Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 174-176

GOLONGAN YANG MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN MENELAN API NERAKA KE DALAM PERUT.. GOLONGAN YANG MEMBELI KESESATAN MENGGADAIKAN PETUNJUK

TAFSIR AYAT 174-176 SURAH AL-BAQARAH (2:174-176)

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلا أُولَئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلا النَّارَ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (174) أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلالَةَ بِالْهُدَى وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ (175) ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نزلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي الْكِتَابِ لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah daripada al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit, mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak menyucikan mereka dan bagi mereka seksaan yang amat pedih. Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan membeli seksaan dengan keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka! Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan kebenaran. Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran).”. (al-Baqarah 2:174-176)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 174-176 SURAH AL-BAQARAH: (AZAB MENANTI MEREKA YANG MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN)

Berkata Hamka: “Dalam ayat ini diperingatkan lagi satu macam penghasilan.. Iaitu sengaja menyembunyikan kebenaran Kitab atau memutar-mutar ertinya kepada yang lain kerana mengharapkan harga yang sedikit. Maka harga usaha mereka memutar-mutar isi Kitab yang telah menjadi mata pencarian untuk makan baginya, adalah sebagai menyalakan api neraka dalam perutnya. Meskipun Asbabun Nuzul (sebab turun ayat ini berkaitan) pendeta-pendeta Yahudi di Madinah yang sengaja memutar erti ayat Kitab, iaitu Taurat, dan mencuba menyembunyikan isi Taurat kerana isi itu menjelaskan tentang kenabian Nabi Muhammad SAW, namun kita berpeganglah kepada pokok pendirian ulama Usul Fikah yang terkenal (iaitu): ‘Yang menjadi perhatian adalah umum tujuan kata, bukan khusus sebab terjadinya’. (Maksudnya, yang diambil iktibar adalah maksud ayat yang boleh diaplikasikan secara umum untuk semua, dan bukan ditujukan hanya kepada mereka yang menjadi sebab turun ayat ini)”. (Tafsir al-Azhar 2/65)

    • DUA AYAT BERKAITAN KITMAN : Kitman dalam bahasa Arab berkaitan dengan perbuatan menyembunyikan, merahsiakan sesuatu, dan dalam konteks ayat ini, menyembunyikan kebenaran. Mengikut analisis Syeikh Said Hawa, ayat 159-160 dalam surah al-Baqarah berkaitan dengan golongan yang menyembunyikan, merahsiakan kebenaran (kitman) yang datang daripada Allah. Dinyatakan bahawa orang-orang yang menyembunyikan kebenaran ini berhak mendapat laknat, melainkan jika mereka bertaubat, membuat kebaikan serta menerangkan semula kebenaran yang mereka sembunyikan itu. Dalam ayat 174 ini juga ditekankan tentang golongan yang menyembunyikan, merahsiakan kebenaran (kitman) daripada Allah. Mereka menyembunyikan dan menjual kebenaran itu dengan harga yang sedikit. Balasan bagi mereka adalah neraka, dan mereka dijauhkan daripada rahmat Allah di samping mendapat celaan. Berkata Syeikh Said Hawa, dalam ayat 174 ini terdapat kenyataan tambahan daripada Allah serta pengukuhan berhubung isu yang dibicarakan ini, iaitu berhubung isu kitman ini jika dibandingkan dengan ayat 159-160 sebelum ini. Dan inilah antara hikmat yang wujud dengan pengulangan ayat tentang kitman ini.. Sebahagian ulama tafsir mengatakan ayat kitman yang pertama (dalam ayat 159) ditujukan kepada umat ini, dan ayat kitman yang kedua (dalam ayat 174 ini) ditujukan kepada Bani Israel. Namun sebenarnya seruan kedua-dua ayat ini adalah kepada semua, secara umum. (rujuk al-Asas fit Tafsir 1/383-384)

