Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 142-145

MENGENALI GOLONGAN BODOH YANG KURANG AKAL.. MENGENALI CIRI UMMATAN WASATHA.. KIBLAT UNTUK TENTUKAN ARAH, BUKAN UNTUK DISEMBAH

TAFSIR AYAT 142 SURAH AL-BAQARAH (2:142)

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ مَا وَلَّاهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Orang-orang yang kurang akalnya di kalangan manusia akan berkata: ‘Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitulmuqaddis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?’ Katakanlah: ‘Kepunyaan Allah sahajalah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus”. (al-Baqarah 2:142)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 142 SURAH AL-BAQARAH: (SIAPAKAH GOLONGAN SUFAHA’ YANG KURANG AKAL ITU? )

Berkata Hamka: “Agama adalah kesatuan seluruh insan yang sefahaman dalam iman kepada Allah dan ibadat dan amal salih. Terutama sekali dalam mengerjakan solat. Kalau sekiranya semua orang menghadap ke mana saja tempat yang disukainya, meskipun yang disembah hanya satu, di saat itu juga mulai ada perpecahan umat tadi. Maka dalam Islam bukan saja cara menyembah Allah itu diajarkan dalam waktu-waktunya yang tertentu, dengan rukun dan syaratnya yang tertentu, tempat menghadapkan muka pun diatur menjadi satu”. (Tafsir al-Azhar 2/6)

    • KISAH PERUBAHAN KIBLAT DARI BAITULMUQADDIS KEPADA KAABAH. KISAH MASJID DUA QIBLAT. KISAH MASJID QUBA : Imam Bukhari meriwayatkan.. daripada al-Barra RA: “Bahawa Rasulullah SAW solat menghadap ke Baitulmuqaddis selama enam belas atau tujuh belas bulan, sedangkan dalam hati baginda lebih suka jika kiblatnya mengarah ke Baitullah, Kaabah. Solat pertama yang baginda lakukan (menghadap ke arah Kaabah) adalah solat Asar, dan ikut solat bersamanya suatu kaum. Maka keluarlah seorang lelaki dari kalangan orang-orang yang solat bersama baginda, lalu lelaki itu berjumpa dengan satu jemaah di sebuah masjid yang sedang mengerjakan solat (menghadap ke arah Baitulmuqaddis), maka dia berkata, ‘Aku bersaksi kepada Allah, sesungguhnya aku telah solat bersama Nabi SAW dan baginda menghadap ke arah Mekah (Kaabah)’. Maka jemaah tersebut memutarkan tubuh mereka yang sedang solat itu ke arah Baitullah. (Maka disebutkan) tentang ramai lelaki yang meninggal dunia sebelum ini dan mereka bersolat menghadap ke arah kiblat pertama sebelum dipindahkan ke arah Baitullah.. Maka Allah SWT menurunkan ayat: ‘Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu’ (ayat 143)’. (Riwayat Bukhari) Namun dalam kitab Imam Nasaie disebutkan bahawa solat pertama yang baginda lakukan menghadap Kaabah ialah solat Zuhur.. Bukan hanya seorang dari kalangan Mufasirin yang menyebutkan bahawa pemindahan kiblat diturunkan kepada Rasulullah  SAW ketika baginda sedang solat dua rakaat daripada Zuhur, ketika baginda sedang solat di masjid Bani Salamah, kemudian masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain.. Mengenai ahli Quba, berita pemindahan itu sampai kepada mereka pada solat Subuh di hari keduanya, seperti yang disebutkan dalam kitab Sahihain (Bukhari dan Muslim) daripada Ibn Umar RA yang menceritakan, ketika orang-orang sedang melakukan solat Subuh di Masjid Quba, tiba-tiba datanglah kepada mereka seorang yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah menerima wahyu yang memerintahkan agar menghadap ke arah Kaabah ketika solat.. Ketika itu mereka sedang menghadap ke arah negeri Syam, lalu mereka berputar ke arah Kaabah”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/189-190) Telah berkata Imam Ibn Hajar ‘Asqalani: Solat Nabi SAW yang pertama menghadap ke arah Mekah ialah pada solat Zohor di Bani Salamah. Manakala solat menghadap ke Mekah buat pertama kalinya di Masjid Nabawi ialah pada solat asar, dan bagi penduduk di Masjid Quba solat pertama kali menghadap ke Mekah ialah pada solat subuh pada hari yang berikutnya”. (Rujuk Fathul Bari)

