HARAM MEMAKAN HARTA SECARA BATIL WALAUPUN MENANG KES DI MAHKAMAH.. BAHAYA RASUAH
TAFSIR AYAT 188 SURAH AL-BAQARAH (2:188)
وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui”. (al-Baqarah 2:188)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 188 SURAH AL-BAQARAH: (LARANGAN MEMAKAN HARTA ORANG SECARA BATIL)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Ali ibn Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa ayat ini berkenaan dengan seorang lelaki yang mempunyai hutang sejumlah harta, sedangkan pemiutang (yang memberi hutang) tidak mempunyai bukti yang kuat. Lalu lelaki tersebut (penghutang) mengingkari hutangnya dan mengadukan perkaranya kepada hakim, padahal dia mengetahui bahawa dirinya berada di pihak yang salah (berdosa) dan memakan harta haram. Hal yang sama diriwayatkan oleh Mujahid, Sa’id ibn Jubair, Ikrimah, al-Hasan, Qatadah, as-Saddi, Muqatil ibn Hayyan, dan Abdur Rahman ibn Zaid ibn Aslam. ereka pernah mengatakan, ‘Janganlah kamu bersengketa (buat kes), sedangkan kamu mengetahui bahawa dirimu berada di pihak yang zalim’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/225)
-
- PENTING MAKANAN SUMBER YANG HALAL : Berkata Hamka: “Pentinglah makanan buat hidup. Selalu Tuhan memberi ingat tentang (kepentingan) makanan yang halal lagi baik, yang bersih dan sesuai dengan kita sebagai manusia. Pada ayat 168 diberi peringatan pada seluruh manusia. Kemudian ayat 172 dan 173 diperingatkan khusus kepada kaum yang beriman supaya memakan makanan yang baik-baik dan menjauhi makanan yang keji, sehingga ditunjukkan apa dia yang keji itu. Dicela orang yang mata pencariannya (ialah) dengan menyembunyikan kebenaran kerana mengharapkan harga yang sedikit. Kemudian.. diterangkan lagi tentang wasiat, dan larangan curang dalam hal wasiat..” (Tafsir al-Azhar 2/114)
-
- CONTOH MEMAKAN HARTA SECARA BATIL : Berkata Hamka: “Dan janganlah kamu makan harta benda kamu antara kamu dengan jalan yang batil’ (pangkal ayat 188).. Sebab itu dikatakan ‘harta benda kamu antara kamu’. Ditanamkan di sini bahawa harta benda kawanmu itu adalah harta benda kamu juga. Kalau kamu aniaya hartanya, samalah dengan kamu menganiaya harta bendamu sendiri jua. Memakan harta benda dengan jalan yang salah, ialah tidak menurut jalan yang patut dan benar. Maka termasuklah di sini segala macam penipuan, pengecohan, pemalsuan, (membuat tuntutan) yang berlebih-lebihan, asal keuntungan masuk. Menerbitkan buku-buku cabul dan menyebarkan gambar-gambar perempuan telanjang pembangkit nafsu, yang kalau ditanya, maka yang (menerbitkannya) mudah saja berkata: ‘Cari makan’. Atau (orang yang) mencari pembeli suatu barang dengan memperlihatkan contoh yang bagus bermutu tinggi, padahal setelah ada persetujuan harga dan barang itu diterima, ternyata (ia tidak selari). Atau spekulasi terhadap barang vital dalam masyarakat, seumpama beras, ditahan lama dalam gudang kerana mengharapkan harganya membumbung naik, walaupun masyarakat sudah sangat kelaparan, yang dalam agama disebut ihtikar. Atau menyediakan alat penimbang yang curang, lain (untuk) pembeli (berbanding) penjual.. Yang maksudnya ialah segala usaha mencari keuntungan untuk diri sendiri dengan jalan yang tidak wajar dan merugikan sesama manusia.. Sehingga beroleh kekayaan dengan penghisapan dan penipuan sesama manusia. Sebab itu maka Islam sangat mengharamkan riba.. Kelihatan di luar sebagai menolong melepaskan orang daripada sesak dan kesulitan, padahal dipersulit lagi dengan membayar bunga.. (Juga) orang yang tidak patut menerima zakat kerana dia ada kemampuan, lalu diterimanya juga zakat itu, adalah haram hukumnya.. Termasuk juga di sini ‘perusahaan’ membuat azimat, membikin ‘pengasih’ untuk seorang perempuan supaya lakinya tetap kasih kepadanya. Termasuk juga di dalamnya menerima upah membaca surah Yasin malam Jumaat sekian kali, untuk dihadiahkan pahalanya kepada keluarga si pengupah yang telah mati. Termasuk juga dalamnya.. orang-orang yang mendapat ‘penghasilan’ daripada fidyah solat orang yang telah mati. Termasuk juga dalamnya orang yang berdiri di perkuburan menunggu orang yang akan memberinya upah membaca doa atau bertalkin atau membaca surah Yasin yang diupahkan keluarga orang yang berkubur di sana. Lebih ganas lagi memakan harta ini apabila sudah sampai membawa ke muka hakim”. (Tafsir al-Azhar 2/115-116)
