Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 185

KEWAJIPAN BERPUASA RAMADAN DAN HUKUM KELONGGARAN BAGI KES TERTENTU.. BULAN RAMADAN DITURUNKAN AL-QURAN.. HARI RAYA DENGAN TAKBIR

TAFSIR AYAT 185 SURAH AL-BAQARAH (2:185)


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barang siapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan (Ramadan) itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. Dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah 2:185)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 185 SURAH AL-BAQARAH: (KEWAJIPAN BERPUASA KE ATAS SEMUA. KAITAN RAMADAN DENGAN AL-QURAN)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT memuji bulan Ramadan kerana Dia telah memilihnya di antara semua bulan sebagai bulan yang padanya diturunkan al-Quran yang agung. Sebagaimana Allah mengkhususkan bulan Ramadan sebagai bulan diturunkan al-Quran, sesungguhnya telah disebutkan oleh hadis bahawa pada bulan Ramadan pula kitab Allah lainnya diturunkan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad SAW”.  (Tafsir al-Quran al-Azim 1/215)

    • PERBINCANGAN TENTANG AL-QURAN TURUN DI BULAN RAMADAN: Berkata Syeikh Said Hawa: “Bulan Ramadan dimuliakan Allah kerana dikhususkannya untuk perlaksanaan puasa fardu. Kedua kerana al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Sama ada ia berkaitan dengan turunnya permulaan ayat-ayat al-Quran pada bulan ini, pada malam al-Qadar. Atau ia berkaitan dengan penurunan keseluruhan al-Quran dari Lohmahfuz ke langit dunia (yang juga diturunkan pada bulan Ramadan). Atau kedua-duanya sekali”. (al-Asas fit Tafsir 1/415) Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Ahmad ibn Hanbal meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Lembaran-lembaran (suhuf) Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan malam Ramadan, dan kitab Taurat diturunkan pada tanggal enam Ramadan, dan kitab Injil diturunkan pada tanggal tiga belas Ramadan, sedangkan Al-Quran diturunkan pada tanggal dua puluh empat Ramadan’. (Riwayat Ahmad, dihasankan oleh al-Albani) (dalam Tafsir al-Quran al-Azim 1/216) Imam Qartubi menukilkan: “Sesungguhnya malam al-Qadar hanya berlaku di bulan Ramadan, tidak pada bulan-bulan lain. Tidak ada khilaf bahawa al-Quran diturunkan semua sekali gus dari Lohmahfuz pada malam al-Qadar. Ditempatkannya di Baitul Izzah di langit dunia. Kemudian barulah Jibrail menurunkannya sedikit demi sedikit  memakan masa lebih kurang dua puluh tahun (kepada Nabi SAW)”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/673) Disebutkan bahawa sahabat Ibn Ábbas RA berkata, “Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan pada Lailatulqadar di malam penuh berkat. Al-Quran turun sekali gus (jumlatan waahidatan). Kemudian Al-Quran turun secara bertahap sesuai dengan peristiwa, pada bulan dan hari.” (Riwayat Ibn Abi Hatim, sanadnya hasan)

    • AL-QURAN HUDA, BAYYINAT DAN FURQAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk (al-Huda) bagi hati hamba-hamba-Nya yang beriman dengannya, membenarkannya dan mengikutinya. ‘Penjelasan-penjelasan (bayyinat)’ ialah dalil dan hujah yang nyata serta jelas bagi orang yang memahami dan memperhatikannya. Hal ini menunjukkan kebenaran ajaran yang dibawanya yang berupa petunjuk yang menentang kesesatan, serta bimbingan melawan penyimpangan. Serta  pembeza (al-Furqan) antara hak batil, serta antara yang halal dan yang haram”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/582) Berkata Hamka: “Sebab dia adalah ‘menjadi petunjuk bagi manusia’ menuju Sirat al-Mustaqim, menempuh Jalan Allah. A1-Quran membebaskan mereka daripada teraba-raba dalam kegelapan, ‘dan penjelasan (tentang) petunjuk’. Oleh kerana al-Quran adalah petunjuk.. dia pun memberi penjelasan (tentang) isi ajaran Musa dan Isa dan Nabi-nabi AS yang lain. Dan juga dalam al-Quran sendiri ada petunjuk yang umum sifatnya (ijmal), lalu datang huraiannya (secara tafshil, terperinci). Apatah lagi akhlak Nabi SAW itu sendiri adalah menurut contoh yang dititahkan al-Quran, maka sikap hidup beliau pun membawa bayyinat, (iaitu) penjelasan dan keterangan (terhadap) al-Quran. ‘Dan pembeza’ iaitu al-Furqan, (iaitu) penyisih, penyaring dan penapis antara yang hak dengan yang batil, yang baik dengan yang buruk, yang halal dengan yang haram”. (Tafsir al-Azhar 2/101)

