Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

TAFSIR AYAT 1-7 SURAH AL-FATIHAH

RAHSIA SURAL AL-FATIHAH YANG MERUPAKAN IBU KITAB, PEMBUKAAN KITAB DAN TUJUH YANG DIULANG-ULANG

TAFSIR AYAT 1 SURAH AL-FATIHAH (1:1)

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.” (al-Fatihah 1:1)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 1 SURAH AL-FATIHAH: (ALLAH MAHA PEMURAH, MAHA PENYAYANG)

Berkata Imam Qartubi: “Sebahagian ulama berkata, maksud bismillah (dengan nama Allah) ialah aku mulakan (amalku) dengan bantuan, taufik dan keberkatan daripada Allah. Dan ini merupakan pengajaran daripada Allah kepada hamba-Nya supaya mereka menyebut nama-Nya setiap kali mereka memulakan pembacaan al-Quran dan ketika melakukan amalan yang lainnya.” (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/86)

    • SEMUA BERMULA DENGAN BISMILLAH : Berkata Hamka: “Ertinya, aku mulai pekerjaanku ini, yakni menyiarkan wahyu Ilahi kepada insan, atas nama Allah itu sendiri, yang telah memerintahkan daku menyampaikannya. Inilah contoh teladan yang diberikan kepada kita, supaya memulai sesuatu pekerjaan penting dengan nama Allah”. (Tafsir al-Azhar, 1/67)

    • RAHSIA NAMA ALLAH : Allah berfirman: ‘Dengan nama Allah’ (1:1). Berkata Hamka, “Allah adalah Zat Yang Maha Tinggi, Maha Mulia dan Maha Berkuasa. Zat Pencipta seluruh alam, langit dan bumi, matahari dan bulan, dan seluruh yang ada. DIA adalah yang wajibul wujud, yang sudah pasti ada, yang mustahil tidak ada.. Zat Yang Berdiri Dengan Sendiri-Nya, kepada-Nya memohon segala sesuatu, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada yang menandingi Dia SWT”. (Tafsir al-Azhar 1/67) Berkata Syeikh Said Hawa, “Allah nama khusus kepada Tuhan yang selayaknya disembah, Yang Hak, dan tidak digunakan nama ini kepada selain-Nya SWT.” (al-Asas fit Tafsir 1/40) Berkata Imam Qartubi, “(Allah) merupakan nama-Nya SWT yang paling agung dan yang paling merangkumi”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/88)

    • AR-RAHMAAN AR-RAHEEM : Berkata Hamka, “Nama Allah diiringi dengan menyebut sifat-Nya, iaitu, ar-Rahmaan dan ar-Raheem. Kedua sifat itu adalah daripada satu rumpun, iaitu, rahmat, yang bererti pemurah, kasih-sayang, cinta, santun, perlindungan dan sebagainya. Apa sebab kedua sifat ini terlebih dahulu dijelaskan sebelum disebutkan tentang sifat-sifat-Nya SWT yang lain? Dapatlah difahami jika kita kaji, sebahagian besar manusia menggambarkan Tuhan itu sebagai suatu yang amat ditakuti atau menakutkan dan kejam. Lalu diadakan korban-korban sembelihan, sebab Tuhan itu haus darah.. Seketika bacaan dimulai dengan menyebut nama Allah, dengan kedua sifat-Nya Yang Rahmaan (Pemurah) dan Raheem (Penyayang), mulailah Nabi Muhammad SAW menentukan perumusan baru dan yang benar tentang Tuhan, bahawa sifat utama yang perlu lebih diketahui dan dirasakan oleh manusia (tentang Tuhan) ialah bahawa DIA SWT adalah Rahmaan (Pemurah) dan Raheem (Penyayang)”. (Tafsir al-Azhar 1/69)

    • AR-RAHMAAN LEBIH MUBALAGHAH : Dua Nama Allah (الرحمن) dan (الرحيم) ini berasal daripada kata asal (الرحمة) iaitu rahmat. Berkata Imam Qartubi: “Jumhur (majoriti) ulama berkata ar-Rahmaan berasal daripada ar-rahmah dan ar-Rahmaan datang dalam bentuk yang mubalaghah (المُبَالَغَة), iaitu rahmat yang bersangatan yang tiada tandingan seumpamanya.. Abu Ali al-Farisi mengatakan bahawa ar-Rahmaan mengandungi makna umum dipakai untuk semua jenis rahmat, sedangkan ar-Raheem hanya dikhususkan bagi orang-orang mukmin saja”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/90-91) “Justeru, lafaz ar-Rahman mempunyai pengertian mubalaghah iaitu bersangatan dalam kasih sayang dan yang bersifat umum — yakni baik di dunia mahupun di akhirat — bagi semua makhluk-Nya. Sedangkan lafaz ar-Raheem merupakan kasih sayang yang dikhususkan hanya bagi hamba-hamba-Nya yang beriman”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/67-68)

    • MULAKAN DENGAN BASMALAH : Basmalah ialah singkatan bagi (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Ia juga kadangkala disebut sebagai ‘basmal’. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83) Nabi SAW memerintahkan umat supaya dalam melakukan setiap perkara hendaklah dimulai dengan membaca Basmalah. Nabi SAW bersabda:

                                                                    كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ

    • Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan Bismillahirrahmanirrahim, maka amalan tersebut akan terputus”. (Riwayat Ibnu Majah) Imam Nawawi berkata, maksud terputus dalam hadis ini ialah kurangnya keberkatan dalam perbuatan. Para ulama mengatakan, disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT (terlebih dahulu). (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

    • BASMALAH DALAM SURAH AN-NAML : Tidak ada perselisihan ulama bahawa (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) memang terdapat dalam surah 27 (an-Naml) dalam ayat 30, ketika Ratu Saba’ menerangkan kepada pembesar kerajaannya bahawa dia menerima sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman SAW yang tercatat dalamnya: ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang’. (Tafsir al-Azhar 1/64)

