Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 187

HUKUM IKTIKAF DI BULAN RAMADAN.. LAGI HUKUM RUKHSAH DI BULAN RAMADAN.. JANGAN DILANGGAR HUDUD ALLAH

TAFSIR AYAT 187 SURAH AL-BAQARAH (2:187)

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu, mereka itu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsu kamu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepada kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kamu, dan makan minumlah sehingga jelas bagi kamu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.”. (al-Baqarah 2:187)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 187 SURAH AL-BAQARAH: (BEBERAPA HUKUM KERINGANAN BERKAITAN RAMADAN DAN HUKUM IKTIKAF)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Hal ini merupakan suatu keringanan (rukhsah) daripada Allah buat kaum muslimin, dengan Allah membatalkan hukum yang berlaku pada permulaan Islam. Kerana sesungguhnya pada permulaan Islam, apabila salah seorang di antara mereka berbuka, ia hanya dihalalkan makan dan minum serta bersetubuh sampai ke waktu solat Isyak sahaja. Jika dia tertidur sebelum itu (sebelum isyak) atau telah selesai solat Isyak, maka diharamkan baginya makan, minum, dan bersetubuh sampai malam berikutnya. Maka peraturan ini telah menyebabkan mereka mengalami kesusahan yang besar (maka ayat ini membatalkan peraturan itu). Ar-rafas, dalam ayat ini ertinya bersetubuh. Demikianlah menurut Ibn Abbas RA, Ata’, Mujahid, Sa’id ibn Jubair, Tawus, Salim ibn Abdullah, Amr ibn Dinar, al-Hasan, Qatadah, az-Zuhri, ad-Dahhak, Ibrahim an-Nakha’i, as-Saddi, Ata al-Khurrasani, dan Muqatil ibn Hayyan.”.  (Tafsir al-Quran al-Azim 1/220)

    • ISTERIMU PAKAIAN BAGIMU, DAN KAMU PAKAIAN BAGI MEREKA : ‘Mereka itu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka’ (ayat 187).  Berkata Imam Ibn Kathir: “Menurut Ibn Abbas RA, Mujahid, Sa’id ibn Jubair, al-Hasan, Qatadah, as-Saddi, dan Muqatil ibn Hayyan, maknanya ialah ‘mereka adalah ketenangan bagi kamu, dan kamu ketenangan bagi mereka’.. Kesimpulannya, suami isteri, masing-masing bercampur gaul antara satu dengan yang lain, dan saling bersentuhan serta tidur bersama. Maka amatlah sesuai jika diringankan bagi mereka supaya boleh bersetubuh pada malam Ramadan, agar tidak memberatkan mereka lantas menjadikan mereka berdosa. (Tafsir al-Quran  al-Azim 1/220)

    • HALAL PERSETUBUHAN DI MALAM RAMADAN. ALLAH KURNIAKAN KELONGGARAN KE ATAS UMAT : Berkata Imam Ibn Kathir: “Sa’id ibn Abu Arubah meriwayatkan daripada Qais ibn Sa’d, daripada Ata’ ibn Abu Rabah, daripada Abu Hurairah RA berhubung firman-Nya: ‘Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu — sampai kepada firman-Nya— kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam’ (ayat 187). Bahawa kaum muslim sebelum ayat ini diturunkan, apabila mereka telah solat Isyak, diharamkan mereka makan, minum, dan bersetubuh wanita sehingga mereka berbuka pada malam yang berikutnya. Sesungguhnya Umar al-Khattab RA menyetubuhi isterinya sesudah solat Isyak. Dan Sirmah ibn Qais al-Ansari RA tertidur sesudah solat Maghrib dan dia belum makan apa-apa pun, dan dia masih belum bangun sehingga Rasulullah SAW melaksanakan solat Isyak. Maka dia bangun, lalu makan dan minum. Kemudian pada pagi harinya dia datang kepada Rasulullah SAW dan menceritakan hal tersebut kepada baginda. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya berkenaan dengan peristiwa itu, yakni: ‘Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsu kamu,’ yakni dengan menyetubuhi isteri-isteri kamu dan kamu makan serta minum sesudah Isyak. ‘Kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepada kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kamu’ (ayat 187). Maksudnya, campurilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah buat kamu, yakni dengan memperoleh anak. ‘Dan makan minumlah sehingga jelas bagi kamu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam’ (ayat 187). Maka hal ini merupakan keringanan dan rahmat daripada Allah”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/220)