    • MASUKNYA BULAN RAMADAN ADALAH PERTANDA KEWAJIPAN BERPUASA BERMULA : ‘Maka barang siapa yang menyaksikan bulan antara kamu, hendaklah dia berpuasa’ (ayat 185). Berkata Hamka: “Ertinya maka barang siapa yang telah menyaksikan, atau telah mengetahui bahawa bulan Ramadan telah ada, dan dia ada waktu itu di tempatnya, mulailah berpuasa”. (Tafsir al-Azhar 2/101) 

    • KELONGGARAN BAGI YANG SAKIT DAN BERMUSAFIR. ALLAH TIDAK MAHU KAMU MENDAPAT KESUSAHAN : Berkata Hamka: “Dan barang siapa yang dalam keadaan sakit atau dalam perjalanan, maka hitungan di hari yang lain (untuk menggantikan puasa)’ (ayat 185). Sekarang dijelaskan sebabnya, ialah: ‘Allah menghendaki keringanan untuk kamu, dan bukanlah Allah menghendaki kesukaran untuk kamu’.. Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya tidak akan sampai menyuruh puasa orang yang sedang sakit. Dan kasih sayang-Nya pun tidak akan sampai memberati berpuasa orang yang sedang (susah) dalam musafir”. (Tafsir al-Azhar 2/102)

    • PERBINCANGAN TENTANG PENGAMBILAN HUKUM RUKHSAH DI BULAN RAMADAN : ‘‘Dan barang siapa yang dalam keadaan sakit atau dalam perjalanan, maka hitungan di hari yang lain (untuk menggantikan puasa). Allah menghendaki keringanan untuk kamu, dan bukanlah Allah menghendaki kesukaran untuk kamu’ (ayat 185). Berkata Imam Ibn Kathir: “Maknanya, barang siapa yang sedang sakit hingga puasa memberatkannya atau membahayakannya, atau dia sedang dalam perjalanan, maka dia boleh berbuka. Apabila berbuka, maka dia perlu gantikan sebanyak hari yang ditinggalkannya di hari-hari yang lain (di luar Ramadan). Kerana itu, dalam firman selanjutnya disebutkan: ‘Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu’ (al-Baqarah ayat 185) Dengan kata lain, sesungguhnya diberikan keringanan ini bagi kamu  hanya dalam keadaan kamu sedang sakit atau dalam perjalanan. Namun puasa terus merupakan suatu kewajipan bagi yang bermukim lagi sihat. Hal ini tiada lain hanyalah untuk mempermudah dan meringankan kamu sebagai rahmat daripada Allah SWT buat kamu.. Segolongan sahabat dan tabiin berpendapat, wajib berbuka dalam perjalanan.. Akan tetapi, pendapat yang benar ialah yang dikatakan oleh jumhur sahabat dan tabiin, iaitu masalah berbuka dalam perjalanan ini adalah berdasarkan takhyir (boleh memilih) dan bukan suatu kewajipan. Alasannya, mereka (para sahabat) pernah berangkat bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan, lalu menurut sahabat Abu Said al-Khudri RA, ‘Di antara kami ada orang yang berpuasa dan ada yang tidak’. Maka Nabi SAW tidak mencela orang yang berpuasa dan tidak mencela orang yang berbuka. Seandainya berbuka merupakan suatu kewajipan, nescaya baginda SAW akan (menegur) orang-orang yang berpuasa antara kami. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah berpuasa (dalam suatu perjalanan, mengikut riwayat Bukhari dan Muslim)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/217)

