PERBUATAN MELAMPAU MANUSIA KE ATAS KITA BOLEH DIBALAS SECARA YANG SETIMPAL
TAFSIR AYAT 194 SURAH AL-BAQARAH (2:194)
الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
“Bulan yang mulia dengan bulan yang mulia. Dan segala yang mulia itu ada padanya qisas. Maka barang siapa yang melanggar kepada kamu hendaklah dilanggar pula atasnya, yang setimpal dengan pelanggarannya ke atas kamu itu. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah adalah berserta dengan orang-orang yang bertakwa”. (al-Baqarah 2:194)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 194 SURAH AL-BAQARAH: (MEMBALAS SECARA SETIMPAL DIIZINKAN)
“Bulan yang haram (mulia) dengan bulan yang haram (mulia)’ (pangkal ayat 194). Berkata Syeikh Said Hawa: “Golongan musyrikin ingin melakukan peperangan sebelum berlakunya Perjanjian Hudaibiyah, dalam bulan haram Zulkaedah. Namun ianya tidak berlaku kerana terjadi Perjanjian Hudaibiyah. Maka umat Islam tidak dapat melakukan umrah pada tahun itu dan terpaksa kembali. Namun umrah ini digantikan pada tahun berikutnya dan ia berlaku pada bulan Zulkaedah sebagaimana yang sepatutnya berlaku pada tahun sebelumnya. Maka Allah turunkan ayat ini untuk menjelaskan bahawa (umrah) pada bulan haram ini adalah menggantikan (umrah yang tidak berlaku) pada bulan haram yang lepas”. (al-Asas fit Tafsir 1/445)
- TINDAKAN MELAMPAU KE ATAS UMAT ISLAM BOLEH DIBALAS SECARA SETIMPAL (QISAS) WALAUPUN DI TEMPAT DAN BULAN YANG SUCI :‘Dan segala yang mulia itu (hurumaat) ada padanya qisas’ (ayat 194). Berkata Hamka: “Dalam ayat ini disebut hurumaatu, iaitu kata jamak daripada hurmah, yang bererti suci. Terdapat pelbagai kesucian di sana: Pertama bulan yang suci (as-Syahrul Haram). Kedua, tanah itu sendiri tanah suci. Ketiga, masjidnya suci, Masjidil Haram. Maka segala pekerjaan suci itu diharamkan oleh syarak untuk mengotorinya dengan perbuatan-perbuatan yang akan merusak kesuciannya. Tetapi betapa pun sucinya, kalau sekiranya kamu diserang terlebih dahulu, kamu wajib mengambil qisasnya (membalas secara setimpal), iaitu pukul lawan pukul, hantam lawan hantam”. (Tafsir al-Azhar 2/126)
- BOLEH BALAS PERBUATAN JAHAT SECARA SETIMPAL : Berkata Hamka: “Lanjutan ayat menegaskan lagi: ‘Maka barang siapa yang melanggar kepada kamu hendaklah dilanggar pula atasnya, yang setimpal dengan pelanggarannya ke atas kamu itu’. Melanggar di sini ialah memulai serangan. Maksud tafsir dari ayat ini akan lebih jelas lagi apabila kita ketahui sebab turunnya. Menurut riwayat daripada Ibn Jarir, daripada Ibn Abbas RA, bahawa seketika Rasulullah SAW telah bermimpi baginda akan naik melakukan umrah dengan selamat, maka pada tahun keenam daripada hijrah baginda ajaklah 1,200 orang sahabatnya menunaikan umrah itu, dalam bulan Zulkaedah, iaitu salah satu daripada empat bulan suci (Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan bulan Rejab). Tetapi sesampai di Hudaibiyah baginda dihalang.. tidak boleh meneruskan perjalanan ke Makkah. Lalu diadakan perundingan, bahawa tahun itu mereka tidak boleh ke Mekah, tetapi tahun depan boleh! (Zulkaedah tahun ini digantikan dengan Zulkaedah tahun depan). Inilah yang dimaksudkan dengan bulan yang mulia dengan bulan yang mulia. Ertinya bulan yang mulia diganti dengan bulan yang mulia pula. Dalam perjanjian Hudaibiyah itu diterangkan pula bahawa selama