    • BENANG HITAM DAN BENANG PUTIH : “Makan minumlah sehingga jelas bagi kamu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar’. Berkata Hamka: “Ada satu riwayat jenaka yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawasanya sahabat Rasulullah SAW yang bernama Adi bin Hatim RA, putera daripada Hatim at-Thai yang terkenal, yang dahulunya memeluk agama Nasrani, kemudian datang menghadap Rasulullah SAW dan langsung memeluk Islam. Dia adalah seorang Muslim yang taat dan setia. Demikian setianya memegang bunyi ayat ini, sehingga diletakkannya dua potong benang di atas alas tidurnya, sepotong benang putih dan sepotong benang hitam. Sebelum matanya dapat membezakan antara warna putih dan warna hitam kedua potong benang itu, beliau masih makan sahur. Setelah jelas perbezaannya kerana fajar telah menyingsing, barulah beliau berhenti makan. Lalu dia datang kepada Rasulullah SAW menerangkan perbuatannya itu. Berkatalah Rasulullah kepadanya sambil tersenyum, (alas tidur) tempat kamu meletakkan kedua benang itu amat luas, wahai Adi. Sebab yang dimaksudkan dengan tali putih ialah merah fajar, tanda hari telah siang dan tali hitam ialah gelap malam yang telah ditinggalkan’. ‘Kemudian itu sempurnakanlah puasa sampai malam’. Iaitu sampai matahari telah terbenam dan dengan demikian datanglah waktu maghrib. (Pada) waktu itu segeralah bukakan puasamu. Kemudian berkenaan dengan (hubungan suami isteri) tadi dilanjutkan lagi peringatan: ‘Dan jangan kamu singgung (setubuhi) mereka. padahal kamu sedang iktikaf di dalam masjid’. Ertinya, meskipun pada malam harinya kamu bebas melakukan (persetubuhan) dengan isteri kamu, tetapi kalau kamu sedang melakukan ibadat iktikaf di masjid, janganlah isterimu disinggung yang akan membawa kepada setubuh, walaupun di malam hari. Apatah lagi siang!” (Tafsir al-Azhar 2/111)

    • AWAS HUDUD ALLAH MENUJU TAKWA : ‘Itulah batas larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa’ (hujung ayat 187). Berkata Hamka: “Demikianlah dengan lima ayat, mulai dari ayat 183 sampai ayat 187 telah dijelaskan Tuhan tentang perintah puasa (terhadap) orang yang sakit atau musafir atau orang yang berat memikulnya. Sampai kepada batas-batas waktunya, bahkan sampai juga kepada urusan (hubungan suami isteri). Di ayat pertama (183) mula kata dibuka telah diterangkan maksudnya, iaitu melatih kesuburan rasa takwa pada diri orang yang beriman, dan di penutup ayat 187 diterangkan sekali lagi maksud itu supaya orang jangan lupa, iaitu supaya mendidik menjadi orang yang bertakwa”. (Tafsir al-Azhar 2/112) Berkata Imam Ibn Kathir: “Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertakwa’ (hujung ayat 187). Yakni sebagaimana Allah menjelaskan masalah puasa dengan hukum-hukum syariat dengan perinciannya, Dia SWT juga menjelaskan semua hukum yang lain melalui lisan hamba dan Rasul-Nya — iaitu Nabi Muhammad SAW — kepada seluruh umat manusia. ‘Semoga mereka bertakwa’ ertinya, agar dengan itu mereka mengetahui bagaimana jalan hidayah itu dan bagaimana cara mereka melakukan ketaatan”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/224)

