orang mukmin tidak mungkin hidup nafsi-nafsi dalam dunia. Orang mukmin tidak mungkin menjadi budak dari benda, sehingga dia lebih mencintai benda pemberian Allah itu daripada sesama manusia. Orang yang mukmin apabila dia ada kemampuan, kerana imannya, sangatlah dia percaya bahawa dia hanya saluran saja dari Tuhan untuk membantu hamba Allah yang lemah.”. (Tafsir al-Azhar 1/118-119)
  • Justeru, Iman (terutama beriman kepada perkara yang ghaib) adalah tonggak kepada segala kebaikan,. Namun Iman tanpa solat dan mengeluarkan nafkah (apatah lagi nafkah yang wajib), menjadikan seseorang itu beriman tanpa ketaatan, sekali gus tanpa takwa. Dia Mukmin yang tidak sempurna. Dia Mukmin yang diselimuti kotoran-kotoran dosa. Bukan seorang Mukmin yang bertakwa.

                                           **********************************************************************************

TAFSIR AYAT 4 SURAH AL-BAQARAH (2:4)

وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ ٤

“Dan mereka beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (beriman dengan kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelummu, dan mereka yakin tentang adanya akhirat”. (al-Baqarah 2:4)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 4 SURAH AL-BAQARAH: (WAJIB BERIMAN DENGAN SEMUA RISALAH RASUL DAN HARI AKHIRAT )

Berkata Imam Ibn Kathir, “Ibn Abbas RA berkata, makna firman-Nya dalam ayat 4 ini ialah ‘mereka percaya kepada apa yang engkau datangkan daripada Allah, juga percaya kepada apa yang telah diturunkan kepada rasul-rasul sebelummu, tanpa membeza-bezakan antara mereka dan tidak mengingkari apa yang telah didatangkan oleh para rasul itu daripada Tuhan mereka. Mereka yakin akan adanya kehidupan di akhirat, yakni percaya kepada adanya hari berbangkit, hari kiamat, syurga. neraka, hisab, dan mizan (timbangan amal perbuatan). Sesungguhnya hari kemudian dinamakan hari akhirat karena terjadi sesudah kehidupan di dunia”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/43)

  • BERIMAN SECARA KESELURUHANNYA : Berkata Imam Mujahid r.a.: “Empat ayat pertama dalam surah al-Baqarah menjelaskan tentang orang-orang yang beriman.. Ia adalah ayat-ayat umum bagi setiap Mukmin yang Arab ataupun yang bukan Arab, juga dari kalangan ahli kitab, sama ada dari golongan manusia atau jin. Tiada satu pun daripada sifat-sifat tersebut itu sah tanpa yang lainnya. Setiap sifat tersebut berkait dengan sifat yang lainnya.. Untuk itu, tidak sah Iman kepada yang ghaib, menegakkan solat, dan menunaikan zakat, melainkan mesti disertai dengan Iman kepada apa yang dibawa Rasulullah SAW daripada sisi Tuhannya, juga beriman kepada apa yang dibawa oleh Rasul-rasul lainnya daripada Tuhan mereka, juga mesti meyakini adanya kehidupan alam akhirat. Salah satu daripadanya tidak sah tanpa yang lainnya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/43-44)) Kesemua ini wajib diimani secara keseluruhannya tanpa pengecualian. Tidak boleh diambil secara separuh-separuh. Inilah iktikad yang wajib kita pegangi. Inilah pegangan kita.
  • MAKSUD YAKIN : “Mereka yakin tentang adanya akhirat.” Apakah maksud yakin? Berkata Syeikh Said Hawa: “Yakin adalah ilmu yang amat mantap (rusukh) yang menghilangkan syak dan keraguan”. (al-Asas fit Tafsir 1/68) Maksudnya, seseorang yang yakin ialah seseorang yang mempercayai sesuatu tanpa syak dan keraguan. Inilah tahap Iman yang ingin disemai.
  • KESIMPULAN HAMKA : Berkata Hamka: “Nescaya baru sempurna iman itu kalau percaya kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Percaya kepada Allah SWT dengan sendirinya pastilah menimbulkan percaya kepada peraturan-peraturan yang diturunkan kepada Utusan Allah. Lantaran itu percaya kepada Nabi Muhammad SAW (menuntut kita) percaya kepada wahyu dan percaya juga kepada contoh-contoh yang beliau bawakan dengan Sunahnya.. Dengan demikianlah baru Iman yang telah tumbuh tadi terpimpin dengan baik.. (Di samping itu) percaya pula kepada Nuh atau Ibrahim, Musa atau Isa dan Nabi-nabi yang lain AS. Semua adalah Nabi kita!” (Tafsir al-Azhar 1/119)
  • Inilah keimanan yang sahih lagi sejahtera sebagaimana yang dibawa Nabi SAW. Inilah pegangan dan kepercayaan golongan yang bertakwa. Keimanan yang lengkap ini merupakan kompas suci yang akan membawa golongan ini mencapai kebahagiaan dunia hingga ke akhirat. Sudah pasti kepercayaan ini tidak berhenti di sini. Ia wajib disusuli dengan amal salih terutamanya dalam bentuk menegakkan solat dan mengeluarkan zakat.

