KEPENTINGAN BERIBADAH MENGEJAR TAKWA.. MENGAMATI DAN MENGKAJI ALAM (SAINS) BOLEH MEMBAWA KEPADA TUHAN?.. TIDAK DIJADIKAN BAGI ALLAH ANDADA
TAFSIR AYAT 21 SURAH AL-BAQARAH (2:21).
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 21
“Wahai manusia, sembahlah Tuhan kamu Yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”. (al-Baqarah 2:21)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 21 SURAH AL-BAQARAH: (KEPENTINGAN BERIBADAH DAN BERTAKWA)
Ayat ini menekankan tentang tujuan hidup manusia iaitu beribadah kepada Allah. Hal ini disebabkan manusia dicipta oleh Yang Maha Pencipta, iaitu, Allah. Maka selayaknya yang dicipta sujud menyembah kepada Sang Pencipta SWT.
- BERIBADAH TANGGUNGJAWAB SEMUA MANUSIA : Allah berfirman:“Wahai manusia, اعْبُدُوا رَبَّكُمُ beribadahlah (sembahlah) kepada Tuhan kamu”. Berkata Syeikh Said Hawa: “Maksudnya kenalilah Tuhan, Esakanlah Dia, dan tunaikanlah hak-Nya dengan beribadah kepada-Nya SWT. Berkata sahabat Abdullah ibn Abbas RA: ‘Setiap ibadah (yang dinyatakan) dalam al-Quran, ia merujuk kepada Tauhid (iaitu saranan untuk mengesakan Allah)’. Aku (Said Hawa) pula berkata: ‘Tidak wujud Tauhid tanpa mengenali Tuhan, dan yang mengenali Tuhan bertanggungjawab untuk melaksanakan hak Tuhan yang disembah’.” (al-Asas fit Tafsir 1/94) Justeru, agenda ibadah merupakan satu agenda yang wajib ditegakkan oleh semua manusia. Oleh kerana ibadah bukan sekadar pergerakan tunduk bangun dan seumpamanya, sebaliknya ia adalah pengabdian secara zahir dan batin yang dilakukan hanya kepada dan kerana Allah, maka manusia wajib mengenali Tuhan yang dia sembah itu, iaitu Allah.
- KITA DICIPTA BUKAN JADI DENGAN SENDIRINYA : Allah berfirman: “Dia yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Berkata Syeikh Said Hawa: “Allah mengingatkan kita bahawa kita dan orang-orang yang sebelum kita dicipta oleh-Nya SWT, selepas Dia mengarahkan kita untuk beribadah kepada-Nya. Ini adalah sebagai penjelasan bahawa yang dicipta selayaknya sujud beribadah kepada Sang Penciptanya. Ayat ini juga merupakan seruan kepada manusia supaya menjadi golongan yang bertakwa yang sebutkan di awal surah al-Baqarah (ayat 2-5). Jalan menuju takwa ialah dengan Makrifatullah (mengenali Allah dengan ilmu), Tauhid (mengesakan Allah dengan betul) dan Ibadah (beribadah kepada-Nya secara yang betul).” (al-Asas fit Tafsir 1/95)
………………………………………………………………………………………………………….
TAFSIR AYAT 22 SURAH AL-BAQARAH (2:22).
الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنزلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ 22
“Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi kamu dan langit sebagai bangunan dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Kerana itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.”. (al-Baqarah 2:22)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 22 SURAH AL-BAQARAH: (KAJIAN ALAM MEMBAWA KEPADA TUHAN. TIDAK DIJADIKAN BAGI ALLAH ANDADA)
Allah mengingatkan kita bahawa alam ini ada Penciptanya, dan mengkaji alam dapat ,menyedarkan manusia tentang wujudnya Sang Pencipta. Kesedaran itu mampu membawa manusia kepada keimanan kepada-Nya SWT dan pengabdian kepada-Nya SWT tanpa menyekutukan-Nya.