    • KEPENTINGAN BERSAHUR : Berkata Imam Ibn Kathir: “Ketetapan Allah SWT yang membolehkan seseorang makan sampai fajar menunjukkan tentang sunat bersahur, kerana sahur termasuk dalam bab rukhsah, dan mengamalkannya merupakan hal yang dianjurkan. Kerana itulah dalam sunnah Rasul SAW terdapat anjuran untuk bersahur. Dalam Bukhari dan Muslim, daripada Anas RA disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحور بَرَكَةٌ” ‘Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur terdapat barakah’. Dalam Sahih Muslim disebutkan daripada Amr ibnul As RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “إن فَصْل مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَر” ‘Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab ialah dengan makan sahur’. Melewatkan sahur sunat hukumnya, seperti yang disebutkan di dalam kitab Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik RA, daripada Zaid bin Thabit RA: عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ، قَالَ: تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلَاةِ. قَالَ أَنَسٌ: قُلْتُ لِزَيْدٍ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسُّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً Berkata Zaid bin Thabit RA, ‘Kami makan sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangkit mengerjakan solat’. Anas RA bertanya kepada Zaid, ‘Berapa lamakah jarak antara azan (solat Subuh) dan sahur itu?’ Zaid menjawab, ‘Kurang lebih sama masa dengan membaca lima puluh ayat (al-Quran)’. Imam Ahmad juga ada meriwayatkan daripada sahabat Abu Zar RA tentang sabda Nabi SAW: عَنْ أَبِي ذَرّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم: “لا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلوا الْإِفْطَارَ وأخَّروا السُّحُورَ” Iaitu: ‘Umatku masih tetap dalam keadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka (puasa) dan melewatkan makan sahur’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/222)

    • LARANGAN PUASA WISAL (PUASA SECARA BERSAMBUNG-SAMBUNG) : Berkata Imam Ibn Kathir : “Telah disebutkan dalam hadis-hadis sahih tentang larangan berwisal, yakni menyambung puasa ke hari yang berikutnya tanpa makan sesuatu apa pun antara kedua-duanya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu berwisal’. Mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau pun melakukan wisal’. Nabi SAW menjawab, ‘Sesungguhnya aku tidaklah seperti kamu, sesungguhnya aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku’. Imam Bukhari dan Imam Muslim juga mengetengahkan hadis ini melalui hadis az-Zuhri dengan lafaz yang sama.. Larangan melakukan wisal ini telah dibuktikan melalui pelbagai jalur periwayatan, dan telah ditetapkan pula bahawa wisal merupakan salah satu keistimewaan Nabi SAW. Baginda SAW kuat melakukan hal tersebut dan mendapat pertolongan daripada Allah untuk melakukannya.. Namun bagi orang yang masih ingin menahan dirinya (tanpa berbuka) sesudah matahari tenggelam, hingga ke waktu sahur, diizinkan baginya melakukan hal itu seperti yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri RA. Bahawa Nabi SAW bersabda:  “لَا تُوَاصِلُوا، فَأَيُّكُمْ أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ فَلْيُوَاصِلْ إِلَى السَّحَرِ”. قَالُوا: فَإِنَّكَ تواصِل يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: “إِنِّي لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ، إِنِّي أَبَيْتُ لِي مُطْعِم يُطْعِمُنِي، وَسَاقٍ يَسْقِينِي”. ‘Janganlah kamu berwisal. Barang siapa antara kamu ingin melakukan wisal, berwisallah sampai waktu sahur’. Mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapi engkau ternyata berwisal’. Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya aku tidaklah seperti keadaan kamu. Sesungguhnya aku diberi makan dan diberi minum (oleh Allah)”. Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkan pula hadis ini di dalam kitab sahih masing-masing”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/223)

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (09 Muharram 1445 H. Bersamaan 27/07/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

 

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.