KEWAJIPAN BERPUASA RAMADAN.. DEMI MENGGAPAI TAKWA.. PUASA PERINGKAT AWAL ISLAM
TAFSIR AYAT 183-184 SURAH AL-BAQARAH (2:183-184)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183) أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat mengerjakannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”. (al-Baqarah 2:183-184)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 183-184 SURAH AL-BAQARAH: (KEWAJIPAN PUASA RAMADAN DAN TUJUAN UTAMANYA)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Melalui ayat ini Allah SWT berbicara kepada orang-orang mukmin dari kalangan umat ini dan memerintahkan mereka supaya berpuasa, iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta bersetubuh dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Dalam berpuasa terkandung hikmat membersihkan jiwa, menyucikannya serta membebaskannya daripada kebiasaan-kebiasaan yang buruk dan akhlak yang hina. Allah menyebutkan, sebagaimana puasa diwajibkan ke atas mereka, sesungguhnya Allah pun telah mewajibkannya ke atas umat-umat sebelum mereka. Dengan demikian, bererti mereka mempunyai teladan dalam berpuasa, dan hal ini memberikan semangat kepada mereka dalam menunaikan kewajipan ini, iaitu dengan penunaian yang lebih sempurna daripada apa yang telah ditunaikan oleh orang-orang sebelum mereka”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/213)
-
- DEFINISI PUASA : Puasa dalam bahasa Arab ialah الصَّوْمُ (as-saum). Ia memiliki beberapa pengertian, antaranya ialah menahan diri daripada sesuatu, mencegah atau meninggalkan sesuatu. Imam Qartubi berkata: “As-saum (puasa) di sudut syarak ialah, menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa berserta dengan niatnya, bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Kesempurnaannya ialah dengan menjauhi perkara yang dilarang dan tidak melakukan perkara yang haram (ketika berpuasa)”. (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/650) Berkata Imam Ibn Kathir: “(Puasa ialah) menahan diri daripada makan, minum serta persetubuhan, dengan niat ikhlas kerana Allah SWT. Sesungguhnya puasa mengandungi hikmat dalam konteks membersihkan dan menyucikan jiwa, serta membebaskannya daripada kebiasaan-kebiasaan yang buruk dan akhlak yang hina”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/576) Berkata Hamka: “Dalam bahasa Arab puasa disebut siyam atau saum, yang pokok ertinya ialah menahan. Dalam peraturan syarak dijelaskan bahawasanya siyam menahan makan dan minum dan bersetubuh suami isteri daripada waktu fajar sampai waktu maghrib, kerana menjunjung tinggi perintah Allah. Maka setelah nenek-moyang kita memeluk Agama Islam kita pakailah kata PUASA buat menjadi erti kepada siyam itu”. (Tafsir al-Azhar 2/94)
-
- UMAT SEBELUM INI JUGA BERPUASA : ‘Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu’ (ayat 183). Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa ibadah puasa pada permulaan Islam dilakukan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh umat-umat terdahulu sebelum kita, iaitu setiap bulannya tiga hari. Riwayat ini daripada Mu’az RA, Ibn Mas’ud RA, Ibn Abbas RA, Ata’, Qatadah, dan ad-Dahhak Ibn Muzahim. Puasa yang sedemikian masih terus berlangsung sejak zaman Nabi Nuh AS sehingga Allah memansuhnya dengan puasa bulan Ramadan”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/213) Berkata Hamka: “Dengan ini dapatlah kita fahamkan bahawasanya peraturan