Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 1) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 124-129

PELBAGAI UJIAN KE ATAS NABI IBRAHIM AS.. MENJADI IMAM BAGI SEMUA MANUSIA.. APAKAH ITU MAKAM IBRAHIM?.. KELEBIHAN KOTA MEKAH.. PEMBINAAN ASAS KAABAH.. DOA NABI IBRAHIM UNTUK MEKAH, DAN DOA UNTUK DIUTUS SEORANG RASUL DI MEKAH

TAFSIR AYAT 124 SURAH AL-BAQARAH (2:124)

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia’. Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) dari kalangan keturunanku’. Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak akan dicapai oleh orang yang zalim’.” (al-Baqarah 2:124)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 124 SURAH AL-BAQARAH: (NABI IBRAHIM MELAKSANAKAN PERINTAH-PERINTAH ALLAH. MENJADI IMAM)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Melalui ayat ini Allah mengingatkan kemuliaan Nabi Ibrahim AS. Allah SWT telah menjadikannya sebagai imam bagi umat manusia, menjadikan baginda ikutan untuk semua mereka dalam hal ketauhidan, iaitu ketika Nabi Ibrahim AS menunaikan semua tugas dalam bentuk perintah dan larangan yang Allah perintahkan kepada baginda.. Dengan kata lain, (Allah menegaskan) wahai Muhammad, ceritakanlah kepada orang-orang musyrik dan kedua ahli kitab (iaitu mereka yang meniru-niru agama Nabi Ibrahim), padahal apa yang mereka lakukan bukanlah agama Nabi Ibrahim AS. Kerana sesungguhnya orang-orang yang menegakkan agama Nabi Ibrahim itu hanyalah engkau dan orang-orang mukmin yang mengikutimu. Ceritakanlah kepada mereka ujian yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim, iaitu berupa perintah-perintah dan larangan-larangan yang ditugaskan oleh Allah kepadanya. Kemudian Nabi Ibrahim AS dapat menunaikannya dengan sempurna”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/164)

    • MENGHARUNGI UJIAN DENGAN JAYANYA : Berkata Hamka: “Dengan ini diperingatkan kembali siapa Ibrahim. Yang dibanggakan oleh kedua-dua suku bangsa Bani Israel dan Bani Ismail sebagai nenek-moyang mereka. Itulah seorang besar yang telah lulus pelbagai ujian. Tuhan telah mengujinya dengan beberapa kalimat, ertinya dengan beberapa ketentuan daripada Tuhan. Dia telah diuji seketika menentang orang negerinya dan ayahnya sendiri yang menyembah berhala. Dia telah diuji sampai dibakar orang. Dia telah diuji, apakah kampung-halaman yang lebih dikasihinya atau keyakinannya? Dia telah tinggalkan kampung halaman kerana menegakkan keyakinan. Dia telah diuji kerana sampai tua tidak beroleh putera. Dan setelah dia tua baru mendapat putera yang diharapkan, maka diuji pula, disuruh menyembelih puteranya yang dicintainya itu. Dan pelbagai ujian yang lain: ‘Maka telah dipenuhinya semuanya’. Ertinya, telah dipenuhinya sekalian ujian itu, telah dilaluinya dengan selamat dan jaya..” (Tafsir al-Azhar 1/293)

    • ENAM UJIAN, MENGIKUT ABDULLAH IBN ABBAS RA : Muhammad ibn Ishaq meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa beberapa kalimat yang diujikan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim RA, lalu Nabi Ibrahim menunaikannya dengan sempurna ialah: 1- Berpisah dengan kaumnya karena Allah ketika Allah memerintahkan agar baginda berpisah daripada mereka. 2- Perdebatan dengan Raja Namruz ketika baginda membela agamanya yang bertentangan dengan agama Raja Namruz. 3- Kesabaran Nabi Ibrahim AS dan keteguhan hatinya ketika baginda dilempar ke dalam api. 4- Baginda berhijrah meninggalkan tanah tumpah darah dan negeri tercintanya karena Allah. 5- Mengerjakan perintah Allah yang menyuruhnya untuk menghormati para tetamu serta bersabar menghadapi mereka dengan jiwa dan harta bendanya sendiri. 6- Melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih putera kesayangannya, dan Nabi Ibrahim AS mengerjakan semua ujian Allah itu dengan ikhlas”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/423)

    • SELEPAS LULUS UJIAN DARIPADA ALLAH BARULAH LAYAK MENJADI IMAM. IMAM IALAH TOKOH YANG DIIKUTI AGAMA, IBADAT ATAU AKHLAKNYA: Berkata Hamka: “Setelah dilaluinya segala ujian itu dan dipenuhinya dengan sebaik-baiknya, Allah SWT berfirman: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan engkau Imam bagi manusia’. Di sini kita mendapat satu pelajaran yang mendalam sekali, tentang jabatan yang begitu mulia yang dianugerahkan Tuhan kepada seorang antara Rasul-Nya. Setelah beliau lulus pelbagai ragam ujian yang berat dengan jaya, barulah Tuhan memberikan jabatan kepadanya, iaitu menjadi Imam bagi manusia. Imam, ialah orang yang diikut, orang yang menjadi pelopor, yang patut ditiru diteladan, baik berkenaan dengan agama dan ibadat, atau akhlak. Setelah jabatan Imam itu diberikan Tuhan, Ibrahim AS pun mengemukakan permohonan: ‘Dan juga kepada antara anak-cucuku’. Sebagai seorang ayah atau nenek yang besar yang bercita-cita jauh, Ibrahim AS memohonkan supaya jabatan Imam itu pun diberikan juga kepada orang-orang yang dipilih Tuhan dari kalangan anak-cucunya. Moga-moga timbullah kiranya orang-orang yang akan menyambung usahanya. Permohonan itu disambut Tuhan: ‘Tidaklah akan mencapai perjanjian-Ku itu kepada orang-orang yang zalim’ (hujung ayat 124). Permohonannya dikabulkan Tuhan, bahawasanya dalam kalangan anak cucu keturunan baginda memang akan ada yang dijadikan Imam pula, akan ada Imam, tetapi janji itu tidak akan berlaku pada anak-cucunya yang zalim. Keutamaan budi, ketinggian agama dan ibadat bukanlah diperoleh melalui keturunan. Yang akan naik hanyalah orang yang sanggup menghadapi ujian, sebagaimana Ibrahim AS juga. Ibrahim telah memenuhi segala ujian dengan selamat, baru diangkat menjadi Imam. Bagaimana anak cucunya akan langsung menjadi Imam, kalau mereka tidak lulus dalam Agama.. Sebab itu keturunan Ibrahim AS tidak boleh membanggakan diri kerana mereka keturunan Imam Besar. Sebaliknya kalau mereka zalim, bukan kemuliaan yang akan diperoleh, sebaliknya melipatgandalah dosa yang akan mereka pikul, kalau mereka yang terlebih dahulu melanggar apa yang dianjurkan oleh amanat nenek-moyang mereka”. (Tafsir al-Azhar 1/294)