    • SIAPA SUFAHA’ ITU?: Berkata Imam Ibn Kathir: “Menurut Az-Zujaj, yang dimaksudkan dengan sufaha’ dalam ayat ini ialah orang-orang musyrik Arab. Menurut Mujahid mereka adalah para rahib Yahudi. Sedangkan menurut As-Suddi, mereka adalah orang-orang munafik. Akan tetapi, makna ayat ini bersifat umum, mencakupi mereka semuanya (sebagai sufaha’)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/189) Berkata Hamka: “Dalam ayat ini disebut sufaha’, sebagai kata jamak (plural) daripada safih, iaitu orang-orang bodoh yang berfikiran dangkal, yang bercakap asal bercakap saja, tetapi tidak sanggup bertanggungjawab tentang apa yang diucapkannya.. Ada yang berkata bahawa peralihan kiblat ini ialah kerana Muhammad itu berfikir kurang matang, sebentar menghadap ke sana sebentar menghadap ke mari. Ada pula yang berkata bahawa Muhammad hendak mengajak manusia kembali kepada agama nenek-moyangnya. Sebab di waktu itu di Kaabah masih didapati berhala-berhala.. Maka dalam ayat ini Nabi diberi peringatan, bahawa apabila seorang Rasul atau pemimpin membuat suatu perubahan, sudah pasti akan ada ribut-ribut. Tetapi ribut-ribut hanya akan datang dari orang-orang bodoh, orang yang tidak bertanggungjawab. Baik penduduk Madinah yang memang munafik ataupun orang Yahudi yang berkeliaran di Madinah”. (Tafsir al-Azhar 2/8)

    • KIBLAT BUKAN SEMBAHAN. IA ADALAH ARAH (DIRECTION). YANG PENTING IALAH MENTAATI KEHENDAK TUHAN YANG DISEMBAH, IAITU ALLAH SWT : Berkata Imam Ibn Kathir: “Setelah hal ini (perubahan kiblat) terjadi, maka sebahagian orang dari kalangan kaum munafik, orang-orang yang ragu dan Ahli Kitab berasa curiga.. Lalu mereka mengatakan seperti difirmankan: ‘Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat (Baitulmuqaddis) yang dahulu mereka berkiblat ke arahnya?’ Dengan kata lain, mereka berkata, ‘mengapa kaum muslim itu sesekali menghadap ke sana dan sesekali menghadap ke sini? Maka Allah SWT menurunkan jawapan kepada mereka: ‘Katakanlah, kepunyaan Allah timur dan barat’ (al-Baqarah ayat 142). Yakni, Dialah yang mengatur dan yang menentukan semuanya, dan semua perintah itu hanya di tangan kekuasaan Allah semata-mata.  فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ  ‘Maka ke mana pun kamu menghadap, di situlah wajah Allah’ (al-Baqarah ayat 115) Dan firman-Nya: لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ  ‘Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebaktian, tetapi sesungguhnya kebaktian itu ialah kebaktian orang yang beriman kepada Allah’ (al-Baqarah ayat 177). Dengan kata lain, semua perkara itu dinilai sebagai kebaktian bilamana ia didasari demi mengerjakan perintah-perintah Allah. Untuk itu ke arah mana pun kita (diarahkan) untuk menghadap, maka kita harus menghadapnya (sebab taat). Taat yang sebenarnya adalah demi mengerjakan perintah-Nya, sekalipun setiap hari kita diperintahkan untuk menghadap ke pelbagai arah. Kita adalah hamba-hamba-Nya dan berada dalam pengaturan-Nya.. Ke mana pun Dia mengarahkan kita, maka kita hendaklah menghadap ke arah yang diperintahkan oleh-Nya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/190)