 

                                            ***********************************************************************************

TAFSIR AYAT 5 SURAH AL-BAQARAH (2:5)

أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥

”Mereka itulah yang berada di atas petunjuk dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan”. (al-Baqarah 2:5)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 5 SURAH AL-BAQARAH: (GOLONGAN YANG BEROLEH KEJAYAAN) 

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman bahawa yang dimaksudkan dengan mereka ini ialah orang-orang yang mempunyai ciri-ciri (yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini), iaitu beriman kepada perkara yang ghaib, mendirikan solat, memberi nafkah, beriman kepada kitab yang diturunkan kepada Rasulullah SAW serta kitab-kitab yang diturunkan sebelum ini, dan yakin kepada kehidupan akhirat. Semua ini menuntut mereka mempersiapkan (diri) dengan mengerjakan amal-amal soleh dan meninggalkan hal-hal yang diharamkan”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/44)

  • GOLONGAN BERTAKWA SENTIASA DI ATAS PENTUNJUK : “Mereka itulah yang berada di atas petunjuk dari Tuhan mereka.” Berkata Imam Ibn Kathir: “Ia bermaksud mereka sentiasa mendapat pancaran cahaya, penjelasan dan petunjuk daripada Allah SWT”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/44)
  • KEJAYAAN MENANTI GOLONGAN BERTAKWA : “Dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan (muflihuun)”. Berkata Imam Ibn Kathir: “Yakni mereka memperoleh apa yang mereka inginkan dan mereka terselamat daripada kejahatan yang mereka ingin hindarkan diri daripadanya. Mereka beruntung kerana mendapat pahala dan kekal dalam syurga serta selamat daripada seksaan yang Allah sediakan bagi musuh-musuh-Nya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/44)
  • KESIMPULANNYA : Hamka berkata: “Berjalan menempuh hidup, di atas jalan Shirathal Mustaqim, dibimbing selalu oleh Tuhan.. bertemu taufik dengan hidayat, sesuai kehendak diri, dengan reda Allah, maka beroleh kejayaan yang sejati, (berkat) menempuh suatu jalan yang selalu terang benderang, sebab pelitanya terpasang dalam hati sendiri, pelita iman yang tidak pernah padam”. (Tafsir al-Azhar 1/120)
  • IBRAH DARIPADA AL-BAQARAH AYAT 3-5 : Kejayaan yang sebenarnya ialah kejayaan yang diisytiharkan oleh Allah SWT, bukan sekadar yang diisytiharkan oleh manusia. Golongan yang benar-benar berjaya ialah golongan yang bertakwa. Merekalah golongan yang menjadikan al-Quran sebagai suluh serta rujukan dalam hidup, bukan sekadar untuk dibaca. Mereka beriman dengan perkara yang ghaib dengan perincian-perinciannya, beriman kepada segala risalah yang diturunkan ke atas kesemua Rasul (termasuk yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW), di samping beriman dengan alam akhirat. Pada ketika yang sama mereka merupakan golongan yang beramal soleh, terutamanya dengan menegakkan solat dan mengeluarkan nafkah yang diwajibkan (termasuk zakat).
  • Allah menjanjikan kepada mereka dua perkara: 1- Akan sentiasa mendapat pancaran petunjuk daripada Allah. 2- Mereka golongan berjaya di sisi Allah dengan ganjaran-ganjarannya, dan kemuncaknya adalah syurga.

 

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (Disempurnakan pada 12 Rejab, 03/02/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.        


       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  • Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  • Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  • A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  • Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.