    • STATUS BASMALAH DI PERMULAAN SURAH : Berkata Hamka: “Tentang Bismillah ada di permulaan setiap surah kecuali surah Baraah atau at-Taubah, tidak ada perselisihan di kalangan ulama. Yang diperselisihkan ialah adakah ia sebahagian daripada surah itu, atau sekadar sebagai pemisah antara surah-surah atau ia menjadi ayat tunggal sendiri.. Menurut ajaran Rasulullah SAW sendiri, kesemua 114 surah al-Quran, kecuali surah Baraah (at-Taubah) dimulai dengan Bismillah. Maka Mashaf pertama yang ditulis oleh panitia yang diketuai oleh Zaid bin Thabit RA atas perintah khalifah pertama Sayidina Abu Bakar RA itu adalah menurut yang diajarkan Nabi SAW. Dan Mashaf Sayidina Usman bin Affan pun ditulis secara demikian juga, iaitu semua surah kecuali Baraah (at-Taubah) dimulai dengan Bismillah”. (Tafsir al-Azhar 1/64) Berkata Imam Nawawi, selayaknya untuk dibaca lafaz Basmalah pada setiap permulaan surah kecuali surah at-Taubah. (al-Tibyan fi Adab Hamilatul al-Quran, 1/81) Imam Ibn Hajar al-Haithami menukilkan pandangan al-Ja’bari bahawa lafaz Basmalah tiada pada permulaan surah at-Taubah (justeru tidak sunat dibaca) kerana diturunkannya ketika peperangan, juga terkandung dalamnya keburukan sifat golongan yang munafik. (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/52)

    • BASMALAH SEBAHAGIAN DARIPADA SURAH-SURAH? : Berkata Hamka: “Golongan terbesar dari kalangan ulama salaf berpendapat Bismillah di awal surah adalah ayat pertama surah itu sendiri. Beginilah pendapat ulama salaf Mekah, baik ahli fikahnya atau ahli qiraatnya, antaranya ialah Ibn Kathir, dan ulama Kufah, termasuk dua ahli qiraat terkemukanya iaitu ‘Ashim dan al-Kisaa-i. Juga pegangan sebahagian sahabat Rasulullah SAW dan tabiin RA di Madinah. Juga pegangan Imam Syafie dalam fatwanya yang jadid (baru), demikian juga pengikut-pengikut beliau. Dan pegangan Sufyan at-Thauri dan salah satu pendapat Imam Ahmad.. Demikian juga yang diriwayatkan daripada para sahabat, iaitu Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah RA, dan Ulama tabiin, iaitu Said bin Jubair, Atha,’ az-Zuhri dan Ibn al-Mubarak. Alasan mereka ialah kerana telah ijmak seluruh sahabat RA dan yang datang sesudah mereka bahawa Bismillah itu wajib ditulis di pangkal setiap surah, kecuali di pangkal surah at-Taubah. Dikuatkan lagi dengan larangan keras Rasulullah SAW memasukkan sebarang kalimat selain daripada al-Quran ke dalam al-Quran. Walaupun kalimat Amin yang jelas diperintahkan membacanya oleh Rasulullah SAW setelah selesai membaca walad-dhalliin terutama di belakang imam ketika sembahyang jahar, juga tidak boleh dimasukkan ke dalam al-Quran, khususnya dalam al-Fatihah ketika menulis Mashaf, apatah lagi menambah Bismillahir-Rahmanir-Rahim di pangkal setiap surah (kecuali Baraah), jika memang ia bukan termasuk sebahagian daripada surah itu”. (Tafsir al-Azhar 1/65)

    • BASMALAH SEBAHAGIAN DARIPADA SURAH-SURAH? : Seterusnya berkata Hamka: “Pendapat mereka ini dikuatkan lagi oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik RA, bahawa berkata Rasulullah SAW: ‘Telah diturunkan kepadaku tadi satu surah (iaitu surah al-kauthar). Lalu baginda SAW membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (seterusnya membaca surah al-Kauthar)’. Dalam hadis ini terang bahawa baginda SAW membaca Basmallah sebelum membaca ayat lain di dalam surah yang diturunkan. Di sini berlakulah kias.. Demikianlah pendapat dan alasan daripada para ulama yang berpendirian Bismillah di pangkal setiap surah adalah sebahagian daripada surah itu sendiri, bukan terpisah dan bukan pemisah antara surah-surah.. Namun ada pendapat bahawa Bismillahir-Rahmanir-Rahiim di pangkal surah itu adalah ayat tunggal, diturunkan untuk penjelasan batas atau pemisah, supaya jangan bercampur-aduk antara satu surah dengan yang lainnya. Yang berpendapat begini ialah Imam Malik dan beberapa ulama Madinah. Juga Imam al-Auza‘i serta beberapa orang ulama dari Syam serta Abu Amir dan Ya‘kub dari Basrah.. Dan ada pula satu pendapat tunggal dari Imam Ahmad bin Hanbal, bahawa pada al-Fatihah sajalah Bismillahir-Rahmanir-Rahim itu termasuk sebahagian ayat, sedangkan pada surah-surah yang lain tidak demikian halnya… Oleh kerana masalah ini tidak mengenai pokok akidah, tidaklah salah jika kita cenderung kepada salah satu pendapat itu, mengikut mana yang lebih dekat kepada penerimaan ilmu kita sesudah menyelidiki”. (Tafsir al-Azhar 1/65-66)

    • KESIMPULANNYA : Berkata Hamka: “Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya, maka Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan seruan yang terlebih dahulu mempengaruhi jiwa iaitu, Allah itu Pemurah dan Penyayang, bukan Pembenci dan Pendendam, bukan haus kepada darah pengorbanan.. Maka dengan bacaan itu tersimpullah suatu pengharapan atau doa moga-moga apa saja yang kita kerjakan mendapat kurniaan Rahman dan Rahim daripada Tuhan, dimudahkan-Nya kepada yang baik, dijauhkan kiranya daripada yang buruk”. (Tafsir al-Azhar 1/70)

    • Justeru, dengan بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ Islam mengajar umat menjadi golongan yang sentiasa ingat kepada Allah dalam setiap aktiviti dan tindak tanduk yang mereka lakukan. Pada ketika yang sama, mereka mengingati Allah dengan cara yang Allah mahu, dengan mencontohi Nabi SAW. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ menghasilkan pengharapan kepada Allah bahawa apa yang mereka lakukan moga-moga akan beroleh keberkatan dan taufik, dengan kasih sayang Allah.

                                                                 ……………………………………………………………………………………………………….