    • KIBLAT TEMPAT BIASA. USAH KAITKANNYA DENGAN SESUATU YANG BOMBASTIK TANPA ASAS : Berkata Hamka:  “Bukan! Kiblat-kiblat itu adalah tempat biasa. Alam biasa dan batu biasa. Di Baitulmuqaddis memang ada Sakhrah, iaitu batu yang menurut riwayat banyak kejadian yang berhubung dengan diri pada Nabi ada pada batu itu. Tetapi dia pun batu biasa. Ada orang yang membuat dongeng bahawa batu itu tergantung tidak bertali ke langit. Teranglah bahawa itu dongeng yang hanya dapat dipercayai oleh orang bodoh-bodoh yang belum pernah melihatnya di sana. Batu itu tidak tergantung, melainkan terlekat di atas bumi, berlubang sedikit ke dalam, sebagai batu-batu gua di mana-mana pun di dunia ini. Dan Kaabah pun bukan batu akik atau yakut yang didatangkan dari syurga. Maka bukanlah kerana batu-batu itu istimewa sangat, sehingga telah tergantung di antara alam dengan Tuhan, maka kerana itu dia dijadikan kiblat. Kaabah sendiri berkali-kali telah rosak. Di tahun 1957 pernah ada retak di Kaabah, lalu dicari batu yang bagus-bagus dan ditambah dengan semen; bukan semen dari syurga, tetapi semen dari pabrik. Di antara Baitulmuqaddis dengan Baitullah al-Haram di Makkah tidak ada perbezaan pada sisi Allah. Kedua-duanya sama terdiri daripada batu dan kapur yang diambil dari bumi Allah. Tujuan yang utama adalah tujuan hati, iaitu memohonkan petunjuk jalan yang lurus kepada Tuhan, yang Tuhan bersedia memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.. Tegasnya, meskipun tetap menghadap ke Baitulmuqaddis, ataupun telah beralih kepada Kaabah, namun kalau hati tidak jujur, kalau langkah yang ditempuh di dalam hidup adalah langkah curang, beralih atau tidak beralih kiblat, tidaklah akan membawa perubahan bagi jiwa”. (Tafsir al-Azhar 2/7)

    • AHLI KITAB BERDENGKI TENTANG 3 PERKARA: Imam Ahmad meriwayatkan.. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda berkaitan Ahli Kitab: “Sesungguhnya mereka belum pernah berdengki terhadap sesuatu sebagaimana kedengkian mereka kepada kita berhubung hari Jumaat yang ditunjukkan oleh Allah kepada kita, sedangkan mereka terbabas daripadanya; dan berhubung kiblat yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada kita, sedangkan mereka terbabas daripadanya, serta berhubung ucapan ameen di belakang imam”. (Riwayat Ahmad, berkata Syeikh Arnauth, sahih)

              ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 143 SURAH AL-BAQARAH (2:143)


وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia”. (al-Baqarah 2:143)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 143 SURAH AL-BAQARAH: (SIAPA UMMATAN WASATHA?)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman, ‘Sesungguhnya Kami palingkan kamu ke arah kiblat Ibrahim AS dan Kami pilihkan kiblat tersebut untuk kamu, hanya kerana Kami akan menjadikan kamu sebagai umat yang terpilih, dan agar kamu kelak di hari kiamat menjadi saksi atas umat-umat lain, kerana seluruh umat mengakui keutamaan kamu’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/190)

    • MAKSUD UMMATAN WASATHA : Berkata Imam Ibn Kathir: “Wasatha ertinya pilihan yang terbaik.. Allah SWT menjadikan umat ini (umat Nabi Muhammad SAW) umat yang terbaik. Allah SWT telah mengkhususkannya dengan syariat yang paling sempurna dan tuntunan-tuntunan yang paling lurus serta jalan yang paling jelas. Wasatha juga bermaksud adil”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/190) Wasatha bermaksud adil, disebutkan oleh Syeikh Said Hawa. (al-Asas fit Tafsir 1/300) Lantas Ummatan Wasatha boleh diertikan sebagai umat yang terbaik lagi adil.