    • IKTIBAR AYAT, YANG ZALIM TIDAK LAYAK MENJADI PEMIMPIN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Ibn Khuwaiz Mindad al-Maliki berkata, ‘Orang yang zalim tidak layak menjadi khalifah (pemimpin), hakim, mufti, saksi ataupun perawi”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/425)

    • SIAPA YANG ZALIM? : Mengikut Syeikh Said Hawa, sebahagian ulama mentafsirkan zalimin dalam ayat ini sebagai golongan yang terjebak dengan kufur dan syirik. Sebahagian yang lain mengatakan mereka adalah golongan yang tindak tanduk dalam hidupnya bertentangan dengan syariat sekali gus merupakan golongan yang fasiq”. (al-Asas fit tafsir 1/266)

                     ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 125 SURAH AL-BAQARAH (2:125)

وَإِذۡ جَعَلۡنَا ٱلۡبَيۡتَ مَثَابَةٗ لِّلنَّاسِ وَأَمۡنٗا وَٱتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ مُصَلّٗىۖ وَعَهِدۡنَآ إِلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيۡتِيَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلۡعَٰكِفِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ

“Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim sebagai tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: ‘Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang bertawaf, yang beriktikaf, yang ruku’ dan yang sujud’.” (al-Baqarah 2:125)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 125 SURAH AL-BAQARAH: (BAITULLAH TEMPAT BERHIMPUN, LAGI AMAN. KEPENTINGAN MAKAM IBRAHIM)

Berkata Hamka: “Dan (ingatlah) tatkala telah Kami jadikan rumah itu tempat berhimpun bagi manusia’ (pangkal ayat 125). Dalam ayat ini disuruh mengingatkan kembali bahawasanya Allah SWT telah menyuruh Ibrahim AS menjadikan Kaabah atau Masjidil Haram menjadi tempat berhimpun bagi manusia, iaitu tempat beribadat bagi seluruh manusia yang mempercayai keesaan Tuhan, supaya mereka dapat berkumpul di sana mengerjakan haji setiap tahun, sebagaimana yang dijelaskan juga dalam surah 22, surah al-Haj. ‘Dan (tempat) aman’. Selain menjadi tempat berkumpul seluruh manusia mengerjakan ibadat, maka tempat itu pun dijadikan tempat yang aman sentosa. Dalam surah Ali Imran (surah 3 ayat 97), dijelaskan bahawa barang siapa yang masuk ke dalam pekarangan Masjidil Haram itu, terjaminlah keamanannya. Bukan saja manusia, bahkan juga binatang-binatang perburuan. Oleh sebab itu disebutkan juga ia adalah Tanah Haram, atau daerah yang dihormati. Demikianlah peraturan untuk menyucikan tanah itu yang dimulai oleh Nabi Ibrahim AS, dan telah dipelihara turun-temurun oleh bangsa Arab, terutama oleh penduduk yang diam di dalam daerah itu, walaupun dalam masa tertentu mereka telah berubah kepada menyembah berhala”. (Tafsir al-Azhar 1/295)

    • BAITULLAH TEMPAT AMAN : Imam Abu Ja’far ar-Razi meriwayatkan daripada ar-Rabi’ ibn Anas, daripada Abul Aliyah berhubung firman Allah: ‘Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman’. Maksudnya, aman daripada gangguan musuh dan tidak boleh membawa senjata dalam kotanya. Sedangkan di masa Jahiliah orang-orang yang ada di sekitar Mekah saling berperang, tetapi penduduk Mekah dalam keadaan aman tiada seorang pun yang mengganggu mereka”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/168)

    • APAKAH ITU MAKAM IBRAHIM AS? :Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim sebagai tempat solat’. Berkata Hamka: “Di sini tersebutlah pula suatu tanda sejarah yang amat penting, iaitu Makam Ibrahim. Banyaklah bertemu hadis-hadis dan riwayat tentang Makam Ibrahim itu. Dalam hadis-hadis yang sahih ada tersebut yang menunjukkan bahawa Makam Ibrahim, yang bermaksud tempat berdiri Ibrahim AS, ialah sebuah batu tempat Nabi Ibrahim berdiri ketika baginda membangun Kaabah. Bilamana bertambah tinggi dinding Kaabah itu, datanglah Ismail puteranya menghantarkan batu-batu bangunan ke tangan baginda, dan naiklah pula Ismail ke atas batu itu. Demikian mengikut riwayat Bukhari. Menurut sebuah riwayat daripada Ibn Abbas RA, dahulu batu Makam Ibrahim itu menjadi dinding Kaabah. Menurut suatu riwayat dari al-Baihaqi daripada Abdul Razzaq, Umar bin Khattab RA yang membawa batu itu daripada Kaabah dan membinanya di tempatnya tersendiri (iaitu mengubah dan meletakkannya di tempatnya sekarang). Menurut Ibn Abi Hatim daripada hadis Jabir RA, seketika Rasulullah SAW mengerjakan haji dan tawaf, antara yang mengiring baginda ialah Umar bin Khatthab RA. Sesampai di makam itu, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Makam Ibrahim?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya!’ Menurut hadis lain yang dirawikan oleh Muslim, setelah selesai tawaf, lalu baginda solat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim itu.. Jarak antara zaman Muhammad SAW dengan zaman Ibrahim AS telah berlalu beribu tahun, tetapi ayat atau tanda bukti masih ada, itulah Makam Ibrahim. Menurut satu riwayat lagi daripada tabiin yang terkenal, Imam Mujahid, yang dikatakan Makam Ibrahim itu ialah seluruh pekarangan Masjidil Haram itu”. (Tafsir al-Azhar 1/296)

