Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 190-193

AYAT INI MERUPAKAN AYAT PERANG PERTAMA YANG DITURUNKAN DI MADINAH.. TIDAK BOLEH MELAMPAUI BATAS.. HUKUM BERPERANG DI MASJID AL-HARAM.. FITNAH LEBIH BESAR BAHAYANYA BERBANDING PEMBUNUHAN?

TAFSIR AYAT 190-193 SURAH AL-BAQARAH (2:190-193)

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ 190  وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ وَلا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِنْ قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ كَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ 191  فَإِنِ انْتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ 192 وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انْتَهَوْا فَلا عُدْوَانَ إِلا عَلَى الظَّالِمِينَ

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah), dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang kafir. Kemudian jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang-orang yang zalim”. (al-Baqarah 2:190-193)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 190-193 SURAH AL-BAQARAH: (PERANGILAH ORANG KAFIR. PERANGI HINGGA TIADA LAGI FITNAH) 

Berkata Imam Ibn Kathir: “Abu Jaafar ar-Razi meriwayatkan daripada ar-Rabi’ ibn Anas, daripada Abul Aliyah tentang firman-Nya: ‘Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangimu’ dan dia berkata: Inilah ayat pertama yang Allah turunkan tentang perang di Madinah. Setelah ayat ini diturunkan, maka Rasulullah SAW memerangi orang-orang yang telah memerangi baginda dan membiarkan orang-orang yang tidak memerangi baginda, hingga turunlah surat Bara’ah (surat at-Taubah). Abdur Rahman ibn Zaid ibnu Aslam mengatakan hal yang sama, malah dia mengatakan bahawa ayat ini dimansuhkan oleh firman-Nya: ‘Maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana saja kamu jumpai mereka’ (at-Taubah ayat 5). Akan tetapi, pendapat ini perlu dipertimbangkan (ditinjau kembali) kebenarannya, kerana firman Allah: ‘Orang-orang yang memerangi kamu’ (al-Baqarah ayat 190) merupakan dorongan dan motivasi untuk memerangi musuh-musuh yang berniat untuk memerangi Islam dan para pemeluknya. Maksudnya, sebagaimana mereka memerangi kamu, maka perangilah mereka. Ia sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah: ‘Dan perangilah kaum musyrik itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya’ (at-Taubah ayat 36). Justeru dalam ayat ini Allah SWT berfirman: ‘Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu (Mekah)’ (al-Baqarah ayat 191), (semua ini bermaksud) agar semangat kamu berkobar untuk memerangi orang-orang musyrik itu, sebagaimana semangat mereka berkobar-kobar untuk memerangi kamu. Dan agar kamu terdorong untuk mengusir mereka dari negeri yang mereka telah mengusir kamu darinya sebagai pembalasan yang setimpal”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/226)