    • BERKATA HAMKA, UMMATAN WASATAN, BERMAKSUD UMAT YANG DI TENGAH : Berkata Hamka: Dan demikianlah, telah Kami jadikan kamu satu umat yang di tengah’ (pangkal ayat 143). Dan ada dua umat yang datang sebelum umat Muhammad, iaitu umat Yahudi dan umat Nasrani. Terkenallah dalam riwayat perjalanan umat itu umat Yahudi terlalu condong kepada dunia, kepada benda dan harta.. Sebaliknya ajaran Nasrani lebih mementingkan akhirat, meninggalkan segala macam kemegahan dunia, sampai mendirikan biara-biara tempat bertapa, dan menganjurkan pendeta-pendeta supaya tidak berkahwin. Tetapi kehidupan rohani yang sangat mendalam ini akhirnya hanya dapat dituruti oleh golongan yang terbatas, ataupun dilanggar oleh yang telah menempuhnya, sebab berlawanan dengan tabiat kejadian manusia. (Adapun umat Nabi Muhammad SAW) nampak pula pada peraturan di hari Jumaat. Di hari itu dari pagi bolehlah bekerja keras mencari rezeki, berniaga dan bertani dan lain-lain, tetapi setelah datang seruan Jumaat hendaklah segera berangkat menuju tempat solat, untuk menyebut dan mengingat Allah. Dan setelah selesai solat, segeralah keluar dari masjid untuk bekerja dan bergiat lagi. Ini menunjukkan jalan tengah antara tiga agama yang serumpun.. Bangkitnya Nabi Muhammad SAW adalah membawa ajaran bagi membangunkan ummatan wasathan, satu umat yang menempuh jalan tengah, menerima hidup dalam kenyataannya. Percaya kepada akhirat, lalu beramal dalam dunia ini. Mencari kekayaan untuk membela keadilan, mementingkan kesihatan rohani dan jasmani.. Mementingkan kecerdasan fikiran, tetapi dengan menguatkan ibadat untuk menghaluskan perasaan. Mencari kekayaan sebanyak-banyaknya, kerana kekayaan adalah alat untuk berbuat baik. Menjadi Khalifah Allah di atas bumi, untuk bekal menuju akhirat. Kerana kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Selama umat ini masih menempuh Siratal Mustaqim, jalan yang lurus itu, selama itulah mereka akan tetap menjadi umat jalan tengah”. (Tafsir al-Azhar 2/9-10)

    • UMAT INI MENJADI SAKSI DI AKHIRAT : Berkata Hamka: “Menurut Imam az-Zamakhsyari dalam tafsirnya al-Kasyaf, umat Muhammad SAW sebagai umat jalan tengah, akan menjadi saksi ke atas umat Nabi yang lain tentang kebenaran risalah Rasul-rasul yang telah disampaikan kepada umat mereka masing-masing. Dan berkata lanjutan ayat: ‘Dan adalah Rasul menjadi saksi (pula) atas kamu’. Iaitu Nabi Muhammad SAW menjadi saksi pula di hadapan Tuhan kelak, adakah mereka telah menjalankan tugas sebagai umat yang menempuh jalan tengah, adakah kamu menjalankan tugas kamu itu dengan baik, atau kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil, ketika sifat tengahmu itu telah hilang”. (Tafsir al-Azhar 2/10)

    • PERUBAHAN KIBLAT MENGUJI IMAN DAN KETAATAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah’ (al-Baqarah ayat 143). Yakni pemindahan kiblat dari Baitulmuqaddis ke Kaabah terasa amat berat, kecuali bagi orang yang mendapat hidayah daripada Allah serta merasa yakin dengan percaya kepada Rasul, bahawa semua yang didatangkan baginda adalah hak semata-mata yang tidak diragukan lagi. Allah SWT buat menurut apa yang dikehendaki-Nya, Dia memutuskan hukum menurut kehendak-Nya, Dia berhak membebankan kepada hamba-hamba-Nya apa yang Dia kehendaki, dan menasakh (membatalkan dan menggantikan hukum) mengikut apa yang Dia kehendaki. Dalam milik-Nya segala hikmat yang sempurna dan hujah (alasan) yang kuat secara keseluruhan.. Lain halnya dengan orang yang di dalam hati mereka terdapat penyakit. Setiap kali terjadi sesuatu hal, maka timbullah rasa keraguan dalam hati mereka”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/191)

    • BAGAIMANA DENGAN PARA SAHABAT YANG MENINGGAL SEBELUM PERUBAHAN KIBLAT? : Berkata Imam Ibn Kathir: “Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan iman kamu’ (al-Baqarah ayat 143). Yakni solat kamu yang kamu lakukan dengan menghadap ke arah Baitulmuqaddis sebelum pemindahan ke arah Kaabah, Allah SWT tidak akan menyia-nyiakan pahalanya. Dalam kitab sahih, disebutkan daripada al-Barra yang mengatakan: ‘Telah meninggal dunia kaum yang dahulunya mereka solat menghadap ke Baitulmuqaddis, maka orang-orang bertanya: Bagaimanakah keadaan mereka? Lalu Allah SWT menurunkan firman-Nya, Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan iman kamu (Riwayat Bukhari, Tirmizi)’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/192)

