SI KAFIR YANG DIKUNCI MATI HATI DAN JUGA PENDENGARANNYA.. ADAKAH MEREKA INI DIZALIMI?
AYAT 6 SURAH AL-BAQARAH (2:6):
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ 6
“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, sama ada kamu berikan peringatan atau tidak kamu berikan peringatan, mereka tidak juga akan beriman”. (al-Baqarah 2:6)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 6 SURAH AL-FATIHAH: (MAKSUD KAFIR DAN SIKAP SI KAFIR)
Berkata Hamka: “(Dalam ayat sebelum ini) telah ditunjukkan bahawa orang yang mendapat petunjuk ialah orang yang bertakwa, iaitu, orang yang telah menyediakan dirinya buat percaya. Dia telah membuka hatinya untuk menerima petunjuk itu, sehingga selangkah demi selangkah dapat mereka penuhi sehingga akhirnya boleh meneruskan dengan amal, pertama beramal ibadat dengan solat kepada Tuhan, kedua bermurah hati memberi kepada sesama manusia. Tetapi orang yang kafir, sukarlah buat dimasuki oleh petunjuk itu”. (Tafsir al-Azhar 1/121)
-
- MAKSUD KAFIR : Berhubung ‘innal lazina kafaru’ (sesungguhnya orang-orang kafir), Imam Ibn Kathir berkata: “Iaitu orang-orang yang menutup perkara yang hak dan menyembunyikannya.” (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/129) Berkata Hamka: “Apa erti kafir? Ia daripada (kalimat) kufur dan pembuatnya dinamai kafir, iaitu (orang) yang menimbuni atau menyembunyikan sesuatu sehingga tidak kelihatan lagi. Disebutkan dalam al-Quran dalam surah al-Hadid (surah 57, ayat 20) bahawa peladang yang menanamkan benih lalu menimbunnya dengan tanah sehingga benih itu terbenam di dalam tanah, mereka dinamakan sebagai kuffar.. Di sini kita melihat maksud kalimat kufur itu. Yakni dalam hati sanubari itu ada kesediaan buat menerima kebenaran, tetapi oleh si kafir itu (benih-biji) yang boleh tumbuh dengan baik itu ditimbunnya. Maka dikemukakan pelbagai alasan kebenaran dengan pelbagai cara, namun bagi mereka sama saja, tidak mereka terima. Mereka telah mengkafiri suara hati mereka sendiri”. (Tafsir al-Azhar 1/121-122)
-
- PUNCA MENJADI KAFIR : Berkata Syeikh Said Hawa: “Kufur ialah menutup kebenaran dengan sikap penentangan (juhud)”. (Rujuk al-Asas fit Tafsir 1/69) Berkata Hamka: “Orang menjadi kafir kadang-kadang ialah kerana juhud, iaitu meskipun seruan yang disampaikan kepada mereka itu tidak dapat mereka tolak kebenarannya, tetapi oleh kerana mengganggu kedudukan dan perasaan tinggi diri mereka, maka kebenaran itu mereka tolak. Banyak pemuka Quraisy di Makkah tidak mau menerima peringatan Nabi SAW yang melarang mereka menyembah berhala, atau memakan riba, kerana keduanya itu bertali dengan kedudukan mereka. Pemuka-pemuka Yahudi di Madinah pun menolak kebenaran yang dibawa Nabi SAW bukan kerana yang baginda serukan itu tidak benar, melainkan kerana hasad, dengki dan iri hati. Mengapa seorang Arab mengakui dirinya menjadi Rasul Allah, padahal Nabi dan Rasul itu sepatutnya daripada Bani Israel?” (Tafsir al-Azhar 1/122)
-
- MAKSUD INZAR : Allah berfirman, “Sama saja bagi mereka, sama ada kamu berikan ‘inzar’ (peringatan) atau tidak kamu berikan ‘inzar’ (peringatan), mereka tidak juga akan beriman”. Al-Baidhawi dalam Anwar at-Tanzil wa Asrar at-Ta’wil berkata, “Inzar adalah peringatan yang disertai khabar menakutkan tentang azab Allah
………………………………………………………………………………………………………………………………………….