    • TAFSIR AYAT BERDASARKAN AL-ASAS FIT TAFSIR : Berkata Syeikh Said Hawa: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah daripada al-Kitab’ (ayat 174) bermaksud, menyembunyikan isi kitab-kitab Allah secara umum (termasuk Taurat dan al-Quran), mengikut pendapat yang paling kuat. ‘Dan menjualnya dengan harga yang sedikit’ bermaksud, dengan mereka menyembunyikan kebenaran ini mereka seolah-olahnya telah menjual kebenaran demi mengharapkan keuntungan tertentu di sudut duniawi. ‘Mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perut mereka melainkan api’  bermaksud,  nyala api akan memenuhi perut mereka di hari kiamat. ‘Dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat’ membawa maksud, Allah tidak akan berbicara dengan bicara dengan perkataan yang mendatangkan kegembiraan. (Imam Ibn Kathir berkata: Allah tidak akan memandang kepada mereka). ‘Dan (Allah) tidak akan  menyucikan mereka’ bermaksud, Allah tidak akan menyucikan mereka daripada kekotoran dan dosa. ‘Dan bagi mereka seksaan yang amat pedih’  (hujung ayat 174). Ia membawa makna, bagi mereka azab yang amat pedih kerana menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui kebenaran itu. ‘Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk’ (ayat 175). Ia bermaksud, mereka telah menggantikan petunjuk dengan kesesatan. Dengan mereka menyembunyikan kebenaran ini ia bererti mereka telah memilih kesesatan. ‘Dan (membeli) seksaan dengan keampunan’. Ertinya, mereka telah mengetepikan keampunan dengan memilih azab, dan ini mereka lakukan dengan cara memilih jalan yang menjadi sebab musabab untuk mendapat azab itu. ‘Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka’ (hujung ayat 175). Maksudnya, alangkah sabarnya mereka menanggung azab yang pedih ini. Ia (bukan kenyataan untuk memuji) sebaliknya ia kenyataan yang mencela mereka kerana begitu berani memilih jalan yang membawa kepada azab yang dahsyat ini. ‘Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran’ (ayat 176). Ia bermaksud, mereka layak mendapat azab yang keras kerana Allah telah menurunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada Nabi-nabi AS sebelum baginda kitab-kitab yang memperjelaskan kebenaran dan menolak kebatilan. Namun mereka ini telah memperolokkan, membelakangkan serta mendustakan kesemua itu. ‘Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran)’ (hujung ayat 176). Ia berkaitan dengan mereka yang mendakwa sebahagian kitab Allah adalah benar dan sebahagian yang lain adalah batil (sesuka hati mereka). Ia juga boleh dikaitkan dengan mereka yang berselisih tentang kebenaran al-Kitab dengan menyembunyikan kefahaman yang betul tentang isi kitab dan menonjolkan kefahaman yang tidak benar tentangnya. Maka hasilannya ialah mereka menyimpang jauh daripada kebenaran dan petunjuk Allah”. (al-Asas fit Tafsir 1/385-386)

    • JENIS ULAMA HARI INI YANG MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN. APABILA ORANG MENCUBA MELAWAN ATAU MEMUTAR BELIT KEBENARAN, BETAPA PUN DIA MEMUASKAN DIRINYA, NAMUN TIDAK BERAPA LAMA KEMUDIAN, KEBENARAN ITU PASTI TIMBUL KEMBALI (HAMKA) : Hamka berkata: Imam Ghazali banyak sekali menyebut tentang ulama yang datang mengambil muka kepada orang-orang yang berkuasa, dan mudah sajalah baginya kelak menyembunyikan hukum.. kerana mencari kedudukan atau kerana takut. Untuk itu mereka dibayar. Kadang-kadang dengan diberi gelaran yang indah-indah bunyinya, ataupun pangkat, ataupun kebesaran, ataupun wang emas.. Maka terpujilah dia oleh orang-orang yang berkuasa, dikatakan dia ulama yang pandai menyesuaikan diri, yang maju.. Dia pun bersenang-hatilah, padahal agamanya telah terjual.. Sedangkan kebenaran Allah itu satu, tidak ada dua. Kebenaran tidak bisa diputar-putar, berdolak-dalik, dan dibelah-belah. Apabila orang mencuba melawan atau memutar belit kebenaran, betapa pun dia memuaskan dirinya, namun tidak berapa lama kemudian, kebenaran itu pasti timbul kembali. Manusia mempunyai batas kekuatan, sedang kebenaran tidak dapat dibatasi. Manusia akan mati, kebenaran tetap hidup. Roda zaman selalu berputar, kecurangan selalu terbuka. Orang dapat merasai menang sementara kerana menentang kebenaran, akhirnya kelak kebenaran itu akan mentertawakannya juga”. (Tafsir al-Azhar 2/66 & 67)

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (26 Zulhijjah 1444 H, Bersamaan 15/07/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.