  • JANGAN MELAMPAUI BATAS DALAM PEPERANGAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Tetapi janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas’ (ayat 190). Yakni perangilah mereka di jalan Allah, tetapi janganlah kamu bersikap melampaui batas dalam hal ini. Termasuk dalam pengertian bertindak melampaui batas ialah melakukan hal-hal yang dilarang (dalam perang). Menurut al-Hasan al-Basri antara lain ialah mencincang musuh, curang, membunuh wanita-wanita, anak-anak serta orang-orang yang lanjut usia yang tidak ikut berperang, para rahib dan pendeta yang ada di dalam gereja, membakar pohon, dan membunuh haiwan bukan kerana maslahat. Hal ini dikatakan oleh Ibn Abbas RA, Umar bin Abdul Aziz, Muqatil ibn Hayyan, dan lain-lainnya. Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Buraidah RA: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “اغْزُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِالْلَّهِ، اغْزُوا وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ”. Nabi SAW bersabda: ‘Pergilah di jalan Allah dan perangilah orang yang kafir kepada Allah. Berperanglah kamu, tetapi janganlah kamu curang, jangan khianat, jangan mencincang, dan jangan membunuh anak-anak serta jangan membunuh orang-orang yang ada di dalam gerejanya’. Dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim disebutkan: daripada sahabat Ibn Umar RA yang menceritakan: ‘Pernah dijumpai seorang wanita yang terbunuh dalam suatu peperangan. Maka sejak itu baginda membenci membunuh wanita dan anak-anak”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/226)
  •  FITNAH LEBIH DAHSYAT BERBANDING PEMBUNUHAN : “Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu bertemu mereka, dan keluarkanlah mereka sebagaimana mereka telah mengeluarkan kamu’ (pangkal ayat 191). Berkata Hamka: “Tegaslah kalau perang mesti terjadi janganlah bersikap tanggung-tanggung, hentam terus! Bunuh, tikam, amuk, pendeknya segala apa yang dilakukan di dalam perang, hendaklah dilakukan. Jangan mengenal kasihan. Dan kerana kamu memegang keyakinan agama kamu, sekarang boleh balas, usir pula mereka, seret jadikan tawanan”. (Tafsir al-Azhar 2/123) ‘Dan fitnah adalah lebih ngeri daripada pembunuhan’. Abul Aliyah, Mujahid, Qatadah, Sa’id ibn Jubair, Ikrimah, al-Hasan, ad-Dahhak, dan ar-Rabi’ ibn Anas berkata (fitnah itu ialah) musyrik, dan bahayanya lebih besar daripada pembunuhan”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/227) Berkata Syeikh Said Hawa: “Ayat ini menunjukkan umat Islam bukan golongan pasif. Jika ada golongan yang mahu menyakiti mereka, mereka boleh bertindak setimpal apa yang mereka lakukan. Dalam ayat ini (dengan perintah perangnya) pasti akan mengancam jiwa dan menghasilkan pembunuhan. Namun Allah peringatkan bahawa apa yang mereka (golongan kafir) lakukan dengan kekufuran dan syirik kepada Allah, serta menghalang manusia dari jalan Allah, dan usaha gigih mereka untuk mengkafirkan golongan yang beriman, itu lebih dahsyat dan teruk berbanding pembunuhan yang terpaksa dilakukan oleh orang Islam”. (al-Asas fit Tafsir 1/443-444)
  • JANGAN BERPERANG DI MASJIDIL HARAM, KECUALI.. : “Dan jangan kamu perangi mereka di Masjidil Haram, sehingga mereka perangi kamu’ (ayat 191). Berkata Hamka: “Sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS telah menjadi ikatan janji dari seluruh bangsa Arab bahawa kesucian Masjidil Haram harus dipertahankan bersama. Tidak boleh ada perkelahian dan peperangan di dalamnya pada khususnya dan Tanah Haram pada umumnya. Ini wajib dipegang teguh oleh kaum Muslimin. Tetapi kalau mereka perangi kamu di situ, kamu pun boleh mempertahankan diri, tangkis serangan mereka dan bunuh mereka. ‘Maka jika mereka perangi kamu, maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan untuk orang-orang yang kafir’ (hujung ayat 191). Dengan ayat di hujung ini bolehlah kita simpulkan bahawa jika kaum Muslimin mereka perangi juga dalam Masjidil Haram, hendaklah balas pula dan bunuh pula mereka. Sebab merekalah yang melanggar peraturan, bukan kamu. Tangkisan dan serangan pihak kaum Muslimin adalah sebagai.. suatu hukuman (terhadap) orang yang kafir, kerana merusakkan kesucian Masjidil Haram itu”. (Tafsir al-Azhar 2/123-124)
  • TETAPI JIKA MEREKA BERHENTI BERPERANG.. : “Tetapi jika mereka berhenti, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Penyayang’ (ayat 192). Berkata Hamka: “Ertinya, kalau perbuatan yang sangat keji itu, yakni memerangi orang yang sedang dalam Masjidil Haram telah dibalas dan dihukum, lalu mereka hentikan perbuatan itu, kerana sudah merasai bagaimana kerasnya pukulan kaum Muslimin, (bahawa) kaum Muslimin tidak boleh dipermainkan, (maka) hendaklah hukuman (perang) ke atas mereka itu dihentikan. Sebab balasan kaum Muslimin terhadap mereka (kerana) perintah Tuhan, semata-mata buat mengajar mereka.. Tetapi kalau mereka tidak mau juga berhenti, sedang yang memulai tadinya ialah mereka, maka kaum Muslimin wajib meneruskan mengajar (perangi) mereka, sampai mereka tunduk”. (Tafsir al-Azhar 2/124)

