Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 189

MASUKLAH RUMAH BUKAN DARI PINTU BELAKANG.. DEMIKIAN JUGA DENGAN AGAMA, BERAMALLAH MENGIKUT PINTU SYARIAT YANG BETUL.. ITULAH TAKWA

TAFSIR AYAT 189 SURAH AL-BAQARAH (2:189)

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَى وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah, ‘Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji.’ Dan bukanlah kebajikan kamu memasuki rumah-rumah dari belakangnya, tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masuklah ke rumah-rumah itu dari pintu-pintunya, dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung”. (al-Baqarah 2:189)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 189 SURAH AL-BAQARAH: (MASUKLAH DARI PINTU YANG BETUL)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Al-Aufi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa orang-orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan sabit. Maka turunlah ayat: ‘Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah, “Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia’ (al-Baqarah ayat 189). Yakni dengannya mereka mengetahui waktu masuknya ibadah mereka, bilangan idah isteri-isteri, dan waktu haji mereka. (Contoh ialah menentukan waktu untuk ibadat puasa). Abdur Razzaq meriwayatkan daripada Abdul Aziz ibn Abu Rawwad, daripafa Nafi’, daripada Ibn Umar RA yang berkata:   قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “جَعَلَ اللَّهُ الْأَهِلَّةَ مَوَاقِيتَ لِلنَّاسِ فَصُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنَّ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ يَوْمًا”. Bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Allah menjadikan bulan sabit sebagai tanda-tanda waktu bagi manusia, maka berpuasalah kamu karena melihatnya dan berbukalah kamu karena melihatnya. Maka apabila awan menutupi kalian, sempurnakanlah bilangan menjadi tiga puluh hari’. (Riwayat Abdul Razzak, disahihkan oleh al-Albani)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/225)

    • MENGAPA BULAN BERUBAH-UBAH, SEKEJAP KECIL SEKEJAP BESAR? : Berkata Syeikh Said Hawa: Diriwayatkan bahawa Mu‘az bin Jabal bertanya: ‘Wahai Utusan Allah, mengapa bulan sabit itu terbit dan naik pada mulanya sangat halus. Laksana benang, kemudian jadi bertambah besar dan lama-lama jadi penuh (purnama), kemudian surut kembali dan kurang lagi, sampai kecil pula sebagai keadaan ia mula terbit dan tidak tetap dalam satu keadaan saja?’ Maka turunlah ayat ini.. Menampakkan bahawa lain yang disoal, lain pula jawapannya. Seolah-olahnya ia untuk menunjukkan bahawa perubahan ke atas bulan dari satu tahap ke satu tahap, dan mengapa ianya berlaku sedemikian rupa, itu semua berlaku atas ketentuan Allah, dalam bidang kekuasaan Allah. Yang perlu difokuskan oleh manusia ialah tentang hikmat dan kepentingan kejadian proses itu bagi kehidupan manusia, apatah lagi untuk kepentingan agama. Barulah ia bakal menghasilkan birr atau kebaikan bagi manusia. Tambahan daripada itu agama tidak diturunkan untuk membicarakan, sebagai contoh, tentang kejadian bulan dan proses-proses yang dilaluinya satu persatu. (Itu perbincangan dalam ilmu sains berkaitan ilmu kajian alam). Maka pintu masuk yang betul untuk mengetahui tentang proses yang berlaku kepada alam secara mendalam ialah analisis, uji kaji dan seumpamanya dan ia bidang yang lain. (Tidak salah mengkajinya). Agama lebih mementingkan hikmat serta manfaat sesuatu perkara itu untuk kepentingan penghayatan agama. (Rujuk al-Asas fit Tafsir 1/436) Berkata Hamka: “Kalau hendak menanyakan mengapa bulan mulanya laksana sabit, lama-lama penuh dan akhirnya kecil sebagai sabit lagi, janganlah hal itu ditanyakan kepada Nabi. Tetapi tanyakanlah kepada ahli falak. Samalah halnya bertanya begitu sebagai masuk rumah dari pintu belakang. Tetapi kalau ditanyakan kepada Nabi apa hikmat yang dapat diambil dari peredaran bulan demikian, akan dapatlah dijawab oleh Nabi menurut yang selayaknya dan yang sepadan dengan baginda”. (Tafsir al-Azhar 2/119)