    • ALLAH MENYETUJUI PERMOHONAN UMAR AL-KHATTAB RA? Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, ‘Aku mendapat persetujuan daripada Rabb dalam tiga perkara, iaitu, aku bertanya: Wahai Rasulullah, sekiranya engkau menjadikan sebahagian makam Ibrahim sebagai tempat solat. Maka turunlah firman-Nya, Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim sebagai tempat solat’ (a1-Baqarah ayat 125). Aku berkata: Wahai Rasulullah, orang yang masuk menemuimu ada yang baik dan ada yang keji, sekiranya engkau perintahkan kepada Ummul Mukminin untuk memakai hijab. Maka Allah SWT menurunkan ayat hijab. Umar melanjutkan kisahnya. Telah sampai kepadaku berita celaan Nabi SAW terhadap salah seorang isterinya, maka aku masuk menemui mereka (isteri-isteri Nabi SAW) dan aku katakan kepada mereka: Berhentilah kamu dari tuntutan kamu atau Allah benar-benar akan memberikan ganti kepada Rasul-Nya wanita-wanita yang lebih baik daripada kamu. Hingga sampailah aku pada salah seorang isterinya yang mengatakan, Umar, adapun Rasulullah SAW, beliau belum pernah menasihati isteri-isterinya sehingga engkau sendiri (sekarang) yang menasihati mereka. Maka Allah menurunkan firman-Nya, iaitu: Jika Nabi menceraikan kamu, maka boleh jadi Tuhan akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh.. (at-Tahrim ayat 5), hingga akhir ayat”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/428)

    • MAKSUD MEMBERSIHKAN RUMAH ALLAH : Berkata Hamka: “Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: ‘Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang bertawaf, yang beriktikaf, yang rukuk dan yang sujud’. Inilah hujung ayat. Iaitu selain dijadikan tempat berkumpul haji setiap sekali setahun dan umrah, dan dijadikan daerah aman, ia juga dijadikan daerah tempat beribadat yang tetap. (Perintah Allah yang) pertama sekali: bersihkan Rumah-Ku. Tuhan menyebut rumah itu sebagai Rumah-Ku, ia pun disebut sebagai Baitullah, rumah Allah SWT, untuk mengangkat kehormatan rumah itu. Ia wajib bersih daripada penyembahan selain daripada Allah.. Ini diingatkan kembali kepada bangsa Arab, sebab mereka telah tersesat menyembah berhala. Rumah itu mesti dibersihkan daripada syirik dan perbuatan yang tidak patut. Sehingga tetaplah dia untuk orang yang tawaf, iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.. Dan untuk orang yang beriktikaf, ertinya orang yang duduk bermenung tafakur mengingati Allah di dalam masjid itu. Dan untuk mereka yang mengerjakan rukuk dan sujud, iaitu mengerjakan solat. Dengan demikian bertambah jelaslah bahawa Ibrahim AS yang dibantu oleh puteranya Ismail AS telah diperintahkan Tuhan menjadikan tanah itu menjadi Tanah Haram. Perhatikanlah betapa besar pengaruh ayat ini ke atas perjuangan Nabi kita SAW dalam menegakkan Tauhid..” (Tafsir al-Azhar 1/297) Berkata Imam Ibn Jarir: Maksud ayat ini ialah Allah memerintahkan Ibrahim dan Ismail AS  untuk membersihkan Baitullah daripada patung berhala, dan penyembahan kepada berhala-berhala itu, juga menyucikannya daripada segala kemusyrikan”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/172)

    • TUGASAN UNTUK NABI IBRAHIM DAN ISMAIL AS. PENERUSAN OLEH NABI MUHAMMAD SAW : Berkata Hamka: “Dalam ayat ini dijelaskan Tuhan bahawa Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail AS diperintahkan: Pertama: Untuk mendirikan rumah Allah. Kedua: Menjadikannya daerah aman. Ketiga: Membersihkannya. Iaitu bersih daripada penyembahan kepada yang lain dan bersih pula daripada amalan yang karut. Sedang di waktu ayat ini turun, Kaabah tidak aman lagi, sehingga umat yang membelanya diusir dari sana. Kaabah telah kotor kerana di sana telah ditegakkan 360 berhala, dan sejak beberapa waktu orang-orang musyrikin mengerjakan tawaf dengan kotor, ada yang bersorak-sorak, ada yang bertepuk-tepuk tangan, bahkan ada laki-laki dan perempuan yang bertelanjang. Untuk membangkitkan dan menimbulkan kembali kesucian Baitullah itu, mula-mula sekali setelah 17 bulan Rasulullah pindah ke Madinah, datanglah perintah Tuhan memutarkan kembali Kiblat dari Baitulmuqaddis kepada Kaabah di Makkah itu. Pada tahun ke-8 hijrah negeri Makkah ditakluki, kerana orang Quraisy sendiri yang memungkiri perjanjian Hudaibiyah. Di waktu penaklukan Makkah itu, secara langsung baginda diperintahkan menghancurkan dan meruntuhkan berhala-berhala, dan baginda perintahkan Sayidina Bilal RA azan di puncak Kaabah. Pada tahun ke-9 baginda perintahkan Abu Bakar as-Shiddiq RA menjadi Amir Haji. Kemudian baginda memerintahkan Ali bin Abu Thalib RA membacakan surah Baraah (at-Taubah), menyampaikan beberapa perintah. Antaranya ialah bahawa di tahun muka tidak boleh lagi ada orang yang tawaf keliling Kaabah dengan bertelanjang.. Tahun depannya, tahun ke-10, baginda memimpin sendiri naik haji, setelah Kaabah benar-benar bersih. Dan haji baginda yang terakhir itulah yang dinamai Haji Wada’, Haji Selamat Tinggal.. Dan menurut sebuah hadis oleh Imam Bukhari, bahawasanya Allah SWT telah menjadikan Tanah Makkah itu menjadi Tanah Haram sejak Tuhan SWT menjadikan semua langit dan bumi, dan akan tetap menjadi Tanah Haram sampai Hari Kiamat..” (Tafsir al-Azhar 1/297-298)