- KEPENTINGAN MENGAMATI ALAM CIPTAAN ILAHI : Allah berfirman:“Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi kamu dan langit sebagai bangunan dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu”. Allah menjadikan bumi sebagai Berkata Syeikh Said Hawa: “Firasy seumpama suatu hamparan. Berkata Imam al-Alusi: Dijadikannya firasy (hamparan) bermaksud dijadikannya persis suatu hamparan”. (al-Asas 1/95) Berhubung firasy Hamka berkata: “Terbentang luas sehingga kamu bisa hidup makmur di atas hamparannya itu”. (Tafsir alAzhar 1/140) Langit Allah jadikan langit sebagai binaa’ وَالسَّمَاءَ بِنَاءً. Hamka mentafsir bahawa “Allah menjadikan langit sebagai bangunan”. (Tafsir al-Azhar 1/140) Demikian juga dengan Syeikh Said Hawa. Beliau berkata: “Berkata Imam Qartubi: Apa yang di atas dan memayungi kita adalah langit. Aku (Said Hawa) berkata: Allah menyifatkan langit sebagai suatu bangunan kerana kehalusan sistemnya dan kesempurnaan susunannya”. (al-Asas fit Tafsir 1/95)
- HUJAN TURUN DARI LANGIT? Allah berfirman: Dia menurunkan air (hujan) dari langit. Berhubung dengan ini Imam Ibn Kathir berkata: “Langit (yang menurunkan hujan) ini adalah awan”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/166) Di sudut sains, ini adalah kenyataan yang benar kerana air hujan dan awan tidak dapat dipisahkan. ‘Clouds are visible accumulations of tiny water droplets or ice crystals in the Earth’s atmosphere’. (//education.nationalgeographic.org/resource/cloud/)
- KAJIAN ALAM MEMBAWA KEPADA TUHAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Kebanyakan ulama tafsir — seperti ar-Razi dan lain-lainnya — menjadikan ayat ini sebagai dalil tentang adanya Tuhan Yang Maha Pencipta. Kerana sesungguhnya orang yang merenung penciptaan alam dengan kepelbagaiannya akan menyedari tentang kekuasaan Sang Penciptanya, kebijaksanaan-Nya, pengetahuan-Nya dan keagungan-Nya. Sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian Arab ketika ditanya, ‘Manakah bukti yang menunjukkan adanya Tuhan?’ Maka dia menjawab, ‘Subhanallah, sesungguhnya kotoran unta menunjukkan tentang adanya unta, jejak kaki menunjukkan adanya orang yang lalu di situ. Langit yang memiliki bintang-bintang, bumi yang memiliki gunung-gunung serta lautan yang memiliki ombak-ombak, bukankah semua itu menunjukkan tentang wujudnya Tuhan (Sang Pencipta)?” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/58)
- IMAM ABU HANIFAH BERCAKAP TENTANG TUHAN MENGGUNAKAN LOGIK AKAL : Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Abu Hanifah pernah ditemui oleh sebahagian Zindik (golongan yang terpesong imannya) dan bertanya kepada beliau mengenai bukti kewujudan Tuhan. Maka Imam Abu Hanifah berkata kepada mereka, ‘Izinkan aku berpikir sejenak untuk mengingati suatu hal yang pernah diceritakan kepadaku. Bahawa ada sebuah perahu di tengah laut yang berombak besar Dalamnya terdapat pelbagai macam barang dagangan, sedangkan dalam perahu itu tidak terdapat seorang pun yang menjaganya dan tiada ada seorang pun yang mengendalikannya. Tetapi sekalipun demikian perahu tersebut berangkat dan berlayar dengan sendirinya, dapat membelah lautan sehingga selamat daripada bahaya. Perahu itu dapat berlayar dengan sendirinya tanpa ada seorang pun yang mengendalikannya’. Mereka (zindik) itu berkata, ‘Ini adalah suatu kisah yang tidak akan disebutkan oleh orang yang berakal’. Maka Imam Abu Hanifah berkata, ‘(Dan bagaimana pula dengan kamu), yang mengatakan bahawa semua alam yang wujud ini sama ada yang di bahagian bawahnya atau di bahagian atasnya, yang terdapat di dalamnya pelbagai benda yang tersusun teratur, semua yang wujud ini tiada Sang Penciptanya?’ Akhirnya kaum Zindik itu terdiam dan insaf, lalu kembali kepada perkara yang hak dan memeluk Islam di tangan Imam Abu Hanifah”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/58)
