YANG MEMPERBODOHKAN DIRINYA IALAH YANG TIDAK MAHU MENCONTOHI NABI IBRAHIM AS.. FORMULA PENDIDIKAN ANAK-ANAK
TAFSIR AYAT 130 SURAH AL-BAQARAH (2:130)
وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِين
“Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh”. (al-Baqarah 2:130)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 130 SURAH AL-BAQARAH: (YANG ENGGAN MENGIKUT AGAMA NABI IBRAHIM ADALAH GOLONGAN YANG BODOH)
Berkata Hamka: “Dan siapakah yang akan enggan dari agama Ibrahim itu kalau bukan orang telah memperbodoh dirinya? (pangkal ayat 130). Apakah sikap agama yang lebih tepat dan yang lebih benar daripada menyerahkan diri dengan tulus ikhlas kepada Allah? Dan tidak bercabang kepada yang lain? Siapakah yang enggan beragama begitu kalau bukan orang yang telah memperbodoh diri sendiri? Terutama kamu, hai keturunan Ibrahim yang meramaikan Kaabah itu, yang hidup aman damai di sekelilingnya dan menerima pusaka itu, bukankah kebodohanmu jua yang menyebabkan kamu enggan kembali kepada hakikat ajaran Ibrahim itu? ‘Padahal sesungguhnya Kami telah memilih dia di dunia ini’. Dia telah menjadi Imam bagi manusia dan telah berkembang anak-cucunya melanjutkan ajarannya. Berpuluh Nabi dan Rasul AS mengalir darah Ibrahim dalam tubuhnya. ‘Dan sesungguhnya dia di akhirat adalah dari orang-orang yang salih’ (hujung ayat 130). Termasuk daftar orang-orang yang mulia yang mendapat kedudukan tinggi di sisi Tuhan”. (Tafsir al-Azhar 1/306)
-
- MENGAPA DI GELAR MEMPERBODOHKAN DIRI? : Berkata Ibn Kathir: “Dengan kata lain, dia berbuat aniaya terhadap dirinya sendiri dengan memperbodoh dirinya, dan buruk dalam berpikir kerana meninggalkan perkara yang hak menuju kepada perkara yang batil. Menyimpang dari jalan orang yang terpilih di dunia untuk memberikan hidayah dan bimbingan sejak dia kecil sampai Allah mengangkatnya menjadi kekasih-Nya. Dia pula di akhirat nanti menjadi salah seorang yang soleh lagi berbahagia. Barang siapa yang menyimpang dari jalan dan agama serta tuntunannya, lalu dia mengikuti jalan kesesatan dan kezaliman, maka perbuatan bodoh apakah yang lebih parah daripada itu? Dan perbuatan aniaya manakah yang lebih besar daripada itu?” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/185)
-
- MAKSUD MILLAH : Berkata Syeikh Said Hawa: “Millah bermaksud sunnah (contoh ikutan) dan thariqah (jalan)”. (al-Asas fit Tafsir 1/276) Seterusnya berkata Syeikh Said Hawa: “Berkata Imam Qatadah dan Abul Aliyah: ‘Ayat ini diturunkan tentang golongan Yahudi yang mengubah jalan yang Allah tetapkan, serta mereka menyalahi landasan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS’. Walaubagaimanapun iktibar ayat ini adalah untuk umum (bukan sekadar untuk Yahudi)”. (al-Asas fit Tafsir 1/276)
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
TAFSIR AYAT 131 SURAH AL-BAQARAH (2:131)
إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh kepada Tuhan bagi semesta alam’. (al-Baqarah 2:131)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 131 SURAH AL-BAQARAH: (NABI IBRAHIM AS PASRAH TUNDUK KEPADA ALLAH)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Yakni Allah memerintahkannya untuk ikhlas kepada-Nya, serta tunduk dan patuh kepada-Nya. Dan ternyata Ibrahim AS menunaikan perintah Allah ini seperti apa yang telah dikehendaki oleh-Nya.”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/185)
-
- INTI AJARAN NABI IBRAHIM AS IALAH ‘TUNDUK PATUH SEPENUHNYA KEPADA ALLAH’ : Berkata Hamka: “Tuhan berkata: ‘Aslim! Berserah dirilah engkau!’ Ibrahim menjawab: ‘Aslamtu li Rabbil ‘Alamin! Aku menyerahkan diriku, jiwa ragaku kepada Allah Tuhan sarwa sekalian alam. Aku tidak berpaling sedikit jua pun kepada yang lain’. Dari sinilah asal kata ISLAM itu. Dengan demikian, sejak semula sudahlah terang bahawa berhala, atau patung, atau kayu, ataupun batu, atau manusia yang diagungkan dan didewakan sudah tidak diakui sama sekali”. (Tafsir al-Azhar 1/306)
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