    • KIASAN TENTANG KASIH SAYANG ILAHI. SANGGUPKAH SEORANG WANITA MELEMPARKAN ANAKNYA KE DALAM API? : Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia’ (hujung ayat 143). Dalam kitab sahih disebutkan bahawa Rasulullah SAW melihat seorang wanita dari kalangan tawanan perang yang terpisah dengan anaknya. Maka setiap kali wanita itu menjumpai seseorang bayi, dia menggendongnya dan menempelkannya pada dadanya, dan dia terus ke sana ke mari mencari bayinya. Setelah wanita itu menemukan bayinya, maka langsung digendong dan disusukannya. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Bagaimanakah pendapat kamu, agaknya sanggupkah wanita ini melemparkan bayinya ke dalam api, sedangkan dia sendiri mampu untuk tidak melemparkannya?’ Mereka menjawab, ‘Tentu tidak, wahai Rasulullah’. Rasulullah SAW bersabda, ‘Maka demi Allah, sesungguhnya Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya berbanding wanita ini kepada anaknya’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) (Tafsir al-Quran al-Azim 1/192)

          ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 144 SURAH AL-BAQARAH (2:144)

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُمَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

“Sesungguhnya Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar daripada Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang mereka kerjakan”. (al-Baqarah 2:144)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 144 SURAH AL-BAQARAH: (MENGHADAP WAJAH KE MASJIDIL HARAM DALAM SOLAT ADALAH DIPERINTAHKAN)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Ali ibn Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, yang paling awal yang dimansukh (dibatalkan hukumnya) dalam al-Quran ialah yang berhubung dengan masalah kiblat. Demikian itu terjadi ketika Rasulullah SAW hijrah ke Madinah, kebanyakan penduduk Madinah saat itu terdiri atas orang-orang Yahudi. Maka Allah memerintahkannya agar menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Melihat hal ini orang-orang Yahudi berasa gembira. Rasulullah SAW menghadap ke Baitulmuqaddis selama belasan bulan, sedangkan baginda menyukai kiblat Nabi Ibrahim AS. Baginda SAW selalu berdoa kepada Allah serta sering memandang ke langit (menunggu-nunggu wahyu). Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya: ‘Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit’. Sampai ke firman-Nya: ‘Palingkanlah muka kamu ke arahnya’ (al-Baqarah ayat 144)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/192)

    • ADAKAH ARAHAN MENGHADAP KIBLAT UNTUK SEMUA SOLAT?  : Berkata Syeikh Said Hawa: “Imam Qartubi berkata, telah ijmak ulama bahawa mereka yang dapat melihat Kaabah secara langsung maka hendaklah dia menghadap menepati Kaabah sebagai kiblat. Jika tidak, solatnya adalah tidak sah. Juga telah ijmak ulama, yang tidak dapat melihat Kaabah, maka cukuplah dia menghadap mengikut arah Kaabah sebagai kiblat (walaupun tidak menepatinya secara tepat). Jika dia tidak pasti tentang arah kiblat, hendaklah dia berusaha untuk menentukan kiblat sedaya upayanya dengan memanfaatkan bintang, angin, kedudukan bukit-bukau, dan yang seumpamanya”. (al-Asas fit Tafsir 1/316) Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT memerintahkan agar menghadap ke arah Kaabah dari segenap penjuru dunia, baik dari timur, barat, utara, mahupun selatan, semua diperintahkan agar menghadap ke arahnya. Dalam hal ini tiada yang dikecualikan selain daripada orang yang mengerjakan solat sunat di atas kenderaannya dalam perjalanan. Dia boleh mengerjakan solat sunat menghadap ke arah mana pun kenderaannya menghadap.. Demikian pula di saat perang sedang berkecamuk, orang-orang yang terlibat di dalamnya diizinkan solat dalam keadaan apa pun. Dan orang yang tidak mengetahui arah kiblat boleh solat menghadap ke arah yang menurut ijtihadnya adalah arah kiblat, sekalipun pada hakikatnya keliru, kerana sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali memberatkan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/500)