- KAJIAN ALAM DAN PERKAITAN DENGAN TAUHID : Berkata Hamka: “Ayat ini akan diikuti oleh banyak ayat yang lain, yang nadanya menyeru dan membangkitkan perhatian manusia terhadap alam yang berada sekelilingnya. Ayat ini telah menunjukkan kehidupan kita di atas bumi yang subur ini, menyambung keturunan daripada nenek-moyang kita. Disebutkan bahawa bumi adalah hamparan, ertinya disediakan dan dikembangkan laksana mengembangkan permaidani. Dan di atas kita terbentanglah langit, laksana satu bangunan besar. Di langit itu terdapat matahari, bulan dan bintang, serta awan dan angin yang berhembus sejuk.. Ayat ini menyuruh kita merenung, bahawasanya semuanya ini pasti ada Penciptanya, itulah Allah. Tidak mungkin ada kekuasaan lain yang dapat mengujudkan aturan setertib dan sehalus ini. Sebab itu maka datanglah hujung ayat mengatakan tidaklah patut kita menyembah kepada Tuhan yang lain, selain daripada Allah.. Maka pelajaran Tauhid kita peroleh secara langsung dengan melihat alam”. (Tafsir Al-Azhar 1/140-141)
- JANGAN KAMU ADAKAN ANDADA DENGAN ALLAH : Allah berfirman: “Janganlah kamu mengadakan andada bagi Allah”. أَنْدَادًا Andada boleh diertikan sebagai sekutu. Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Abul Aliyah mengatakan, makna andada dalam ayat ini ialah tandingan dan sekutu. Demikian dikatakan oleh ar-Rabi’ ibn Anas, Qatadah, as-Saddi, Abu Malik, dan yang lain-lain”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/58)
- AWAS DENGAN ANDADA : Diriwayatkan Ikrimah daripada Ibn Abbas RA, berhubung dengan firman-Nya, ‘Fala taj’alu lillahi andadan,’ bahawa istilah andada ialah “syirik yang keadaannya lebih tersembunyi daripada semut yang melata di atas batu hitam di malam yang kelam”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/57)
- CONTOH SYIRIK : Berkata Imam Ibn Kathir: “Contoh perbuatan syirik (atau mempersekutukan Allah) ini ialah ucapan seseorang, ‘Demi Allah dan demi hidupmu wahai polan, dan demi hidupku’. Juga ucapan, ‘Seandainya tidak ada anjing, nescaya pencuri telah datang ke rumah kita malam tadi’. Atau, seandainya tidak ada angsa, nescaya pencuri memasuki rumah kami’. Demikian juga ucapan seseorang kepada temannya, ‘Ini adalah yang dikehendaki oleh Allah dan yang dikehendaki olehmu’. Juga ucapan, ‘Seandainya tidak ada Allah dan si polan’, kesemuanya itu merupakan perkataan yang menyebabkan syirik”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/58)
- KESIMPULAN / IBRAH AYAT 21-22 SURAH AL-BAQARAH : Tiada ada faedah bagi sesuatu kehidupan yang kosong daripada ibadah. Dasar ibadah ialah ketundukan kepada Allah dalam setiap cara fikir, niat, perkataan, amalan, tindak tanduk, perancangan dan aktiviti dan yang seumpamanya, yang kita lakukan. Ketundukan tidak akan terbina tanpa iman yang betul dan iman yang betul memerlukan makrifat berdasarkan ilmu yang betul. Pengamatan dan analisis terhadap penciptaan langit dan bumi membantu untuk mengukuhkan tauhid dan akidah di hati. Ketundukan juga tidak akan terhasil tanpa kepatuhan kepada kehendak syariat, dan dilakukan dengan hati yang bersih. Untuk hal ini terlaksana, sekali lagi, ilmu diperlukan. Apabila kesemua ini terlaksana makam kita akan meningkat ke makam takwa. Inilah makam yang sepatutnya menjadi idaman kita. Orang yang bertakwa amat berwaspada agar tidak terjerumus melakukan syirik.
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 12 Rejab, 03/02/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.