Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 1) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 104-105

KEBIADAPAN KAUM YAHUDI.. DILARANG MENIRU, MENYERUPAI GOLONGAN KAFIR, FASIQ.. GOLONGAN KAFIR TIDAK SUKA KEBAIKAN DIKURNIAKAN KEPADA ORANG ISLAM

TAFSIR AYAT 104 SURAH AL-BAQARAH (2:104)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انظُرْنَا وَاسْمَعُوا ۗ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu berkata (kepa­da Nabi Muhammad) ‘ra’ina’ tetapi katakanlah, ‘unzhurna’ dan dengarlah. Bagi orang-orang kafir seksaan yang pedih”. (al-Baqarah 2:104)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 104 SURAH AL-BAQARAH: (CONTOH KEBIADAPAN KAUM YAHUDI)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Melalui ayat ini Allah melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupakan diri mereka dengan orang-orang kafir dalam ucapan dan perbuatan. Hal ini disebabkan orang-orang Yahudi mudah bermain dengan kata-kata yang memiliki maksud yang samar-samar dengan tujuan jahat. Jika mereka hendak berkata, ‘Sudilah kiranya anda mendengar dan memperhatikan kami’ mereka berkata ra’ina sedangkan yang mereka maksudkan dengannya ialah ru’uunah yang bererti kebodohan (ketololan)”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/364)

  • BUKA LEBAR-LEBAR TELINGAMU : “Seorang lelaki datang kepada Abdullah ibnu Mas’ud RA lalu berkata, ‘Berilah aku pelajaran’. Ibn Mas’ud RA pun menjawab, ‘Apabila kamu mendengar Allah SWT berfirman, ‘Hai orang yang beriman’, maka buka lebar-lebarlah telingamu (perhatikanlah) kerana sesungguhnya (selepas itu ia mengandungi sama ada) kebaikan yang diperintahkan, atau kejahatan yang dilarang”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/148)
  • YAHUDI BIADAP. USAH DITIRU PERANGAI DAN CARA MEREKA : Berkata Hamka: “Sepintas lalu erti ra‘ina ialah gembalakanlah kami, atau bimbinglah kami.. Tetapi dia bisa pula bererti lain, iaitu ru‘iy-na, yang bererti tukang gembala kami.. Dan boleh pula diambil daripada kata ra’unah, iaitu orang yang tidak baik perangainya. Maka orang yang berniat jahat bisa saja dengan sengaja membawa erti kata itu kepada yang bukan maksudnya. Dan ada pula ertinya yang lain yang lebih buruk, iaitu: ‘Hai orang bodoh, tunggu sebentar’. Oleh sebab itu hendaklah kamu pilih kata yang ertinya tidak dapat diputar-putar kepada maksud buruk. Kata itu ialah unzhurna, ertinya pandanglah kami, tiliklah kami. Dan juga bererti ‘dengarkanlah perkataan kami’. Dengan kata unzhurna itu tidak ada sudut buruk buat orang masuk! Begitulah hendaknya sopan-santun orang yang beriman terhadap Rasul-Nya”. (Tafsir al-Azhar 1/257)
  • CONTOH TAMBAHAN KEBIADAPAN YAHUDI : Sahabat Anas bin Malik RA berkata, “Ada seorang Yahudi melewati Rasulullah SAW, lalu dia berkata ‘as-saamu ‘alaik’ (celaka engkau). Rasulullah SAW lantas membalas ‘wa ‘alaik’ (juga ke atas engkau). Rasulullah SAW lantas bersabda, ‘Apakah kamu mengetahui bahawa Yahudi tadi mengucapkan ‘as-saamu ‘alaik’ (celaka engkau)?’ Para sahabat lantas berkata, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana jika kami membunuhnya?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Jangan. Jika mereka mengucapkan salam pada kamu maka ucapkanlah ‘wa ‘alaikum’.” (Riwayat Bukhari, no. 6926)
  • LARANGAN MENYERUPAI GOLONGAN YANG TERKUTUK : Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Abu Daud meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ   ‘Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka’. Dalam hadis ini terkandung larangan, peringatan, dan ancaman yang keras meniru-niru orang kafir dalam ucapan, perbuatan, pakaian, hari-hari raya, ibadah mereka, serta perkara-perkara lainnya yang tidak disyariatkan kepada kita dan yang kita tidak mengakuinya (tidak mengiktirafnya)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/148)
  • ANALISIS HADIS MELARANG DARIPADA MENYERUPAI KAUM YANG TERTENTU :Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka’. Hadis ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat RA, oleh Imam Abu Daud, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai sebagai sahih oleh al-Iraqi (w. 806H). Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia hadis ‘hasan’ dan demikian juga yang disebutkan oleh al-Albani. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak dihalang. Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H): ‘Hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasiq, atau kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fikah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)’. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321) Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya, semua itu adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Jika dia sekadar bersuka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram.. Namun dalam sebuah hadis yang lain disebutkan: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ، وفي بعض الروايات: جُبَّةٌ شَامِيَّةٌ ضَيِّقَةُ الْكُمَّيْنِ  ‘Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom – dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam) – yang sempit kedua tangan bajunya’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Nabi SAW memakai jubah Rom sedangkan golongan Rom ketika itu menganuti agama Kristian. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus bagi agama mereka, atau lambang khusus tentang kepercayaan mereka. Maka ia tidak dilarang. (https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/51-maksud-hadis-sesiapa-menyerupai-sesuatu-kaum)