    • AHLI KITAB MENGETAHUI PERINTAH BENAR DARIPADA TUHAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya. Yakni orang-orang Yahudi yang memprotes kamu kerana menghadap ke arah Kaabah dan tidak ke arah Baitulmuqaddis mengetahui bahawa Allah SWT pasti akan mengarahkan kamu menghadap Kaabah, melalui apa yang termaktub dalam kitab-kitab mereka daripada para nabi mereka berkaitan sifat dan ciri khas Nabi Muhammad SAW serta umatnya.. Akan tetapi Ahli Kitab menyembunyikan hal ini kerana dengki, kufur, dan ingkar. Kerana itulah Allah mengancam mereka melalui firman-Nya: ‘Dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang mereka kerjakan’ (al-Baqarah ayat 144)”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/193)

    • KEPENTINGAN PARAN : Berkata Hamka: “Ertinya orang-orang Yahudi dan Nasrani, terutama orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah sudah mengetahui, bahawa memang dari Kaabah itu Nabi Ibrahim memulai perjuangannya mendirikan Tauhid, kepercayaan tentang keesaan Allah.. Beliau membawa Hajar ke tempat suci itu, dengan beberapa kerat roti dan satu qirbat air sampai Hajar tersesat di Bersyeba.. Kalau semuanya itu mereka ingat kembali, dan itu tertulis dalam Kitab mereka sendiri (Kitab Kejadian, Pasal 21 dari ayat 13 sampai ayat 21), nescaya mereka tidak akan hairan jika Nabi Muhammad SAW diperintahkan mengembalikan kiblat kepada asalnya, kerana mereka memang sudah mengetahui bahawa di sanalah tempatnya. Dalam ayat 21 Kejadian, Pasal 21 disebutkan nama tempat itu ialah Paran. Dan pembaca kitab Taurat tahu bahawa Paran itu adalah Makkah al-Mukarramah”. (Tafsir al-Azhar 2/14)

                  …………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 145 SURAH AL-BAQARAH (2:145)

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ إِنَّكَ إِذًا لَمِنَ الظَّالِمِينَ

“Dan sesungguhnya jika kamu mendatangkan kepada (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) semua ayat keterangan, mereka tetap tidak akan mengikut kiblatmu, dan kamu pun tidak akan mengikut kiblat mereka, dan sebahagian mereka pun tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Dan jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepadamu, sesungguhnya kamu ketika itu termasuk golongan yang zalim.”. (al-Baqarah 2:145)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 145 SURAH AL-BAQARAH: (MEREKA TIDAK AKAN MENGIKUT KIBLAT KITA, DAN KITA TIDAK AKAN MENGIKUT MEREKA)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Melalui ayat ini Allah SWT menceritakan tentang kekufuran dan keingkaran orang-orang Yahudi serta pertentangan mereka terhadap apa yang mereka ketahui mengenai diri Rasulullah SAW. Seandainya ditegakkan terhadap mereka semua dalil yang membuktikan kebenaran apa yang disampaikan kepada mereka, nescaya mereka tidak akan mengikutnya dan mereka tetap akan mengikut hawa nafsu mereka sendiri”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/194)

    • USAH HANYUT LEMAS KERANA MENGIKUT KEHENDAK MANUSIA SESAT : Berkata Hamka: “Ertinya, garis yang akan beliau lalui sebagai seorang Rasul, terutama berkenaan dengan kiblat telah terang, iaitu kembali menghadap kepada rumah suci yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim AS. Kalau menurut kemahuan Yahudi hendaklah dikembalikan ke Baitulmuqaddis. Ini tidak akan diperhatikan, meskipun telah banyak sanggahan atau gerutu yang mereka sampaikan. Seorang Rasul sebagai pemimpin umatnya tidak mempunyai pendirian yang ragu. Bagaimana Nabi Muhammad SAW akan ragu, padahal peralihan kiblat itu adalah pengharapan daripada beliau sendiri. Yang dituju dengan hujung ayat ini adalah sekadar untuk menguatkan hati beliau dalam perjuangan yang maha hebat itu, untuk diberikan teladan kepada umat beliau buat sepanjang masa”. (Tafsir al-Azhar 2/15)


       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (06 Zulhijjah 1444 H, Bersamaan 24/06/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.    

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.