 TAFSIR AYAT 2 SURAH AL-FATIHAH (1:2)

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٢

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.” (al-Fatihah 1:2)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 2 SURAH AL-FATIHAH: (SEGALA PUJI BAGI ALLAH)

Imam Ibn Kathir meriwayatkan: “Imam Abu Ja’far ibn Jarir mengatakan bahawa makna alhamdulillah ialah ‘segala syukur hanyalah dipersembahkan kepada Allah SWT semata-mata, bukan kepada sembahan selain-Nya dan bukan kepada semua apa yang diciptakan-Nya, sebagai imbalan daripada apa yang telah Dia limpahkan kepada hamba-hamba-Nya berupa pelbagai nikmat yang tidak terhitung jumlahnya’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/22)

    • ALHAMDULILLAH HANYA UNTUK ALLAH : Berkata Imam Ibn Kathir:“Imam Ibn Jarir juga mengatakan, alhamdulillah adalah pujian yang digunakan oleh Allah SWT untuk memuji diri-Nya sendiri. Termasuk dalam pengertiannya ialah, Dia memerintahkan hamba-Nya untuk memanjatkan puji dan sanjungan kepada-Nya. Seakan-akan Allah SWT bermaksud, ‘Katakanlah oleh kalian : Segala puji hanyalah bagi Allah’.. Sahabat Abdullah Ibn Abbas RA berkata bahawa ucapan ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ  merupakan kalimat yang diucapkan untuk bersyukur (kepada Allah).” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/22)

    • ALLAH MENYUKAI ALHAMDULILLAH : Imam Ahmad ibnu Hanbal meriwayatkan:

عَنِ الْأَسْوَدِ بْنِ سَرِيعٍ، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَا أُنْشِدُكَ مَحَامِدَ حَمِدْتُ بِهَا رَبِّي، تَبَارَكَ وَتَعَالَى؟ فَقَالَ: “أَمَا إِنَّ رَبَّكَ يُحِبُّ الْحَمْدَ”

    • Maksudnya: “Telah berkata al-Aswad ibnu Sari’ yang menceritakan, “Aku pernah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mahukah aku bacakan kepadamu pujian-pujian yang biasa aku panjatkan kepada Tuhanku Yang Maha Suci dan Maha Tinggi.’ Nabi SAW menjawab, ‘(Tidak). Ingatlah, sesungguhnya Tuhanmu menyukai alhamdu (pujian)’.” (Riwayat Ahmad dan an-Nasaie, di hasankan oleh al-Albani)

    • ZIKIR PALING AFDAL, DOA PALING AFDAL : Rasulullah SAW pernah bersabda:

                                                                                 «أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الْحَمْدُ لِلَّهِ»

    • Maksudnya: “Zikir yang paling afdal (utama) ialah, ‘Tiada Tuhan selain Allah,’ dan doa yang paling afdal ialah الْحَمْدُ لِلَّهِ (segala puji bagi Allah).” (Riwayat Ibn Majah, Tirmizi. Hadis hasan)

    • ALHAMDULILLAH HANYA BAGI ALLAH : Berkata Hamka: “Di pangkalnya diletakkan ٱلْ atau alif-lam, sehingga bacaannya menjadi al-hamdu. Dengan sebutan al-hamdu, bererti bahawa segala macam pujian, apa jua pun jenis pujian, baik puji besar ataupun puji kecil, atau ucapan terima kasih kerana jasa seseorang, kepada siapa pun kita memberikan puji, namun pada hakikatnya, tidak ada seorang pun yang berhak menerima pujian (al-hamdu) melainkan Allah sahaja. Lebih ditegaskan lagi, ucapan ALHAMDULILLAHI bermaksud segala puji-pujian HANYA untuk Allah. Tidak ada yang lain yang berhak mendapat pujian itu”. (Tafsir al-Azhar 1/70)

    • SYUKUR YANG SEMPURNA : Berkata Syeikh Said Hawa: “Lafaz Alhamdulillah (dengan lidah) merupakan satu cabang daripada syukur kerana sesungguhnya syukur yang sebenarnya adalah (kesyukuran) dengan hati, lidah (lafaz) dan amalan anggota badan”. (al-Asas fit Tafsir 1/40)

    • RABB BAGI SELURUH ALAM : Allah berfirman : ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan (Rabb) bagi semesta alam’ (1:2). Berkata Imam Ibn Kathir: “Nama ‘Rabb’ ertinya ‘pemilik, penguasa, pengatur’. Lafaz Rabb tidak digunakan untuk selain daripada Allah SWT, melainkan (dibolehkan) jika disambung dengan kalimat lain selepasnya, sebagai contoh, seperti rabb ad-daar yang bermaksud pemilik rumah. Namun nama ar-Rabb (atau Rabb) secara mutlak hanya digunakan untuk Allah SWT sahaja. Menurut satu pendapat, lafaz Rabb adalah Ismul A’zam (nama Allah yang Maha Agung)”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/76) Berkata Hamka: “Sekarang kita dikenalkan lagi kepada Allah sebagai Rabb. Kata Rabb ini meliputi segala macam pemeliharaan, penjagaan dan juga pendidikan dan pengasuhan. Maka kalau di dalam ayat kita bertemu bahawa Allah itu khalaqa, yakni menjadikan dan menciptakan, maka dengan menyebut Allah sebagai Rabb, kita dapat mengerti bahawa Allah itu bukan semata-mata pencipta, tetapi juga pemelihara. Bukan saja menjadikan, bahkan juga mengatur”. (Tafsir al-Azhar 1/71) Justeru, Rabb bagi seluruh alam bererti, Allah bukan sekadar mencipta, malah Allah juga memelihara, mengatur, mengurus urusan seluruh alam tanpa pengecualian, mengikut kehendak-Nya.

    • RABB BAGI AL-‘ALAMIIN : Allah adalah Rabb bagi al-‘Alamiin atau Tuhan Semesta Alam. Berkata Imam Ibn Kathir: “Al-‘Alamiin datang dalam bentuk jamak (plural) yang bermaksud ‘semua yang ada selain Allah SWT’. Menurut sahabat Ibn Abbas RA, bahawa ‘segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam (al-‘alamiin)’ bermaksud ‘segala puji bagi Allah yang mana semua makhluk ini adalah milik-Nya, iaitu langit, bumi, dan yang ada antara kedua-duanya, sama ada yang kita ketahui ataupun yang tidak kita ketahui’. Az-Zujaj berkata bahawa kalimat al-‘alam ialah semua yang diciptakan Allah di dunia dan di akhirat. Berkata Imam Qurtubi, pendapat inilah yang sahih”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/76)

    • KESIMPULANNYA : Berkata Hamka: “Sudah jelas bahawa ayat, ‘Segala puji-pujian adalah kepunyaan Allah, Pemelihara sekalian alam,’ ada mengandungi dasar Tauhid yang dalam sekali. Tidak ada yang lain yang patut dipuji, melainkan DIA SWT”. (Tafsir al-Azhar 1/72)

    • Justeru, hanya Allah sahaja yang selayaknya dipuji dengan pujian yang paling agung, dan Allah telah mengajar kita bagaimana memuji Allah dengan pujian yang agung itu melalui ayat ini. Ia merupakan salah satu cara untuk bersyukur kepada-Nya SWT. Di sudut tauhid, ayat ini mengajar kita bahawa Allah bukan sekadar mencipta sekalian alam, malah Allah juga merupakan Rabb yang mengatur dan mengurus sekalian alam mengikut cara yang dikehendaki oleh-Nya SWT. Mari bersyukur kepada Allah dengan penuh kefahaman dan kesedaran.