 

                          ………………………………………………………………………………………………………………………………….

 

TAFSIR AYAT 105 SURAH AL-BAQARAH (2:105)

مَّا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَلَا الْمُشْرِكِينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْكُم مِّنْ خَيْرٍ مِّن رَّبِّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

“Orang-orang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak menginginkan diturunkan sesuatu kebaikan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan Allah menentukan siapa yang dikehendaki-Nya (untuk diberi) rahmat-Nya; dan Allah mempunyai kurniaan yang besar.”. (al-Baqarah 2:105)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 105 SURAH AL-BAQARAH: (GOLONGAN KAFIR AHLUL KITAB DAN KAFIR MUSYRIK TIDAK SUKA KEBAIKAN DIKURNIAKAN KEPADA UMAT ISLAM)

Berkata Ibn Kathir: “Melalui riwayat ini Allah menjelaskan (kepada Nabi-Nya) permusuhan orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab dan orang-orang musyrik yang sangat keras (terhadap diri Nabi SAW). Orang-orang mukmin diperingatkan oleh Allah SWT agar jangan menyerupai mereka.. Kemudian Allah SWT mengingatkan kaum mukmin akan nikmat yang telah dilimpahkan kepada mereka berupa syariat yang sempurna yang telah Dia turunkan kepada nabi mereka, iaitu Nabi Muhammad SAW. Hal ini diungkapkan oleh Allah melalui firman-Nya: ‘Dan Allah menentukan siapa yang dikehendaki-Nya (untuk diberikan) rahmat-Nya, dan Allah mempunyai kurniaan yang besar’.” (Tafsir al-Quran 1/149)

  • BERWASPADA DENGAN KAFIR AHLUL KITAB DAN KAFIR MUSYRIK : Berkata Syeikh Said Hawa: “Dalam ayat ini Allah menjelaskan tentang betapa mendalamnya permusuhan golongan ahlul kitab dan musyrikin terhadap orang Islam. Sekali gus Allah mahu umat Islam berwaspada agar tidak wujud keintiman dan hubungan kasih sayang terhadap mereka. ‘Dan Allah menentukan siapa yang dikehendaki-Nya (untuk diberikan) rahmat-Nya.’ Maksud ‘rahmat’ di sini ialah ‘kenabian, wahyu dan syariat’. ‘Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar’ kepada Rasul-Nya dan mereka yang memperkenankan seruan Rasul-Nya”. (al-Asas fit Tafsir 1/206)


       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (Disempurnakan pada 12 Zulkaedah 1444 H, Bersamaan 01/06/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  • Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  • Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  • Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  • A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  • Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.