AYAT 7 SURAH AL-BAQARAH (2:7):
خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ 7
“Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksaan yang amat berat”. (al-Baqarah 2:7)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 7 SURAH AL-FATIHAH: (SI KAFIR YANG DIKUNCI HATI DAN PENDENGARAN, SERTA PENGLIHATAN DITUTUP)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Khatamallahu, menurut as-Saddi maknanya ialah ‘Allah mengunci mati’. Menurut Imam Qatadah, ayat ini bermakna, ‘Syaitan telah menguasai mereka kerana mereka mentaatinya, maka Allah mengunci mati kalbu dan pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka terdapat tutupan. Mereka tidak dapat melihat jalan hidayah, tidak dapat mendengarnya, tidak dapat memahaminya, dan tidak dapat memikirkannya”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/131)
-
- ADAKAH SI KAFIR INI DIZALIMI? : Adakah Allah sengaja mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan menutup penglihatan mereka, dan akhirnya menyediakan azab yang pedih bagi mereka yang kafir ini? Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Qurtubi berkata, para ulama sepakat bahawa Allah SWT menyifatkan diri-Nya mengunci mati dan menutup hati orang-orang kafir sebagai balasan yang setimpal atas kekufuran mereka, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya dalam surah an-Nisak 4:155, “Bahkan Allah telah mengunci mati hati mereka kerana kekufuran mereka sendiri.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/46)
بَلْ طَبَعَ اللَّهُ عَلَيْها بِكُفْرِهِمْ (an-Nisak 4:155)
-
- Berkata Syeikh Said Hawa: “Apabila manusia mengetahui dan memahami firman Allah dalam as-Saff 61:5, ‘Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), maka Allah memalingkan hati mereka,’ juga memahami ayat-ayat lain yang seumpamanya, mereka akan menyedari bahawa golongan kafir ini di tutup mati hati mereka dan dipisahkan mereka daripada petunjuk kerana balasan yang setimpal atas perbuatan mereka bergelumang dalam kebatilan serta menolak kebenaran”. (al-Asas fit Tafsir 1/82)
فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ (as-Saff 61:5)
-
- Berkata Hamka: “Lantaran sikap mereka yang penuh kesombongan, penuh juhud (penentangan), serta ‘inad (keras kepala), maka hati dan pendengaran mereka telah dicap (dimeterai) oleh Tuhan. Atau telah disegel. Maksudnya kekafiran itu telah menjadi sikap hidup mereka. Tidak mampu diubah lagi.. Dan pada penglihatan mereka sudah ada penutup.. Sebab itu apa jua pun (kebenaran) yang diperlihatkan kepada mereka, tidaklah akan nampak oleh mereka lagi.. Pendeknya (mereka) tidak menerima, tidak mau percaya kepada keterangan-keterangan jelas yang termaktub dalam Kitab Allah, semuanya itu ditolaknya, setelah datang kepadanya keterangan yang jelas.. Azab kekufuran (untuk mereka) itu amat besar. Pertama azab dalam kehidupan di dunia dan kedua azab di akhirat kelak.”. (Tafsir al-Azhar 1/122-124)
-
- NAMUN ADA SI KAFIR YANG BERIMAN : Benar. Ahli sihir Firaun yang pada suatu ketika menentang Nabi Musa SAW, kemudiannya mereka beriman. Namun Firaun terus menerus menentang dan menjadi kafir. Berkata Said Hawa: “Ramai golongan yang dahulunya kafir telah menjadi Muslim kemudiannya.. Justeru, sebahagian ulama tafsir berkata, ayat ini adalah kenyataan Allah tentang segolongan kafir yang tidak akan beriman sama sekali, yang mana keadaan mereka diketahui Allah mengikut pengetahuan ilmu Allah secara pasti (sejak azali)”. (al-Asas fit Tafsir 1/83)
-