    • RUMUSAN SYEIKH SAID HAWA: Berkata Syeikh Said Hawa: “Ayat ini membetulkan kefahaman salah golongan ahli kitab dan musyrik tentang Baitullah. Juga meletakkan asas hujah untuk menolak (pendirian) golongan Yahudi berhubung kedudukan kiblat. Dan menegur golongan yang menajiskan Baitullah dengan amalan syirik selepas ia dibina di atas asas tauhid. Ayat juga memiliki unsur teguran terhadap mereka yang menakutkan serta menyakiti golongan mukmin, sehingga menyebabkan mereka terpaksa keluar meninggalkan Baitullah dan persekitarannya. Sedangkan Allah menjadikannya aman untuk manusia”. (al-Aas fit Tafsir 1/267)

                     ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 126 SURAH AL-BAQARAH (2:126)

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِ‍ۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَٰذَا بَلَدًا ءَامِنٗا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡهُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلٗا ثُمَّ أَضۡطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berdoa, ‘Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduk dari kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan hari kemudian’. Allah berfirman, ‘Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali’.” (al-Baqarah 2:126)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 126 SURAH AL-BAQARAH: (KELEBIHAN KOTA MEKAH. DOA NABI IBRAHIM AS UNTUK PENDUDUK KOTA MEKAH)

Berkata Syeikh Said Hawa: “Datangnya ayat ini selepas ayat yang memerintahkan Nabi Ibrahim dan Ismail AS untuk membersihkan Baitullah, dan selepas ayat tentang keimaman Ibrahim AS, dan sebelum ayat tentang arahan pembinaan Baitullah, semua menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim menyedari kelebihan Baitullah berbanding tempat lain di alam ini. Justeru baginda berdoa agar penduduknya dikurniakan keamanan dan rezeki”. (al-Asas fit Tafsir 1/271)

    • RAHSIA, KEHORMATAN TANAH HARAM : Berkata Imam Ibn Kathir: “Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan dan mengamankan Baitullah, dan sesungguhnya aku mengharamkan Madinah antara dua batasnya. Kerana itu, tidak boleh memburu binatang buruannya dan tidak boleh ditebang pepohonannya”. (Diriwayatkan oleh Imam Nasaie dan Muslim. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani) Daripada Abdullah ibn Abbas RA yang mengatakan bahawa “Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan kota Mekah: ‘Sesungguhnya negeri ini (Mekah) telah diharamkan (dijadikan suci) oleh Allah pada hari Dia SWT menciptakan langit dan bumi, maka negeri ini tetap suci sejak ia disucikan oleh Allah sehingga hari kiamat. Pepohonannya tidak boleh ditebang, binatang buruannya tidak boleh diburu, barang yang ditemui tidak boleh diambil kecuali bagi orang yang hendak mengumumkannya kepada orang ramai, dan rerumputannya tidak boleh di­cabut’. Maka Al-Abbas RA berkata, ‘Wahai Rasulullah, kecuali rumput izkhir, kerana sesungguhnya ia digunakan oleh tukang besi mereka dan untuk rumah-rumah mereka’. Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Terkecuali izkhir’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/435-436)

    • DOA NABI IBRAHIM AS SUPAYA NEGERI MEKAH AMAN DAN MURAH REZEKI : Berkata Hamka: “Dan (ingatlah) tatkala berkata Ibrahim: Ya Tuhanku! Jadikanlah negeri ini negeri yang aman’ (pangkal ayat 126). Dimohonkanlah oleh Ibrahim AS, hendaknya negeri itu tetap aman sentosa selama-lamanya, sehingga tenteramlah jiwa orang-orang yang melakukan ibadat, bertawaf dan beriktikaf, bersolat dengan rukuk dan sujudnya. ‘Dan kurniakanlah pada penduduknya pelbagai buah-buahan’. Oleh karena wadi (lembah) itu amat kering tidak ada sesuatu yang dapat tumbuh dalamnya, dimohonkan pula oleh Nabi Ibrahim AS agar penduduk lembah itu jangan sampai kekurangan makanan, supaya hati mereka pun tidak bosan tinggal di sana menjaga peribadatan yang suci mulia itu”. (Tafsir al-Azhar 1/298)

    • REZEKI BUAH-BUAHAN HANYA UNTUK ORANG BERIMAN, TIDAK UNTUK YANG KAFIR? : Allah berfirman: ‘Dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduk yang beriman kepada Allah dan hari kemudian’. Berkata Hamka: “Sebagai seorang hamba Allah yang patuh, Nabi Ibrahim AS memohonkan agar yang diberi makanan cukup dan buah-buahan yang segar ialah yang beriman kepada Allah saja. Tetapi Allah SWT menjawab: ‘Dan orang-orang yang kafir pun, akan Aku beri kesenangan untuk dia untuk sementara’. Dengan jawapan ini Allah telah memberikan penjelasan, bahawasanya dalam soal makanan atau buah-buahan, Allah akan berlaku adil. Semuanya akan diberi makanan, semuanya akan diberi buah-buahan, baik mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, ataupun mereka kufur. Oleh sebab itu maka dalam urusan dunia ini, orang beriman dan orang kafir akan sama-sama diberi makan. Beratus tahun selepas Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS wafat, telah banyak penduduk dalam lembah Makkah itu yang menyembah berhala namun makanan dan buah-buahan mereka dapat juga. Sebab demikianlah keadilan Allah dalam kehidupan dunia ini: ‘Kemudian akan Kami tarik dia kepada seksaan neraka (iaitu) seburuk-buruk tempat kembali’ (hujung ayat 126). Di dunia mendapat bagian yang sama di antara mukmin dan kafir. Malahan kadang-kadang rezeki yang diberikan kepada kafir lebih banyak daripada yang diberikan kepada orang yang beriman. Tetapi banyak atau sedikit pemberian Allah di atas dunia ini, dalam soal kebendaan belum boleh dijadikan ukuran. Nanti di akhirat baru akan diperhitungkan di antara iman dengan kufur.. Betapa pun kaya-raya, banyaknya tanam-tanaman, buah-buahan di dunia ini, tidak akan ada lagi semua itu setelah gerbang maut dimasuki. Orang yang kaya kebendaan tetapi miskin jiwa, gersang dan sunyi daripada iman, adalah neraka yang menjadi tempatnya”. (Tafsir al-Azhar 1/298-299)