                                                         ………………………………………………………………………………………………………………….

 TAFSIR AYAT 3 SURAH AL-FATIHAH (1:3)

ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣

“Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.” (al-Fatihah 1:3)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 3 SURAH AL-FATIHAH: (RAHSIA DIULANGI AR-RAHMAAN AR-RAHEEM)

Maksud ar-Rahmaan ar-Raheem telah pun dibicarakan (dan boleh dirujuk) dalam tafsir ayat 1 surah al-Fatihah sebelum ini. Berkata Imam Ibn Kathir, “Imam Qurtubi berkata, sesungguhnya Allah SWT menyifatkan diri-Nya dengan ar-Rahman dan ar-Raheem selepas firman-Nya ‘Rabbil ‘alamin’ tidak lain melainkan untuk tujuan الترهيب (tarhib) dan kemudian disusuli dengan ar-Rahmaan ar-Raheem untuk tujuan الترغيب (targhib)”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/77)

    • TARHIB DAN TARGHIB : Maksudnya, ayat 2 menegaskan bahawa Allah adalah Rabb bagi seluruh alam dan Dia SWT adalah pengatur dan pengurus bagi seluruh. Sebagai Rabb Dia SWT boleh melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Ia bertujuan untuk menghasilkan perasaan gerun (tarhib) di hati makhluk tentang kekuasaan Allah dan semoga dengannya menghasilkan keinsafan dan ketundukan. Namun ayat 2 disusuli dengan ayat 3 yang menegaskan bahawa Allah SWT adalah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ia menunjukkan bahawa walaupun Allah SWT sebagai Rabb berkuasa melakukan apa saja yang di kehendaki-Nya, namun Allah SWT tidak zalim dan tidak semberono dengan tindakan-Nya. Allah mengatur dan mengurus alam ini dengan penuh kasih sayang sebagai ar-Rahmaan dan ar-Raheem. Ini menghasilkan motivasi, rangsangan dan pengharapan dalam beribadat (targhib). Keseimbangan antara tarhib (unsur penggerun) dan targhib (rangsangan) bakal menghasilkan perasaan takut serta pengharapan dalam beribadat dan gabungan perasaan ini mampu meledakkan kualiti dalam beribadat.

    • HIDUP DI MUKA BUMI DENGAN TAKUT DAN PENGHARAPAN : Sahabat Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

«لَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ مَا عِنْدَ اللَّهِ مِنَ العقوبة ما طمع في جنته أَحَدٌ

وَلَوْ يُعْلَمُ الْكَافِرُ مَا عِنْدَ اللَّهِ من الرحمة ما قنط من رحمته  أحد»

    • Maksudnya: “Seandainya seorang Mukmin mengetahui apa yang ada di sisi Allah berupa seksaan, nescaya tiada seorang pun yang mahu menginginkan syurga-Nya. Seandainya orang kafir mengetahui apa yang ada di sisi Allah berupa rahmat, nescaya tiada seorang pun yang berputus asa daripada rahmat-Nya”. (Riwayat Muslim)

                                        …………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 4 SURAH AL-FATIHAH (1:4)

مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ ٤

“Yang menguasai Hari Pembalasan.” (al-Fatihah 1:4)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 4 SURAH AL-FATIHAH: (YANG MENGUASAI HARI PEMBALASAN)

Imam Ibn Kathir berkata: “Sebahagian ulama qiraah membacanya dengan مَلِك, sedangkan sebahagian yang lain membacanya dengan مَالِكِ. Kedua-duanya adalah sahih lagi mutawatir”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/24)

    • MAKSUD MALIK DAN AD-DIN : Hamka berkata: “(Malik bermaksud) yang menguasai. Apabila Malik kita baca dengan memanjangkan Maa pada kalimat Malik, kita ertikan ia sebagai ‘Yang Empunya Hari Pembalasan’. Di sini dapatlah kita memahami maksud ad-Din. Kita biasa memberi erti ad-Din sebagai agama. Sedangkan ia juga digunakan dengan maksud  pembalasan”. (Tafsir al-Azhar 1/75) Maka Yaum ad-Din atau Yaumiddin ialah Hari Pembalasan di akhirat, dan Allah SWT merupakan Malik  yakni Yang Menguasai Hari Pembalasan itu.

    • YAUMIDDIN BERKAITAN HARI AKHIRAT DAN HARI PEMBALASAN : Imam Ibn Kathir melaporkan: “Sahabat Ibn Abbas mengatakan, yaumiddin adalah hari kesemua makhluk menjalani hisab, iaitu pada hari kiamat. Allah membalas mereka sesuai dengan amal perbuatan masing-masing. Jika amal perbuatannya baik, balasannya baik, dan jika amal perbuatannya buruk, maka balasannya pun buruk, kecuali orang yang mendapat keampunan daripada Allah SWT. Hal yang sama dikatakan oleh selain sahabat Ibn Abbas RA dari kalangan para sahabat, para tabiin dan ulama salaf RA”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/25)

    • MAALIKI YAUMIDDIN : Ia bermaksud, Allah SWT sahajalah yang menguasai Hari Pembalasan. Berkata Syeikh Said Hawa: “Pada Hari Pembalasan hanya Allah sahaja yang merupakan Maalik yakni, yang menguasai segala urusan ketika itu”. (al-Asas fit Tafsir 1/41)

    • Dalam sebuah hadis marfu,’ sahabat Abu Hurairah RA meriwayatkan sabda Nabi SAW:

                                                                      «أَخْنَعُ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ رَجُلٌ تَسَمَّى بِمَلِكِ الْأَمْلَاكِ وَلَا مَالِكَ إِلَّا اللَّهُ  »

    • Maksudnya: “Nama yang paling rendah di sisi Allah ialah nama yang seseorang namakan untuk dirinya iaitu dengan panggilan Malikil Amlak, sedangkan tiada raja (Malik) selain Allah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Malikil Amlak bermaksud ‘Raja segala raja’.