- AWAS, MUSLIM BOLEH MENJADI KAFIR : Berkata Hamka, “Kita misalkan ada seorang beragama Islam, tetapi dia tidak mengerjakan puasa atau sembahyang. Dia belum tentu menjadi kafir. Tetapi kalau dia sudah menyatakan bahawa sembahyang dan puasa itu tidak dikerjakannya, kerana dia tidak mahu percaya akan perintah itu, meskipun sudah pasti dia patut tahu sebagai seorang Islam, maka pada waktu itulah dia boleh disebut kafir.. Tahu akan kebenaran tetapi tidak mau mengakuinya, inilah corak kafir yang terbanyak di zaman Nabi SAW. Adapun kafir di zaman kita ini yang hampir sama dengan itu ialah orang-orang yang menyatakan bahawa Islam itu hanya agama untuk orang Arab, bukan untuk bangsa lain. Atau yang berkata bahawa agama itu hanya untuk ibadat kepada Allah saja, sedangkan peraturan Islam yang berkaitan masyarakat, tidaklah sesuai lagi dengan zaman ini, wajib dirobek sama sekali.. Misalnya juga tentang larangan riba dalam al-Quran. Al-Quran sudah melarang riba dengan nyata.. Maka kalau ada orang yang berkata, bahawa peraturan al-Quran tentang riba itu sudah kolot, kita tidak percaya bahawa ia dapat menyusun ekonomi kita. Orang-orang ini sudah terancam oleh kekafiran. Tetapi kalau dia berkata: ‘Pengaruh Yahudi terlalu besar kepada ekonomi dunia ini, sehingga kita umat Islam terpaksa memakai sistem ekonomi dengan riba itu, dan belum dapat berbuat lain,’ (ketika itu) belum dapat orang itu dituduh kafir”. (Tafsir al-Azhar 1/125)
-
- RANCAKKAN DAKWAH UNTUK GOLONGAN KAFIR : Berkata Hamka, “(Ada golongan) yang dia tahu hanyalah, asal perut berisi, asal selera lepas, asal dapat hidup, (sudah cukup). Kekafiran seperti ini terdapat pada umat yang buta agama, yang jarang sekali mendapat penerangan atau dakwah. Kafir kerana bodoh ini masih dapat diikhtiarkan untuk diperbaiki dengan memperbanyakkan dakwah agama”. (Tafsir al-Azhar 1/125)
-
- KESIMPULAN : Golongan kafir merupakan golongan yang menentang kebenaran walaupun berhadapan dengan hujah yang jelas. Mereka berusaha memadamkan dan menyembunyikan kebenaran walaupun mereka tahu itu adalah kebenaran. Sebahagian daripada mereka memang pasrah, bulat hati, menentang kebenaran sampai ke bila-bila tanpa henti. Allah mengetahui sejak azali lagi tentang kelompok ini, dan ayat 6-7 dalam surah al-Baqarah ini menceritakan tentang mereka ini. Namun kita sebagai umat Islam tugas kita bukan mengkafirkan manusia secara semberono, sebaliknya kita ditugaskan untuk berdakwah, apatah lagi kepada golongan yang kafir (rujuk surah Yusuf ayat 108). Memang ada sebahagian yang kafir yang akan beriman dengan izin-Nya SWT. Pada ketika yang sama hendaklah kita memelihara diri kita daripada terjatuh ke dalam lembah kekufuran melalui ucapan-ucapan serta tindak tanduk kita yang bercanggah dengan akidah Islam. Mari memperbanyakkan doa agar hati kita tidak cenderung kepada kekufuran. Nabi SAW seringkali berdoa dengan satu doa yang penting, iaitu:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ
- Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agama-Mu.” (Riwayat Tirmizi, Ibn Majah. Al-Albani mengatakan hadisnya sahih)
-
- Pastikan hati kita sentiasa bersih daripada dosa dan noda. Sahabat Abu Hurairah RA meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ ذَنْبًا كَانَتْ نُكْتة سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ ونزعَ وَاسْتَعْتَبَ صُقِلَ قَلْبُهُ، وَإِنْ زَادَ زَادَتْ حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ، فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {كَلا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}
- Maksudnya: “Sesungguhnya seorang Mukmin itu apabila berbuat suatu dosa maka ia menghasilkan titik hitam pada hatinya. Tetapi jika dia bertaubat dan meninggalkan dosa serta menyesali, maka bersihlah hatinya. Tetapi apabila dosanya bertambah, maka bertambahlah titik hitam itu hingga (lama-kelamaan) menutupi hatinya. Yang demikian itulah yang dimaksudkan dengan istilah ar-Ran dalam firman-Nya, ‘Sekali-kali (tidak seperti yang mereka dakwakan), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu (iaitu dosa) telah menutupi hati mereka’.” (al-Muthaffifin 83:14) (Riwayat Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban, Ahmad. Berkata al-Albani, hadis hasan)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 18 Jamadil Akhir, 11/01/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
-
- Tafsir al-Azhar, Juz 1, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Jilid 1, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’), Pustaka Ibnu Kathir, Bogor, Indonesia.
- Al-Asas fit Tafsir, Jilid 1, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.