    • USAH TERPERDAYA DENGAN KEMEWAHAN DUNIA. IA BUKAN UKURAN PENENTU : Berkata Syeikh Said Hawa: “(Dalam ayat ini Allah mengatakan) Aku SWT akan memberikan rezeki (duniawi) kepada yang baik dan kepada yang keji. Maka aku (Said Hawa) ingin berkata: ‘Kurniaan rezeki (duniawi) bukan ukuran tentang dekatnya seseorang kepada Allah ataupun tidak. (Orang kafir pun boleh mendapat kesenangan duniawi) sebagai suatu istidraj (nikmat yang memperdayakan), dan semua ini memberi pengajaran bagi mukmin’.” (al-Asas fit Tafsir 1/271)

          ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 127 SURAH AL-BAQARAH (2:127)

 

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa), ‘Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’.” (al-Baqarah 2:127)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 127 SURAH AL-BAQARAH: (PEMBINAAN BAITULLAH OLEH NABI IBRAHIM DAN ISMAIL AS)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Kata (القواعد) dalam ayat di atas merupakan jamak daripada kata (القاعدة) yang bererti tiang dan asas. Ertinya, Allah SWT berfirman, ‘Wahai Muhammad, katakanlah kepada kaummu mengenai pembangunan Baitullah yang dilakukan oleh Ibrahim dan Ismail AS dengan meninggikan asas bangunan oleh kedua-duanya, dan kedua-duanya pun berdoa (sebagaimana dalam ayat ini)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/175)

  • PEMBINAAN KAABAH DAN DOA NABI IBRAHIM AS : Berkata Hamka: “Lalu diperingatkan lagi tentang asal-usul berdirinya Kaabah itu: ‘Dan ingatlah tatkala Ibrahim mengangkat sendi-sendi rumah itu, dan Ismail’ (pangkal ayat 127). Di sini diperingatkan kembali bahawa Ibrahimlah, dibantu oleh puteranya Ismail AS yang mengangkat sendi-sendi rumah itu, iaitu Kaabah. Sendi-sendi atau batu permatanya, Ibrahim AS sendiri yang meletakkannya. Kemudian beransur-ansur sehingga menjadi dinding, sebab itu disebut baginda mengangkatnya seterusnya membangun sampai tinggi. Di dalam kitab-kitab tafsir, macam-macamlah ditulis tentang bagaimana caranya sendi-sendi itu dibangunkan, dan daripada batu-batu mana diambil dan diangkut. Ibn Katsir menulis di dalam tafsirnya, demikian juga dengan Ibn Jarir.. Bahkan lebih daripada itu merekalah yang memulai membangun rumah yang pertama di tempat itu, iaitu rumah yang pertama ditentukan buat beribadat kepada Allah Yang Maha Esa. Demi setelah selesai Ibrahim dibantu oleh Ismail mendirikan rumah itu, mereka pun bermunajatlah kepada Tuhan: ‘Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami’. Ertinya, bahawa pekerjaan yang Engkau perintahkan kepada kami berdua, ayah dan anak, mendirikan Kaabah sudah selesai. Sudilah kiranya menerima pekerjaan itu: ‘Sesungguhnya Engkau adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’ akan segala permohonan kami dan doa kami, Maha Mengetahui jika terdapat kekurangan dalam pekerjaan kami ini, Engkaulah yang lebih tahu”. (Tafsir al-Azhar 1/299)
  • SEJARAH RINGKAS TENTANG MEKAH DAN KAABAH SEBAGAIMANA YANG TERDAPAT DALAM TAFSIR IBN KATHIR: Dalam Umm an-Nabi oleh Bint Syati’, disebutkan tentang Siti Hajar RA yang merupakan seorang budak perempuan bagi Siti Sarah RA (isteri pertama Nabi Ibrahim AS). Siti Hajar dibawa dari Mesir ke Syam dan kemudian dikahwini oleh Nabi Ibrahim AS. Siti Hajar RA kemudiannya mengandung. Dalam Tafsir Imam Ibn Kathir, disebutkan daripada sahabat Abdullah ibn Abbas RA (berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari) bahawa selepas melahirkan Nabi Ismail AS, Nabi Ibrahim AS telah membawa Siti Hajar RA dan Nabi Ismail AS ke Mekah dan meninggalkan mereka di kawasan yang berdekatan dengan Kaabah. Nabi Ismail AS ketika itu masih disusui. Nabi Ibrahim AS terpaksa meninggalkan mereka untuk urusan yang tidak dapat dielakkan dan kawasan Mekah pula ketika itu kering kontang tanpa manusia. Maka Nabi Ibrahim AS pun berdoa kepada Allah memohon pertolongan sebagaimana yang disebutkan dalam surah Ibrahim ayat 37. Baitullah ketika itu wujud dalam bentuk sebuah anak bukit di permukaan bumi. Ibu Ismail menyusui anaknya dan minum dari bekal air yang dibawa dan lama-kelamaan habislah bekal air yang ada, maka Siti Hajar RA telah menaiki Bukit Safa mencari pertolongan namun tiada manusia di sana. Beliau turun dari Bukit Safa dan berlari-lari anak sehingga sampai di Marwah, juga tiada manusia yang ditemui. Hal ini dilakukannya sebanyak tujuh kali. Ibn Abbas RA berkata, Nabi SAW bersabda: ‘Kerana itulah, maka manusia melakukan sa’i antara kedua-duanya (Safa dan Marwah)’. Akhirnya ketika di Marwah Siti Hajar terdengar suatu suara. Ia suara malaikat di kawasan sumur Zamzam yang sedang menggali tanah dengan tumitnya atau sayapnya, sehingga muncul air, dan itulah permulaan telaga Zamzam. Sekumpulan manusia daripada kabilah Jurhum datang bermusafir dan beristirahat di bahagian bawah kota Mekah, lalu mereka melihat burung-burung terbang mengelilingi suatu tempat, maka mereka berkata, ‘Sesungguhnya burung-burung ini benar-benar mengitari sumber air’.. Lalu rombongan itu menemui ibu Nabi Ismail AS dekat sumur Zamzam. Mereka pun minum, beristirahat dan mengirim utusan kepada keluarga mereka, sehingga mereka juga datang dan menetap di kawasan kota Mekah.. Ketika Nabi Ismail AS telah dewasa, mereka menikahkannya dengan seorang wanita dari kalangan mereka.. Sehinggalah pada suatu hari Nabi Ibrahim AS telah datang ke kota Mekah dan memberitahu Nabi Ismail AS tentang perintah Allah untuk membina Kaabah, maka berlakulah proses pembinaan Kaabah, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Baqarah ayat 127 ini. (Rujuk Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/445-450)
  • BANGUNAN KAABAH DAHULU BERBANDING SEKARANG : Ketika Rasulullah SAW berusia 35 tahun, kota Mekah dilanda banjir besar yang memberi kesan kepada Kaabah. Bangsa Quraisy bersepakat untuk memperbaiki bangunan Kaabah tersebut dengan terlebih dahulu merobohkannya. Nabi SAW telah turut membantu usaha murni ini. Untuk perbaikan Kaabah ini, orang-orang Quraisy hanya menggunakan harta yang baik-baik saja. Mereka tidak menerima harta daripada hasil pelacuran, riba dan hasil perampasan. Kaabah yang terhasil itu tidak 100% mengikut pembinaan yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail AS. Nabi SAW pernah bersabda: “Wahai, Aisyah, kalau bukan kerana kaummu baru lepas dari keadaan jahiliahnya, sungguh aku ingin memerintahkan mereka menghancurkan Kaabah lalu membangunnya, dan aku masukkan ke dalamnya apa yang telah dikeluarkan daripadanya, dan aku buat pintunya menempel dengan tanah, serta aku buatkan pintu timur dan barat, dan aku sesuaikan dengan (pembinaan) Ibrahim”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Dalam riwayat yang lain, “Aisyah RA berkata: ‘Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang dinding (maksudnya Hijr Ismail) apakah ia termasuk Kaabah?’ Baginda menjawab, ‘Ya’. Aku bertanya, ‘Kenapa mereka tidak memasukkannya ke dalam Kaabah?’ Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya kaummu kekurangan dana (pembiayaan ketika itu)’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • PEMBINAAN KAABAH MENGIKUT KEHENDAK NABI SAW OLEH ABDULLAH BIN ZUBAIR RA : Tapak Kaabah telah wujud sebelum pembinaan oleh Nabi Ibrahim AS. Baginda hanya mengulangi pembinaan pada tapak yang sudah sedia ada. Itulah yang disepakati oleh para ulamak tanpa menafikan telah berlaku binaan Kaabah sebelum daripada itu. gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2926-al-kafi-985-siapa-yang-bina-ka-bah Binaan semula Kaabah telah dilakukan oleh Quraisy (disebabkan kerosakan berpunca daripada banjir), namun ia mempunyai kekurangan. Binaannya tidak 100% menepati binaan oleh Nabi Ibrahim AS. Berkata Imam Ibn Kathir, Kaabah yang bina oleh Arab Quraisy wujud tertegak sehingga ia terbakar di awal era kepimpinan Abdullah bin Zubair RA (pemimpin Hijaz ketika itu), lebih kurang pada tahun 64 H. Kebakaran ini berlaku di akhir pemerintahan Yazid bin Muawiyah, akibat serangan menggunakan senjata pelontar api oleh tentera Yazid bin Muawiyah ketika mereka mengepung kota Mekah yang ketika itu di bawah kepimpinan Abdullah bin Zubair RA. Abdullah bin Zubair RA telah membina semula Kaabah, mengikut asas binaan Nabi Ibrahim AS. Beliau bangunkan Kaabah sesuai dengan apa yang Rasul SAW isyaratkan berdasarkan hadis Aisyah RA, maka dengan itu muncullah Kaabah dalam keelokan dan keindahannya mengikut binaan Nabi Ibrahim AS. Ia mempunyai dua pintu yang menempel ditanah, di bahagian timur dan barat, di mana manusia masuk dari pintu ini, dan keluar dari pintu yang lainnya, dan begitulah seterusnya. Ketika Hajjaj berhasil menakluki kota Mekah dan membunuh Abdullah ibn Zubair RA, dia menulis surat kepada khalifah Abdul Malik Bin Marwan berhubung Kaabah yang dibina oleh Abdullah bin Zubair RA. Dia menyangka Ibn Zubair RA membinanya sesuka hatinya dan tidak berdasarkan hadis Nabi SAW. Maka khalifah mengarahkan Hajjaj untuk merobohkan Kaabah dan mengembalikannya mengikut binaan sebelumnya (iaitu binaan oleh Arab Quraisy). Namun selepas kemudiannya khalifah mengetahui alasan sebenar Ibn Zubair RA mengubah Kaabah buatan Quraisy itu, beliau menyesal dan berharap ia dibiarkan. Namun ia sudah terlambat. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/455-460)
  • KAABAH DI AKHIR ZAMAN : Kaabah akan terus wujud sehingga di akhir zaman. Malah ketika keluar Yakjuj dan Makjuj umat Islam masih melakukan haji dan umrah. Nabi SAW bersabda:

                                                                                                      ليُحَجَّنَّ البيتُ وليُعْتَمَرَنَّ بَعْدَ خُرُوجِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ

  • Maksudnya: “Sesungguhnya Baitullah masih didatangi jemaah yang melakukan haji dan umrah sesudah munculnya Yakjuj dan Makjuj.” (Riwayat Bukhari)
  • Namun ia bakal dirosakkan oleh Zus Suwaiqatain (orang yang mempunyai betis kecil) dari Habshah, Ethiopia. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

                                                                                                                    يُخَرِّبُ الْكَعْبَةَ ذُو السُّوَيقتين مِنَ الْحَبَشَةِ

  • Ertinya: “Kaabah akan dihancurkan oleh Zus Suwaiqatain dari Habshah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Daripada Ibn Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

                                                                                                                   كَأَنِّي بِهِ أسودَ أفحَجَ، يَقْلَعُهَا حَجَرًا حَجَرًا

  • Ertinya: “Seolah-olah aku mengenalnya seperti seorang berkulit hitam dan berkaki tempang yang melepaskan batu Kaabah satu per satu.” (Riwayat Bukhari) Sahabat Abu Hurairah RA pula meriwayatkan sabda Nabi SAW: “Kemudian datang orang Habshah lalu menghancurkan Kaabah dengan sehancur-hancurnya. Setelah itu, Kaabah tidak lagi dimakmurkan dan mereka (orang Habshah) yang akan mengeluarkan harta yang tersimpan dalamnya.” (Riwayat Ahmad. Syeikh al-Arna’outh menilai hadis ini sahih)
  • Bila insiden ini akan berlaku? Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam masalah ini menjawab:

                                                                           وَأُجِيبَ بِأَنَّ ذَلِكَ مَحْمُولٌ عَلَى أَنَّهُ يَقَعُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قُرْبَ قِيَامِ السَّاعَةِ

                                                                         حَيْثُ لَا يَبْقَى فِي الْأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ كَمَا ثَبَتَ فِي صَحِيحِ مُسْلِمٍ

  • Maksudnya: “Aku menjawab dengan mengatakan bahawa ia berlaku di akhir zaman apabila hampir berlakunya Kiamat dan ketika itu tidak ada lagi di atas muka bumi ini seseorang yang menyebut: Allah! Allah!. Sebagaimana yang jelas terdapat dalam Sahih Muslim.” (Lihat: Fath al-Bari, 3/461) (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/460-461)

   ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

 

TAFSIR AYAT 128 SURAH AL-BAQARAH (2:128)

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau, dan (jadikanlah) dari kalangan anak cucu kami juga umat yang tunduk patuh kepada Engkau, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.  (al-Baqarah 2:128)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 128 SURAH AL-BAQARAH: (MOHON MENJADI GOLONGAN YANG TUNDUK. CARA IBADAT HAJI) 

Berkata Imam Ibn Kathir: “Menurut Ibn Jarir, doa kedua-duanya bermaksud, ‘Jadikanlah kami orang yang tunduk kepada perintah-Mu dan patuh dalam ketaatan kepada­Mu. Dalam taat kami kepada-Mu, kami tidak akan mempersekutukan Engkau dengan seorang jua pun, dan tidak pula dalam beribadah kepada-Mu mempersekutukan-Mu dengan seorang pun selain Engkau sendiri’.” (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/462)

  • JADILAH KAMI BERDUA ORANG YANG TUNDUK : “Ya Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua ini orang-orang yang berserah diri kepada Engkau’ (pangkal ayat 128). Berkata Hamka: “Setelah rumah atau Kaabah itu selesai mereka dirikan, maka mereka berdua AS orang yang pertama sekali menyatakan bahawa mereka berdua muslimaini laka, iaitu kami berdua muslimin kepada Engkau! Yang berpokok daripada kata-kata ISLAM yang bererti berserah diri. Berjanjilah kedua-duanya bahawa rumah yang suci itu hanyalah untuk beribadat dengan berserah diri kepada Allah, tidak bercampur dengan penyerahan diri kepada yang lain”. (Tafsir al-Azhar 1/300)
  • KETURUNAN KAMI JUGA MERUPAKAN GOLONGAN YANG TUNDUK : ‘Dan daripada keturunan kami pun (hendaknya) menjadi orang-orang yang berserah diri kepada Engkau’. Berkata Hamka: “Bukan saja Ibrahim mengharapkan agar penyerahan dirinya dan puteranya Ismail AS kepada Allah diterima Allah. Bahkan baginda pun memohon kepada Allah agar anak-cucu dan keturunannya yang datang kemudian pun menjadi orang-orang yang berserah diri, menjadi orang-orang yang Muslim, atau ISLAM”. (Tafsir al-Azhar 1/300)
  • TUNJUKKAN MANASIK UNTUK KAMI : ‘Dan tunjukkan kiranya kepada kami cara-cara kami beribadat (manasikana)’. Berkata Hamka: “Cara-cara kami beribadat, kita ertikannya daripada manasikana. Setelah Ibrahim dan juga puteranya Ismail AS mengakui bahawa Allahlah tempat mereka berserah diri, dan telah bulat hati mereka kepada Allah, tidak bercampur dengan yang lain, dan diharapkannya pula kepada Tuhan agar anak-cucu keturunannya yang tinggal di sekeliling rumah itu semuanya mewarisi keislaman itu pula, barulah Ibrahim memohonkan kepada Allah agar ditunjuki bagaimana caranya beribadat, yang disebut juga sebagai Manasik. Manasik bisa diertikan umum untuk seluruh ibadat, dan bisa pula dikhususkan untuk seluruh upacara ibadat haji. Menurut riwayat yang dibawakan oleh Ibnu Abi Hatim dan Said bin Manshur yang diterima daripada Mujahid, bahawa permohonan Ibrahim AS agar Tuhan mempertunjukkan bagaimana cara-cara beribadat itu, datanglah Jibrail. Mula mulanya Jibrail telah menuntunnya bagaimana memasang batu-batu sampai tegak menjadi dinding. Setelah selesai dibimbingnya tangan Ibrahim AS berjalan menuju Mina. Sampai di tempat yang sekarang dinamai Jamratul Aqabah itu (Aqabah boleh diertikan sebagai penghalang) kelihatanlah Iblis.. Lalu Jibrail menyuruh Ibrahim: ‘Takbirlah, dan lemparlah Iblis itu!’ Lalu Ibrahim takbir sambil melempar Iblis itu. Iblis pun pergi lalu menghambat lagi di tempat yang sekarang dinamai Jamratul Wustha. Lalu Ibrahim berbuat pula sebagaimana di Jamratul Aqabah tadi, dan demikian juga dilakukan sampai di Jamrah yang ketiga. Kemudian Jibril membimbing tangan Ibrahim, lalu berjalan menuju Masy‘aril Haram (Muzdalifah), kemudian itu berjalan terus ke Arafah. Sesampai di sana berkatalah Jibrail: ‘Sekarang telah engkau kenal ibadat-ibadat yang aku tunjukkan kepada engkau itu’. Ibrahim menjawab: ‘Na‘am.’ (Ya)! Seterusnya berkata Jibrail: ‘Kalau demikian, mulailah engkau panggil manusia untuk mengerjakan haji’. Lalu Ibrahim bertanya: ‘Bagaimana caranya aku memanggil mereka?’ Jibrail menjawab: ‘Katakanlah, wahai sekalian manusia! Sambutlah seruan Tuhan kamu! Serukanlah demikian sampai tiga kali!’ Lalu yang demikian itu dilakukan oleh Ibrahim, maka menyahutlah hamba-hamba Allah: ‘Seruan-Mu telah hamba dengar, ya Allah dan hamba segera melakukannya’. (Inilah erti yang agak dekat daripada kata-kata: Labbaika). Berkata Mujahid seterusnya: ‘Maka barang siapa yang menyambut seruan Ibrahim di masa itu, akan jadi hajilah dia”. (Tafsir al-Azhar 1/300-301)
  • RASUL BERTAUBAT? : Berkata Hamka: “Dan ampunilah kiranya kami, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pengampun lagi Penyayang’ (hujung ayat 128). Kita sudah maklum bahawasanya Rasul Allah adalah maksum, suci daripada dosa, terutama dosa yang besar. Tetapi orang-orang yang telah mencapai darjat iman yang sempurna sebagai Ibrahim dan Ismail, tidaklah berbangga dengan anugerah Allah kepada mereka dengan maksum itu. Nabi kita Muhammad SAW memohon ampun tidak kurang daripada 70 kali sehari semalam.. Dengan demikian, bertambah suci manusia, bertambah pula mereka merasa kekurangan”. (Tafsir al-Azhar 1/301)