    • KESIMPULANNYA : Berkata Hamka: “Di dunia ini tidak ada pembalasan yang sebenarnya dan di sini (dunia) tidak ada perhitungan yang adil.. Maka apabila ar-Rahmaan dan ar-Raheem disambung dengan Maliki yaumiddin barulah seimbang pengabdian dan pemujaan kita kepada Tuhan. Bahawa hidup ini tidak berhenti hingga kini saja. Akan ada sambungannya, iaitu pada hari pembalasan.. Kita sudah mempercayai bahawa Dia Maha Pemurah dan Penyayang, tetapi Dia akan bersikap keras kepada yang melanggar, sebab Dia menguasai penuh akan hari pembalasan.. Lantas kita mengharapkan kasih sayang dan kemurahan-Nya, namun kita juga takut akan pembalasan-Nya. Maka jiwa kita terumbang ambing antara Khauf, ertinya takut, dan Raja’, ertinya harap”. (Tafsir al-Azhar 1/76)

    • Justeru, ayat ini mengukuhkan akidah berkaitan kepercayaan kepada Hari Kiamat dengan pembalasan yang akan diterima oleh jin dan manusia secara adil di sana. Hal itu berlaku kerana yang menguasai Hari Pembalasan adalah Allah semata-mata. Justeru kita perlu banyak melakukan muhasabah terhadap diri sendiri (mengkoreksi diri) supaya kita mempunyai cukup bekalan untuk menghadapi Hari Pembalasan. Beriman dengan Allah SWT Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang bukan bertujuan untuk bertindak semberono dalam hidup. Sebaliknya bertujuan untuk mengukuhkan ibadah kepada Allah dengan penuh pengharapan terhadap kasih sayang Allah SWT. Pada ketika yang sama kita perlu berwaspada dengan kemungkaran dan maksiat kerana Allah SWT amat keras pembalasan-Nya ke atas pelakunya pada Hari Pembalasan.

    • SIAPAKAH YANG CERDIK : Daripada Syaddad bin Aus R.A, Rasulullah SAW bersabda:

                                      الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

    • Maksudnya: “Orang yang cerdik ialah yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah ialah yang mengikut hawa nafsunya dan hanya berharap-harap kepada Allah”. (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

    • MUHASABAH DIRI SEBELUM BERTEMU ALLAH : Sahabat Umar al-Khattab R.A berkata:

                                                                             حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا

وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا

    • Maksudnya: “Muhasabahlah (hitunglah) diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah (dengan amal) untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah perhitungan di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.” (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)

                                                ……………………………………………………………………………………………………………………………..

 TAFSIR AYAT 5 SURAH AL-FATIHAH (1:5)

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ  5

“Hanya kepada Engkaulah Yang Kami sembah dan  hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan”. (al-Fatihah 1:5)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 5 SURAH AL-FATIHAH: (RAHSIA IBADAH DAN ISTI’ANAH)

Berkata Hamka: “Kalimat iyyaka kita ertikan sebagai Engkaulah, atau boleh dihalusi lagi maknanya dengan maksud hanya Engkau sajalah. Di sini terdapat dua iyyaka, iaitu, ‘hanya Engkau sajalah yang kami sembah dan hanya Engkau sajalah tempat kami memohon pertolongan’. Kata na’budu kita ertikan sebagai ‘kami sembah’, dan nasta‘inu kita ertikan sebagai ‘kami memohon pertolongan. Kata na‘budu berpangkal daripada kalimat ‘ibadah’ (iaitu beribadat hanya kepada Allah), dan nasta’inu berpangkal daripada isti‘anah (iaitu memohon pertolongan hanya kepada Allah)”. (Tafsir al-Azhar 1/76)

    • IYYAKA NA’BUDU DIDAHULUKAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Lafaz iyyaka na’budu didahulukan atas lafaz iyyaka nasta’inu tidak lain melainkan disebabkan ibadah kepada-Nya merupakan tujuan utama (keutamaan), sedangkan meminta tolong merupakan sarana (alat) yang membantu ibadah, maka didahulukanlah perkara yang lebih penting”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/26)

    • BERIBADAT HANYA KEPADA ALLAH : Berkata Imam Ibn Kathir: “Al-Ibadah menurut istilah bermaksud الذلة (az-zillah) yang bermaksud ketundukan. Menurut istilah syarak al-Ibadah merupakan ‘suatu hasilan yang terhimpun padanya kesempurnaan rasa cinta (mahabbah), tunduk (khuduk), dan takut (khauf)’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/25) Berkata Hamka, “Ibadah ialah memperhambakan diri dengan penuh keinsafan dan kerendahan diri. Dan dipaterikan lagi oleh rasa cinta”. (Tafsir al-Azhar 1/77) Justeru ayat hanya Engkau sajalah yang kami sembah (beribadah) boleh diertikan sebagai, hanya kepada Allah sahajalah kami sembah beribadah dengan ketundukan dan kerendahan diri, dengan penuh rasa cinta, tunduk dan takut.

    • IYYAKA SUATU PENGKHUSUSAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Ayat bermula dengan lafaz iyyaka dan diulangi untuk menunjukkan pembatasan dan pengkhususan. Ia bermaksud, ‘kami tidak menyembah kecuali hanya kepada Engkau dan kami tidak berpasrah kecuali hanya kepada Engkau’. Pengertian ini merupakan kesempurnaan dalam ketaatan. Agama secara keseluruhannya kembali kepada dua makna ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama salaf, bahawa surat al-Fatihah merupakan rahsia al-Quran, sedangkan rahsia surah al-Fatihah terletak pada kalimat-kalimat ini, iaitu ‘iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’inu’.. Iyyaka na’budu merupakan pernyataan berlepas diri daripada segala kesyirikan, dan iyyaka nasta’inu merupakan pernyataan berlepas diri daripada upaya dan kekuatan diri serta berserah diri hanya kepada Allah SWT sepenuhnya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/25)