TAFSIR AYAT 132 SURAH AL-BAQARAH (2:132)
وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian juga Yaakob. (Ibrahim berkata), ‘Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagi kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim!’.” (al-Baqarah 2:132)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 132 SURAH AL-BAQARAH: (WASIAT PENTING NABI IBRAHIM DAN YAAKOB AS KEPADA ANAK-ANAK)
- APAKAH WASIAT YANG PENTING ITU? : Berkata Hamka: “Tatkala Ibrahim AS telah dekat akan wafat, dipanggilnya sekalian puteranya untuk menyampaikan wasiatnya. Putera baginda yang terkenal ialah Ismail dan Ishak AS. Ibu Ismail ialah Hajar RA. Ibu Ishak ialah Sarah RA. Tersebut juga bahawa isteri beliau yang ketiga, bernama Katura. Dari Katura ini beliau beroleh putera Zimram, Yoksan, Medan dan Madyan, Isbak dan Suah. Antara cucu baginda yang telah besar di waktu beliau akan wafat itu ialah Yaakub AS anak Ishak AS. Yaakub pun turut hadir di kala itu. Maka kepada anak-anak dan cucu itulah beliau pesankan wasiat terakhir, iaitu supaya mereka semuanya menyerahkan diri kepada Allah (Muslimun), jangan mempersekutukan yang lain dengan Dia SWT, dan jangan menyembah berhala. Maka antara wasiat beliau itu ialah: ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih untuk kamu satu agama. Maka janganlah kamu mati melainkan hendaklah kamu di dalam Muslimin’ (hujung ayat 132). Ertinya, sampai akhir hayat di kandung badan, pegang-teguhlah agama yang satu ini, agama yang menyerahkan diri sepenuh dan sebulatnya kepada Allah, tidak bercabang kepada yang lain, dan tidak mempersekutukan, dan tidak mengatakan bahawa Dia beranak atau diperanakkan. Bahkan sampai kamu menutup mata, hendaklah tegas pegangan kamu, iaitu: ‘TIADA TUHAN, MELAINKAN ALLAH’. Itulah Islam yang sejati”. (Tafsir a;-Azhar 1/307-308)
- HIDUP DI ATAS LANDASAN KEMULIAAN, INSYA-ALLAH KEMATIAN JUGA DENGAN KEMULIAAN : Syeikh Said Hawa berkata: “Dalam mentafsir wasiat (Nabi Ibrahim dan Yaakub AS kepada anak-anak mereka) ini, Imam Ibn Kathir berkata: (Ia bermaksud) ‘Jadikan elok cara hidup kamu dan beriltizamlah (dengan agama Islam ini) nescaya Allah akan rezekikan kepada kamu kematian di atas landasan itu, kerana kebiasaannya manusia akan mati di atas sesuatu yang menjadi kelazimannya, dan dibangkitkan di atasnya”. (al-Asas fit Tafsir 1/277)
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
TAFSIR AYAT 133 SURAH AL-BAQARAH (2:133)
أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
“Adakah kalian hadir ketika Yaaqub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apa yang kamu akan sembah sepeninggalanku?’ Mereka menjawab, ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu Ibrahim, Ismail, dan Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya’.” (al-Baqarah 2:133)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 133 SURAH AL-BAQARAH: (WASIAT YAAKOB AS KEPADA ANAK-ANAK BAGINDA))
Berkata Hamka: “Orang Yahudi mencuba hendak mencari dalih, hendak mengatakan bahawa agama mereka lebih tinggi daripada Arab. Maka datanglah ayat: ‘Atau apakah kamu menyaksikan, seketika telah dekat kepada Yaakub kematian, tatkala dia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang akan kamu sembah sepeninggalanku?’ (pangkal ayat 133). Apakah kamu menyaksikan? Ia suatu pertanyaan yang bersifat pengingkaran. Pertanyaan yang dihadapkan kepada orang Yahudi ataupun Nasrani, yang mengatakan bahawa Ismail atau Yaakub adalah pemeluk agama Yahudi, ataupun agama Nasrani. Datang pertanyaan seperti ini yang maksudnya boleh diertikan sebagai: ‘Apakah kamu tahu benar apa wasiat Yaakub kepada anak-anaknya, (iaitu) tidak lain melainkan menanyakan, apakah atau siapakah yang akan kamu sembah, kalau aku telah meninggal dunia?’ Dalam ayat ini diterangkan dengan jelas bunyi jawapan daripada anak-anaknya itu iaitu: ‘Mereka menjawab: Kami akan menyembah Tuhan engkau dan Tuhan bapa-bapamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Tunggal, dan kepada-Nya kami menyerah diri’ (hujung ayat 133). Di hujung ayat ini dijelaskanlah bahawa jawapan anak-anak Yaakub, tidak berubah sedikit jua pun dengan apa yang telah dipegang teguh selama ini, iaitu mengikut agama ayah mereka dan datuk-nenek mereka, iaitu tidak ada Tuhan yang lain, melainkan Allah. Sesudah mengakui bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, mereka pun mengaku pula, bahawa tempat menyerahkan diri hanya kepada Allah itu juga, tidak ada yang lain, dan itulah yang disebut di dalam bahasa Arab: ISLAM”. (Tafsir al-Azhar 1/308)
