ALLAH ITU HAMPIR.. DIA SWT MEMPERKENANKAN DOA.. TETAPI BERSYARAT
TAFSIR AYAT 186 SURAH AL-BAQARAH (2:186)
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”. (al-Baqarah 2:186)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 186 SURAH AL-BAQARAH: (ALLAH HAMPIR DENGAN KITA. KEPENTINGAN DOA)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Ibn Abu Hatim meriwayatkan, bahawa ada seorang penduduk Badawi bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah Tuhan kita dekat, maka kita akan bermunajat (berbisik) kepada-Nya, atau Dia jauh, maka kita akan menyeru-Nya?’ Nabi SAW diam, tidak menjawab. Maka Allah menurunkan firman ini”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/218)
- ALLAH HAMPIR DENGANMU : ‘Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku dekat’. Maksudnya, bukan hampir secara Zat, tetapi hampir di sudut pengetahuan-Nya SWT tanpa batas, penguasaan-Nya tanpa sempadan. Di sudut Dia SWT Maha Mengetahui yang zahir dan yang batin, luaran dan dalaman sesuatu perkara, serta yang ghaib dan yang nyata. Dia SWT juga mengetahui dan menguasai segala-galanya tentang diri insan. Maka Dia SWT amat hampir! Berkata Imam Qartubi: “(Maksudnya) beritahu mereka bahawa Allah hampir, maka (Dia SWT) sahaja yang memberi ganjaran atas ketaatan yang dilakukan dan memperkenankan doa orang yang memohon. Dia Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya dalam bentuk puasa, solat dan yang lain-lainnya”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/684)
- PUASA DAN DOA : ‘Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku’. Berkata Imam Kathir: “Dimuatkan anjuran untuk berdoa antara hukum-hukum puasa ini mengandungi petunjuk yang menganjurkan agar berdoa dengan bersungguh-sungguh di saat menyempurnakan bilangan puasa Ramadan, dan bahkan di waktu berbuka puasa. Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud at-Tayalisi dalam kitab Musnadnya, bahawa Abdullah Ibn Amru RA menceritakan bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Bagi orang berpuasa di saat berbukanya ada doa yang dikabulkan’. Disebutkan bahawa Abdullah ibnu Amru RA selalu berdoa untuk keluarga dan anaknya, begitu juga anak dan keluarganya, sama-sama berdoa ketika berbuka puasa. Imam Ibn Majah dalam kitab sunannya meriwayatkan sabda Nabi SAW daripada sahabat Abdullah bin Amru RA: : إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوةً مَا تُرَدّ”. قَالَ عَبْد اللَّهِ بْنُ أَبِي مُليَكة: سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرو يَقُولُ إِذَا أَفْطَرَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ التِي وسعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي ‘Sesungguhnya bagi orang puasa di saat berbukanya terdapat doa yang tidak ditolak (untuknya)’. (Ibn Majah, Syeikh Arnauth berkata hadis ini hasan) Abdullah ibn Abu Mulaikah berkata, dia pernah mendengar Abdullah ibnu Amru RA mengucapkan doa berikut bila berbuka: Ya Allah, sesungguhnya Aku memohon demi rahmat-Mu yang meluas atas segala sesuatu, sudilah kiranya Engkau mengampuniku”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/219) Dalam riwayat yang lain, Anas bin Malik RA melaporkan, Nabi SAW bersabda: وعن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ثلاث دعوات لا ترد: دعوة الوالد، ودعوة الصائم، ودعوة المسافر. “Tiga doa yang tidak tertolak iaitu doa orang tua terhadap anaknya (walid), doa orang yang berpuasa dan doa seorang yang bermusafir.” (Riwayat al Baihaqi dalam Sunan al-Kubro. Syeikh al Albani berkata hadis ini sahih)
-
- BERDOALAH, AKAN DIMAKBULKAN. TIDAK PERLU MENJERIT-JERIT : ‘Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.’ Berkata Imam Ibn Kathir: “Dengan kata lain, apabila kamu perintahkan mereka untuk berdoa kepada-Ku, hendaklah mereka berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkan doa mereka.. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari RA yang berkata, ‘Ketika kami (para sahabat) bersama Rasulullah SAW dalam suatu peperangan, tidaklah kami mendaki suatu tanjakan, menaiki bukit dan menuruni suatu lembah, melainkan kami meninggikan suara kami ketika bertakbir. Lalu Nabi SAW mendekati kami dan bersabda: Wahai manusia, tahanlah diri kamu, kerana sesungguhnya kamu bukan sedang menyeru kepada (Tuhan) yang tuli, bukan kepada (Tuhan) yang ghaib (jauh), sebaliknya kamu sedang menyeru kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru lebih dekat kepada seseorang antara kamu daripada leher kenderaannya. Wahai Abdullah ibn Qais, mahukah kamu aku ajarkan satu kalimat (doa) yang termasuk dalam perbendaharaan syurga? (Iaitu) la haula wala quwwata illa billah (tiada upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)’. Hadis ini juga diketengahkan oleh Bukhari, Muslim dan yang lain-lainnya. Dalam riwayat yang lain oleh Imam Ahmad, sahabat Anas bin Malik RA: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا دَعَانِي Nabi SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman, ‘Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku sentiasa bersamanya ketika dia berdoa kepada-Ku’. (Riwayat Ahmad, hadis sahih, juga diriwayatkan oleh Muslim)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/218)