    • PERBEZAAN ISTI’ANAH DAN MU’AWANAH : Berkata Hamka: “Jangan kita campur-adukkan antara isti‘anah dengan mu‘awanah. Dalam hal memohon pertolongan (isti’anah), kita tetap hanya bermohon kepada Allah. Tetapi antara kita manusia sesama manusia, makhluk sesama makhluk diperintahkan Allah supaya bertolong-tolongan dan berkoperasi. Itu bukan isti‘anah, tetapi itu adalah mu‘awanah. Dalam surah al-Maidah ayat 2, Allah berfirman, agar kita bertolong-tolongan dalam berbuat kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-tolongan dalam hal dosa dan permusuhan.. Dalam hal isti‘anah kita tetap hanya bermohon (berdoa) kepada Allah. Tetapi terhadap orang lain, kita sudi tolong-menolong, sebab ini melaksanakan perintah Tuhan juga. Kita tahu sabda Nabi SAW, bahawa tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah”. (Tafsir al-Azhar 1/78)

    • KESIMPULANNYA : Berkata Hamka: “Tidak ada yang lain yang kita puja atau sembah dalam bentuk ibadat (kecuali Allah). Kerana yang lain itu semuanya adalah makhluk-Nya belaka. Kita diperintahkan untuk hormat kepada yang patut dihormati, seperti kepada ibu bapa, raja atau kepala negara, dan kita hormat kepada guru. Semuanya itu kita kerjakan kerana Allah yang menyuruhnya. Tetapi kita tidak beribadat kepada mereka.. Memohon pertolongan juga mestilah atas dasar Tauhid.. Sebab itu kita tidak bermohon kepada kuburan seorang guru atau orang alim yang kita pandang keramat. Atau meminta tolong kepada berhala, atau meminta tolong kepada keris pusaka..” (Tafsir al-Azhar 1/79)

    • Justeru, ayat ini menekankan tentang kepentingan beribadat kepada Allah. Sudah pasti ia dilakukan dengan cara yang Allah mahu, mengikut syariat-Nya. Ayat ini juga menekankan kepentingan bermohon kepada Allah dengan doa yang pasrah dengan cara yang Allah mahu, mengikut syariat-Nya. Begitulah cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Begitulah kepentingan ibadah dan isti’anah.

                                              ………………………………………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 6 SURAH AL-FATIHAH (1:6)

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ  6

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.” (al-Fatihah 1:6)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 6 SURAH AL-FATIHAH: (RAHSIA JALAN YANG LURUS)

Berkata Hamka: “Meminta ditunjuki dan dipimpin supaya tercapai jalan yang lurus. Menurut keterangan sesetengah ahli tafsir, perlengkapan menuju jalan yang lurus itu ialah, pertama al-lrsyad, iaitu (memohon) agar dianugerahi kecerdikan dan kecerdasan sehingga dapat membezakan yang salah dengan yang benar. Kedua at-Taufiq, iaitu (memohon) agar (apa yang dipilih) bersesuaian hendaknya dengan apa yang direncanakan Tuhan. Ketiga al-Ilham, (memohon) agar diberi petunjuk supaya dapat mengatasi sesuatu yang sulit. Keempat ad-Dilalah, iaitu (memohon) ditunjuk dalil-dalil dan tanda-tanda tentang tempat yang berbahaya, tempat yang tidak boleh dilalui dan sebagainya. Seumpama tanda-tanda yang dipancangkan di tepi jalan, untuk memberi alamat bagi pengendali kenderaan”. (Tafsir al-Azhar 1/79-80) Al-Irsyad, at-Taufiq, al-Ilham, ad-Dilalah, inilah alat-alat kelengkapan yang diperlukan untuk sampai ke jalan yang lurus.

    • MAKSUD IHDINA : اهْدِنَا berasal daripada kalimat Arab هَدَى yang bermaksud memimpin seseorang kepada hidayah. Lantas ihdina bermaksud ‘berikanlah atau pimpinlah kami kepada hidayah’. Berkata Imam Ibn Kathir: “Al-hidayah atau hidayah   yang   dimaksudkan  dalam   ayat  ini   ialah bimbingan dan taufik (kepada kebenaran). Maka al-hidayah mengandungi makna ‘berilah kami ilham atau berilah kami taufik, atau anugerahilah kami (kepada hidayah itu)’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/27) Justeru ihdina boleh diertikan sebagai berilah kami hidayah (iaitu taufik /  bimbingan / ilham, supaya kami berada di atas as-Sirath al-Mustaqim).

    • MAKSUD AS-SIRATH AL-MUSTAQIM : Berkata Hamka: “Menurut riwayat Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas RA, yang dimaksudkan dengan permohonan ditunjuki jalan yang lurus ialah memohon ditunjuki agama yang benar. Menurut beberapa riwayat daripada ahli-ahli hadis, daripada Jabir bin Abdullah RA, Sirathal Mustaqim ialah Agama Islam. Dan menurut beberapa riwayat lagi, Ibn Mas’ud RA mentafsirkan Sirathal Mustaqim sebagai Kitab Allah (al-Quran)”. (Tafsir al-Azhar 1/80) Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Ibn Jarir berkata, seluruh ulama tafsir sepakat mengatakan Sirathal Mustaqim ialah jalan yang terang lagi lurus, yang tidak ada bengkang bengkok padanya.. (Dalam memperincikannya, ada yang mengatakan ia adalah al-Quran dan ada yang mengatakan ia adalah Islam)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/27)

    • KESIMPULANNYA : Kita persis sedang bermusafir, dan musafir ini suatu musafir yang amat mencabar kerana kita bakal merentasi alam nyata serta alam ghaib menuju akhirat. Justeru jalan yang kita pilih bakal menentukan kebahagiaan atau kesengsaraan kita akhirnya. Sudah pasti kita inginkan kebahagiaan. Justeru untuk tujuan itu kita perlu bermusafir di atas Sirathal Mustaqim. Oleh kerana inilah satu-satunya jalan penyelamat maka Allah mengajar kita untuk memohon agar kita diberikan hidayat dan kita ditunjuki jalan yang lurus itu. Berhubung dengan Sirathal Mustaqim, kesimpulan yang dibuat oleh Hamka dalam Tafsir al-Azhar ialah: Semua pentafsiran (tentang maksud Sirathal Mustaqim) dapat digabungkan menjadi satu. Sirathal Mustaqim memang agama yang benar, dan itulah Agama Islam. Dan sumber petunjuk dalam Islam itu tidak lain melainkan al-Quran, dan semuanya dapat diambil contohnya daripada perbuatan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat beliau yang utama”. (Tafsir al-Azhar 1/80)