puasa bukanlah peraturan yang baru diperbuat setelah Nabi Muhammad SAW diutus saja, melainkan sudah diperintahkan juga kepada umat terdahulu. Meskipun Kitab Taurat tidak menerangkan peraturan puasa, namun dalamnya ada pujian dan anjuran kepada orang supaya berpuasa. Nabi Musa AS sendiri pernah puasa 40 hari. Sampai kepada zaman kita ini orang Yahudi masih tetap melakukan puasa pada hari-hari tertentu: puasa satu minggu sebagai peringatan hancurnya Jerusalem dan diambilnya kembali.. Dalam Kitab Injil pun tidaklah diberikan tuntunan puasa (secara mendalam). Nabi Isa Almasih AS menganjurkan berpuasa, tetapi jangan dilagakkan. Buatlah seakan-akan orang tidak tahu bahawa engkau puasa, minyaki rambut baik-baik dan cuci muka supaya jangan kelihatan kusut kerana puasa. Puasa orang Kristian yang terkenal ialah Puasa Besar sebelum Hari Paskah (Easter).. Kemudian gereja-gereja memutuskan pula hari-hari lain buat berpuasa, menurut sekte (sect) masing-masing.. Orang Hindu pun mempunyai puasa, demikian pula penganut agama Buddha Bikshu (yakni pendeta Buddha) berpuasa sehari semalam, dimulai tengah hari tetapi boleh minum.. Dalam surah Maryam kita lihat Nabi Zakaria AS dan Maryam, ibu Nabi Isa AS pun mengerjakan puasa. Selain menuruti peraturan tidak makan, tidak minum dan tidak bersetubuh (bagi Nabi Zakaria), (baginda) berpuasa juga daripada bercakap. Dengan demikian dapatlah kita (buat) kesimpulan bahawasanya puasa adalah syariat yang penting dalam tiap-tiap agama.. Setelah Rasulullah SAW diutus ditetapkanlah puasa buat umat Islam pada bulan Ramadhan, dan dianjurkan pula menambah (tathawwu‘) di hari yang lain”. (Tafsir al-Azhar 2/94-95)
-
- PUASA UMAT ISLAM SEBELUM KEWAJIPAN PUASA RAMADAN : Kewajipan berpuasa di musim Ramadan bermula pada tahun ke-2 selepas hijrah Nabi. Sebelum Ramadan, umat Islam berpuasa Asyura. Aisyah RA (isteri Nabi SAW) berkata, “Dahulu puasa Asyura diwajibkan dan setelah turunnya perintah berpuasa di bulan Ramadan maka sesiapa yang ingin melaksanakan puasa Asyura hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang ingin berbuka maka berbukalah”. (Riwayat Bukhari Muslim) Aisyah RA juga telah berkata: “Sesungguhnya orang-orang Quraisy dulu pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah SAW pun memerintahkan untuk berpuasa pada hari itu sehingga turunnya perintah wajib puasa Ramadhan, dan Rasulullah (ketika itu) telah berkata: ‘Barang siapa menghendaki maka dia boleh berpuasa Asyura sedangkan yang tidak mahu berpuasa maka tidak mengapa’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Sebahagian ulama mengatakan bahawa puasa yang diwajibkan sebelum Ramadan ialah puasa tiga hari pada setiap bulan di samping puasa Asyura. Puasa ini kemudian dibatalkan kewajipannya setelah turunnya kewajipan puasa Ramadhan. (Rujuk al-Jamik li Ahkamil Quran 1/652)
-
- SEMOGA MENCAPAI MAKAM TAKWA DENGAN BERPUASA. ADA DUA SYAHWAT YANG SANGAT MEMPENGARUHI HIDUP -HAMKA : ‘Agar kamu bertakwa’ (hujung ayat 183). Apa erti takwa? Kalimat takwa diambil dari rumpun kata wiqayah ertinya memelihara. Memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan. Memelihara diri jangan sampai terperosok kepada suatu perbuatan yang tidak diredai oleh Tuhan. Memelihara segala perintah-Nya supaya dapat dijalankan. Memelihara kaki jangan terperosok ke tempat yang lumpur atau berduri. (Rujuk Tafsir al-Azhar 114/115) Berkata Syeikh Said