-
- SANGGUP KE MAHKAMAH UNTUK DAPATKAN HARTA SECARA YANG BATIL : Berkata Hamka: “Dan kamu bawa ke muka hakim, kerana kamu hendak memakan sebahagian daripada harta benda manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui’ (hujung ayat 188). Kadang-kadang timbullah dakwa mendakwa di muka hakim. Katanya hendak mencari penyelesaian, padahal hubungan si pendakwa dengan si terdakwa telah keruh, dendam kesumat telah timbul, usahkan selesai malahan bertambah kusut. Orang membawa perkaranya ke muka hakim, kadang-kadang kedua belah pihak memakai (peguam) untuk mengalahkan lawan. Tetapi yang dimaksudkan ialah mengambil harta yang ada di tangan orang lain dengan jalan dosa. Hal yang seperti ini kerap kali benar bertemu di zaman penjajahan di negeri kita kerana kekacauan keluarga. Di Minangkabau kerap kali anak dari seorang yang telah mati didakwa di muka hakim oleh kemenakan si mati itu. Dikatakan bahawa harta benda si mati yang sekarang telah ada di tangan si anak, bukanlah harta pencarian, tetapi harta pusaka.. Di tanah Batak dan Mandailing pihak saudara daripada si mati pula yang menuntut ke atas isteri daripada si mati… Baik orang Minangkabau yang si kemenakan mendakwa anak mamaknya, atau orang Batak dan Mandailing yang mendakwa isteri saudaranya, kedua-dua itu orang Islam. Mereka mengerti pembahagian faraid menurut Islam. Tetapi kerana tamak akan harta dunia yang fana, mereka tidak keberatan mengingkari peraturan agama yang telah mereka peluk, untuk kembali kepada adat jahiliah. Padahal kamu mengetahui’. Demikian bunyi hujung ayat. Mereka mengetahui hukum agama, tetapi karena nafsu serakah harta, tidaklah diingat orang lagi hubungan keluarga, silaturahim yang telah berpuluh tahun, dan darah yang telah bercampur dan keturunan yang telah menjadi saksi hubungan kedua belah pihak.. Maka apabila jiwa kita telah kita penuhi dengan takwa, kita dapat menimbang dengan perasaan yang halus mana pencarian yang halal dan mana yang batil. Itulah sebabnya maka mata hati janganlah ditujukan kepada harta benda itu sahaja, tetapi ditujukan terlebih dahulu kepada yang memberikan anugerah harta itu, iaitu Allah”. (Tafsir al-Azhar 2/116-117)
-
- RASUAH NAMA DIBERI, UNTUK AKTIVITI BATIL YANG POPULAR DI MALAYSIA HARI INI :Rasuah termasuk dalam kategori pengambilan harta secara batil yang jelas haram. Amatilah Titah Perutusan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan, Pada 12 Rabiul Awal 1443 / 19 Oktober 2021. Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, “Kebelakangan ini, dilaporkan begitu banyak berlakunya rasuah. Berdasarkan berita-berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa malah berlaku pada skala yang besar. Lebih membimbangkan apabila turut dilaporkan rasuah dilakukan secara lebih berani, lebih terbuka.” Sultan Nazrin juga bertitah, ummah merindui kepimpinan adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum, merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik. Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah.” (//sultannazrinshah.com/) Dari segi istilah, rasuah (al-risywah) merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219) Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627) Dalam hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, beliau berkata: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”. Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337). (Rujuk //muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(10 Muharram 1445 H. Bersamaan 28/07/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3339-al-kafi-1237-rasuah-sudah-menjadi-budaya-rakyat-malaysia
- https://sultannazrinshah.com/titah-sempena-sambutan-maulidur-rasul-sallallahu-alai-wassalam-peringkat-kebangsaan-1443/