- BAPA SAUDARA, NENEK DIPANGGIL BAPA? : Berkata Hamka: “Allah berfirman: ‘Tuhan bapa-bapamu (Yaakub) iaitu Ibrahim dan Ismail dan Ishak’. Sama sajalah dengan kebiasaan bahasa Melayu (Indonesia) sendiri yang menyebutkan paman (saudara ayah) sebagai bapa juga.. Dan lagi dalam bahasa Arab, sejak dari ayah kandung, lalu kepada nenek, lalu kepada datuk-nenek yang di atas semua disebut bapa-bapa”. (Tafsir al-Azhar 1/310)
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
TAFSIR AYAT 134 SURAH AL-BAQARAH (2:134)
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Itu adalah umat yang lalu, baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak akan diminta pertanggungjawaban tentang apa yang telah mereka kerjakan”. (al-Baqarah 2:134)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 134 SURAH AL-BAQARAH: (UMAT DAHULU TELAH PERGI DENGAN AMAL MEREKA. KAMU PULA BAGAIMANA?)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Dengan kata lain, sesungguhnya orang-orang terdahulu dari kalangan nenek moyang kamu yang menjadi nabi-nabi dan orang-orang soleh, tiada manfaatnya bagi kamu ikatan kamu dengan mereka jika kamu sendiri tidak mengerjakan kebaikan yang manfaatnya justeru kembali kepada kamu. Kerana sesungguhnya bagi mereka amalan mereka, dan bagi kamu amalan kamu sendiri”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/186)
- MEREKA TELAH PERGI DENGAN USAHA MEREKA. BAGAIMANA PULA DENGAN USAHA KITA? : Berkata Hamka: “Mereka itu adalah umat yang telah lampau’ (pangkal ayat 134). Setelah ayat-ayat yang di atas menguraikan panjang-lebar dari hal Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Ishak AS.. menjadi kebanggaanlah pada umat keturunan mereka yang mendengar ayat-ayat ini, apabila nenek-moyang mereka diperkatakan. Memang nama-nama yang mulia itu telah meninggalkan bekas sejarah yang baik, tetapi mereka sekarang sudah tak ada lagi.. ‘Mereka akan beroleh apa yang telah mereka usahakan’. Ertinya, segala usaha mereka, perjuangan mereka, suka dan duka mereka dalam menegakkan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa itu, tidaklah lepas daripada tilikan Tuhan Allah: ‘Dan kamu pun akan beroleh (pula) hasil dari apa yang kamu usahakan’. Ertinya tidaklah kamu yang datang di belakang ini akan mendapat pahala daripada hasil usaha umat yang lampau itu. Tidak pada tempatnya jika kamu membanggakan hasil usaha umat yang lampau itu, yang telah istirahat di alam kubur, sedang kamu tidak berusaha melanjutkannya. Kamu baru akan mendapat pahala, kalau kamu melakukan usaha sendiri pula: ‘Dan tidaklah kamu akan diperiksa dari hal apa yang telah mereka kerjakan (hujung ayat 134). Salah atau benar hasil usaha orang yang telah terdahulu itu tidaklah ada sangkut-pautnya dengan kamu yang datang di belakang, barulah mendapat pahala pula kalau kamu menghasilkan pekerjaan yang baik. Dan kalau sisa peninggalan dari orang yang telah terdahulu itu salah, tidak perlu kamu cela dan nista, sebab yang berdosa bukanlah kamu, melainkan mereka sendiri. Kalau kamu pandang perbuatan mereka itu salah, jauhilah kesalahan semacam itu dan jangan sampai terulang lagi. Karena kalau kamu ulang lagi, kamu pula yang akan berdosa karena salahmu”. (Tafsir al-Azhar 1/310)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 01 Zulhijjah 1444 H, Bersamaan 19/06/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.