    • PERANGI MEREKA SEHINGGA HILANG FITNAH : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah lagi, dan jadilah agama untuk Allah’ (pangkal ayat 193). Yang dimaksudkan dengan fitnah ialah syirik (mempersekutukan Allah). Demikianlah menurut apa yang telah dikatakan oleh Ibn Abbas RA, Abul Aliyah, Mujahid, al-Hasan, Qatadah, ar-Rabi’, Muqatil ibn Hayyan, as-Saddi, dan Zaid ibn Aslam. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/227) Berkata Hamka: “Sampai mereka tunduk betul-betul dan mengaku kalah, dan tidak berani lagi mengadakan fitnah sebab kekuatan mereka sudah habis. Pada waktu itu agama pun tegak untuk Allah. Sebab itu maka ditegaskan di terusan ayat: ‘Tetapi jika mereka telah berhenti’ kerana daya mereka telah habis, ‘maka tidak ada lagi permusuhan’. Orang Islam tidak boleh lagi menghancurkan orang yang tidak berdaya. ‘Kecuali atas orang-orang yang aniaya’ (pangkal ayat 193). Iaitu orang-orang yang masih saja melawan, hendaklah dihentam terus, sampai tidak berkutik lagi”. (Tafsir al-Azhar 2/124)

    • BERJUANG NIATNYA KENA BETUL. JIKA TIDAK HANYA SIA-SIA : Tujuan sesuatu perjuangan dalam Islam mestilah demi memenangkan dan meninggikan agama Allah. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Musa al-Asy’ari RA: عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ، قَالَ: سُئِل النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يُقاتل شُجَاعَةً، وَيُقَاتِلُ حَميَّة، وَيُقَاتِلُ رِيَاءً، أَيُّ ذَلِكَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ: “مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فهو فِي سَبِيلِ اللَّهِ” “Nabi SAW pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang berperang kerana keberaniannya, seorang lelaki yang berperang kerana fanatiknya (terhadap sesuatu), dan seorang lelaki yang berperang kerana riyak (menunjuk-nunjuk), yang manakah antara mereka yang berperang di jalan Allah? Nabi SAW menjawab, ‘Barang siapa yang berperang demi meninggikan kalimah Allah, maka dia adalah orang yang berperang di jalan Allah’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    • TIDAK ADA SATU AYAT PUN DI DALAM AL-QURAN ATAU DALAM SABDA NABI, BAHWA KEPERCAYAAN ISLAM ITU DIPAKSAKAN DENGAN PEDANG -HAMKA : Berkata Hamka: “Demikian ajaran atau doktrin perang yang dipancangkan oleh wahyu terhadap kaum Muslimin dalam menegakkan dan mempertahankan agama. Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran atau dalam sabda Nabi, bahawa kepercayaan Islam itu dipaksakan dengan pedang, sebagaimana yang telah difitnahkan oleh musuh-musuh Islam, iaitu negara-negara penjajah dan kaki tangannya. Kerana sampai sekarang ini.. sudah berlalu 14 abad, masih dapat (kita) saksi. Di Lebanon yang baru 50 tahun yang akhir ini merupakan sebuah negara, dan sebelum itu adalah dalam pemerintah Islam masih terdapat pemeluk Kristian Maroni. Demikian juga di Suria, setengah juta pemeluk Kristian dari 4 juta penduduk, dan di Mesir terdapat dua juta Kristian Kopti dari 25 juta penduduk. Kalau memang Islam dipaksakan dengan pedang, nescaya sudah lama mereka habis atau (berpindah) ke negeri lain. Berbeza dengan keadaan kaum Muslimin di Sepanyol yang pada abad ke-15 masih kira-kira 12 juta banyaknya, tetapi di hujung abad keenam belas habis dipaksa masuk Kristian dan yang tidak mau menukar agama, lari (menyelamatkan diri) ke Afrika Utara. Itulah bukti agama yang dipaksakan dengan pedang!” (Tafsir al-Azhar 2/124-125)

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (10 Muharram 1445 H. Bersamaan 28/07/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.    

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA: 

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.

  1.