BERHUBUNG PENGIKUT ADAT KEPERCAYAAN DATUK NENEK MOYANG YANG MENGIKUT SECARA MEMBUTA TULI.. MINDA PERLU KRITIS.. BERHUBUNG GOLONGAN YANG TULI, BISU, PEKAK
TAFSIR AYAT 170-171 SURAH AL-BAQARAH (2:170-171)
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلا دُعَاءً وَنِدَاءً صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Ikuti apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab, ‘(Tidak), tetapi kami hanya mengikut apa yang telah kami dapati daripada (perbuatan) nenek moyang kami’. Apakah (mereka akan mengikut juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu, dan buta, dan mereka tidak mengerti”. (al-Baqarah 2:170-171)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 170-171 SURAH AL-BAQARAH: (PERLU BERSIKAP KRITIS DENGAN ADAT / PEGANGAN DATUK NENEK MOYANG)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman, ‘Apabila dikatakan kepada orang-orang kafir yang musyrik itu,: Ikutlah apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya dan tinggalkanlah kesesatan dan kebodohan yang kamu lakukan itu! Mereka menjawab: Tidak, kami hanya mengikut apa yang kami dapati daripada nenek moyang kami. Yakni menyembah berhala dan sekutu-sekutu selain daripada Allah. Maka Allah membantah mereka melalui firman-Nya: Apakah (mereka akan mengikut juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? (al-Baqarah ayat 170) Ertinya, apakah mereka tetap akan mengikuti jejak nenek moyang mereka, sekalipun nenek moyang mereka tidak mengerti apa-apa pun dan tidak pula mendapat hidayah?” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/204)
-
- SEBAB TURUN AYAT INI : Berkata Ibn Ishaq meriwayatkan daripada Muhammad bin Abu Muhammad, daripada Ibn Abbas RA, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan segolongan orang Yahudi yang diajak oleh Rasulullah SAW untuk memeluk Islam, lalu mereka menjawab bahawa mereka hanya mau mengikut amalan yang mereka dapati daripada nenek moyang mereka. Lalu Allah SWT menurunkan ayat ini”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/204)
-
- FIKIRAN YANG SIHAT DAN AKAL YANG BERJALAN, NESCAYA PASTI AKAN MENINJAU KEMBALI PUSAKA NENEK MOYANG : Berkata Hamka: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ikutlah apa yang diturunkan Allah’ (pangkal ayat 170). Iaitu supaya kamu tujukan hidupmu kepada satu tujuan saja, iaitu taat dan patuh kepada Allah, mengerjakan apa yang diperintahkan dan menghentikan apa yang dilarang. Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Janganlah kamu mencari tandingan-tandingan yang lain bagi Allah. Janganlah kamu katakan terhadap Allah hal-hal yang kamu tidak tahu. Tetapi apa jawapan mereka.. Kerana perdayaan syaitan juga, mereka berkata: Bahkan kami (hanya) mahu mengikut apa yang telah terbiasa daripada nenek-moyang kami’. Benar ataupun salah, adalah nenek-moyang kami. Kami akan mempertahankan pusaka mereka.. Jawab begini menunjukkan bahawa fikiran tidak berjalan beres lagi.. Bukan akal yang berkuasa, melainkan hawa nafsu. Maka timbul pertanyaan Tuhan: ‘Bagaimana kalau nenek-moyang mereka itu tidak mengerti sesuatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?’ (hujung ayat 170). Lantaran nenek-moyang tidak mengerti suatu apa pun, maka pusaka yang mereka tinggalkan pun tidak bererti suatu apa pun. Fikiran yang sihat dan akal yang masih tetap berjalan, nescaya pasti akan meninjau kembali pusaka nenek moyang itu.. Kalau akal itu bekerja, nescaya dia akan bertanya: ‘Mengapa nenek-moyang ini menyembah berhala patung-patung dari kayu dan batu? Adakah benar-benar dapat berhala itu menolong? Padahal dialah yang dijagai, bukan dia yang menjaga. Dialah yang diperbuat oleh manusia, bukan dia yang membuat manusia’.. Anak-cucu yang hanya turut-turutan mempertahankan pusaka nenek-moyang yang salah.. Kerana pengaruh syaitan telah masuk. Mereka menjadi membeku dan membatu”. (Tafsir al-Azhar 2/57)
-
- DAPATLAH KITA MAKLUMI KEHENDAK TUHAN AGAR KITA BERAGAMA DENGAN MEMPERGUNAKAN AKAL. SIAPAKAH GOLONGAN YANG TULI, BISU, BUTA? : Allah berfirman: ‘Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu, dan buta, dan mereka tidak mengerti’ (pangkal ayat 171). Berkata Hamka: “Meskipun ada nafas dalam diri mereka, meskipun mereka hidup, tetapi kerana alat penerima tidak ada (maka) segala seruan tidak mendapat sambutan: ‘kecuali (mendengar) panggilan dan seruan saja’. Ertinya, paraulah suara memanggil, koyaklah mulut menghimbau, tidaklah akan mereka pedulikan. Sebab mereka telah ‘tuli, bisu, buta’. Mereka menjadi tuli walaupun telinga mendengar, dan bisu walaupun mulut bisa bercakap, dan buta walaupun mata mereka bisa melihat. Mereka menjadi tuli, bisu dan buta, kerana jiwa merekalah yang sebenarnya tuli, bisu dan buta, kelam di dalam. ‘Oleh sebab itu tidaklah mereka berakal’ (hujung ayat 171). Dimisalkan di sini laksana gembala menggembalakan binatang ternaknya. Kerja binatang-binatang itu hanya makan, memamah biak. Sedang memakan rumput mulutnya mengunyah, walaupun tidak memakan rumput, mulutnya mengunyah juga. Walaupun dia dihalau ke mana saja, tidaklah dia peduli. Yang penting baginya ialah mengunyah. Mudarat atau manfaat tidak ada dalam perhitungan mereka sebab mereka telah terbiasa di gembala orang.. Maka orang-orang yang menjadi pak turut.. samalah dengan binatang di padang penggembalaan itu.. Tidak ada yang diharapkan daripada pendengaran, atau suara atau penglihatan mereka. Matanya tidak bersinar selain daripada sinar kebodohan, sinar yang kosong daripada isi.. Apabila diperhatikan susunan ayat, dapatlah kita maklumi kehendak Tuhan agar kita beragama dengan mempergunakan akal sendiri. Sejak dari memikirkan alam, semua langit dan bumi, peredaran siang dan malam.. sebagai yang disebut dalam ayat 164, kita selalu disuruh mempergunakan akal. Dengan demikian daerah akal diperluas dan dia dilatih berfikir secara mendalam. Kemudian tentang memilih pendirian hidup, hendaklah diteruskan penggunaan fikiran itu. Bukanlah setiap yang didengar atau diterima daripada nenek moyang langsung (diterima) saja. Orang yang telah sanggup berfikir tentang alam, janganlah sampai menjadi pak turut dalam soal-soal kepercayaan dan pendirian”. (Tafsir al-Azhar 2/57-58)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(24 Zulhijjah 1444 H, Bersamaan 13/07/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.