                                                ……………………………………………………………………………………………………………………………

 TAFSIR AYAT 7 SURAH AL-FATIHAH (1:7)

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ 7

“(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat”. (al-Fatihah 1:7)

 TAFSIR-TADABBUR AYAT 7 SURAH AL-FATIHAH: (MENGENALI GOLONGAN YANG MENDAPAT NIKMAT, GOLONGAN YANG DIMURKAI DAN GOLONGAN YANG SESAT)

Berkata Hamka: “Kita telah mendengar berita, bahawa terdahulu daripada kita, Allah telah pernah mengurniakan nikmat-Nya kepada orang-orang yang telah menempuh jalan yang lurus itu, sebab itu maka kita memohon kepada Tuhan agar kepada kita ditunjuki pula jalan itu. Telah ada Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang diutus Tuhan, dan telah ada orang yang menjadi syahid dan telah ada pula orang yang salih, semuanya dikurniai kebahagiaan oleh Tuhan kerana menempuh jalan ini. Oleh sebab itu maka kita mohonkan pula agar kepada kita diberikan pula petunjuk supaya kita menempuh jalan itu dengan selamat”. (Tafsir al-Azhar 1/82-83)

    • GOLONGAN YANG DIANUGERAHKAN NIKMAT : Berkata Imam Ibn Kathir: “Orang yang diberikan nikmat oleh Allah ialah mereka yang disebutkan dalam surah an-Nisak, iaitu: ‘Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, dari kalangan nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya’. (an-Nisak 4:69)(Tafsir al-Quran al-Azim 1/28) Inilah golongan yang berada di atas Sirathal Mustaqim yang dimuliakan Allah. Merekalah contoh terbaik untuk kita.

    • ORANG-ORANG YANG DIMURKAI DAN ORANG-ORANG YANG SESAT : Berkata Imam Ibn Kathir: “Terdapat dua jalan yang rosak, iaitu, jalan orang-orang Yahudi dan jalan orang-orang Nasrani”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/93) Pendapat ini mempunyai asasnya. Dalam sebuah hadis yang diceritakan oleh ‘Adi bin Hatim RA, Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya golongan yang dimurkai ialah golongan Yahudi dan yang sesat ialah golongan Nasara”. (Riwayat Ahmad dan Tirmizi. Disahihkan oleh al-Albani)

                                                                                                  إن الْمَغْضُوبُ عَلَيْهِمُ الْيَهُودُ وَإِنَّ الضَّالِّينَ النَّصَارَى

    • TIGA GOLONGAN YANG PERLU DIKETAHUI : Imam Ibn Kathir berkata lagi: “Sesungguhnya jalan yang ditempuh oleh ahli Iman mengandungi ilmu yang hak dan pengamalannya. Sedangkan orang-orang Yahudi kehilangan pengamalannya, dan orang-orang Nasrani telah kehilangan ilmunya. Kerana itu murka menimpa orang-orang Yahudi dan kesesatan menimpa orang-orang Nasrani. Orang yang mengetahui sesuatu ilmu lalu dia meninggalkannya, tidak mengamalkannya, bererti dia berhak mendapat murka (Yahudi). Lain halnya dengan orang yang tidak mempunyai ilmu. Orang-orang Nasrani (tanpa ilmu kebenaran) mereka mendatangi sesuatu bukan dari pintunya, yakni tidak mengikuti perkara yang hak, (akhirnya sesatlah mereka)”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/93)

    • GOLONGAN YANG DIMURKAI : Contoh golongan yang dimurkai ialah golongan Yahudi. Berkata Imam Ibn Kathir: “(Mereka yang dimurkai) ialah orang-orang yang telah rosak kehendaknya. Mereka mengetahui perkara yang hak, tetapi menyimpang daripadanya”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/93) Berkata Hamka: “Yang dimurkai ialah yang sengaja keluar dari jalan yang benar kerana memperturutkan hawa nafsu, padahal dia sudah tahu. Orang yang telah sampai kepadanya kebenaran agama, lalu ditolak dan ditentangnya. Dia lebih berpegang kepada pusaka nenek-moyang, walaupun dia tahu bahawa itu tidak benar. Maka seksaan azablah yang akan dideritainya”. (Tafsir al-Azhar 1/85)

    • ORANG-ORANG YANG SESAT : Contoh golongan yang sesat ialah golongan Nasara. Berkata Imam Ibn Kathir: “(Mereka yang sesat) ialah orang yang tidak memiliki ilmu agama. Akhirnya mereka bergelumang dalam kesesatan tanpa mendapat hidayah kepada jalan yang hak”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/93) Berkata Hamka: “Adapun orang yang sesat ialah orang yang berani saja membuat jalan sendiri di luar yang digariskan Tuhan. Tidak mengenal kebenaran, atau tidak dikenalnya menurut maksudnya yang sebenarnya.. Orang-orang yang telah mengaku beragama pun boleh juga tersesat. Kadang-kadang kerana terlalu taat dalam beragama, lalu ibadat ditambah-tambah daripada yang telah ditentukan dalam syariat, sehingga timbul bidaah. Disangkanya masih dalam agama, padahal sudah terpesong keluar”. (Tafsir al-Azhar 1/85)

    • KESIMPULANNYA : Jelas daripada ayat ini tentang Kompas Hidup yang sepatutnya menjadi panduan kita. Iaitu kompas yang memastikan kita sentiasa berada di atas jalan Sirathal Mustaqim. Kompas ini merujuk kepada contoh-contoh golongan yang dimuliakan Allah, iaitu para Nabi, golongan yang siddiq, syuhada dan yang soleh. Bukan golongan Yahudi yang dimurkai. Juga bukan golongan Nasrani yang sesat. Berkata Hamka: “Yahudi dimurkai, sebab mereka selalu mengingkari segala petunjuk yang dibawakan oleh Rasul mereka, dan kisah pengingkaran Yahudi itu tersebut dalam kitab mereka sendiri sampai sekarang… Nasrani tersesat, karena sangat cinta kepada Nabi Isa al-Masih, mereka katakan Isa itu anak Allah, bahkan Allah sendiri menjelma menjadi anak, datang ke dunia menebus dosa manusia”. (Tafsir al-Azhar 1/86)