    • ERA JAHILIAH, DAN BUDAYA MEMASUKI RUMAH DARI PINTU BELAKANG : ‘Dan bukanlah kebajikan memasuki rumah dari belakangnya, tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masuklah rumah itu dari pintu-pintunya’ (ayat 189). Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Bukhari meriwayatkan daripada al-Barra’ yang menceritakan bahawa pada mulanya di zaman Jahiliah apabila mereka telah melakukan ihram, mereka memasuki rumahnya dari arah belakangnya. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini. Hal yang sama diriwayatkan pula oleh Abu Daud at-Tayalisi, daripada al-Barra’ bahawa orang-orang Ansar pada mulanya bila mereka tiba dari perjalanannya, maka seseorang daripada mereka tidak akan memasuki rumahnya dari arah pintu (depan), lalu turunlah ayat ini. Al-Hasan al-Basri mengatakan, dahulu beberapa kaum dari kalangan ahli Jahiliah apabila seseorang daripada mereka hendak melakukan suatu perjalanan, lalu dia keluar dari rumahnya memulai perjalanan yang ditujunya. Kemudian sesudah dia keluar, timbul keinginan tetap tinggal dan tidak meneruskan musafirnya, maka dia tidak memasuki rumahnya dari pintu (depan), melainkan masuk dari pintu belakang. Lalu turunlah ayat ini”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/225-226)

    • MASUKLAH AGAMA DARI PINTUNYA YANG BETUL : ‘Dan bukanlah kebajikan memasuki rumah dari belakangnya, tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masuklah rumah itu dari pintu-pintunya’ (ayat 189).’. Berkata Syeikh Said Hawa: “Telah berkata Imam Qartubi: Ayat ini memberi penjelasan bahawa apa-apa yang tidak disyariatkan Allah sebagai suatu (ibadah) untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka yang melakukannya tidak akan dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukannya (walaupun nampak baik).. (Antara contohnya ialah) hadis oleh Imam Bukhari daripada lbn Abbas RA, katanya: ‘Ketika Nabi SAW  sedang berkhutbah, ada seorang laki-laki tetap berdiri. Lalu beliau menanyakan tentang laki-laki itu. Orang itu menjawab: Itulah Abu Israel yang telah bernazar akan terus berdiri, tidak akan duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap-cakap di samping berpuasa. Nabi SAW bersabda: Suruhlah dia berkata-kata, berteduh dan duduk serta terus menyempurnakan puasanya”. (al-Asas fit Tafsir 1/437-438) Beramal tanpa berdasarkan dalil syariat boleh diumpamakan seperti memasuki agama dari pintu belakang yang salah!

    • BERAMAL DAN MEMBUAT KEBAIKAN BERDASARKAN TAKWA : ‘Dan bukanlah kebajikan kamu memasuki rumah dari belakangnya, tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masuklah rumah itu dari pintu-pintunya, dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung’ (ayat 189). Berkata Syeikh Said Hawa: “Kebajikan ialah kebajikan orang yang bertakwa’. (Orang yang bertakwa) meninggalkan apa yang jelas diharamkan Allah. Adakah memasuki rumah dari pintu hadapan diharamkan Allah (sehingga kamu perlu memasukinya dari pintu belakang)? Jika tidak, perbuatan kamu langsung tidak boleh dikatakan sebagai suatu birr atau kebajikan. ‘Bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung’ (hujung ayat 189). Maksudnya, bertakwalah dengan mengikut apa yang Allah perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Semoga dengannya  kamu berjaya di dunia dan akhirat”. (al-Asas fit Tafsir 1/436)

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (10 Muharram 1445 H. Bersamaan 28/07/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

 

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.