Hawa: “Hikmat puasa adalah ia menghasilkan takwa, kerana puasa membersihkan badan dan menyempitkan lorong-lorong syaitan”. (al-Asas fit Tafsir 1/412) Berkata Hamka: “Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj atau seks, dan syahwat perut. Kalau keduanya ini tiada di kendali, bisalah manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan dengan puasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya. Kesabaran menahan adalah nilai yang amat penting bagi keteguhan jiwa… Kerana kalau berpuasa dengan niat hanya untuk kesihatan badan, belum tentu diterima Tuhan. Tetapi berpuasa dengan niat mencapai takwa, itulah yang dikehendaki Tuhan, dan untung juga kalau di samping ibadat dia pun membawa kesihatan.. Maka apabila kembali pada maksud ayat ini iaitu diperintahkan puasa supaya kamu bertakwa, dapatlah difahamkan jalan tengah yang dikehendaki Islam dengan puasa. Sebulan penuh mereka disuruh berpuasa dari waktu fajar sampai waktu maghrib menahan makan dan minum, menahan bersetubuh dan mengendalikan diri dalam bercakap, melihat dan mendengar serta memperbanyak ibadat.. Semata-mata (kerana) Tuhan Allah. Apabila puasa ini dikerjakan dengan sungguh-sungguh, dengan iman dan kesedaran (Imanan Wahtisaaban), maka habis sebulan itu akan sangatlah terasa kesannya yang besar bagi jiwa”. (Tafsir al-Azhar 2/95-96)
-
- HANYALAH BEBERAPA HARI. TIDAK LAMA : ‘(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu’ (ayat 184). Berkata Imam Qartubi: “Iaitu dalam bulan Ramadan.” (al-Jamik li Ahkamil Quran 1/652) Berkata Hamka: “Iaitu selama hari yang terkandung dalam bulan Ramadan yang kadang-kadang 29 dan kadang-kadang 30 hari. Dengan kata demikian ditunjukkan kasih dan sayang Allah, bahawasanya kewajipan itu tidak lama”. (Tafsir al-Azhar 2/98)
-
- KELONGGARAN BAGI YANG SAKIT DAN BERMUSAFIR : ‘Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain’ (ayat 184). Berkata Hamka: “Meskipun puasa telah menjadi kewajipan yang tidak boleh dilalaikan sedikit pun, namun kalau badan berasa sakit atau dalam perjalanan, bolehlah diperhitungkan di hari yang lain. Berapa hari yang ditinggalkan (dihitung) baik-baik. (Ketika) telah sembuh atau telah kembali selamat dari perjalanan, pada waktu itu sajalah ganti”. (Tafsir al-Azhar 2/98)
-
- BAGI YANG TIDAK MAMPU BERPUASA – YANG MENGHIDAP PENYAKIT KRONIK – YANG TERAMAT TUA – YANG HAMIL, MENYUSU BADAN : ‘Dan wajib bagi orang-orang yang berat mengerjakannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin’’ (ayat 184). Berkata Hamka: “Orang yang berat ialah orang beriman yang tetap mempunyai keinginan mengerjakan puasa, tetapi kalau dikerjakannya juga sangatlah memberati dirinya, baik kerana dia sudah terlalu tua ataupun kerana sakit yang berlarut-larut, sehingga waktu buat membayar (puasa) di hari yang lain tidak ada, kerana di hari yang lain dia masih sakit juga. Maka untuk hari-hari puasa yang terpaksa ditinggalkannya itu bolehlah digantinya dengan membayar fidyah, iaitu memberi makan fakir miskin. Makanan yang diberikan kepada fakir-miskin itu pun tidak banyak, cukup untuk kenyang makan sehari. Dalam hadis diterangkan bahawa fidyah itu hanya satu mudd, kira-kira satu liter beras (satu mudd daripada makanan, kira-kira 600 gram daripada jenis makanan ruji tempatan – rujuk Irsyad Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-169, Mufti WP). Menurut tafsiran daripada Sayidina Ali bin Abu