mengerjakan umrah itu orang Mekah tidak akan mengganggu, sesuai dengan peraturan suci yang telah berlaku berabad-abad. Malahan mereka bersedia meninggalkan kota selama kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah masih melakukan ibadat Umrah. Maka pada tahun ketujuh, Nabi dan pengiringnya melakukan Umratul Qada itu, pengganti umrah yang tidak jadi. Pada waktu itulah turun ayat ini, memberi peringatan kepada kaum Muslimin bahawa ibadat umrah itu wajib dilakukan, tidak boleh mundur. Sebagai tentera Islam yang telah banyak pengalaman dengan kaum musyrikin itu, mereka tidak boleh melupakan, kemungkinan yang bisa terjadi. Kaum Muslimin tidak boleh melanggar peraturan.. Tetapi kemungkinan musuh melanggar janji. Kalau itu (terjadi), tidaklah boleh kaum Muslimin lengah.. ada saja kemungkinan segala kemuliaan dan kesucian itu dirobek-robek oleh kaum musyrikin itu. Kalau ini (terjadi) segala kesucian dan kemuliaan (yang dilanggar) itu ada qisasnya, gayung disambut, kata dijawab, kalau mereka melanggar terlebih dahulu, hendaklah ditangkis dengan seimbang pula. Sebagaimana yang mereka lakukan kepadamu, lakukan pula kepada mereka semacam itu”. (Tafsir al-Azhar 2/127)
- BERTAKWALAH, BERTAKWALAH : Seterusnya Allah berfirman ‘Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang bertakwa’ (hujung ayat 194). Berkata Syeikh Said Hawa: “(Bertakwalah) dalam semua keadaan. Apatah lagi ketika kamu memerlukan pertolongan (Ilahi) ketika menghadapi mereka yang bertindak melampaui batas ke atas kamu. Namun kamu jangan bertindak melampaui batas ke atas mereka. ‘Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang bertakwa’. Allah berserta dengan memberikan kemenangan dan memberikan pertolongan (kepada kamu) di dunia dan akhirat”. (al-Asas fit Tafsir 1/446)
- TINDAKAN MELAMPAUI KE ATAS KITA BOLEH DIBALAS SECARA SETIMPAL : ‘Maka barang siapa melanggar ke atas kamu hendaklah dilanggar pula ke atasnya setimpal dengan pelanggarannya ke atas kamu’ (ayat 194). Berkata Imam Qartubi: “Sesiapa yang menzalimi kamu maka ambillah hak kamu (boleh membalas) setimpal dengan kezaliman yang ditimpakan ke atas kamu. Sesiapa yang mengutuk kamu boleh dibalas secara setimpal. Yang mencemar maruah kamu boleh dibalas secara setimpal. Namun jangan bertindak melampau sehingga menyerang ibu bapanya, anak pinaknya atau kaum kerabatnya (yang tidak berkenaan). Tetapi jika dia berdusta ke atas kamu, jangan kamu balas dengan pendustaan, kerana sesuatu maksiat tidak boleh dibalas dengan maksiat”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/734) Dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-748 dinyatakan: “Tetapi jika seseorang itu dizalimi atau dihina terlebih dahulu, maka tidak mengapa untuk menghina kembali atau mendoakan keburukan kepada pelaku perbuatan buruk tersebut. Namun sebaik-baiknya lebih afdal jika memaafkan kesalahan tersebut. Oleh yang demikian, jelas bahawa tidak mengapa seseorang untuk membalas perbuatan keburukan yang dilakukan terhadap kita, tetapi dengan syarat haruslah setimpal dan tidak melebihi batasan”.
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(13 Muharram 1445 H. Bersamaan 31/07/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.
- https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5510-irsyad-al-fatwa-siri-ke-748-hukum-tidak-memberi-kemaafan