-
- DOA MAKBUL DALAM PELBAGAI BENTUK, KECUALI.. : ‘Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.’ Imam Ahmad meriwayatkan daripada sahabat Abu Said al-Khudri RA: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثِ خِصَالٍ: إِمَّا أَنْ يعجِّل لَهُ دَعْوَتَهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدّخرها لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا” قَالُوا: إِذًا نُكْثِرُ. قَالَ: “اللَّهُ أَكْثَرُ Nabi SAW bersabda: “Tidak seorang muslim pun yang memanjatkan suatu doa kepada Allah yang di dalamnya tidak mengandungi permintaan yang berdosa dan tidak pula doa untuk memutuskan silaturahim, melainkan Allah pasti mengabulkan doanya dalam salah satu daripada tiga bentuk ini, iaitu: Ada kalanya permohonannya itu segera dikabulkan, ada kalanya permohonannya itu disimpan oleh Allah untuk (diganjarinya) kelak di hari kemudian, dan ada kalanya dipalingkan daripadanya suatu keburukan yang semisal dengan permohonannya itu. Mereka (para sahabat) berkata, ‘Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa’. Nabi SAW menjawab, ‘Allah Maha Banyak (Mengabulkan Doa)’.” (Riwayat Ahmad, berkata al-Albani, hadis sahih)
-
- DOA AKAN DIMAKBULKAN KECUALI JIKA TERBURU-BURU : ‘Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.’ Imam Malik meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ: “يُسْتَجَاب لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجل يَقُولُ: دعوتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي”. Rasulullah SAW bersabda: “Dikabulkan (doa) seseorang daripada kamu selagi mana dia tidak tergesa-gesa dengan berkata, ‘Aku telah berdoa, tetapi masih belum diperkenankan juga bagiku”. (Diriwayatkan juga oleh Bukhari dan Muslim)
-
- TAFSIR HAMKA. LANTARAN DIA DEKAT, TIDAK USAH KAMU BERSORAK KERAS, TIDAKLAH PERLU MEMAKAI PERANTARAAN – HAMKA : Berkata Hamka: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada engkau darihal Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat’ (pangkal ayat 186). Oleh sebab Allah dekat (maka) kita hamba-hamba-Nya ini silalah memohon dengan ikhlas. Dia tidaklah jauh, dan lantaran Dia tiada jauh dari sisimu tidak usah kamu bersorak keras-keras memanggil-manggil nama-Nya: ‘Ya Allah! Ya Allah! Tolonglah aku, bantulah aku!’ Apa guna suara keras demikian, padahal Dia lebih dekat kepadamu daripada urat lehermu sendiri? Yang kedua, lantaran Dia dekat, tidaklah perlu memakai orang perantaraan atau wasilah.. Yang penting ialah memohon langsung kepada-Nya, jangan memakai perantaraan. Kalau Dia sendiri telah menyatakan Dia dekat, guna apa kita mencari perantaraan lagi? Orang yang menyembah berhala kita cela kerana mereka memakai perantaraan berhala buat menyampaikan kepada Tuhan. Akan kita diamkan saja (terhadap) orang yang bila ditimpa kesusahan menyeru nama Sayid Abdul Qadir Jailani atau Syeikh Samman? Pada lanjutan ayat, Allah (berfirman) lagi: ‘Aku perkenan permohonan orang yang memohon apabila dia memohon kepada-Ku’.. Apa kesan yang kita dapat dari bunyi lanjutan ayat ini? Tuhan telah menutup pintu yang lain. Tuhan menyuruh kita (memohon) langsung kepada-Nya. Tuhan telah menjelaskan, kepada-Ku saja, supaya permohonanmu terkabul. Dalam ayat tidak sedikit pun terbayang bahawa permohonan baru dikabulkan Tuhan kalau disampaikan dengan perantaraan Syeikh Anu atau Sayid Pulan! Kemudian datang lagi lanjutan ayat, yang menjadikannya lebih jelas lagi: ‘Maka hendaklah mereka sambut seruan-Ku dan hendaklah mereka percaya (beriman) kepada-Ku, supaya mereka beroleh kecerdikan (berada di atas kebenaran)’ (hujung ayat 186). Terang sekali ayat ini, tidak berbelit-belit.. Pertama, Tuhan itu dekat.. Kedua, segala permohonan daripada hamba-Nya akan mendapat perhatian yang sepenuhnya daripada-Nya. Tidak ada satu permohonan pun yang bagai air jatuh ke pasir, hilang saja sia-sia kerana tidak didengar atau tidak dipedulikan.. Ketiga, supaya permohonan itu mendapat perhatian Ilahi, hendaklah si hamba yang memohon itu menyambut terlebih dahulu bimbingan dan petunjuk yang diberikan Tuhan kepada-Nya.. Keempat, dan amat penting. Iaitu hendaklah percaya benar-benar, beriman benar-benar kepada Tuhan.. Kelima, dengan sebab menyambut seruan Tuhan, dan percaya penuh kepada Tuhan, si hamba akan diberi kecerdikan. Si hamba akan diberi petunjuk (tentang) jalan yang akan ditempuh sehingga tidak tersesat dan tidak berputus asa. Kalau seandainya (perkataan) dekat kita (luaskan) lagi, dapat kita fahamkan bahawa Tuhan dekat, dan kita pun wajib mendekatkan diri kepada-Nya. Kalau seruan-Nya tidak disambut dan kepercayaan kepada-Nya tidak penuh, betapa pun kita mencarinya dia akan tetap jauh. Bukan Dia yang jauh, tetapi kita sendiri telah amat jauh.. Maka orang yang tidak menyambut seruan Tuhan dan yang tidak membina imannya kepada Tuhan, orang yang maksiat atau mempersekutukan yang lain dengan Tuhan, kian lama jauhlah (dia) dari Tuhan, walaupun Tuhan itu tetap berada dekatnya. Lantaran itu susahlah permohonannya akan terkabul”. (Tafsir al-Azhar 2/105-106)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(08 Muharram 1445 H. Bersamaan 26/07/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.