    • MANFAATKAN RUKHSAH YANG ALLAH KURNIAKAN. PERMUDAHKAN AGAMA, USAH PERSULITKAN : ‘‘Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu’ (al-Baqarah ayat 185)’. Berkata Hamka: “Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya tidak akan sampai menyuruh berpuasa orang yang sedang sakit. Dan kasih sayang-Nya pun tidak akan sampai memberati berpuasa orang yang sedang (susah) dalam musafir”. (Tafsir al-Azhar 2/102) Dalam hadis disebutkan: «عَلَيْكُمْ بِرُخْصَةِ اللَّهِ التِي رَخَّصَ لَكُمْ» “Pergunakanlah rukhsah (keringanan) yang diberikan Allah kepada kamu”. (Riwayat Muslim) Islam juga mengajar kita supaya ajaran agama tidak disulitkan atau disusah-susahkan. Dalam riwayat, disebutkan bahawa ketika Rasulullah SAW mengutus sahabat Mu’az ibn Jabal dan Abu Musa al-Asy’ari RA ke negeri Yaman, baginda SAW bersabda kepada kedua-duanya:  “بَشِّرَا وَلَا تُنَفِّرَا، وَيَسِّرَا وَلَا تُعَسِّرَا، وَتَطَاوَعَا وَلَا تَخْتَلِفَا”  “Sampaikanlah berita gembira (kepada mereka) dan janganlah kamu membuat orang lari (takut), permudahkan dan jangan mempersulit, dan saling bantu-membantulah kamu berdua dan jangan sampai kamu berdua berselisih”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    • SEMPURNAKAN PUASA RAMADAN, KEMUDIAN BERTAKBIRLAH DAN BERSYUKUR : Berkata Hamka: “Dan hendaklah kamu sempurnakan hitungan’ (ayat 185), iaitu hitungan sebulan, baik dia 29 hari ataupun 30 hari. Dan jika ketinggalan beberapa hari kerana sakit atau kerana musafir, sempurnakanlah hitungan hari-hari yang ketinggalan itu pada hari yang lain. ‘Dan hendaklah kamu membesarkan nama Allah atas apa yang telah diberikan-Nya (dalam bentuk) petunjuk kepada kamu, dan supaya kamu bersyukur’ (hujung ayat 185). Maka untuk mengisi perintah Allah di hujung ayat ini, Nabi kita SAW memberikan contoh, iaitu agar pada bulan Ramadan itu memperbanyakkan ibadat, solat tarawih (qiamullail), memperbanyakkan membaca al-Quran dan memperhatikan huruf-hurufnya (tadarus) dan memperbanyak pula berbuat baik, bersedekah, memberi makan fakir miskin, menjamu, walaupun hanya dengan seteguk air, sebutir kurma, sepiring nasi. Di penutupannya dibagikan zakat fitrah dan bersolat Aidilfitri dengan membaca takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Walillahil Hamd), alamat syukur. Syukurilah Tuhan dan besarkanlah Dia! Kerana Engkau hidup tidak lagi dalam gelap. Nur atau cahaya iman telah memberi terang dalam hatimu. Syukurilah Tuhan, kerana berkat taufik dan hidayah-Nya kamu telah dapat membuktikan bahawa kamu adalah insan yang berakal dan berbudi, dapat mengendalikan diri dan nafsu, syahwat perut dan syahwat faraj”. (Tafsir al-Azhar 2/102) Berkata Imam Ibn Kathir: “Ramai ulama mengatakan bahawa membaca takbir disyariatkan dalam Hari Raya Aidilfitri atas dasar firman-Nya: Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjuk-Nya yang diberikan-Nya kepada kamu’ (al-Baqarah ayat 185)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/218)

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (07 Muharram 1445 H. Bersamaan 25/07/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

      RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.