Talib, yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir, orang yang berat atasnya (puasa) itu ialah orang yang telah amat tua, yang tidak kuat lagi mengerjakan puasa. Maka bolehlah dia berbuka saja dan memberi makan seorang miskin untuk tiap satu hari yang ditinggalkan itu. Menurut hadis yang dirawikan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Anas bin Malik RA, di tahun beliau akan meninggal dunia dan sudah lemah mengerjakan puasa, maka (dia membuat) makanan roti satu periuk besar, lalu diberinya makan 30 orang miskin. Dan menurut (satu) riwayat lagi daripada Abd bin Humaid dan ad-Daruquthni, daripada Ibn Abbas RA, beliau (Ibn Abbas RA), berkata kepada ibu anak-anaknya yang sedang hamil atau sedang menyusukan anak yang tidak sanggup pada waktu itu mengerjakan puasa, supaya berbuka saja, lalu memberi makan kepada orang miskin, dengan tidak usah mengqada’. Dan ada riwayat daripada Abd bin Humaid dan Ibn Abi Hatim dan ad-Daruquthni yang diterima daripada Abdullah bin Umar RA bahawasanya salah seorang anak perempuan beliau mengutus seorang pesuruhnya menanyakan beliau dari hal puasa, padahal dia sedang mengandung. Maka Abdullah bin Umar RA berkata: ‘Bukalah puasa dan beri makan seorang miskin buat tiap hari yang ditinggalkan itu’. Itulah riwayat-riwayat amalan sahabat-sahabat Nabi yang dapat dijadikan pedoman, dan demikian juga pendirian beberapa orang tabiin. Dan daripada keterangan riwayat cara yang dilakukan oleh Anas bin Malik RA, kita dapat memahami bahawa boleh pula orang miskin itu diberi makan sekali gus 30 orang”. (Tafsir al-Azhar 2/98-99)
-
- PENDAPAT KEDUA TENTANG AYAT 184 INI : ‘Dan wajib bagi orang-orang yang berat mengerjakannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin’ (ayat 184). Berkata Syeikh Said Hawa: “Pendapat yang kedua berhubung ayat ini ialah seperti yang dikatakan oleh sahabat Muaz RA bahawa ia berkaitan dengan senario di peringkat awal puasa diwajibkan. Ayat ini menegaskan bahawa sesiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah. Namun sesiapa yang memilih untuk tidak berpuasa maka dia boleh berbuka dengan syarat hendaklah diberi makan golongan miskin bagi setiap hari yang dia tinggalkan. Kemudian hukum kelonggaran ini dimansuhkan dengan ayat 185 dalam surah al-Baqarah, iaitu: ‘Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah dia berpuasa di bulan itu’.” (al-Asas fit Tafsir 1/413)
-
- BERPUASA ADALAH LEBIH BAIK : ‘Tetapi siapa yang menderma lebih, maka itu adalah baik untuknya’ (ayat 184). Berkata Hamka: “Meskipun yang diwajibkan hanya (memberi makan) seorang miskin, kalau engkau orang mampu apalah salahnya engkau berikan lebih, menurut kesanggupanmu. Di akhir ayat berfirmanlah Tuhan: ‘Dan bahawa berpuasa itu adalah lebih baik buat kamu jika kamu mengetahui’ (hujung ayat 184). Yang dimaksudkan dengan puasa lebih baik bukanlah buat orang yang telah diberi keizinan (rukhsah) kerana sakit atau dalam perjalanan tadi. Dan bukan pula untuk orang yang berat baginya memikul kerana tua dan sakit larut itu. Hujung ayat ini ialah mengingatkan kembali faedah puasa untuk menguatkan takwa. Kalau badan tidak sakit dan tidak pula berat memikul lantaran tua atau sakit larut, sangatlah besarnya faedah puasa bagi jiwa”. (Tafsir al-Azhar 2/99)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(04 Muharram 1445 H. Bersamaan 22/07/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.