    • AWAS : Seringkali umat ini menjadi seperti Yahudi dan Nasrani. Berkata Hamka: “Hendaklah diingat jangan sampai kita menempuh jalan yang akan dimurkai Allah pula, seperti Yahudi. (Sebagai contoh) dalam surah an-Nisak (surah 4 ayat 65), Tuhan bersumpah menyatakan tidaklah mereka beriman sebelum mereka bertahkim (berhukum) kepada Nabi Muhammad SAW dalam hal yang mereka perselisihkan, dan di samping itu tidak keberatan menerima keputusan yang baginda putuskan, dan mereka menyerah sebenar-benar menyerah (kepada keputusan Nabi SAW). Kalau ini tidak kita lakukan, pastilah kita dimurkai seperti Yahudi.. Dan kalau kita katakan pula, misalnya, Nabi Muhammad SAW itu adalah ‘al-Haqiqatul Muhammadiyah’, atau ‘Nur Muhammad’, iaitu Allah SWT sendiri yang menjelmakan diri (Ibraza Haqiqatihi) ke dalam alam ini, sebagai anutan sesetengah ahli tasawuf, nescaya sesatlah kita seperti Nasrani”. (Tafsir al-Azhar 1/86)

                                  ……………………………………………………………………………………………………………………………………………….

KEDUDUKAN AMIN SELEPAS AL-FATIHAH

                                                                                                                                               آمِيْن

Amin bukan sebahagian daripada al-Fatihah. Namun sunat membacanya selepas selesai membaca surah al-Fatihah. Berkata Hamka: “Setelah selesai Imam membaca aI-Fatihah, nescaya akan dikuncinya dengan menyebut Amin, dan bersamaan dengan itu seluruh makmum yang mengikuti di belakang pun membaca Amin juga”. (Tafsir al-Azhar 1/99

    • DALIL MEMBACA AMIN : Menurut riwayat dari Wail bin Hujr RA, dia sendiri mendengar Rasulullah SAW memanjangkan suaranya seketika membaca Amin itu (dengan madd), baik pada Aa atau Min. Abu Daud meriwayatkan bahawa suara baginda diangkat waktu membaca Amin itu. Oleh sebab itu, sebagaimana yang ditulis oleh as-Syaukani dalam Nailul Authar, membaca Amin itu, baik menyambutnya seketika selesai Imam membaca al-Fatihah di sembahyang jahar, atau seketika setiap orang selesai membaca al-Fatihah, adalah termasuk peraturan syarak. Menurut pendapat jumhur (majoriti ulama) bacaan Amin itu adalah sunnah. Amin itu, menurut keterangan kebanyakan ahli-ahli ilmu bermaksud: ‘Ya Tuhan, perkenananlah permohonan kami’.” (Tafsir al-Azhar 1/99)

    • ULASAN IMAM IBN KATHIR : Berkata Imam Ibn Kathir: “Orang yang membaca al-Fatihah disunatkan mengucapkan lafaz Amin. Maksud ‘Amin’  ialah ‘Ya Allah, kabulkanlah’. Dalil yang menunjukkan hukum sunat membaca Amin ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Tirmizi melalui Wail ibn Hujr RA yang menceritakan:

                                                   سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ : غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ

فَقَالَ: “آمِينَ”، مَدَّ بِهَا صَوْتَهُ، وَلِأَبِي دَاوُدَ: رَفَعَ بِهَا صَوْتَهُ

    • Maksudnya: “Aku pernah mendengar Nabi SAW membaca, ‘ghairil maghdubi ‘alaihim walad dhallin’. Maka baginda membaca, ‘Amin,’ seraya memanjangkan suaranya dalam membacanya. Menurut riwayat daripada Imam Abu Daud, baginda mengeraskan bacaan Amin. Hadis yang sama diriwayatkan juga melalui Ali, dan Ibn Mas’ud serta yang lain-lainnya RA”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/98)

                                     ……………………………………………………………………………………………………………………………………….

IBRAH UMUM SURAH AL-FATIHAH

Surah ini dinamakan al-Fatihah, iaitu, pembuka kitab dalam bentuk tulisan. Ia juga merupakan pembuka kepada solat. Surah ini juga dinamakan sebagai Ummul Kitab menurut jumhur ulama, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Iban Kathir. Tambahan daripada itu, Imam Ibn Kathir berkata: “Surah al-Fatihah mempunyai tujuh ayat. Ia mengandungi:

    • Puji-pujian kepada Allah SWT, pengagungan dan sanjungan terhadap-Nya, dengan menyebut nama-nama-Nya yang terbaik, sesuai dengan sifat-sifat-Nya Yang Maha Tinggi.

    • Disebutkan pula tentang hari kembali — iaitu hari pembalasan.

    • Juga mengandungi petunjuk buat hamba-hamba-Nya agar mereka bermohon dan merendahkan diri kepada-Nya, serta berlepas diri daripada upaya dan kekuatan diri sendiri.

    • Surat Al-Fatihah mengandungi makna ikhlas dalam beribadah kepada-Nya dan mengesakan-Nya dengan sifat uluhiyyah, serta membersihkan-Nya daripada segala bentuk penyekutuan atau persamaan atau tandingan.

    • Juga mengandungi permohonan kepada Allah SWT untuk diberi hidayah (petunjuk) ke jalan yang lurus — iaitu agama yang benar — dan permohonan mereka agar hati mereka diteguhkan dalam agama tersebut hingga dapat menghantarkan mereka melampaui sirat (jambatan) kelak di hari kiamat, dan akhirnya membawa mereka ke syurga yang penuh kenikmatan di sisi para Nabi, golongan yang siddiq, para syuhada, dan orang-orang yang soleh.

    • Surah ini mengandungi targhib (rangsangan) untuk mengerjakan amal-amal soleh agar mereka dimasukkan bersama golongan yang soleh kelak di hari kiamat.

    • Juga mengandung tarhib (peringatan) terhadap jalan yang batil agar mereka tidak dikumpulkan bersama orang-orang yang menempuhnya kelak di hari kiamat. Mereka yang menempuh jalan batil itu adalah orang-orang yang dimurkai Allah SWT dan orang-orang yang sesat”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/30)

       

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Pulau Pinang.
       (30/1/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.        

RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

    1. Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
    2. Tafsir al-Azhar, Juz 1, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
    3. Al-Jamik li Ahkamil Quran, Jilid 1, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
    4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’), Pustaka Ibnu Kathir, Bogor, Indonesia.
    5. Al-Asas fit Tafsir, Jilid 1, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
    6. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
    7. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 199