 

                    ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

 

TAFSIR AYAT 129 SURAH AL-BAQARAH (2:129) 

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmat serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 

TAFSIR-TADABBUR AYAT 129 SURAH AL-BAQARAH: (DOA AGAR DIUTUS RASUL UNTUK PENDUDUK MEKAH)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT memberitakan tentang kesempurnaan doa Nabi Ibrahim AS buat penduduk Tanah Suci, iaitu dia memohon kepada Allah semoga Allah mengutus untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri. Dengan kata lain, dari keturunan Ibrahim AS sendiri. Ternyata doa yang mustajab ini bertepatan dengan takdir Allah yang terdahulu yang telah menentukan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul untuk bangsa yang ummi ini, juga untuk semua bangsa Ajam lainnya dari kalangan manusia dan jin”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/184) 

  • BANGKITLAH SEORANG RASUL DARI KALANGAN MEREKA SENDIRI YANG AKAN MENDIDIK DAN MEMBERSIHKAN MEREKA : Berkata Hamka: “Setelah selesai Ibrahim AS membina Baitullah dan selesai pula dia mengerjakan Haji dengan tuntunan Jibrail sendiri, dan telah selesai dia menyerahkan diri, berdua dengan puteranya Ismail AS, dan diharapkan agar anak cucunya pun menjadi orang yang Muslim kepada Allah, maka akhirnya ditutupnya permohonan dengan satu permohonan lagi: ‘Ya Tuhan kami! Bangkitkanlah antara mereka itu seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri’ (pangkal ayat 129). Dia tidak puas hanya memohon anak-cucunya menjadi Islam semua, bahkan beliau memohonkan pula agar di antara anak dan cucunya itu di kemudian hari dibangkitkan seorang yang menjadi Rasul Allah: ‘Yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau’ iaitu perintah-perintah Ilahi untuk memupuk dasar yang telah ditinggalkan oleh beliau dalam mengakui keesaan Tuhan. ‘Dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmat’. Kitab ialah kumpulan daripada wahyu-wahyu yang diturunkan Ilahi, yang bernama al-Quran, dan hikmat ialah kebijaksanaan dalam cara menjalankan perintah, baik dalam perkataan atau perbuatan, atau sikap hidup Nabi itu sendiri, yang akan dijadikan contoh dan teladan bagi umatnya. ‘Dan yang akan membersihkan mereka’. Baik ayat-ayat, ataupun kitab itu, ataupun hikmat kebijaksanaan yang dibawakan oleh Rasul itu, adalah maksudnya membersihkan mereka seluruhnya. Bersih daripada kepercayaan yang karut-marut, syirik dan menyembah berhala, dan bersih pula kehidupan sehari-hari daripada rasa benci, dengki, dan khianat. Yuzakkiihim, untuk membersihkan mereka di sudut rohani dan jasmani. Sehingga dapat memperbezakan antara kepercayaan yang kotor dengan yang bersih. Kebersihan itulah yang akan membuka akal dan budi, sehingga selamat dalam kehidupan.. Ditutupnya dengan ucapan: ‘Sesungguhnya Engkau, adalah Maha Gagah, lagi Maha Bijaksana’ (hujung ayat 129). Allah al-Aziz, iaitu Yang Maha Gagah. Ibrahim AS telah menggantungkan pengharapannya kepada Allah dengan kegagahan-Nya itu.. Di samping Gagah Perkasa, Tuhan pun mempunyai sifat Maha Bijaksana”. (Tafsir al-Azhar 1/302-303)
  • NABI MUHAMMAD SAW ITULAH RASUL, HASIL DOA NABI IBRAHIM AS : Berkata Syeikh Said Hawa: “Ternyata doa yang mustajab ini bertepatan dengan takdir Allah yang terdahulu yang telah menentukan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul untuk bangsa yang ummi ini, juga untuk semua bangsa Ajam yang lainnya. ‘Yang membaca kepada mereka ayat-ayat-Mu’ bermaksud membaca dan menyampaikan kepada mereka dalil-dalil dan petunjuk-Mu yang membenarkan Nabi dan Rasul AS utusan-Mu. ‘Dan mengajar kepada mereka al-Kitab’. Berkata Imam al-Alusi.. diperkenankan doa ini dengan dikurniakan al-Quran. ‘Dan hikmat’. Ia bermaksud kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya, samaada yang berkaitan dengan hal duniawi atau ukhrawi. Hikmat juga ialah apa yang disampaikan Rasul SAW selain daripada Kitab, justeru sebahagian ulama mentafsirkan al-hikmat ini sebagai as-Sunnah.. ‘Dan membersihkan mereka (yuzakkiihim)’. Maksudnya, membersihkan mereka daripada kesyirikan, dan daripada segala kekejian yang luaran dan dalaman. Aku (Said Hawa) ingin berkata bahawa, ayat ini dalil tentang pusaka Rasul SAW yang lengkap untuk kita iaitu, mengajar (kita) tentang Kitab, serta mendidik kira supaya mempunyai keperibadian yang bijaksana, serta membersihkan jiwa kita daripada kesyirikan serta penyakit-penyakitnya,. Sesiapa yang luput daripadanya sesuatu daripada ini, telah luput daripadanya sebahagian daripada pusaka Nabi SAW”. (Al-Asas fit Tafsir 1/273-274)

 

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (Disempurnakan pada 23 Zulkaedah 1444 H, Bersamaan 12/06/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  • Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  • Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  • Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  • A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  • Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.